Alam angkasa memang penuh dengan misteri yang menguntungkan. Ambil contoh kemajuan sains selepas NASA berjaya mendaratkan enam kapal di Bulan. Bukan main banyak limpahannya sampai ke mesin pengimbas MRI.
Inilah sebab kenapa pemain-pemain industri aeroangkasa ingin ke angkasa. Banyak manfaat menanti, kerana itulah takdir (destiny) sebenar manusia.
Tetapi penjelajahan angkasa tidak mudah. Padangnya terbentang begitu luas dan gelap. Tersilap sikit, malapetaka jawabnya.
Untuk mengelak kesilapan, saintis aeroangkasa bergantung pada kecerdikan buatan yang kini mengambil alih dunia astronomi. Sekadar pengetahuan, astronomi melihat angkasa. Aeroangkasa pula menjelajah.
Manusia tidak pernah jemu melihat angkasa. Malah hal ehwal Islam amat bergantung pada ilmu astronomi. Kedudukan Bumi mengelilingi Matahari – serta putarannya – menentukan waktu solat.
Penampakan Bulan pula menandakan tarikh Ramadan dan Syawal. Kira banyak benda bergantung pada astronomi.
Cuma dunia astronomi sudah lama meninggalkan fakta asas (seperti Bumi mengelilingi Matahari). Hanya yang sesat saja mempertikai kebenaran ini, kononnya Matahari mengelilingi Bumi yang pegun.
Punya jauh dunia astronomi sudah pergi, mengenal pasti macam-macam anugerah alam di luar angkasa. Yang paling banyak menyumbang ilmu angkasa adalah agensi-agensi angkasa seperti NASA, CSA dan ESA misalnya. Bercakap pasal agensi, pihak NASA pernah menemui ‘takungan’ air paling besar dan jauh di alam semesta.
Memahami Fenomena Takungan Air Angkasa
Saintis belajar banyak benda baru selepas datangnya teleskop radio. Dengan menggunakan teleskop radio, mereka belajar membezakan galaksi, nebula dan quasar.
Sekitar tahun 1950-an, saintis jumpa quasar-quasar pertama iaitu 3C48 dan 3C273. Dalam masa 10 tahun, teleskop radio menggeledah langit dan mendedahkan ratusan quasar yang dulu disangka nebula.
Untuk pengetahuan semua, quasar hanya rumit pada nama. Hakikatnya quasar ibarat “galaksi semasa peringkat nutfah”.
Berbilion-bilion tahun “mengandung”, barulah quasar mekar menjadi sebuah galaksi (Hussey, 2014). Jadi quasar adalah sebuah “mangkuk yang diisi sup (gas) sangat panas”.
Tangan yang mengisi sup ini pula adalah lohong hitam. Harap semua boleh faham ilmu alam ini menggunakan kiasan-kiasan sebegini marhaen.
Sampai hari ini quasar-quasar baharu ditemui, siap yang jenis boleh menembak lagi (Gohd, 2021). Pada tahun 2011, saintis NASA menemui sebuah quasar yang menembak air.
Quasar ini terletak sekitar 12+ bilion tahun cahaya jauh. Senang cakap, jauh gila-gila dan mungkin takkan tercapai manusia. Penemuan ini membuktikan betapa banyaknya air di alam angkasa ini.
Seperti yang dijelaskan tadi, quasar bergantung pada aktiviti lohong hitam. Quasar air ini pun sama. Ia hidup menumpang kuasa lohong hitam yang menyedut habis gas dan debu. Dan lohong hitam ini dijangka bersaiz 20 bilion kali ganda lagi besar untuk dibandingkan dengan Matahari.
Air yang disimbah ini pula mungkin dalam bentuk wap. Kerana saintis mengenal pasti keadaan di sekeliling quasar tersebut, yang serba panas sekali gus membolehkan aktiviti wap.
Mungkin ada yang terbayang jumlah air dihamburkan quasar ini. Mudah saja. Bayangkan anda berdiri di tengah laut. Toleh mana pun nampak laut dan langit – kedua-duanya biru.
Walaupun cantik, mesti berdebar-debar risau habis. Mata manusia terhad – jadi tidak mampu melihat lautan sepenuhnya. Tetapi minda manusia itu sangat kuat dan serba boleh membayang.
Gambaran lautan yang terbentang begitu luas ini sudah cukup menakutkan. Sekarang bayangkan jika lautan ini didarab dengan 140 kali ganda. Besar? Memang besar. Sekarang bayangkan pula jika lautan itu didarab 140 trilion.
Itulah saiz sebenar air hamburan quasar.
Lautan Bumi x 140 trilion = anggaran air hamburan quasar.
RUJUKAN:
Gohd, C. (2021, Mac 9). Scientists find most distant quasar shooting powerful radio jets. Space.
Hussey, J. (2014). Bang to Eternity and Betwixt: Cosmos.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih