Pengertian seksual secara umum adalah sesuatu yang berkaitan dengan alat kelamin atau hal-hal yang berhubungan dengan perkara-perkara hubungan intim antara laki-laki dengan perempuan. Seiring pertumbuhan primer dan sekunder remaja ke arah kematangan yang sempurna, muncul hasrat dan dorongan untuk menyalurkan keinginan seksual. Jangka waktu kritikal bagi anak-anak ketika mereka mencapai peringkat akil baligh. Akil baligh merupakan puncak suatu proses membentuk manusia untuk berdikari sendiri dalam membuat keputusan. Pada tempoh ini asas pembentukan sikap, pemikiran, emosi dan tingkah laku berlaku. Keadaan persekitaran bakal mencorakkan anak-anak sama ada kekal seiring landasan agama atau teradun sebaliknya.
Tidak dinafikan internet adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia pada abad ke-21. Revolusi internet yang terbentuk mampu mengubah cara hidup manusia, cara berfikir, berkomunikasi atau interaksi, berhibur dan cara berlibur. Kehidupan dunia siber memberikan suatu cabaran dan impak secara realiti dan ilusi kepada manusia sejagat. Bahkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangan serta mencadangkan kerajaan menapis kembali jaringan internet yang mengandungi unsur-unsur pornografi. Kemudahan teknologi menjadikan remaja kini lebih terbuka tentang seks secara dalam talian. Remaja kini bukan lagi remaja zaman feudal yang tertutup pemikiran, tetapi anak zaman siber yang agresif dan futuristik.
Timbul polemik dalam masyarakat apabila pengaksesan video pornografi dalam kalangan remaja masa kini telah menjadi satu kelaziman. Bahkan golongan muda sudah menunjukkan taring dengan memaparkan video lucah tersebut kepada kenalan mereka. Bukan itu sahaja mereka lebih berani untuk melakukan hubungan seksual yang pada mulanya sekadar untuk berseronok. Zaman remaja merupakan zaman yang sangat menyeronokkan bagi setiap individu. Seseorang individu semestinya ingin mencuba pelbagai perkara baru dalam kehidupan mereka. Mereka tidak memikirkan bahana yang bakal berlaku akan menyebabkan ketagihan terhadap hubungan seksual yang turut menyumbang ke arah penganiayaan seksual serta keganasan seks. Kebanyakkan golongan remaja tanpa perasaan malu mereka menyatakan telah melakukan hubungan seksual melebihi tiga kali sehingga mengandung anak luar nikah. Lebih memeranjatkan apabila mereka melakukan hubungan seksual secara rela dan bukan paksaan.
Hal ini bertambah rumit apabila ibu bapa membiarkan anak-anak terus hanyut dalam applikasi sosial seperti wechat, facebook, twitter dan lain-lain tanpa pengawasan yang sewajarnya. Kesibukan ibu bapa bekerja seolah-olah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada mereka . Bagi sesetengah ibu bapa menganggap mendidik anak remaja adalah satu frasa yang paling sukar. Semakin meningkat usia remaja, semakin cenderung berubah sikap untuk mencari dunia sendiri. Namun disitulah peranan ibu bapa digerakkan dengan mendidik secara berdiplomasi serta mencari iklim yang sesuai untuk berkomunikasi. Satu hakikat yang tidak dikesampingkan, kemapanan diri remaja juga memainkan peranan penting bagi membendung gejala seksual. Jika keperibadian dan iman diri individu lemah sudah tentu mereka mudah tergelincir dalam lembah kebinasaan. Berpegang teguh kepada agama adalah wahana bagi mengekang kebejatan nilai-nilai murni yang merencatkan perihal tingkah laku remaja tersebut.
Antara salah satu punca penyumbangan gejala seksual disebabkan oleh pengalaman buruk atau traumatik terhadap jenayah sumbang mahram. Tanpa rawatan sewajarnya akan menyebabkan Post Stress Traumatic Disorder (PSTD) yang boleh menjejaskan kesihatan mental. Ramai mangsa tidak melaporkan perbuatan tersebut kepada orang lebih dewasa kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan kepada keluarga sendiri. Kadangkala terdapat juga ibu-ibu yang tidak menyokong anak-anak jika pesalah adalah orang yang menyara keluarga. Kesan paling serius apabila mangsa tidak meminta bantuan serta tidak mendapat sokongan dan kaunseling akan menyebabkan penganiayaan dalam jangka masa yang lama. Jika dibiarkan mangsa akan terus menjadi pemuas nafsu serakah keluarga sendiri. Bagi yang melaporkan pula, mereka didesak oleh beberapa faktor seperti kehamilan atau bimbang akan hamil, merasakan perbuatan tersebut salah dan dilarang dalam agama, bimbang perbuatan tersebut berulang dan melindungi adik perempuan mereka.
Selain itu, tidak ada kesedaran remaja terhadap budaya zina yang semakin tidak terkawal. Mereka tidak memikirkan dampak perbuatan tersebut akan menjatuhkan maruah diri dan keluarga. Bagai cendawan tumbuh selepas hujan kewujudan tempat-tempat yang tidak berdaftar menjadi kebiasaan remaja-remaja yang hamil tanpa nikah menggugurkan janin mereka. Asalkan mereka membayar dengan harga setimpal dengan kerja doktor tidak bertauliah. Malah pil-pil pengguguran janin mudah didapati tanpa mereka perlu mencari tempat yang jauh untuk membuang janin. Mereka sanggup melabur duit untuk membeli pil-pil tersebut agar benih yang ada dalam rahim mereka mati tanpa ada sesiapa yang mengetahui tindakan yang dilakukan. Hal ini kerana serangan pemikiran cetek menyebabkan mereka memilih jalan penyelesaian kepada masalah yang salah daripada segi undang-undang dan agama tanpa sebab yang munasabah. Dalam konteks yang lebih besar, undang-undang adalah bersifat menghukum, mendidik, mengawal dan mencegah dan bukan sebagai mekanisme paling tepat menjanjikan penyusutan kes jenayah bakal berkurang saban hari .
Namun begitu ketulusan doktor-doktor swasta juga memainkan peranan signifikan dalam melaporkan kes-kes pengguguran janin kepada pihak berkuasa. Terdapat sebahagian klinik swasta telah berkompromi untuk menyembunyikan pengguguran janin bagi pihak pesakit mereka. Apabila hal ini berlanjutan menyebabkan opsyen sebagai seorang doktor tercemar umpama satu titik nila, rosak susu sebelangga. Negara kita tidak seperti negara vietnam kesan berdekad lamanya pengguguran janin masih terkesan sehingga kini semasa pemerintahan komunis menghadkan setiap keluarga mempunyai 2 orang anak sebagai polisi dalam perancangan keluarga bagi mengurangkan populasi penduduk. Pengguguran janin bukan satu isu tabu di Vietnam. Maka tidak hairanlah negara Vietnam suatu ketika dahulu merupakan negara yang tertinggi memiliki kes pengguguran janin. Tetapi Malaysia adalah negara berdaulat yang dipimpin seorang khalifah unggul yang menjadikan setiap permasalahan yg timbul diselesaikan tanpa berpaling daripada al-quran dan as-sunnah.
Seterusnya, ada juga segelintir remaja hamil luar nikah memilih untuk bersalin di hospital yang jauh daripada tempat tinggal untuk mengelakkan ahli keluarga mengetahui tentang kehamilan tersebut. Mereka sanggup berbohong dengan memberi alasan seperti ingin mencari kerja, menumpang di rumah kawan, ada kerja di luar kawasan dan sebagainya. Tidaklah sesuatu yang pelik jika mereka sempat untuk berlakon seperti biasa setelah melahirkan bayi. Hal ini kerana tempoh minimum berpantang adalah 44 hari. Tempoh tersebut cukup untuk pemulihan organ dalaman wanita serta bukan satu masa yang lama untuk menyembunyikan kelahiran. Kebiasaannya setelah kelahiran berlaku mereka akan memberikan bayi tersebut kepada keluarga angkat yang tidak mempunyai anak. Bukan itu sahaja, satu lagi maklumat yang diperolehi menyatakan kebanyakkan remaja yang terlanjur sehingga hamil luar nikah datang daripada keluarga yang berpendapatan rendah (miskin) terutamanya di luar bandar. Kekurangan perhatian yang diberikan ibu bapa adalah faktor perdana penglibatan remaja dalam dunia seksualiti. Mereka tinggal di kawasan luar bandar yang dikelilingi ladang sawit dan getah. Kawasan tersebut jauh dan sunyi serta tidak ramai orang berada dalam satu-satu tempat. Ia lebih memudahkan mereka melampiaskan nafsu hanya beralaskan tikar sahaja
Asbab terjadinya kes-kes tersebut jika dibiarkan akan menjadikan ia terus berulang tanpa nokhtah. Perasaan takut anak remaja tidak lagi mampu menjadikan mereka gentar dengan kesalahan yang dilakukan. Perubahan yang merentasi zaman menyebabkan budaya barat mula diterima pakai oleh remaja tanpa segan silu. Keadaan tersebut bukan hanya sekadar fantasi drama bersiri yang disiarkan di kaca televisyen tetapi realiti permasalahan sebenar yang melanda remaja. Justeru satu idealisasi yang bernas perlu diketengahkan bagi menurunkan kes salah laku yang melibatkan gejala seksual. Bukankah pendidikan awal bermula di rumah ?. Konklusinya, sebelum luka menjadi nanah jurang yang dilihat merenggangkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak perlu segera dirawat ibarat reformis melentur buluh biar daripada rebungnya.
Anak adalah satu amanah yang dititipkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa untuk disemai kasih sayang dan cinta sebaiknya. Didikan dan asuhan yang berlandaskan syariat akan memperlihatkan acuan yang terhasil sama ada baik atau sebaliknya. Bahkan dalam al-Quran, Allah SWT mengklafisifikasikan kedudukan anak kepada empat golongan iaitu golongan yang menjadikan anak sebagai musuh, anak sebagai ujian dan fitnah, anak sebagai perhiasan dan anak sebagai penyejuk mata hati. Swadaya dan kudrat membimbing anak-anak diperlukan bagi membentuk mereka menjadi kelompok qurrataa’yun (penyejuk mata). Tambahan doa berterusan daripada ibu bapa adalah perkara yang tidak akan memisahkan hubungan erat terhadap anak-anak. Doa mereka ibarat senjata yang paling ampuh sebagai penawar membentuk jati diri anak-anak berlandaskan syariat Islam. Tetapi tidak dinafikan untuk membentuk peribadi mereka dalam kelompok tersebut bukan sesuatu yang mudah dalam zaman yang semakin mencabar. Namun itulah hakikat tanggungjawab terhadap anak-anak yang perlu dilaksanakan.
Kesimpulanya, sebelum retak menanti belah, sebelum bisul menjadi nanah dan sebelum nasi menjadi bubur, obligasi melaksanakan tanggungjawab oleh semua pihak haruslah dimainkan bagi membendung gejala seksual daripada terus menjadi barah dalam masyarakat. Remaja adalah aset negara dan bakal menerajui pemerintahan. Justeru perubahan kognitif yang melanda remaja menjadikan mereka bukan lagi anak kecil, tetapi anak muda yang sudah pandai berfikir, bertindak, dan membuat keputusan sendiri. Nelson Mandela pernah berkata, “jika hendak melihat sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya.”
Kenyataan tersebut seharusnya kita hayati dan fahami agar kemaslahatan anak bangsa akan terbela. Akhir sekali, perlaksanaan sesuatu perkara yang dinilai mendatangkan keburukan berbanding kebaikan seharusnya kembali berpaksikan hukum dan peraturan syarak agar tidak mendatangkan malapetaka kepada negara kelak. Setiap langkah yang bakal dilaksanakan demi kepentingan semua pihak perlu dipertimbangkan antara pro dan kontra demi menjulang panji negara Malaysia di puncak jagat.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih