Polio sememangnya diketahui sebagai penyakit berjangkit yang merbahaya di mana ia boleh menyerang sistem pernafasan dan saraf manusia. Mangsa yang menghidapnya berpotensi mengalami kelumpuhan kekal dan m4ti sekiranya berlaku kegagalan sistem pernafasan mereka. Atas sebab itulah, apabila kes polio dilaporkan di Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun, ia sudah menimbulkan keresahan dalam kalangan orang ramai. Dan bagi yang membaca cerita paru-paru besi ini, berdoalah agar generasi seterusnya tidak mengalami apa yang dialami pesakit-pesakit ini.
Bagi sesetengah individu yang terselamat dari penyakit ini, mereka perlu menghabiskan masa berdekad-dekad lamanya dalam sebuah mesin pernafasan yang kita gelar sebagai paru-paru besi untuk membantu mereka menjalani kehidupan normal. Anda boleh melihat contoh klip video yang disediakan di bawah:
The Last Few Polio Survivors – Last of the Iron Lungs | Gizmodo: https://www.youtube.com/watch?v=gplA6pq9cOs
Bagi Paul Alexander, 72, mesin sebegini yang dianggap paling memudahkan untuknya bernafas. Dia menambah, “Kini tinggal dua atau tiga orang seperti kami. Saya sudah mencuba semua mesin pernafasan yang ada dan inilah yang terbaik. Saya merasakan dapat bernafas secara semulajadi dengan lebih baik.”
Kisah pembanterasan penyakit polio merupakan antara kisah kejayaan kesihatan yang membanggakan sejak beberapa tahun ini. Walaupun kes penyakit ini masih muncul di negara-negara bergolak atau miskin seperti Syria, Laos dan Republik Demokratik Congo, ia hanya kekal menjadi endemik di tiga negara sahaja iaitu Afghanistan, Pakistan dan Nigeria. Di Amerika Syarikat, ia dilihat sudah dibanteras sepenuhnya pada tahun 1979 berikutan kemunculan vaksin anti-polio.
Pada tahun 1950-an, penyakit ini mengakibatkan lebih 15,000 kes kelumpuhan setiap tahun berdasarkan data yang disediakan oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC). Dan bagi membolehkan pesakit-pesakit ini bernafas, paru-paru besi iaitu sejenis silinder tekanan yang menarik oksigen masuk ke paru-paru pemakainya dengan mencipta vakum dianggap satu perkara biasa. Bagi kebanyakan pesakit, mesin ini akan membantu mereka bernafas dalam beberapa minggu sebelum mereka dapat bernafas seperti biasa. Tetapi bagi kes pesakit yang lebih kronik, ia menjadi komponen penting kehidupan mereka.
Dengan bilangan pesakit yang menggunakan paru-paru besi ini semakin berkurangan, syarikat-syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan paru-paru besi menggesa mereka mencari alat bantuan pernafasan alternatif. Pada tahun 2004, salah satu syarikat berkenaan iaitu Phillips Respironics memberitahu pengguna-pengguna paru-paru besi bahawa mereka tidak lagi boleh memberi jaminan mereka dapat membaiki mesin berkenaan. Pada tahun 2013, sebuah organisasi yang bermatlamat membantu pesakit polio iaitu Post-Polio International Health mendedahkan terdapat enam hingga tujuh pengguna paru-paru besi di Amerika Syarikat.
Bila ditanya jumlah sebenar pengguna paru-paru besi di luar sana, presiden kumpulan Brian Triburzi berkata, “Saya tidak mempunyai jawapan kepada soalan itu. Saya tak fikir semua orang tahu pasal itu.” Portal media Gizmodo berpeluang menemubual tiga pengguna paru-paru besi iaitu Alexander (Dallas), Martha Lillard (Oklahoma), 69 dan Mona Randolph (Kansas City, Missouri), 81. Ketiga-tiga individu ini merupakan pengguna terakhir mesin itu.
Alexander yang menghidap polio pada tahun 1952 semasa berusia enam tahun mendedahkan dia menghabiskan kebanyakan masanya dalam mesin berkenaan. Paru-paru besi ini diletakkan di tengah-tengah ruang tamunya. Jika Alexander mahu menjawab telefon atau menaip sesuatu pada komputer, dia menggunakan tongkat plastik yang dilekatkan pada mulutnya. Tetapi tidak ramai tahu di sebalik kebergantungannya kepada mesin ini, itu tidak menghalangnya dari menggapai cita-cita sebagai seorang peguam.
Alexander bercerita, “Bila saya dipindahkan ke Universiti Texas, mereka merasa takut bila memikirkan saya akan membawa paru-paru besi ke situ tetapi itulah yang dilakukan saya dan saya letakkannya di asrama serta saya tinggal bersama paru-paru besi saya. Saya mempunyai ramai rakan dengan kebanyakan soalan yang difikirkan mereka ialah apa sebenarnya yang dilakukan oleh lelaki ini dengan kepalanya terjulur keluar dari mesin itu di sini.” Bagaimanapun, satu masalah yang dihadapi Alexander ialah isu penyelenggaraan paru-paru besi.
Apabila rakannya mendapat tahu kesukaran yang dihadapinya pada tahun 2015, dia menaikkan videonya di laman sesawang YouTube yang menerangkan situasi yang dihadapinya dan mencari seseorang yang arif dengan paru-paru besi. Video tersebut menarik perhatian seorang usahawan Texas bernama Brady Richards yang bertanggungjawab menguruskan Environmental Testing Laboratory, sebuah syarikat yang menguji peralatan klien bagi memastikan ia memenuhi piawaian alam sekitar. Bila Richards mendedahkan dia tahu selok-belok mesin itu, Alexander menganggapnya sebagai satu keajaiban. Usahawan Texas itu melawatnya sekali setiap enam bulan. Bila ditanya akhbar The Independent berkenaan paru-paru besi, Richards berkata, “Mesin ini sebenarnya merupakan mesin yang paling mudah di dunia. Tetapi masalahnya pengeluar tidak lagi mengeluarkan bahagian mesin berkenaan.”
Bagi Lillard pula, dia menceritakan dia menghidap polio semasa berusia lima tahun. Kini, dia menghabiskan separuh harinya setiap hari dalam mesin berkenaan. Bila ditemubual portal Gizmodo, dia berkata, “Semua ibu pasti merasa takut kerana ramai orang mendapatnya. Mereka tidak tahu sama ada ianya ialah virus atau bakteria atau bagaimana kita dijangkiti.” Sementara Randolph pula menceritakan dia dijangkiti polio semasa berusia 20 tahun. Dia memberitahu anak-anaknya yang bertanya apa yang berlaku kepadanya di mana dia dijangkiti kerana tidak mempunyai akses kepada vaksin anti-polio.
Justeru tidak hairanlah bila Randoplh bersemuka dengan juak-juak anti-vaksin, ia membuatkannya rasa marah. Tambahnya, “Sudah tentu saya merasa bimbang tentang mana-mana tempat yang tidak mempunyai vaksin. Saya akan melakukan apa saja untuk menghalang sesiapapun daripada mengalami apa yang saya alami. Dan saya percaya, ibu saya, jika dia mempunyai akses kepada vaksin anti-polio, saya akan melakukannya dalam sekelip mata.”
Jadi selepas anda membaca kisah ini, apakah anda masih merasakan polio satu perkara yang boleh dipandang sepi? Apakah anda masih menganggap vaksin sesuatu yang memudaratkan anak-anak di sebalik statistik yang menunjukkan perkara sebaliknya? Jika anda masih menyifatkan juak-juak anti-vaksin masih bercakap benar, maka bersedialah melihat anak-anak yang dikasihi berada dalam mesin sebegini sepanjang hayat mereka. Bila itu berlaku, tidakkah anda merasa berdosa kerana mengkhianati amanah Allah s.w.t ini terutama dalam isu kesihatan? Jangan kerana ego, yang menderita generasi seterusnya yang tidak berdosa.
RUJUKAN:
Buncombe, Andrew. (2017). America’s last iron lung users on their lives spent inside obsolete ventilators. The Independent. https://www.independent.co.uk/news/world/americas/polio-iron-lung-survivors-photos-lives-inside-ventilators-a8070881.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih