Anda mahukan pelakon suara Jepun yang mempunyai suara baritone yang lantang, mantap, serta dramatik? Sering menjadi suara bagi watak-watak jahat (villain), namun sekali-sekala menjadi watak baik?
Sesekali mengambil peranan sebagai sang pencerita dengan huraian yang bukan-bukan? Jangan risau! Saya sudahpun jumpa orangnya. Memperkenalkan: Norio Wakamoto (規夫 若本)!
“HARRO, EVERYNYAN! HOW ARE YOU? FINE, SANKYUU!” – Ayah Chiyo, Azumanga Daioh
LATAR BELAKANG
Norio Wakamoto. Gambar diambil dari laman sesawang IMBb.
Norio Wakamoto (規夫 若本) lahir pada 18 Oktober 1945 di Wilayah Yamaguchi, Jepun. Media tidak merakamkan apa-apa maklumat berkenaan beliau semasa zaman kanak-kanak & remaja beliau, namun umum mengetahui bahawa beliau dibesarkan di Bandar Sakai, Wilayah Osaka, Jepun, dan merupakan pelajar lulusan Universiti Waseda (早稲田大学 Waseda Daigaku).
Selepas menamatkan pengajian beliau dengan jayanya di university berkenaan, beliau kemudian mendapat kerja sebagai pegawai polis dibawah skuad anti-riot di Jabatan Polis Metropolitan Tokyo (警視庁 Keishichō).
Kemudian, beliau melepaskan jawatan pegawai polis, dan mula aktif sebagai pelakon, pelakon suara, dan pencerita ketika beliau berumur 27 tahun. Beliau mempunyai hubungan sekutu dengan agensi bakat Sigma Seven, mengambil peranan sebagai pencerita di syarikat tersebut.
PERANAN SEBAGAI PELAKON SUARA
Di awal karier, beliau menggunakan nama Noriaki Wakamoto. Beliau amat berkebolehan dalam menyumbang suara bagi watak-watak yang ‘hammy’, iaitu lantang, dramatik, mantap, serta megah, kebiasaannya dimiliki oleh watak jahat, dan hanya terkadang wujud pada watak baik.
Sungguhpun peranan suara beliau seolah-olah terhad kepada watak jahat dengan suara yang seolah-olah ditokok tambah, beliau juga pernah menjadi penyumbang suara terhadap watak-watak yang amat lain dari kebiasaannya, seperti seorang pencerita, watak yang bersuara lunak, dan sebagainya.
Kepakaran dan kemahiran beliau sebagai seorang pelakon suara menarik minat dan hormat bukan sahaja dari kalangan peminat, malah juga dari pelakon-pelakon suara lain, sehinggakan terdapat program yang bernama ‘Wakamoto Impression’ yang bertujuan untuk meniru suara garau beliau.
Berikut merupakan contoh ataau sampel suara beliau:-
TEMU BUAL “JALAN ‘SEIYUU’” – RINGKASAN
“Saya tidak pernah ‘mahu jadi seorang pelakon suara’. Selepas pengajian saya tamat di universiti, saya bekerja sebagai apa yang saya anggap sebagai ‘kerja berat’.”
Menurut Wakamoto, bekerja sebagai polis tidak berapa padan dengan jiwa beliau, dan tertanya-tanya apakah pekerjaan yang beliau boleh menggunakan bakatnya. Kemudian, beliau terjumpa sebuah artikel di dalam surat khabar tempatan yang bertajuk ‘Kurosawa Ryo Menubuhkan
Sebuah Akademi Alih Suara’, mengajak mana-mana individu yang mahu mencuba nasib sebagai pelakon suara. Beliau kemudian menyertai uji bakat tersebut, dimana ketika itu, beliau berumur 25 tahun. Beliau menyangka bahawa beliau akan gagal uji bakat tersebut, namun nasib menyebelahi beliau, dimana 10 hari kemudian, beliau mendapat surat penerimaan dari akademi tersebut, sejurus memeterai nasibnya sebagai pelakon suara.
Nakano Kanji, salah seorang dari pengarah utama Syarikat Filem Tohokushinsha (株式会社東北新社 Kabushiki-gaisha Tōhokushinsha) merupakan individu yang bertanggungjawab meluluskan temuduga Wakamoto. Beliau kemudian menyertai kelas ‘alih suara’ selama setahun, dan bekerja sebagai ‘pengalih’ suara bagi pelbagai filem dan siri luar negara.
Pada masa itu, hanya sekali-sekala sahaja anime dikeluarkan pada masa itu, maka kebanyakan kerja beliau hanya mengalih suara filem dan siri luar negara sahaja. Siri pertama yang menampilkan alih suara beliau ialah The F.B.I.. Menurut beliau, dua atau tiga tahun selepas bergelar ‘pro’, iaitu selepas penayangan anime ‘Brave Raideen’, barulah pengeluaran anime berlaku secara besar-besaran.
Tuntutan pekerjaan menyebabkan Wakamoto perlu menyesuaikan diri menjadi pelakon suara bagi siri tempatan pula. Semestinya, beliau tidak begitu memahami perkara yang berkaitan ketika beliau baru memulakan langkah beliau sebagai pelakon suara. Pada waktu itu, jelas sekali beliau bergelut dengan kerja bagi memenuhi kehendak pengarah.
Walaubagaimanapun, beliau faham, sebagai seorang seiyuu, seseorang tidak perlu risau tentang penampilan diri dan seiyuu yang lain, dimana dia hanya perlu melakukan apa yang terbaik bagi dirinya, asalkan dia memenuhi kehendak pengarah. Bekerja sebagai seiyuu memberi beliau rasa kebebasan, iaitu bagaimana beliau mahu membawa watak yang beliau mainkan dengan suara beliau, dan untuk meningkatkan lagi kemahiran lakon suaranya.
Wakamoto pernah menyatakan pada zaman beliau berkecimpung di bidang lakonan suara, tempat bekerja beliau iaitu semestinya di studio rakaman, seolah-olah sebuah medan perang. Di situ bukan sahaja hanya terdapat 3 mikrofon, malah juga terdapat ‘hierarki’ di sana, dimana beliau sebagai ‘rookie’ terpaksa bersaing dengan para senior.
Mereka menghalang para ‘rookie’ dari mengalihkan mikrofon. Para ‘rookie’ terpaksa menyumbang suara sedikit jauh dari mikrofon. Mujur zaman selepas beliau, sifat sopan wujud di kalangan seiyuu, sekaligus menghapuskan ‘hierarki’ tersebut.
Sepanjang 10 tahun pertama sebagai pelakon suara, Wakamoto mula sedar bahawa seseorang boleh pergi jauh dan mendalam walau dengan profesion sebagai ‘seiyuu’ sekalipun. Pada waktu itu, beliau terkilan dengan ketidakcekapan diri sendiri kerana gagal memenuhi permintaan kru pengeluaran beliau atas sebab kekurangan kemahiran yang berkaitan.
Kesedaran ini mendorong beliau untuk melakukan sesuatu bagi meningkatkan kemahiran dan skop kerja beliau, ditambah lagi sewaktu beliau berumur 50an, tawaran kerja bagi pelakon suara mula berkurangan, dan beliau perlu melakukan sesuatu.
Wakamoto mula melakukan pelbagai latihan bagi menaiktaraf kemampuan beliau, seperti ‘Kaedah Pernafasan Nishino’ dan ‘Nyanyian Koshinto’. Beliau turut menuntut ilmu berkenaan ‘Latihan Jibeta’ dari seorang penghibur jalanan terkenal, Kubota Hisashi selama 5 tahun. Berkat hasil latihan-latihan yang beliau amalkan selama beberapa tahun, maka lahirlah apa yang kita kenal dari beliau pada hari ini, iaitu ‘Wakamoto style’.
Menurut Wakamoto, semua orang mempunyai suara, dan semua orang mampu mempelajari bahasa Jepun. Namun, untuk menjadi seorang seiyuu, seseorang perlu membina kemahiran diri, disamping melakukan latihan yang banyak, agar mampu memenuhi kehendak industri, seterusnya membuka jalan sendiri bagi meneruskan pekerjaan sebagai seiyuu.
“Bila anda sampai saja ke tempat kerja, tugas anda telahpun selesai,” bermaksud, apa yang seseorang perlu buat ialah keluarkan segala kemahiran yang ada di dalam diri dan bagi menyempurnakan tugasnya di depan mikrofon dengan jayanya. Beliau berpendapat tiada maksud tetap berkenaan ‘Jalan Seiyuu’, seseorang cuma perlu membuka jalan tersebut dengan kuasa sendiri.
SENARAI WATAK YANG DIMAINKAN
Senarai watak yang dimainkan oleh Wakamoto. Gambar diambil dari laman sesawang Facebook melalui page Seiyuu.
Sejak tahun 1972 hingga sekarang, beliau telah berkecimpung dalam dunia pelakon suara, dan telah menghidupkan ratusan watak-watak animasi Jepun, serta menjadi ‘dub’ atau ganti suara terhadap puluhan siri dan filem.
Oleh kerana ianya terlalu banyak untuk disenaraikan, maka penulis hanya memilih watak-watak dari siri-siri animasi, filem, dan game yang terkenal sahaja.
Anime
1. Alexander Anderson dari siri Hellsing Ultimate.
2. Augustus dari siri Demonbane.
3. Biagio Busoni dari siri A Certain Magical Index.
4. Cell dari siri Dragon Ball.
5. Emperor Charles zi Britannia dari siri Code Geass .
6. Gambino dari siri Berserk (1997).
7. Oda Nobunaga dari siri The Sengoku Basara: Samurai Kings.
8. Vicious dari siri Cowboy Bebop.
9. General Godwin dari siri Dog Days.
10. Mechazawa dari siri Cromartie High School.
11. Pencerita/ Suara dari Kayangan dari siri Hayate the Combat Butler.
12. Ayah Chiyo dari siri Azumanga Daioh.
13. Kagato dari siri Tenchi Muyo! dan Tenchi Universe.
14. Matsudaira Katakuriko, dari siri Gintama.
15. General Winters Socalo dari siri D.Gray-Man.
Permainan Video
1. Al-Cid Margrace dari siri Final Fantasy XII.
2. Allen Brady dari siri Super Robot Wars.
3. Pencerita dari Zettai Hero Project.
4. Father Balder dari Bayonetta: Bloody Fate.
5. Barbatos Goetia dari Tales of Destiny 2.
6. Dracula dari Castlevania: Symphony of the Night dan seterusnya).
7. Gene dari Metal Gear Solid: Portable Ops.
8. Igniz dari The King of Fighters 2001.
9. Duke Duffau dari Chrono Crusade.
10. Ippatsu dari Granblue Fantasy.
11. Yoshimitsu dari SoulCalibur IV, menggantikan Nobuyuki Hiyama
12. General Baal dari Grandia.
13. Golba dari Samurai Shodown: Edge of Destiny.
14. Johnny Sfondi dari Guilty Gear X, XX, and Xrd -SIGN-/-REVALATOR-.
15. Suara suit nano dari the Crysis versi Jepun.
Alih Suara
1. Aziz (Art Malik) dari filem True Lies.
2. Megatron dari siri Transformers Animated.
3. Raiden (Christopher Lambert) dari filem Mortal Kombat yang pertama.
4. Charon dari filem Dante’s Inferno.
5. The Lord of Darkness dari filem Legend (1985).
6. Dr. Josef Heiter (Dieter Laser) dari filem The Human Centipede
7. Griffin the Invisible Man dari filem Hotel Transylvania 1 dan 2.
8. Mr. Sinister dari siri animasi X-men.
9. Henri Ducard dari filem Batman Begins.
10. Maugrim dari filem The Chronicles of Narnia: The Lion, the Witch, and the Wardrobe.
ANEKA PERKARA TENTANG NORIO WAKAMOTO
Gambar diambil dari laman sesawang Pixiv.
Penulisan ini seolah-olah tidak lengkap jika tidak disertakan sekali dengan meme dan cerita ringkas yang berkaitan dengan pelakon suara hebat ini.
Terdapat lagu-lagu pembuka anime yang dinyanyikan atau disuarakan oleh beliau, sekaligus menjadikan lagu tersebut agak lucu namun berbaloi untuk didengar, contohnya di pautan di bawah:-
1) Bakemonogatari – Renai Circulation
2) Haiyore! Nyaruko-san – Taiyou Iwaku Moe yo Chaos
3) Lucky Star – Motteke! Se-ra-fuku
https://www.youtube.com/watch?v=RB-UV69j1Lw
Berikut merupakan contoh suara beliau di anime-anime terkenal:-
1) Ucapan Maharaja
Wakamoto Charles zi Britannia:
https://www.youtube.com/watch?v=3HqV03Jouzk
2) Contoh suara Wakamoto sebagai Oda Nobunaga di siri animasi Basara:
https://www.youtube.com/watch?v=9V1AEvN8VZs
3) Wakamoto sebagai Alexander Anderson dari siri animasi Hellsing Ultimate, menggantikan mendiang Nachi Nozawa:
4) Sebagai tambahan, beliau tidak kisah menggantikan ucapan beliau di nombor 1 tadi dengan ucapan tentang… anda tengoklah sendiri!:
https://www.youtube.com/watch?v=FF9K_pLlATU
Tak dapat tidur? Anda mahu didodoikan dengan suara beliau yang mantap dan mengasyikkan?
https://www.youtube.com/watch?v=T4tIi2Q_LWc
Pernah sekali diceritakan, ketika beliau sedang berlatih suara Cell dari Dragon Ball di rumahnya, anak-anak jiran di sekitar pasti akan mendengar beliau, datang ke pintu rumah beliau dan berteriak “Cell, keluarlah dan lawan kami!”. Beliau pun membuka pintu rumahnya dan menjerit “Siapa di sana? Siapa yang mahu diserap?”
Menurut Kappei Yamaguchi dari komentari Giant Robo,Wakamoto sentiasa melakukan ratusan ‘push-up’ sehari walaupun umurnya teah mencecah 70an. Kuat lagi orang tua ni!
RUMUSAN
Norio Wakamoto merupakan pelakon suara senior dan antara pelakon suara yang terbaik dimiliki Jepun. Dengan 47 tahun pengalaman beliau sebagai seorang seiyuu terkenal, beliau telah meminjamkan suara beliau kepada ratusan siri televisyen, siri animasi, video, dan filem.
Sungguhpun peranan beliau terhadap watak yang dimainkan beliau seolah-olah ‘terkunci’ dengan watak jahat yang bersuara lantang dan dalam, beliau juga mampu memainkan watak yang lain dari watak yang biasa dimainkan oleh beliau, seperti watak baik, watak lemah lembut, malah tukang pencerita luar dari piawai biasa!
Apakah watak dari siri animasi atau permainan video kegemaran anda yang kebetulan disuarakan oleh Norio Wakamoto? Kongsikan pendapat anda tentang seiyuu hebat ini di ruangan komen.
RUJUKAN
1) #107 – Wakamoto Norio. (2016, Januari 14). Diambil pada 7 Julai 2019 di https://seiyuuplus.wordpress.com/category/seiyuu/wakamoto-norio/
2) NORIO WAKAMOTO. (n.d.). Diambil pada 7 Julai 2019 di https://www.behindthevoiceactors.com/Norio-Wakamoto/
3) Norio Wakamoto. (n.d.). Diambil pada 7 Julai 2019 di https://www.imdb.com/name/nm0906696/?ref_=nmbio_bio_nm
4) Norio WAKAMOTO. (n.d.). Diambil pada 7 Julai 2019 di https://www.animenewsnetwork.com/encyclopedia/people.php?id=954
5) Wakamoto Norio. (n.d.). Diambil pada 7 Julai 2019 di http://www.usagi.org/doi/seiyuu/wakamoto-norio/
6) Creator / Norio Wakamoto. (2013, September 21). Diambil pada 7 Julai 2019 di https://tvtropes.org/pmwiki/pmwiki.php/Creator/NorioWakamoto
7) Wakamoto, Norio. (). Diambil pada 7 Julai 2019 di https://myanimelist.net/people/84/Norio_Wakamoto
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih