Teori Mimpi Senoi merupakan suatu set dakwaan berkenaan bagaimana manusia boleh belajar untuk mengawal mimpi-mimpi mereka untuk mengurangkan ketakutan dan menambah keseronokan. Ia merupakan elemen asas dalam suatu perspektif baru berkenaan mimpi dan pada awalnya ia menjadi popular sebagai suatu cabang dari gerakan keupayaan manusia pada tahun 1960.
Selepas itu, ia berkembang menjadi suatu gerakan baharu dipanggil dreamwork movement atau “gerakan kerja mimpi”. Ia mempunyai kamusnya tersendiri, buletin, bilik kerja, dan tempat perjumpaan. Buku-buku mereka seperti “ Creative Dreaming” dan “Dream Power” telah terjual sebanyak puluhan ribu naskhah.
Pengamal dan pemimpin gerakan ini menggelar diri mereka dream workers atau pekerja mimpi. Mereka mengguna pakai beberapa teori dan tradisi berbeza dan dipraktikkan dengan pelbagai cara. Antara asas terpenting yang diguna pakai dalam gerakan ini ialah suatu penemuan berkenaan tidur dan mimpi yang terhasil dari makmal fisiologi pada tahun 1953.
Kajian ini menunjukkan bahawa sewaktu tidur, keadaan otak manusia tidak berada dalam keadaan pasif sebaliknya terdapat beberapa fasa aktif secara berkala, di mana mata bergerak laju di bawah kelopak mata dan melibatkan beberapa perubahan tingkah laku dan fisiologi ( seolah-olah manusia yang bangun dari tidur) . Secara keseluruhannya, kebanyakan mimpi yang jelas berlaku pada fasa ini, dan ini bermakna kebanyakan manusia bermimpi sebanyak 20-25 peratus dari waktu tidur. (Kleitman, 1963)
Dalam konteks ini, Teori Mimpi Senoi merupakan antara teori penting dalam gerakan ini. Hal ini kerana ia menambah idea bahawa mimpi boleh dibentuk dan dikawal melalui pengalaman-pengalaman positif secara kumpulan.
Ia bukan sahaja mengandungi simbol kebijaksanaan dan boleh dijadikan terapi untuk menyelesaikan masalah peribadi, bahkan menurut teori ini, mimpi boleh dibentuk dan dikongsi secara berkumpulan melalui cara yang positif untuk kebaikan setiap orang, bukan hanya bagi individu yang bermasalah. Teori baru ini melihat mimpi sebagai suatu fenomena positif yang boleh dikongsi dan dibentuk bagi pembangunan manusia yang maksimum.
Masyarakat yang dikatakan pertama kali mempraktikkan cara pemikiran baru berkenaan pengunaan mimpi ini merupakan orang Senoi, masyarakat orang Asli yang tinggal di hutan di tanah tinggi Malaysia. Dalam bilangan sekitar 30,000 ke 45,000 orang pada 50 tahun dahulu, mereka tinggal berhampiran sungai-sungai dan petempatan yang tidak padat, sekitar 15 ke 100 orang bagi setiap kawasan.
Gerakan mimpi menyifatkan masyarakat Senoi sebagai mudah bergaul dan tidak ganas. Idea mereka mengenai mimpi sangat menarik kerana mereka dipercayai antara masyarakat yang paling sihat dan gembira di dunia. Dilaporkan bahawa tiada kewujudan masalah sakit mental atau keganasan kerana mereka mempraktikkan teori pengawalan dan pengunaan mimpi yang tidak pernah sama sekali didengari dalam sejarah Barat.
Sumber utama berkenaan penggunaan mimpi oleh masyarakat Senoi ini adalah melalui hasil kerja Kilton Stewart (1902-1965) yang pertama kali mempelajari berkenaan masyarakat Senoi ketika tinggal di Tanah Melayu pada 1934. Artikel-artikelnya menjadi asas perbincangan tentang Senoi dalam buku yang laris dibaca berkenaan mimpi seperti Dream Power karangan Ann Faraday dan The Dream Game. (Stewart, 1951).
Sebagai tambahan, tulisan Stewart ini telah disokong dalam hasil kerja seorang psikologis, Patricia Garfield, penulis buku yang laris dijual, Creative Dreaming. Garfield telah melawat orang Senoi di Hospital Orang Asli di Gombak pada 1972. Dia merupakan satu-satunya pengkaji selepas Stewart yang megkaji secara terus berkenaan praktis mimpi orang Senoi. Dia memberitahu kepada pembacanya berkenaan pengalaman peribadinya menggunakan teknik-teknik tersebut yang mengurangkan mimpi dirinya sebagai “mangsa yang tidak berdaya” dan meningkatkan mimpinya dalam keadaan berseronok.
Bagi masyarakat Senoi, kehidupan merupakan suatu klinik mimpi. Keprihatinan tentang mimpi bermula ketika matahari mula terbit. Ibu bapa dalam masyarakat Senoi akan bertanyakan mimpi anak-anak mereka ketika sarapan, dan berbincang mengenai pengertian mimpi tersebut.
Dia akan bertanyakan tentang apa kejadian yang berlaku pada masa lalu dan memberitahu kepada anaknya bagaimana untuk mengubah tingkah laku dan sikap pada mimpi akan datang. Dia juga akan mencadangkan aktiviti-aktiviti sosial atau gerakan-gerakan yang membuatkan mimpi itu menjadi suatu yang penting. (Stewart, 1951)
Kemudian, kerja mimpi ini bersambung selepas sarapan di dewan komuniti kampung. Di situ, akan bersambung perbincangan yang serius tentang mimpi. Orang laki-laki, remaja lelaki dan wanita-wanita akan berkongsi mimpi mereka dalam kumpulan yang lebih besar. Mereka berbincang tentang pengertian setiap simbol dan situasi dalam mimpi.
Setiap ahli komuniti akan menyuarakan pendapat mengenai pengertian tersebut. Puak yang bersetuju tentang pengertian mimpi akan menjadikannya suatu projek berkumpulan. (Garfield, 1974)
Perbincangan mimpi ini adalah penting bagi mempromosikan keharmonian sosial. Tingkah laku negatif di dalam mimpi dibincang bersama orang yang terlibat dalam interaksi itu yang mungki menjadi penyebab gambaran dalam mimpi. Jika seseorang bermimpi mencederakan kawannya, atau tidak mahu bekerjasama dengan mereka, maka dia perlu menyatakan persahabatannya dan kerjasamanya setelah dia bangun dari tidur, kerana mimpi seperti itu hanya ada pada orang yang keinginan baiknya semakin lemah, manakala jika seseorang bermimpi kawannya menyakitinya, maka orang itu akan dinasihati, supaya dia boleh memperbaiki kerosakan dalam mimpi itu melalui perhubungan yang baik sesama rakan. (Stewart K. R., 1951)
Orang Senoi juga mengawal dan membentuk mimpi mereka. Mereka boleh mempunyai mimpi yang mereka ingini, bebas dari tangkapan yang menakutkan dan kejatuhan yang menggerunkan, sebalikya dipenuhi dengan kreativiti. Mereka mempraktikkannya melalui tiga prinsip asas, yang diajar kepada anak-anak mereka ketika perbincangan sewaktu sarapan pagi, iaitu:
1) Sentiasa menghadapi dan menguasai bahaya dalam mimpi. Jika ada haiwan yang keluar dari hutan, pergi ke arahnya. Jika ada seseorang menyerang kamu, lawan balik.
2) Sentiasa bergerak ke arah situasi-situasi yang menyeronokkan dalam mimpi. Jika kamu tertarik dengan seseorang di dalam mimpi, bebas untuk mengubah tarikan itu menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Jika kamu menikmati sensasi yang menyeronokkan dalam bentuk terbang atau berenang , rileks dan hadapi ia dengan sepenuh hati.
3) Sentiasa menjadikan mimpi kamu mempunyai hasil yang positif dan hasilkan kreativiti dari mimpi-mimpi itu. Yang paling baik, cuba untuk mendapatkan hadiah dari mimpi itu seperti puisi, lagu, tarian, lakaran, atau lukisan. (Garfield, 1974)
Namun begitu, dakwaan berkenaan teori mimpi Senoi ini dikatakan terlalu bagus untuk dipercayai. Ia bukanlah suatu penipuan, namun betapa manusia mudah tertipu dengan mimpi yang menggoda dan masyarakat umum akan mula percaya bahawa wujudnya masyarakat yang bagus dan asli seperti itu di dunia.
Berdasarkan berbagai sumber kajian terutamanya temuduga dan bahan-bahan bukti berkaitan, seorang pengkaji yang bernama Domhoff menunjukkan bahawa Teori Mimpi Senoi versi Amerika yang diberitakan Stewart hanyalah sebuah ilusi seorang pengembara yang romantis tanpa ada asas dalam bidang antropologi (bidang kemanusiaan).
Kejadian yang berlaku pada Stewart hanyalah tanpa disengajakan, pada 1930, tanpa mengetahui sedikit pun mengenai bahasa dan budaya mereka, dan dia meluangkan masa selama 8 minggu dalam dua kali lawatannya.
Menurut Damhoff, kajian pertama yang disiapkan Stewart beberapa tahun selepas lawatannya ke Malaysia itu tiada dakwaan berlebihan sepertimana karya-karya selanjutnya. Rumusnya, orang Senoi tersebut pastinya ada teori mimpi dan praktik mimpi tetapi tidak sama seperti teori yang direka versi Amerika yang didakwa. (Domhoff, 2003)
RUJUKAN:
Domhoff, G. W. (2003). Senoi Dream Theory: Myth, Scientific Method, and the Dreamwork Movement. Senoi Library.
Garfield, P. (1974). Creative Dreaming. New York: Ballantine Books.
Kleitman, N. (1963). Sleep and Wakefulness. Chicago: University of Chicago Press.
Stewart. (1951). Mental Hygiene and World Peace.
Stewart, K. R. (1951). Dream Theory in Malaya.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih