Allah s.w.t. berfirman: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.” (Surah Al-Kahfi 18:84).
Seluruh dunia mengenali istilah OBOR (One Belt One Road) melalui inisiatif berskala global oleh Presiden China Xi Jinping. Namun dengan berlangsungnya Forum Belt and Road (BRF) di China baru-baru ini, platform OBOR ini jelas sekali bukan sekadar pentas kerjasama geo-ekonomi, tetapi juga ialah papan catur geo-politik. Antara yang paling mencuri tumpuan pastinya ketidakhadiran pemimpin India dan Jepun di Forum berkenaan. Namun ada sebuah lagi perspektif geo-politik yang kurang diberi perhatian iaitu potensi merapatkan kerjasama negara-negara Islam yang berada pada kedudukan strategik antara kedua-dua laluan darat (Laluan Sutera Baharu) dan juga laluan laut (Laluan Sutera Maritim).
Perhatikan fakta berikut. Antara 29 pemimpin negara yang hadir di Forum BRF baru-baru ini, tujuh daripadanya ialah pemimpin negara Islam iaitu Nawaz Sharif (Pakistan), Najib Razak (Malaysia), Joko Widodo (Indonesia), Recep Tayyip Erdogan (Turki), Nursultan Nazarbayev (Kazakhstan), Shavkat Mirziyoyev (Uzbekistan), dan Almazbek Atambayev (Kyrgyzstan). Jika Malaysia, Indonesia, dan Pakistan mendominasi laluan laut, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, dan Turki pula mendominasi laluan darat. Meskipun kesemua negara ini menganggotai Pertubuhan Kerjasama Negara-negara Islam (OIC), namun jurang antara mereka cukup berbeza di mana hanya Malaysia, Indonesia, Turki, dan Pakistan yang menganggotai pertubuhan kerjasama ekonomi D-8 yang lebih terkehadapan. Negara-negara bekas Kesatuan Soviet sebaliknya lebih terkebelakang dan hubungan antara kedua-dua kelompok negara ini kurang erat. Sempadan geografi pula menjadikan Malaysia dan Indonesia lebih erat melalui ASEAN, manakala Kazakhstan dan Kyrgystan lebih erat dalam kerangka Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU) yang didominasi Rusia, manakala Turki pula selama ini lebih berusaha untuk menyertai blok Kesatuan Eropah (EU).
Demikian juga dari perspektif ketenteraan. Malaysia, Turki, dan Pakistan memiliki hubungan erat termasuklah dengan penyertaan dalam latihan North Thunder di Arab Saudi pada 2016. Kazakhstan, Kyrgyzstan, dan Uzbekistan pula lebih rapat dengan China dan Russia menerusi Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) sejak tahun 1996 lagi. Malah Kazakhstan dan Kyrgyzstan turut menyertai pertubuhan ‘NATO Rusia’ iaitu Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) yang dikepalai Moscow sejak 1994. Turki pula meskipun mempunyai kedudukan geografi yang hampir dengan negara-negara ini sebaliknya menjadi satu-satunya negara Islam yang menganggotai NATO pimpinan Amerika Syarikat kerana sejarah Perang Dingin. Pakistan pula lebih erat dengan China kerana meskipun ia merupakan satu-satunya negara Islam yang mempunyai senjata nuklear, namun Pakistan memerlukan Beijing untuk mengimbangi seteru rapatnya di Asia Selatan, iaitu India yang turut memiliki senjata nuklear.
Maka, apabila China tampil menawarkan inisiatif OBOR ini, ia tidak seharusnya sekadar dilihat dari sudut kepentingan nasional negara bangsa semata-mata. Sebaliknya potensi untuk meningkatkan kesalinghubungan antara rantau dan juga antara peradaban perlu dimanfaatkan sebaiknya. Negara-negara Islam yang terlibat perlu memanfaatkan sebaiknya kedua-dua sumber pembiayaan yang diterajui China iaitu Bank Pembangunan Infrastruktur Asia (AIIB) dan Dana Laluan Sutera agar visi merapatkan hubungan ini tidak terjejas. Jika AIIB menyediakan dana sebesar USD100 bilion khas untuk pinjaman buat projek infrastruktur, Dana Laluan Sutera yang bernilai USD40 bilion pula boleh dimanfaatkan untuk pembangunan perniagaan. Malah, wujudnya peluang kerjasama antara syarikat-syarikat di negara-negara Islam ini untuk saling membangunkan antara satu sama lain menerusi perkongsian pintar dari semasa ke semasa, dan tidak hanya bergantung harap seratus-peratus pada syarikat-syarikat dari China dalam melaksanakan projek pembangunan di negara masing-masing. Agar tidak terlalu terperangkap dengan projek sektor pembinaan (construction) semata-mata, model Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diusahakan Malaysia bersama syarikat gergasi Alibaba juga perlu dicontohi negara-negara Islam lain. Langkah ini bukan sahaja bakal membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana di negara-negara ini, tetapi juga akan mendorong pemerkasaan golongan muda yang celik IT dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Pokoknya, China sememangnya berperanan besar dalam menyalakan OBOR di wilayah Eurasia. Namun negara-negara Islam juga tidak harus sekadar menjadi penerima bantuan pinjaman Beijing tanpa benar-benar membangunkan visi bersama untuk berperanan kembali di wilayah yang merangkumi dua pertiga dunia ini. Hal ini juga bukan bermakna bahawa negara-negara Islam perlu berusaha untuk memerangi China (dan juga Rusia) secara rakus. Sebaliknya pendekatan geo-politik juga perlu diiringi dengan pendekatan dialog peradaban secara berhikmah yang menepati status negara-negara Islam sebagai golongan contoh. Tidak mustahil negara-negara Islam kelak berupaya untuk mewujudkan kembali penguasaan Tanduk Timur dan Tanduk Barat persis era Zulkarnain (Pemilik Dua Tanduk) yang disebut dalam Al-Quran.
Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih