Jika diberi satu peribahasa berkenaan omerta, maka biar pecah di perut, jangan pecah di mulut amat sesuai untuk kod ini. Ringkasnya, ia merupakan kod senyap bagi ahli Mafia agar tidak membocorkan rahsia organisasi itu kepada sesiapa terutama pihak berkuasa.

Ia merupakan satu bentuk penguatkuasaan undang-undang etika dalam kalangan ahli Mafia. Jika ada yang membocorkan rahsia, maka orang sebegini dianggap pengecut dan pengkhianat kepada organisasi mereka.

Suka atau tidak, rahsia harus dipelihara walaupun itu bermakna mereka dipenjarakan atau lebih teruk, dihukum mati. Bagi mafia, rahsia operasi jenayah dianggap jaminan keselamatan mereka. Mana-mana yang sanggup membocorkan rahsia akan dihukum mati dengan cara yang dahsyat.

Setiap pembelian buku The Patriots di bulan Ramadan akan didermakan kepada Persatuan Cinta Gaza. Beli di: http://bit.ly/KisahKlasikShopee

Jadi, bila omerta dikuatkuasakan? Ada sejarawan berpandangan ia dikatakan bermula sebagai kod rahsia orang di selatan Itali yang tidak suka dengan kehadiran monarki Sepanyol dan Perancis di situ.

Lantas, ia membawa kepada asal-usul perkataan Sicily omu yang bermaksud lelaki. Ia dikatakan berasal daripada perkataan Sepanyol hombredad yang bermaksud kejantanan. Keterangan ini turut disokong oleh keterangan pakar jenayah Antonio Cutrera kepada Suruhanjaya Parlimen Anti-Mafia Itali pada tahun 70-an.

Disebabkan omerta, amat sukar bagi pihak berkuasa mendakwa mana-mana individu atas dakwaan jenayah terancang (organized crime). Begitupun, ramai pakar Mafia berselisih sama ada omerta ini bersifat konsesus sosial atau tindak balas pragmatik yang didorong oleh ketakutan.

Jika ditanya penulis, penulis lebih cenderung kepada pandangan kedua. Ini kerana terdapat satu peribahasa Sicily yang amat sesuai menggambarkan ganjaran yang menanti individu yang menjaga omertanya. Ia berbunyi, “Cu è surdu, orbu e taci, campa cent’anni ‘mpaci.” (Orang yang pekak, buta dan bisu akan hidup aman selama 100 tahun.)

Omerta juga turut didorong oleh rasa kurang percaya orang Sicily terhadap kerajaan. Pengalaman mereka yang pernah dijajah kuasa-kuasa asing dan ketidakcekapan pihak berkuasa terutama selepas penyatuan Itali pada pertengahan abad ke-19 mendorong mereka beralih kepada Mafia.

Dengan Mafia membantu mereka dalam banyak hal termasuk perlindungan dan keselamatan, maka baik bagi mereka untuk kekal setia walaupun dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Oleh sebab itulah, apabila ramai orang Itali berhijrah ke Amerika Syarikat sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20, Mafia menjadi pilihan. Ini kerana pendatang asing seperti mereka didiskriminasi dan tiada suara untuk mengadu kesusahan mereka. Dengan kebanyakan mereka datang sehelai sepinggang, kesempatan ini direbut oleh Mafia untuk meluaskan pengaruh dan menambah pengikut mereka.

Selama lebih seabad, aktiviti jenayah terancang mafia berlangsung tanpa sebarang gangguan pihak berkuasa. Tetapi semuanya berubah menerusi tindakan seorang ahli Mafia bernama Joseph Valachi yang memberi keterangan kepada pihak berkuasa pada 1963.

Joseph Valachi. Sumber: Bettmann Archive/Getty Images

Valachi pada asalnya merupakan soldato (tentera/ahli berpangkat rendah) dalam kumpulan Mafia Reina (kini dikenali sebagai mafia Lucchese) pada 1930 sebelum menyertai mafia Luciano (kemudiannya dikenali sebagai Mafia Genovese) dua tahun kemudian. Selama bertahun-tahun, dia kekal setia dengan mafia berkenaan walaupun ia berubah tampuk kepimpinan dari Lucky Luciano kepada Vito Genovese.

Tetapi semua itu berubah apabila Valachi dan Genovese dipenjarakan akibat kesalahan narkotik pada 1962 dan 1959. Walaupun kini merengkok dalam penjara, dia terus mengatur operasi mafia Genovese termasuk membunuh sesiapa yang menentangnya. Dengan Valachi dalam penjara pada 1962, Genovese tahu dia perlu disingkirkan sebelum menjadi liabiliti kepada kumpulan berkenaan.

Pada 22 Jun 1962, Valachi memukul seorang banduan hingga mati kerana menyangka dia ialah Joseph DiPalermo, seorang pembunuh kontrak yang diberi tugas untuk membunuhnya. Bimbang nyawanya terancam, dia memilih bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Setiap pembelian buku The Patriots di bulan Ramadan akan didermakan kepada Persatuan Cinta Gaza. Beli di: http://bit.ly/KisahKlasikShopee

Setahun selepas itu, Valachi memberi keterangan di Senat Amerika Syarikat. Menerusi keterangannya itu, buat pertama kalinya, kewujudan Mafia dibuktikan dan omerta hanya sekadar mitos. Walaupun tiada siapa yang dapat dikaitkan dengan keterangan Valachi, semua rahsia membabitkan Mafia terbongkar termasuk operasi dan ritual mereka.

Tidak seperti Amerika Syarikat, Mafia di Itali – lebih tepat Sicily, masih menjaga omerta mereka. Begitupun, itu tidak menghalang dua orang hakim Itali iaitu Giovanni Falcone dan Paolo Borsellino daripada mengejar mereka. Kesungguhan mereka memburu Cosa Nostra turut dibantu oleh keterangan ramai ahli mafia yang menjadi pentito (saksi kerajaan/pemberi maklumat).

Paolo Borsellino (kanan) dan Giovanni Falcone

Salah seorang daripada mereka ialah Tommaso Buscetta, seorang pentito paling berprofil tinggi pada 80-an dan 90-an. Selain menerangkan ritual, operasi dan kes jenayah Mafia kepada Falcone dan Borsellino, Buscetta juga turut mendedahkan wujud hubungan antara ahli-ahli politik Itali dengan Mafia. Keterangan Buscetta menyaksikan 475 orang didakwa dengan 338 lagi dihukum oleh mahkamah.

Tommaso Buscetta. Sumber: Bettmann Archive/Getty Images

Buscetta didorong menjadi pentito kerana sudah bosan melihat ahli keluarga dan rakan-rakannya mati di tangan mafia. Tetapi dia juga tahu, dengan melanggar omerta dan memberi keterangan, ia meletakkan mana-mana individu yang menentang mafia dalam bahaya. Ini termasuk Falcone dan Borsellino – sesuatu yang diingatkannya semasa mereka bertemu buat kali pertama pada pertengahan 1980-an.

Ternyata apa yang dibimbangi Buscetta menjadi kenyataan. Pada 1992, kedua-duanya dibunuh dalam dua serangan bom berasingan yang diatur oleh Salvatore Riina yang merupakan ketua Cosa Costra ketika itu. Di sebalik kempen kejam Riina terhadap institusi undang-undang Itali, semakin ramai yang melanggar omerta ketika itu.

Salvatore Riina. Sumber: REX

Satu kesilapan Riina ialah melanggar satu tabu mafia yang menegah sebarang perbuatan mereka mensasarkan wanita, kanak-kanak dan orang awam. Tetapi itu langsung tidak dipedulikan ketua Cosa Nostra itu kerana yang penting, ia dapat mengalihkan perhatian pihak berkuasa. Pendirian ini akhirnya memakan diri sekaligus menghakis apa saja nilai yang menyelubungi omerta.

Riina kemudiannya ditahan pihak berkuasa Itali dan dikenakan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah. Semasa di penjara, dia dikenakan lebih banyak hukuman sama atas pelbagai jenayah yang dilakukannya sebelum ini. Riina kemudiannya mati di penjara Parma pada tahun 2017.

Bagi Buscetta, harga melanggar omertanya amat besar. Selepas menjadi pentito di Itali dan Amerika Syarikat (saksi dalam kes perbicaraan Gaetana Badalamenti pada 1986), dia terpaksa hidup dalam Program Perlindungan Saksi AS untuk baki hayatnya. Buscetta kemudiannya meninggal dunia di Florida pada 2000 dan dikebumikan di bawah nama palsu.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply