BERCERITA mengenai kewujudan lapangan-lapangan terbang kecil di seluruh Sarawak sebenarnya banyak dipengaruhi oleh adanya operasi-operasi di hutan-hutan pedalaman Sarawak sewaktu zaman konfrontasi Indonesia Malaysia suatu waktu dahulu.  Dan di dalam konteks ini mungkin ramai tidak mengetahui tentang cerita sejarah satu tempat yang nun jauh di tengah-tengah hutan belantara Kapit iaitu di Nanga Gaat.

Sekitar tahun 1964 sehingga 1966, Nanga Gaat “Operation Camp” merupakan antara satu tempat yang paling banyak memainkan peranan yang penting di dalam konteks pengangkutan untuk tentera-tentera pelbagai Negara termasuklah anggota tentera di pihak Malaysia sendiri.  Ianya terletak hanya bersebelahan dengan Sungai Gaat dan Batang Baleh iaitu berhampiran dengan Bukit Majau di Kapit.

Di ketika zaman konfrontasi Indonesia/Malaysia boleh dikatakan masyarakat tempatan yang mendiami sekitar Nanga Gaat sudah biasa melihat “rumah panjai terbang” iaitu satu gelaran yang digunakan untuk sejumlah helikopter yang bersimpang siur di ruang angkasa mereka.  Jika diikutkan di Nanga Gaat ini walaupun “operation base” yang terletak jauh di pedalaman tetapi disinilah berhimpun beberapa helikopter jenis Wessex 1s, 5s, Whirlwind 7 dan Hiller serta Bristol Belvedees. Dan disebalik kehadiran “rumah panjai terbang” ini sebenarnya turut menyimpan 1001 peristiwa hitam gugurnya anggota keselamatan kita dan tentera komanwel sewaktu bertugas.

Tanggal 17 November 1964 merupakan tragedi pertama yang menimpa tentera Komanwel yang bertugas di Nanga Gaat.  Pada hari itu seorang pegawai tentera dari HMS Bulwark iaitu Acting-Petty Officer Michael John Parry telah mati lemas apabila bot panjang yang beliau naiki selepas pulang dari lawatan sebuah rumah panjang telah karam.  Michael John Parry tidak mampu diselamatkan biarpun seorang pemuda Iban yang menjadi jurubotnya mampu berenang ke tepian.  Mendiang dikebumikan di St. John’s Anglican Cemetery di Sibu sehari selepas kejadian dan seterusnya dipindahkan perkuburunnya di Jalan Cheras, CWGC Cemetery, Kuala Lumpur.

Pada 4 Mac 1965 pula, Nanga Gaat masih tidak terlepas daripada tragedi penerbangannya apabila helikopter jenis Wessex 1 XP108 yang dipandu oleh Leftenan M R Thompson dari RN telah mengalami kegagalan enjin sehingga menyebabkan helikopter tersebut terhempas di kawasan Ulu Sungai Puro.  Dikatakan mereka baru sahaja selang beberapa minit berlepas dari Nanga Gaat bagi menghantar sejumlah tentera untuk operasi ketenteraan.  Di dalam tragedi di Ulu Sungai Paro ini, juruterbang iaitu Leftenan M R Thompson, aircrewnya iaitu REA A J Williams berserta dengan enam anggota tentera dari Rejimen Askar Melayu Diraja terkorban serta merta sejurus selepas helikopter itu terhempas.

Tidak lama kemudian iaitu pada 9 April 1965, helikopter jenis Hiller 12E XS164 pula terhempas sejurus selepas berlepas daripada Nanga Gaat.  Pada ketika itu, juruterbangnya J A C Morgan dari RN telah menemui ajal apabila helikopter yang dipandunya dikatakan tidak boleh dikawal lalu terhempas.  Menurut sumber dikatakan bahawa beberapa hari sebelum kejadian, sememangnya helikopter tersebut sudah diketahui mempunyai beberapa kerosakan pada bahagian rotor ekor tetapi memandangkan lokasi Nanga Gaat yang jauh maka adalah sukar untuk mendapatkan alat ganti seberapa segera.

Namun atas bebanan tugas, dikatakan Leftenan Morgan membaiki sendiri kerosakan itu berdasarkan kepada kefahaman beliau namun mungkin ianya tidak seperti yang seharusnya maka berlakulah tragedi yang meragut nyawanya pada 9 April 1965 itu.

Selang beberapa hari selepas menerima tragedi helikopter terhempas sehingga mengorbankan juruterbangnya sendiri, tanggal 12 April 1965 pula merupakan satu peristiwa hitam yang betul-betul berlaku di Nanga Gaat “Operation Camp”.  Ini kerana pada hari itu dua buah helikopter jenis Wessex 1s yang dipandu oleh Leftenan R Robertson dan Sub Leftenan J C Hapgood, kedua-duanya dari RN telah bertembung sama sendiri sewaktu hendak mendarat.

Diceritakan pada ketika itu, mereka baru sahaja usai dari satu operasi ketenteraan dan membawa sejumlah tentera di dalam helikopter masing-masing.  Akibat daripada pertembungan itu menyebabkan mereka terhempas betul-betul di tepi Sungai Gaat.  Dan pada tanggal hari itu menyaksikan empat anggota tentera Komanwel iaitu dua juruterbang, Leftenan R Robertson dan Sub Leftenan J C Hapgood menemui ajalnya.  Selain daripada itu Lans Koperal W.J Jack dari Royal Army Medical Corps, NAM A. Rothwell dari RN, 2nd Leftenan C J Johnson, Sarjan P McNeilly, Lans Koperal W H Murray dan Prebet R G Green dari 2nd Batallion, Regimen Paracut turut tidak dapat melepaskan diri dan terbakar bersama-sama helikopter ketika terhempas.

Di dalam tragedi ini hanya tiga orang yang terselamat yang mana ketiga-tiga mereka berjaya menyelamatkan diri ketika helikopter sedang berpusing-pusing hendak terhempas dengan mereka bertindak berani dengan terjun bebas terus ke dalam Sungai Gaat pada ketika itu.  Biarpun mengalami kecederaan dan luka-luka namun nasib mereka begitu baik berbanding rakan-rakan seperjuangan mereka yang lain.

Inilah antara cerita hitam yang pernah berlaku nun jauh di hutan belantara Kapit iaitu di Nanga Gaat yang sudah semestinya tidak diketahui oleh kita semua tentang sejarahnya.  Malah mungkin kewujudan pernah ada satu “operation base” di Nanga Gaat ini tidak dunia ketahui.  Namun bagi masyarakat tempatan di Nanga Gaat sudah semesti arif tentang sejarahnya.

Bagi mengenang tragedi-tragedi yang berlaku ini telah dibina Tugu Peringatan Nanga Gaat di Nanga Gaat. Jasa mereka sentiasa dikenang oleh penduduk setempat dan anggota-anggota pelbagai negara Komanwel yang pernah bertugas di Nanga Gaat “Operation Camp”.

Lest We Forget.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

  1. Borneo Post, 6 Mei 2015 by James Ling – Britons Return To Kapit To Remember Fallen Ones

http://www.theborneopost.com/2015/05/06/britons-return-to-kapit-to-remember-fallen-ones/

  1. Nanga Gaat

http://albiefield.co.uk/Sarawak/nangagaat/nangagaat.html

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply