Rabu, 4 November 20264 Nov 2026
Mutiara Islam

Pakatan Rahsia Elizabeth I – Turki Uthmaniyyah

Semua sedia maklum hubungan antara raja-raja Eropah
dengan pihak gereja ada pasang surutnya. Ada ketikanya, mereka menjadi orang
kepercayaan Vatican dalam konflik seperti Perang Salib dan Reconquista. Dan
adakalanya, mereka menjadi duri dalam daging kepada gereja sehingga pihak
gereja memutuskan hubungan dengan mereka. Ini memaksa sesetengah pemerintah
mengadakan pakatan baru bagi menjamin keselamatan negara mereka dari ancaman
negara-negara musuh. Dalam kes Elizabeth I, selepas Vatican memutuskan hubungan
dengan London pada abad ke-16, baginda mula mengadakan hubungan rapat dengan
kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Kisah berkenaan agama Islam tiba di England pada abad
ke-11 atau lebih tepat semasa Perang Salib. Ketika itu, negara-negara Eropah
menyahut seruan Paus untuk bangkit dan merampas Baitulmaqdis dari penguasaan
umat Islam. Dan kebiasaannya, persepsi mereka terhadap Islam bukan saja
bersifat perkauman tetapi kadangkala hingga ke tahap radikal. Maka tidak
hairanlah, sesetengah ahli teologi gereja ketika itu menyifatkan Islam sebagai
agama pagan atau agama sesat yang muncul dari tradisi Kristian-Yahudi. William
Langland dalam Pier’s Plowman (1370-1386) misalnya menggelar Nabi Muhammad
s.a.w sebagai seorang lelaki Kristian yang tersalah memilih agama. Manakala
Chauncer dalam manuskrip Canterbury’s Tale (1387-1400) menggelar penduduk Syam
sebagai pelik.

Namun, selepas kejayaan Mehmed II atau Sultan Muhammad
al-Fatih merealisasikan ramalan Nabi s.a.w semasa Perang Khandak iaitu
penawanan Constantinople pada tahun 1453, kerajaan Turki Uthmaniyyah muncul
sebagai satu kuasa yang digeruni di Eropah dan menjadi ancaman kepada
kerajaan-kerajaan Eropah terutama di Eropah Timur. Maka tidak hairanlah, Henry
Tudor atau Henry VII sudah berkira-kira mengadakan pakatan dengan Turki
Uthmaniyyah yang dilihat dapat menjamin kepentingan kedua-dua kerajaan di benua
tersebut. Baginda dikatakan suka memakai pakaian buatan Turki Uthmaniyyah
termasuk memakai pakaian daripada sutera dan baldu. Malah pada satu ketika,
Henry VII turut berkira-kira membentuk pakatan England-Perancis-Turki pada
tahun 1533 bagi melawan ancaman negara-negara Roman Katolik diketuai Maharaja
Charles V. Namun, rancangan tersebut tidak berhasil berikutan kedudukan England
hanyalah sebagai pemain minoriti dalam struktur kuasa-kuasa besar ketika itu.

Pada masa sama, timbul rasa tidak puas hati dalam
kalangan para pedagang Eropah terhadap dekri yang dikeluarkan Paus berkenaan
soal perdagangan dengan kerajaan-kerajaan Islam. Bukanlah satu rahsia Venice
membakulsampahkan dekri gereja dan meneruskan hubungan dagang yang sedia wujud
antara mereka dengan kerajaan-kerajaan Islam termasuk Turki Uthmaniyyah. Dan
bagi pedagang-pedagang Inggeris, mereka turut mengadakan hubungan dagang rahsia
dengan pemerintah negeri-negeri Barbar (koleksi negeri-negeri kecil Barbar)
yang meliputi sebahagian kawasan di Algeria, Maghribi dan Tunisia.

Selepas Elizabeth I menaiki takhta, pihak gereja
menyifatkan fahaman Protestan yang dipegang baginda sebagai memalukan dan
menyifatkan kenaikan baginda sebagai pemerintah England dan ketua gereja
sebagai tidak sah. Atas sebab itulah, Paus Pius V memutuskan hubungan dengan
England pada tahun 1570. Bagi Elizabeth I dan para penasihatnya seperti Robert
Cecil dan Sir Francis Walsingham, ia sebenarnya membuka peluang kepada mereka
bukan saja membentuk pakatan dengan kerajaan Turki Uthmaniyyah dan Dinasti
Safavid di Parsi. Malah, ia sebenarnya membuka ruang kepada London untuk
menambah kekayaan negara dan membuatkan semua pesaing mereka menggigit jari.

Hubungan dagang kedua-dua negara sudah terjalin bermula
pada 1553 melalui seorang saudagar sutera bernama Anthony Jenkinson. Jenkinson
diberi peluang bertemu dengan pemerintah Uthmaniyyah bernama Sultan Sulaiman
al-Qanuni semasa berada di Aleppo. Hasil dari pertemuan tersebut, England
diberi hak perdagangan bebas di semua wilayah jajahan Uthmaniyyah. Sekembalinya
ke England, Jenkinson dilantik sebagai wakil Syarikat Muskovy (sebuah syarikat
perdagangan untuk aktiviti dagang di Rusia) dan dihantar ke Parsi untuk bertemu
dengan Shah Tahmasp I dari Dinasti Safavid.

Walaupun hubungan dagang kedua-dua negara pada awalnya
berjalan lancar, kos kewangan memaksa mereka memfokuskan usaha dagang dengan
Turki Uthmaniyyah dan negeri-negeri Barbar. Gagasan ini diperjuangkan oleh
Walsingham yang mencadangkan penghantaran seorang duta merangkap pedagang
Inggeris dihantar ke Islambul (nama baru Constantinople) bagi mengadakan
pakatan strategik dengan Sultan Murad III. Pada tahun 1579, seorang saudagar
bernama William Harborne tiba di Islambul dengan membawa idea penubuhan sebuah
syarikat bernama Syarikat Levant. Ia merupakan satu lagi bentuk hubungan dagang
antara kerajaan Uthmaniyyah dengan England di mana syarikat berkenaan diberi
taraf diraja pada tahun 1581. Malah, Sultan Murad III turut member status zimmi
kepada Harborne dan rakan-rakan pedagang Inggeris, satu status yang banyak
membantu mereka sekiranya mereka berdagang di wilayah-wilayah Uthmaniyyah.

Hubungan rapat London-Islambul ini nyata menimbulkan
kemarahan negara-negara Roman Katolik termasuk Sepanyol. Sepanyol yang sudah
hilang akal bagaimana hendak menangani ancaman armada Hayruddin Barbarossa kini
merasa terancam dengan kekayaan England ketika itu. England menjadi makmur
semasa era Elizabeth I kerana lambakan emas yang ditukar dengan bekalan besi
bagi membantu kerajaan Uthmaniyyah dalam kempen perang mereka bukan saja
terhadap Sepanyol/Portugal tetapi juga terhadap Dinasti Safavid. Duta Sepanyol
Bernadino de Mendoza yang berang dengan keakraban London-Islambul mencadangkan
pihak gereja melabel sesiapa saja yang bekerjasama dengan musuh-musuh gereja
sebagai murtad dan patut diperangi habis-habisan.

Hubungan London-Islambul ini bukan setakat pada tahap
perdagangan sahaja. Malah, ia turut menjangkau kepada hubungan pakatan politik
antara kedua-dua pemerintah iaitu Elizabeth I dan Murad III. Dalam satu
suratnya kepada pemerintah Uthmaniyyah itu, baginda menggelar dirinya sebagai
pelindung agama Kristian dan menggelar Murad III sebagai pemerintah paling
berdaulat dari Empayar Timur. Mereka berdua saling berutus surat dan ianya
berterusan sepanjang dekad 1580-an. Hubungan Elizabeth I dengan baginda terus
akrab walaupun selepas kemangkatan Murad III pada tahun 1595. Hubungan itu
diteruskan menerusi koresponden surat antara baginda dengan bonda Murad III,
Nurbanun Sultan termasuk bertukar hadiah seperti kereta kuda dan jam organ yang
dihantar ke Islambul pada 1599 oleh Elizabeth I.

Sementara Harborne pula terus berada di istana
Uthmaniyyah sebagai wakil London sehinggakan golongan pembesar di situ
memanggilnya duta Lutheran. Semasa di Islambul juga, beliau memeterai
perjanjian pakatan Inggeris-Turki pertama yang dipanggil Capitulations di mana
ia terus berkuatkuasa sehinggalah kejatuhan kerajaan berkenaan pada tahun 1923.
Perjanjian tersebut member hak kepada pedagang-pedagang Inggeris berdagang
dengan bebas di wilayah-wilayah Uthmaniyah dari Aleppo hingga Kaherah. Dan
terima kasih kepada pengaruh halus Harborne dalam istana Uthmaniyyah, sebarang
usaha yang membawa kepada perjanjian damai Sepanyol-Turki berakhir dengan
kegagalan. Salah satu kenalannya ialah seorang pedagang bernama Samson Rowlie
atau nama Islamnya Hassan Aga. Pada tahun 1577, Rowlie ditangkap lanun-lanun
Turki di luar perairan Algiers, dipotong alat sulitnya dan diislamkan oleh
mereka. Beberapa tahun selepas itu, beliau menjadi penasihat wakil Uthmaniyyah
di Algiers dan langsung tidak berminat untuk kembali ke England.

Selain membentuk pakatan politik dengan Turki
Uthmaniyyah, kerjasama perdagangan antara London dengan negeri-negeri Barbar
diteruskan menerusi pembentukan sebuah syarikat dipanggil Syarikat Barbary. Sebagai
tukaran kepada komoditi emas dan gula, pihak Barbar mendapat besi dan kain
buatan England. Pengaruh Barbary, Turki dan Parsi masih kekal hingga ke hari
ini dan boleh dikesan dalam Bahasa Inggeris yang digunakan oleh kebanyakan
penduduk dunia. Antara perkataan Inggeris yang ada elemen Turki dan Parsi ialah
tulip (diambil dari sebutan Turki bagi perkataan Parsi dulband atau turban).
Malah, hiasan dalaman istana Elizabeth I turut mengandungi permaidani
berkualiti yang diimport dari dua kerajaan berkenaan.

Skala pakatan England-Turki bukan saja diterjemah dalam
bentuk pakatan politik dan perdagangan tetapi juga dalam bentuk aktiviti
kesusasteraan. Antara tahun 1579 hingga 1624 menyaksikan 62 pementasan teater
membabitkan watak-watak beragama Islam seperti Spanish Tragedy (1587) dan
Battle of Alcazar (1589). Fenomena ini mencapai kemuncak pada tahun 1590-an
membabitkan 20 teater dan ia turut mempengaruhi beberapa drama William
Shakespeare seperti Othello.

Kisah Othello ini diinspirasikan dari kisah seorang duta Maghribi bernama Muhammad al-Annuri yang tiba di London pada tahun 1600 dengan samara sebagai anggota delegasi perdagangan yang menuju ke Aleppo. Semasa menghadap Elizabeth I, beliau mencadangkan agar England mengadakan pakatan dengan mereka untuk memerangi kedudukan Uthmaniyyah di Afrika Utara. Bagaimanapun, rundingan tersebut berakhir dengan kegagalan kerana keinginan baginda menjaga pakatan sedia ada dengan Turki dan keengganan mereka melawan Sepanyol bersama England. Latar belakang al-Annuri menjadi inspirasi kepada watak Othello yang diperkenalkan Shakespeare dalam pementasan teater berkenaan.

Bagaimanapun, hubungan ini tidak diteruskan semasa era
Raja James I lebih-lebih lagi selepas memeterai Perjanjian London 1604.
Perjanjian berkenaan menamatkan sengketa yang berlarutan sejak sekian lama
antara London dengan Madrid, sekaligus apa-apa pakatan yang dilaksanakan
sebelum ini tidak lagi diteruskan. Namun, aktiviti perdagangan yang digerakkan
semasa Elizabeth I diteruskan menerusi penubuhan Syarikat Hindia Timur Inggeris
(SHTI) yang ditubuhkan pada tahun 1600 dan membantu melaksanakan cita-cita
imperialisme England/Britain pada abad ke-18 dan 19 Masihi di seluruh dunia
termasuk Kepulauan Nusantara.

SUMBER

Brotton, Jerry. (2018). HistoryExtra. Elizabethan
England’s relationship with the Islamic world. https://www.historyextra.com/period/elizabethan/elizabethan-englands-relationship-with-the-islamic-world/

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet