“Pasokan Polis Di-Raja Malaysia
berasa megah di-atas keberanian luar biasa yang telah Enche pamirkan di-kala
sa-kumpulan kechil eskot di-mana Enche ada-lah sa-orang menganggotainya pada 29
APRIL 1972 di-Batu 51, Jalan Ulu Oya.
Semangat keperwiraan Enche bukan
sahaja telah menyelamatkan nyawa pekerja-pekerja JKR dan rakan-rakan
seperjuangan Enche bahkan juga telah berjaya mengusir musoh-musoh tersebut dari
kawasan pertemporan dan seterus-nya membunoh dan menchederakan beberapa orang
daripada mereka. Sebilangan senjata-senjata dan dokumen-dokumen juga dapat
diperolehi.
Sesunggoh-nya
keberanian dan semangat keperwiraan Enche yang tidak ada tolok banding- nya itu
akan tetap terchatit di-dalm lambaran sejarah Polis Di-Raja Malaysia”
IGP- Tun
Muhammad Salleh bin Ismail, 1972
Ini merupakan
satu surat penghargaan yang telah diterima oleh seorang bujang berani dari kaum
Kelabit berasal dari Pa Lungan, Bario bernama Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu pada
tahun 1972. Surat ini dititipkan kepada
beliau oleh IGP pada masa itu iaitu Tun Muhammad Salleh bin Ismail sebagai
tanda penghargaan atas jasa beliau ketika satu operasi pada tanggal 29 April
1972.
Sub Inspektor
(B) Ngalinuh Bala @ Kilah Ratu merupakan salah seorang daripada enam orang anak
Sarawak yang menerima darjah tertinggi Kerajaan Malaysia iaitu Pingat Seri
Pahlawan Gagah Perkasa (SP). Satu pingat
terhormat yang bukanlah sembarangan individu boleh menerimanya kerana hanya
yang terbukti berani dan gagah akan diberikan penghormatan sedemikian rupa dari
Yang Dipertuan Agong Malaysia. Beliau
menerima pingat tersebut pada tanggal 6hb Julai 1972 selepas beliau menunjukkan
keberanian menentang satu gerombolan k0munis seramai 100 orang di Jalan Ulu
Oya, Sibu pada tanggal 29hb April 1972.
Mengimbau
kisah keperwiraannya pada tanggal 29 April 1972 itu, Ngalinuh yang berpangkat
Sarjan pada masa itu diarahkan untuk mengetuai satu skuad Pasukan Polis Hutan
Sarawak untuk menyertai konvoi tiga buah lori milik Jabatan Kerja Raya Sarawak
yang sarat dengan muatan bahan letupan dinamit bagi tujuan kerja-kerja letupan
di kuari Mubal yang terletak di Batu 54, Jalan Ulu Oya, Sibu.
Oleh kerana
ia melibatkan bahan letupan maka adalah satu prosedur biasa bagi para anggota
keselamatan untuk bersama-sama menyertai konvoi kerajaan telahan lagi pada masa
itu k0munis masih lagi bermaharajalela di Sarawak. Bahan letupan itu sudah tentu berharga bagi k0munis
yang sering melakukan serang hendap lantas mencuri segala bekalan senjata dan
bahan letupan yang boleh mereka gunakan kelak.
Konvoi
Ngalinuh dan JKR pada hari itu bertolak kira-kira jam 1 petang dan tatkala
baharu menjengah 3/4 perjalanan menghampiri destinasi iaitu padajam 2 petang
itulah mereka diserang hendap oleh k0munis.
Serangan hendap dengan peluru yang bertali arus mensasarkan konvoi
mereka telah menyebabkan Ngalinuh dan skuadnya menggunakan apa sahaja
perlindungan yang ada sambil memastikan penjawat awam dari JKR dijaga dan dalam
keadaan selamat.
Setelah itu
baharulah Ngalinuh dan skuadnya mula membalas tembakan yang diamati datangnya
dari arah bukit bersebelahan jalan tersebut.
Tidak mahu membuang simpanan peluru yang ada, Ngalinuh bersama
pembantunya iaitu Koperal Itim telah mengatur strategi bagi memastikan mereka
boleh mendekati kawasan musuh. Taktiknya adalah setiap pergerakan Ngalinuh akan
dilindungi oleh Koperal Itim dan begitulah sebaliknya sehinggalah kedua-duanya
berjaya menghampiri kawasan musuh tanpa mampu dijejaki.
Diceritakan
pihak k0munis telah cuba menyekat kemaraan Ngalinuh dan Itim dengan seupaya
mereka namun pertempuran selama hampir empat jam itu langsung tidak boleh
meredakan semangat mereka. Biar muntahan
peluru menyasarkan mereka, berpantang mati sebelum ajal Ngalinuh dan Itim tetap
mara. Sekitar jam 6 petang pula, skuad
Ngalinuh disertai oleh satu pasukan polis hutan dengan jumlah 20 orang anggota
yang mendengar bunyi bising tembakan ketika membuat rondaan di kawasan
tersebut.
Dengan
pasukan yang semakin besar itulah, Ngalinuh dan pasukan polis hutan
terus-terusan memerangi k0munis biarpun bilangan k0munis lebih ramai daripada
mereka. Melihat bilangan pasukan semakin
besar menyebabkan k0munis menukar strategi serangan iaitu membahagikan
pasukannya menjadi tiga kumpulan kecil.
Dengan penukaran strategi itu juga menyaksikan amukan peluru k0munis
datang dari segenap arah. Dan hanya pada
masa itulah Ngalinuh cedera ditembak oleh penembak tepat k0munis yang
bersembunyi tanpa disedari di sebalik bukit kecil. Ngalinuh cedera terkena tembakan di bahagian
paha kanan.
Cedera dan
menanggung kesakitan yang sudah tentu memeritkan bukanlah satu hal yang besar
bagi Ngalinuh kerana semangat perjuangannya tetap membara. Untuk mengangkat bendera putih tanda menyerah
kalah jauh sekali di dalam diari setiap anggota keselamatan lantas k0munis
durjana tetap diperangi sebaik mungkin.
Dengan taktik yang bijak mereka berjaya menangkap beberapa orang k0munis
hidup-hidup dan ada yang berjaya dibunuh.
Mungkin k0munis sudah berputus asa akhirnya menyaksikan mereka sendiri
berundur dan kabur dari lokasi serangan hendap yang mereka reka sendiri.
Menjelang
malam sementara menunggu bantuan sampai dari Sibu, Ngalinuh dan pasukan polis
hutan terus bertahan di lokasi serangan.
Sebarang kemungkinan serangan berulang mungkin terjadi sekiranya mereka
tidak siaga. Letih, lapar malahan
bekalan peluru juga semakin berkurangan menjadikan mereka sasaran yang terlalu
mudah sekiranya ada serangan berulang.
Biar ada yang cedera, tugasan mereka untuk menjaga kenderaan yang
dipenuhi bahan letupan yang berharga itu tetap diteruskan. Keesokan harinya
baharulah bantuan sampai dan Ngalinuh sendiri mengetuai penyerahan k0munis yang
berjaya ditangkap dan mayat k0munis kepada anggota tentera.
Menurut
sumber risikan dipercayai serangan hendap pada tanggal 29hb April 1972 itu
sudahpun diatur dua tiga hari sebelum kejadian.
Difahamkan rahsia sulit jadual laluan dan perjalanan konvoi JKR yang
sarat dengan bahan letupan berharga itu sudah sampai ke pengetahuan k0munis
melalui “orang dalaman” JKR sendiri.
Suatu waktu dahulu bukanlah satu rahsia, mata dan telinga k0munis itu
ada di mana-mana sahaja dan inilah yang amat merisaukan anggota keselamatan
kita.
Disamping itu
serangan hendap pada konvoi JKR itu sudah tentu adalah untuk mencuri bekalan
bahan letupan sehingga menyebabkan k0munis hanya menyasarkan tembakan ke arah anggota
keselamatan tetapi tidak pada kenderaan.
Taktik k0munis adalah membunuh anggota keselamatan seberapa ramai yang
mereka boleh agar senang mereka mengambil bahan letupan itu untuk kegunaan
mereka. Namun sayangnya yang mereka
depani adalah satu pasukan polis hutan Sarawak yang berjuang sehingga ke
titisan terakhir menyebabkan cita-cita mereka langsung tidak kesampaian.
Atas dedikasi
dan keberanian yang ditunjukkan oleh Ngalinuh Bala pada tanggal 1 Julai 1983,
beliau dinaikkan pangkat menjadi Sergeant Major dan seterusnya 1 Januari 1999
sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Sub-Inspector sehinggalah beliau bersara
daripada dunia kepolisian pada tahun 2003.
Inilah satu
pengkisahan mengenai keberanian yang ditunjukkan oleh seorang anak Kelabit
berasal dari Bario yang merupakan penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah
Perkasa. Jasa dan pengorbanannya dilupa
jangan dan sejarahnya turut jangan dilenyapkan buat pengetahuan kita
semua. Individu seperti Ngalinuh
bergalang nyawa untuk memastikan keamanan yang kita kecapi sekarang.
-HB-
#KamekSayangSarawakBah!
#HariMalaysia16September
RUJUKAN:
- New Sarawak Tribune, 5 August 2018 by James
Alexander Ritchie – Two Sarawak ‘Braveheart’ Who Took On Army of 100 CTs. https://www.newsarawaktribune.com.my/two-sarawak-bravehearts-who-took-on-an-army-of-100-cts/ - Borneo Post, 26 September 2018 – Kelabits Salute,
Honour Living SP Hero. https://www.theborneopost.com/2018/09/26/kelabits-salute-honour-living-sp-hero/ - Utusan 10 Januari 2008 – Wira-wira Polis Yang Tidak
Dilupakan. https://www.utusan.com.my/mega/rona/wira-wira-polis-tidak-dilupakan-1.293009 - Perwira-perwira Negara Yang Dilupakan. http://themalaysianpatriot.blogspot.com/2018/03/perwira-perwira-negara-yang-dilupakan.html
- Senarai
Penuh Penerima Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 1972
(PDF). http://www.istiadat.gov.my/v8/images/stories/1972.pdf




No comments yet