Sesiapa saja yang bertandang ke Nagoro di Pulau Shikoku, Jepun menyangka mereka sudah memasuki dunia lain. Yalah, sesiapa saja pasti merasa pelik melihat kelibat banyak patung yang diletakkan sekitar kawasan perkampungan berkenaan. Silap haribulan, ada menyangka sudah masuk dunia makhluk halus!
Hakikatnya, patung-patung ini sebenarnya mewakili penduduk-penduduk Nagoro yang telah tiada atas banyak sebab seperti kembali ke negeri cacing, menyambung pelajaran atau mencari pekerjaan di kota-kota besar. Dari segi bilangan patung di Nagoro, patung jauh lebih banyak dengan kadar 10 patung bagi setiap seorang penduduk.
Bagi pembuat patung, Tsukimi Ayano, 70, apa yang dilakukannya sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada bandar berkenaan. Ini kerana menerusi patung-patung ini, ia bukan sekadar hiasan pada persekitaran semata-mata. Malah, ia mewujudkan suasana seolah-olah Nagoro meriah dengan aktiviti penduduk dari bertani hinggalah aktiviti persekolahan.
Di sebuah sekolah yang ditutup pada tahun 2012, patung-patung disusun dalam bilik darjah dengan sebahagian besar disusun sebagai pelajar manakala satu lagi diletakkan sebagai guru. Pada papan putih, terdapat satu soalan pahit yang ditulis di situ, “Ke mana perginya orang hidup?”
Apa yang dialami Nagoro ialah refleksi kepada situasi yang dihadapi Jepun hari ini. Negara Matahari Terbit itu kini berdepan isu penurunan kadar kelahiran bayi yang berpotensi menjejaskan kestabilan kadar populasi mereka dalam jangka masa panjang. Selain itu, bilangan populasi berstatus warga emas mengundang cabaran baru kepada kerajaan.
Keadaan ini menjadi lebih parah di kawasan luar bandar. Ini kerana dengan kurangnya peluang pekerjaan di situ dan gaya hidup yang disifatkan mencabar, ini mendorong anak-anak muda berhijrah ke bandar-bandar besar untuk membina kehidupan baru seperti diakui Ayano.
Dahulu, Nagoro meriah dengan aktiviti pembalakan dan pembinaan termasuk pembinaan sebuah empangan pada tahun 50-an dan 60-an. Selepas semua projek diselesaikan, ramai yang memilih pulang. Sementara yang memilih menetap di Nagoro menguruskan pam air mereka sendiri untuk menyalurkan air kepada tanaman pertanian yang diusahakan.
Oleh sebab itu, pada dua dekad berkenaan, Nagoro pernah mempunyai sebuah klinik perubatan, sebuah kedai perjudian pachinko dan sebuah restoran. Sekarang apatah lagi dengan situasi Covid-19, tiada lagi kedai wujud di situ.
Justeru, bagi penduduk yang mahu keluar membeli barang keperluan atau ke hospital, mereka harus melalui jalan sempit dan bengkang-bengkok selama 90 minit berikutan kedudukan mereka yang terletak berhampiran dengan kawasan pergunungan terutama Gunung Tsurigi. Bagi seorang penduduk Tatsuya Matsuura, 38, sesiapa yang mahu menetap di Nagoro perlu bersedia dengan pelbagai cabaran.
Satu persoalan yang menimbulkan tanda tanya ialah mengapa Ayano menghasilkan lebih 300 buah patung di Nagoro? Jawapannya dapat dilihat menerusi masa silamnya. Anak sulung daripada empat adik-beradik, mereka berpindah ke Osaka semasa Ayano berusia 12 tahun kerana bapanya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat makanan di situ.
Selepas bersara, bapa Ayano pulang ke Nagoro untuk menguruskan bapa mentuanya yang sakit dan isterinya yang menderita sakit buah pinggang. Walaupun sudah berkeluarga, 19 tahun lalu, dia memutuskan untuk pulang ke Nagoro untuk menjaga bapanya yang kini berusia 90 tahun dan penduduk kampung paling tua di situ.
Semasa pulang pada tahun 2001, dia sedih kerana menyedari bilangan penduduk Nagoro berkurangan secara signifikan dari 300 orang kepada 30 orang saja ketika itu. Dan inspirasi menghasilkan patung bersaiz manusia ini terhasil secara tidak sengaja semasa menguruskan tanaman pertanian di kediaman mereka.
Berikutan burung suka mengorek benih-benih yang ditanam mereka, Ayano menghasilkan orang-orangan mirip bapanya itu dan meletakkannya sekitar tanaman. Hasilnya, burung-burung tidak berani lagi mengorek kerana menyangka orang-orangan itu ialah manusia sebenar. Ayano menambah, “Ia kelihatan seperti manusia dan bukan orang-orangan biasa. Itu sebab ia menjadi.”
Sejak itu, dia menghasilkan empat lagi patung yang seolah-olah bekerja di ladang tanaman dan beberapa patung lagi diletakkan di tepi jalan. Bagi para pengunjung yang melihat patung ini semasa dalam perjalanan ke Gunung Tsurigi, mereka menyangka patung-patung ini manusia sebenar dan bertanya arah kepada mereka. Ayano yang geli hati melihat telatah mereka mengambil keputusan menghasilkan patung-patung ini sepenuh masa.
Patung-patung ini dihasilkan daripada jerami, akhbar lama, fabrik dan pakaian lama. Setiap patung perlu digantikan dengan patung yang baru sekiranya terdedah terlalu lama kepada elemen alam. Tambah Ayano, menghasilkan mulut patung dianggap proses paling mencabar kerana itu yang menjadikan ekspresi muka patung nampak realistik di mata sesiapa yang melihatnya.
Bagi menghasilkan ekspresi muka bersifat gembira atau marah, ia boleh dibuat dengan mengubah sudut fabrik ke arah berbeza untuk menghasilkan kening. Manakala jahitan tambahan dibuat bagi menampakkan tulang pipi atau kedutan pada wajah.
Kini, Ayano menghasilkan patung-patung ini di sebuah studio patung yang terletak di sebuah tadika lama di Nagoro. Kadang-kadang dia dijemput sebagai pengajar kelas membuat patung di bandar berhampiran atau kepada pengunjung yang melawat studionya. Disebabkan reputasinya sebagai pembuat patung, Ayano turut menerima tempahan patung dari seluruh negara.
Salah seorang pelanggannya ialah seorang doktor yang memintanya menghasilkan dua buah patung menyerupai isterinya yang kembali ke balik papan akibat kanser. Satu patung akan diletakkan di ruang tamu dengan satu lagi diletakkan dalam bilik tidur. Ayano sendiri meletakkan patung menyerupai neneknya di bahagian belakang kereta dan memberitahu setiap kali dia memandu, dia tidak merasa sunyi.
Berikutan populariti patung-patung ini, ia sedikit sebanyak meletakkan Nagoro sebagai salah satu destinasi pelancongan aneh di Jepun. Disebabkan label sebegitu, itu juga menjelaskan mengapa penduduk kampung kadang-kadang merasa marah dengan tanggapan sesetengah orang luar yang menganggap patung-patung sebegini sebagai tahyul semata-mata.
Namun begitu, bagi sesetengah pelancong, patung-patung ini jugalah yang dilihat menceriakan suasana kampung berkenaan. Bagi seorang pelancong Poland yang melawat Nagoro, dia langsung tidak terganggu dengan imej patung-patung Nagoro yang dikatakan menyeramkan. Sebaliknya, dia berkata, “Saya sendiri mahu datang. Ianya sesuatu yang menakjubkan. Saya tersenyum tanpa henti melihat tempat ini.”
Begitupun, dengan situasi penurunan kadar kelahiran dan pertambahan bilangan warga emas, kampung-kampung seperti Nagoro berdepan 4nc4man kepupusan. Untuk mengelak perkara ini berlaku, kerajaan meletakkan Nagoro sebagai sebahagian daripada beberapa perkampungan yang diletakkan di bawah pentadbiran majlis perbandaran tempatan. Populasi warga emas mengikut kawasan baru ialah sebanyak 40%.
Seperti pekan dan kampung lain, Nagoro turut menawarkan pelbagai insentif untuk menarik anak-anak tempatan kembali ke situ seperti subsidi penjagaan kanak-kanak dan diskaun bil perubatan. Kerajaan juga turut menggabungkan beberapa sekolah kurang murid dan membelanjakan AS$8 juta (RM33 juta) untuk pembinaan bangunan baru. Tetapi hanya 38 orang pelajar saja yang mendaftar di sekolah baru ini.
Sekiranya trend sebegini berterusan, kampung-kampung seperti Nagoro akan pupus. Bagaimanapun, berikutan situasi pandemik Covid-19, wujud trend anak-anak kampung yang selama ini menetap di bandar mencari peluang untuk kembali kerana mahu lari dari hiruk-pikuk kota dan menjalani kehidupan lebih sihat. Siapa tahu, Nagoro bakal meriah dengan suara-suara manusia semula dan bukan patung-patung jerami semata-mata.
RUJUKAN:
Kelly, Erin. (2020). Haunting Photos Of Nagoro, The Japanese Village Where The Dead Are Replaced With Life-Size Dolls. All That’s Interesting. https://allthatsinteresting.com/nagoro-japan
Rich, Motoko. (2019). There Are No Children Here. Just Lots of Life-Size Dolls. New York Times. https://www.nytimes.com/2019/12/17/world/asia/japan-dolls-shrinking-population-nagoro.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih