Akhirnya berlalulah sudah jualan promo 11.11, jutaan terima kasih aku ucapkan buat semua pembaca The Patriots yang setia menyokong hingga buku-buku kami terjual dengan larisnya. Tapi bulan November masih belum habis tau, oleh itu aku nak ceritakan sedikit pasal sebuah lagu berkaitan bulan November yang didendangkan oleh sebuah kumpulan rock yang terkenal pada tahun 1990an.
“Nothin’ lasts forever,
And we both know hearts can change..
And it’s hard to hold a candle,
In the cold November rain..”
Pada tahun 1992, tidak jauh sebelum scene muzik grunge mendapat tempat dalam industri muzik arus perdana, yang menandakan bermulanya fasa kejatuhan akibat lambakan karya dan estetika muzik band-band hard rock dan metal yang mula terkenal pada tahun 1980-an, Guns N ‘Roses (GNR) melancarkan salah satu muzik video yang paling mengelirukan, berdurasi panjang, dengan bajet paling tinggi sepanjang zaman. Semua itu muncul dalam bentuk single mereka yang terkenal berjudul “November Rain.”
Pada pandangan yang pertama, ia kelihatan seperti video biasa dengan naratif yang agak standard dan sedikit sedutan dari klip persembahan pentas, tetapi semakin lama kita tonton, semakin banyak persoalan yang ditimbulkannya. Kalau korang peminat GNR mesti korang pernah lalui situasi keliru macam ni.
Macam mana watak pengantin perempuan tu boleh mati? Kenapa jalan cerita tak teratur sebab Axl Rose sekejap kelihatan seperti remaja rockers belasan tahun lepas tu tiba-tiba jadi seorang lelaki dewasa yang berjambang pula? Kenapa mamat tu pergi lompat atas kek? Macam mana Slash boleh goreng gitar Les Paul dia tu kat depan gereja tapi tak plug-in kabel? (Ok ni aku gurau je).
Muzik video “November Rain” umpama satu pengembaraan cinta selama sembilan minit yang menentang segala hukum logik, ruang, dan masa. Bagaimana ia digarap, dan apa sebenar maksud di sebaliknya? Ada agenda Freemason jugak ke?
Seperti yang lazimmya berlaku terhadap kebanyakan band rock pada zaman itu, masa dan roda kehidupan berlalu dengan begitu pantas untuk GNR pada tahun 1980-an. Guns N’ Roses ditubuhkan dua tahun sebelum aku lahir iaitu tahun 1985 kemudian dapat tandatangan kontrak di bawah label rakaman Geffen Records pada tahun 1986.
GNR melancarkan album sulung mereka Appetite for Destruction pada tahun 1987, dan telah menduduki tangga nombor satu di Billboard 200 pada tahun 1988. Mereka terkenal dengan pelbagai kontroversi melibatkan imej dan sosial yang negatif mahu pun positif, apa nak buat, itu sudah jadi fitrah stereotaip dunia bintang rock barat yang gemar berparti liar. Tapi tak semua lah, Iron Maiden boleh je bebas kontroversi.
Bagaimanapun, GNR tetap merupakan ‘kuasa besar’ rock akhir zaman (1980-1990an) pada zaman kegemilangan mereka, ini terbukti apabila syarikat rakaman mereka sanggup membelanjakan modal yang besar untuk mereka.
Pada tahun 1991, mereka merakam dan melancarkan dua album sekaligus, berjudul Use Your Illusion I & II. Namanya saja penuh dengan teka teki, dari banyak karya-karya power ballad hingga cover yang bernada tinggi seperti “Live and Let Die” dan “Knocking on Heaven’s Door”, belum cerita lagi konsert jelajah dua tahun bagi meraikan album.
Tiga dari lagu-lagu power ballads yang disebutkan di atas memakan belanja yang sangat tinggi untuk pembikinan video muzik, ini termasuklah lagu “November Rain” yang sebenarnya mencatat rekod sebagai lagu terpanjang yang memasuki carta sepuluh teratas di Billboard Hot 100. Ia juga merupakan video muzik ke-26 paling mahal yang pernah dibuat, dengan anggaran kos sebanyak $1.5 juta.
Di antara artis-artis yang sezaman dengan GNR, hanya artis dari scene pop mainstream seperti Madonna dan Michael Jackson yang pernah membikin muzik video senilai atau lebih mahal darinya.
Muzik video untuk lagu ini kelihatan lebih sesuai dilihat sebagai sebuah filem pendek berbanding sebuah video promo lagu itu. Jalan cerita video ini digambarkan sebagai bahagian tengah untuk trilogi yang digarap dalam muzik video lagu “Don’t Cry” dan “Estranged”.
Dibintangi oleh supermodel dan kekasih Axl ketika itu, Stephanie Seymour, ia bermula dari babak terakhir yang terhenti dalam ending lagu ‘Don’t Cry’ di mana ketika itu Seymour telah menyelamatkan Axl dari membvnuh diri, dan kemudian kedua-duanya telah berkahwin.
Diikuti dengan babak yang mengelirukan penonton iaitu perkahwinan yang ditakdirkan ditimpa tragedi terhadap pasangan itu (dengan aksi solo gitar Slash di luar gereja kecil tengah padang pasir New Mexico), kemudian babak ‘flashback’ ketika anggota-anggota band tersebut melepak di Rainbow Bar And Grill di Sunset Strip LA.
Disusuli dengan sedutan rakaman persembahan live mereka di The Ritz di New York, video itu sebenarnya mendapat inspirasi dari sebuah cerpen berjudul ‘Without You’, yang ditulis oleh jurnalis rocker dan pengarang buku koleksi cerpen The Language Of Fear, Del James.
Dengan bajet berjumlah sekitar $1.5 juta, muzik video ‘November Rain’ menjadi antara video promo muzik termahal yang pernah dibuat. Walaupun mungkin tidak menjadi lagu yang menaikkan nama mereka seperti muzik video ‘Welcome To The Jungle’, pada saat pelancarannya, ‘November Rain’ menjadi video MTV “most-requested” yang paling tinggi sepanjang zaman – dan, pada 14 Julai tahun lepas, ia secara rasmi mencapai jumlah satu bilion tontonan di YouTube.
Pencapaian ini menjadikan ‘November Rain’ sebagai salah satu daripada bahagian terpenting dalam sejarah lagu, muzik video itu bukan sahaja menjadi satu detik bersejarah bagi band Guns N’ Roses sahaja, malahan ia menjadi inspirasi dan rujukan oleh pencinta seni dan menjadi sebahagian daripada sejarah kegemilangan dunia rock balada sebelum rock dan metal mula jatuh perlahan-lahan dengan munculnya genre-genre alternatif lain seperti Grunge, Pop-Punk, dan Rap.
Sehinggalah kebangkitan genre Nu-Metal pada awal 2000-an secara tidak langsung menaikkan kembali genre-genre atuk neneknya sendiri seperti thrash metal. Tidak lama kemudian GNR turut mengadakan reunion namun agak mengecewakan kerana Axl Rose tidak lagi setampan dan selincah dahulu, malahan kekuatan vokalnya juga sudah hilang, mungkin kerana perubahan saiz badannya yang semakin ketara, namun petikan solo gitar ala blues rock oleh Slash masih kekal berbisa.
Naratif Penceritaan Yang Mengelirukan
Video ini berlangsung dalam naratif tidak jelas yang mungkin menimbulkan banyak persoalan kepada kita yang pertama kali menontonnya sebagai kanak-kanak atau remaja yang belum memahami aliran struktur naratifnya. Di antara adegan awal yang ditunjukkan adalah Axl Rose mengambil ubat tidur di dalam biliknya, diikuti babak band GNR sedang mengadakan satu persembahan pentas diiingi satu kumpulan yang kelihatan seperti orkestra sebesar 70 orang di Panggung Orpheum Los Angeles, disini bermulanya bebenang naratif.
Benang naratif lain diperkenalkan dalam bentuk adegan perkahwinan di katedral yang berlangsung antara penyanyi Axl Rose dan kekasihnya pada masa itu, Stephanie Seymour. Adegan ini diselingi dengan Axl dan Seymour berparti bersama anggota GNR yang lain di Rainbow Bar yang terkenal di LA — kemungkinan untukkan flashback kenangan manis saat bahagia.
Kemudian ia kembali menunjukkan penyanyi GNR, Axl Rose yang cuba untuk lelapkan mata di bilik tidurnya sementara yang lain menunjukkan dia memasuki sebuah gereja kecil di padang pasir, oleh kerana atas sebab tertentu tiba-tiba babak itu memudar dengan beberapa kesan visual yang sangat melodramatik dan sangat sesuai dengan sentimen rock jiwang pada zaman itu.
Kemudian, peralihan waktu berlaku ketika pemain gitar utama, Slash menyerahkan cincin pekahwinan rakannya sebelum keluar dari katedral tempat berlangsungnya majlis perkahwinan Axl dan Seymour dalam keadaan berpakaian kemas dengan sut.
Semasa Slash sedang keluar, video itu dipotong dan menunjukkan dia berjalan keluar dari sebuah gereja kecil di padang pasir, hanya untuk melakukan aksi solo gitar yang bergaya dengan jaket leather, ditiup angin hingga rambut panjangnya beralun, tetapi pelik sebab gitarnya tidak disambung pada mana-mana amplifier atau pedal efek (Ok aku gurau lagi).
Orang ramai saling berlari dan saling merempuh. Drummer GNR, Steven Adler bersembunyi di bawah meja. Kemudian dengan tak semena-mena, seorang lelaki bertindak melakukan aksi ala terjun tiruk ke atas meja, sekaligus merosakkan kek bertingkat yang nampak macam mahal juga harganya. Anggur merah mengalir keluar dari botol, mencemarkan pelapik meja berwarna putih. Ah, simbolisme lagi.
Pada waktu ini, video tersebut dipotong untuk menunjukkan yang majlis perkahwinan itu akhirnya bertukar menjadi majlis pengebumian watak Seymour/pengantin perempuan. Aik? M4ti pasal apa pulak? Punca kem4tiannya tidak pernah dinyatakan secara jelas, dan jenaz4hnya kelihatan sempurna di dalam keranda (jadi … bukan hujan asid lah?).
Namun, berdasarkan cerpen karangan Del James, kekasihnya itu digambarkan m4ti kerana membvnuh diri. Baik, sebenarnya bahagian yang menjadi sumber kekuatan muzik video ini adalah bahagian yang terakhir di mana ketika majis pengebumian, babak dialih sebentar ke sebuah persembahan live band itu. Dalam lagu November Rain, ini adalah bahagian solo gitar Slash yang paling mantap dan meninggalkan kesan dalam dunia rock balada.
Sepanjang solo gitar itu video memaparkan Axl Rose bermimpi Seymour melemparkan sejambak bunga di majlis perkahwinan mereka, (ala yang biasa orang kita duk tiru tu lah), semasa bunga dilempar, peralihan masa berlaku sekali lagi di mana bunga mawar itu ditunjukkan jatuh di atas sebuah keranda di tanah perkuburan sambil perlahan-lahan menumpahkan warna merah jambu nya di atas keranda.
Dan itulah penamat sebuah muzik video yang bernilai $1.5 juta pada tahun 1992, dari segi naratif, aku boleh simpulkan video ini hanya menceritakan tentang kerinduan seorang mat rocker terhadap kekasihnya yang telah m4ti membvnuh diri. Walaubagaimanapun, semahal atau sehebat mana jua sebuah MTV, ia tidak mungkin kekal sebagai lagu dan muzik video paling lama berada di dalam carta Top 10 Billboard seandainya lagu yang dihasilkan tidak berkualiti.
Bagi aku, kualiti sebenar projek mereka ini terletak pada kualiti lagu yang mereka mainkan, aku difahamkan proses rakaman untuk lagu ini saja terpaksa diulang berpuluh-puluh kali bagi mendapatkan tempo yang terbaik (tempo asal lagu ini terlalu perlahan) dan bagi mendapatkan solo gitar yang membvnuh, dan Slash berjaya melakukannya walaupun dalam kebanyakakan persembahan live yang aku pernah tonton, biasanya bila masuk saja lagu ini, solo Slash tiba-tiba kelaut.
Walaubagaimanapun, jika korang baru hendak menonton dan mendengar video muzik November Rain ini buat pertama kali, aku sarankan korang tonton dan dengar juga dua lagi video muzik mereka iaitu “Don’t Cry” dan “Estranged” kerana ketiga-tiga lagu ini adalah saling berkaitan dan digarap dari sumber yang sama iaitu cerpen karangan Del James.
Macam tak percaya dah lebih kurang tiga puluh tahun berlalu sejak GNR mengeluarkan lagu ‘November Rain’. Lirik lagu ini ditulis oleh frontman dan penyanyi band itu sendiri, Axl Rose, ia merupakan single dari album studio ketiga mereka, Use Your Illusion I yang dikeluarkan pada tahun 1991. Kesemua part solo gitar dimainkan oleh Slash, dan sebuah kumpulan orkestra memainkan irama backup kumpulan itu, suara Axl yang masih lunak, bernada tinggi penuh rasa kerinduan, dan sentuhan jemarinya memetik piano menjadikan lagu ini sentiasa segar seperti hujan hingga ke hari ini.
Pautan muzik video:
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih