Rabu, 25 November 202625 Nov 2026
Mutiara Islam

Nabi Khidir A.S. Dalam Legenda Dan Sejarah Dunia

Sebut
saja nama Nabi Khidir a.s, pasti ramai mengingati kisah pertemuan antara dua
laut membabitkan baginda dengan Nabi Musa a.s seperti direkodkan dalam Surah
al-Kahfi. Baginda bukan saja dikenali sebagai seorang nabi dan seorang yang
bijaksana tetapi turut dikenali dalam pelbagai kepercayaan lain sebagai
pelindung dan wali. Malah, kepercayaan lain turut mempunyai nama-nama lain
terhadap baginda.

Sesetengah
cendekiawan bukan Islam berpandangan watak Khidir itu sebenarnya jauh lebih tua
dari apa yang disangkakan. Ada berpandangan kisahnya berdasarkan kisah
Utnapishtim dari tamadun Mesopotamia, dewa kaum Kanaan Kothar-wa-Khasis atau
dewi air golongan Majusi bernama Anahita.



Agama Nasrani menggelar baginda sebagai St George dan ada sesetengah cendekiawan
Kristian berpandangan Khidir itu sebenarnya Nabi Ilyas a.s atau Elijah namun
pandangan itu ditolak. Kepercayaan Eropah menggelarnya Lelaki Hijau (Green Man)
sementara kelompok orang asli Amerika menggelarnya orang yang mempunyai banyak
helah (trickster).

Pertemuan dua laut

Kisah
pertemuan Nabi Musa a.s dengan Nabi Khidir a.s bermula selepas Nabi Musa
mendakwa baginda merupakan orang yang paling pintar. Namun selepas berbicara
dengan Allah s.w.t, baginda diberitahu ada seorang manusia yang jauh lebih
bijak berbandingnya. Lalu baginda ditemani pembantunya bernama Yusha’ bin Nun
berjalan ke satu tempat yang dikenali sebagai tempat pertemuan dua laut. Para
ulama dan cendekiawan berbeza pendapat tentang lokasi sebenar tempat pertemuan
dua insan istimewa itu. Yang pasti, bila mereka melalui kawasan pertemuan dua
laut, ikan yang dibawa sebagai bekalan makanan tiba-tiba melompat masuk ke
dalam laut.

Perkara
itu tidak disedari Nabi Musa dan Yusha’ sehinggalah mereka berdua hendak
berhenti melepaskan lelah dan menyediakan juadah makanan. Selepas melihat ikan
itu tiada, barulah pembantu Nabi Musa itu perasan bahawa tempat ikan melompat
itulah merupakan tempat pertemuan dua laut. Tanpa berlengah, kedua-duanya
segera berpatah balik ke lokasi itu dan di situlah Nabi Musa a.s bertemu dengan
Nabi Khidir a.s.

Sebelum
mula mengembara, baginda memberi amaran kepada Nabi Musa a.s agar bersabar
dengannya dan tidak bertanyakan banyak soalan, satu perkara yang
dipersetujuinya. Pengembaraan mereka berdua ini menyaksikan Nabi Khidir
melakukan sesuatu yang aneh tetapi jika dilihat secara tersirat, ia mengandungi
kebijaksanaan dan ihsannya menerusi ilmu ladunni yang dikurniakan Allah s.w.t
terhadap baginda. Tiga perkara pelik yang berlaku ialah baginda menebuk lubang
perahu seorang nelayan yang ditumpangi mereka, membunuh seorang anak kecil dan
membetulkan sebuah bangunan yang hampir menyembah bumi. Tiga perbuatan ini
nyata mengundang reaksi kurang senang Nabi Musa disusuli dengan pertanyaan
mengapa Nabi Khidir berbuat demikian.

Justeru pada akhir pengembaraan mereka, Nabi Khidir a.s memberi jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Nabi Musa a.s seperti direkodkan dalam ayat 79-82, Surah al-Kahfi, “Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. Adapun si anak kecil itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa ia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur.

Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa, dan lebih mesra kasih sayangnya. Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di bawahnya ada “harta terpendam” kepunyaan mereka; dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.

Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.” Dalam agama Yahudi, kisah yang sama turut direkodkan mereka tetapi ia ditujukan kepada Nabi Ilyas a.s atau Elijah.

Khidir a.s dan legenda-legenda
sufi

Berdasarkan
kisah legenda seorang sufi, seorang dervish memujuk seorang raja untuk
menyokongnya selama tiga tahun dan sebagai balasan, dia akan membawa Lelaki
Hijau atau Khidir. Tetapi selepas tempoh yang dijanjikan itu selesai, dervish
itu gagal memenuhi janjinya dan melarikan diri. Tatkala itulah, seorang lelaki
berpakaian putih bertemu dengannya dan meminta dibawakan menghadap raja
tersebut.

Sebaik dibawa menghadap baginda, sang raja meminta pandangan para menterinya berkenaan nasib yang harus diterima si dervish itu. Menteri pertama mencadangkan si dervish dicincang sampai mati, menteri kedua (direbus hingga mati), menteri ketiga (dicampak ke dalam dapur yang panas) dan menteri terakhir (meminta raja mengampunkan si dervish).

Kesemua syor yang dinyatakan mereka sebenarnya memberi petunjuk kepada latar belakang keluarga masing-masing. Lelaki berpakaian putih itu memberitahu latar belakang mereka: menteri pertama (anak seorang penjual daging), menteri kedua (anak seorang tukang masak), menteri ketiga (anak seorang pembuat roti) dan menteri keempat (anak seorang bangsawan).

Akhirnya,
raja itu memutuskan untuk mengampunkan dervish tersebut bukan sahaja kerana
mengikut syor menteri keempat tetapi percaya lelaki yang dibawa menghadap
baginda itu ialah Nabi Khidir a.s. Dan mengikut janji asal mereka, dervish
tersebut telah memenuhi janji yang dibuatnya sebelum ini.

Dalam satu legenda lain, Nabi Khidir a.s dikatakan telah menemui lokasi Air Kehidupan di sebelah timur dan pernah merasai air telaga itu. Pada satu ketika, baginda dikatakan berjalan di padang pasir dan menemui sebuah kolam yang telah kering. Khidir kemudiannya menjatuhkan seekor ikan kering dalam kolam berkenaan dan dengan izin Allah s.w.t, kolam tersebut mula dipenuhi dengan air.

Tatkala itulah, baginda sedar inilah Air Kehidupan lalu mendorongnya terjun ke dalam kolam dan menukar warna jubahnya kepada warna hijau. Baginda selalu dikaitkan dengan laut dan dikatakan menetap di sebuah pulau di tengah-tengah lautan.

Hari ini, ramai warga Arab Syria melihat baginda sebagai semangat laut dan wali di lautan. Nabi Khidir turut digelar sebagai ‘Lelaki yang berjalan di atas lautan’. Golongan Sufi memberitahu baginda banyak membantu manusia dari kelemasan, api, raja-raja dan jin yang jahat, ular dan kala jengking yang berbisa.

Baginda juga dianggap orang yang membantu melancarkan perjalanan manusia semasa mereka mengembara. Sebut pasal asal-usul baginda, wujud pelbagai teori siapa dirinya yang menghasilkan pelbagai legenda. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa sebenarnya Khidir a.s.

RUJUKAN:

1.
Miller, Mark. (2015). The Strange Life of Al-Khidr, the Legendary Immortal
Prophet, Mystic, Trickster and Sea Spirit. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/strange-life-al-khidr-legendary-immortal-prophet-mystic-trickster-and-sea-spirit-020673

2.
Surah.my. Surah al-Kahfi. http://www.surah.my/18

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet