Ah, Myanmar atau nama lamanya Burma, yang dahulunya pernah menjatuhkan Kerajaan Siam Dinasti Ayutthaya ketika mereka dibawah Dinasti Konbaung di Myanmar. Ya Siam pernah dijajah Myanmar dulu. Tapi aku tak cerita pasal Siam, tapi pasal Myanmar, dapat berita mereka nak buat pilihanraya. Eh serius lah?
Myanmar kini kembali mengadakan pilihanraya nasional buat pertama kali dalam hampir lima tahun, setelah rampasan kuasa tentera pada awal Februari 2021 yang menggulingkan kerajaan demokratik yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi.
Pilihanraya ini dikatakan akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 28 Disember 2025 hingga Januari 2026, menandakan berakhirnya tempoh pemerintahan oleh Junta Myanmar sejak pilihanraya terakhir yang diadakan pada November 2020 dan dibatalkan oleh Junta tentera selepas mereka mengambil alih pentadbiran negara.
Pada Februari 2021, tentera Myanmar mengisytiharkan darurat dan menahan Aung San Suu Kyi serta pemimpin lain dari parti National League for Democracy (NLD), sambil mendakwa wujud penipuan dalam pilihanraya 2020, dakwaan yang tiada sokongan bukti bebas.
Rampasan kuasa itu menghentikan secara paksa pemerintahan demokratik yang sedang berkembang di negara itu, serta mencetuskan konflik bersenjata yang berpanjangan di pelbagai wilayah.
Dalam tempoh lebih empat tahun selepas itu, Myanmar berada di bawah pemerintahan junta yang dipimpin oleh Jeneral Min Aung Hlaing. Negara ini terus berada dalam keadaan konflik, dengan tentera menguasai sebahagian wilayah manakala kumpulan pemberontak etnik dan pasukan tentangan lain mengawal kawasan lain.
Menurut perancangan rasmi, junta tentera Myanmar telah mengumumkan bahawa pilihanraya akan dilaksanakan secara berperingkat di 274 daripada 330 kawasan di seluruh negara.
Fasa pertama bermula pada 28 Disember 2025, diikuti oleh fasa seterusnya dalam Januari 2026. Pengundian awal juga telah diadakan di luar negara, termasuk di Kedutaan Myanmar di Bangkok di mana warga Myanmar yang berdaftar telah menjalankan proses pengundian lebih awal.
Namun pilihanraya ini tidak akan diadakan di kawasan yang dikuasai pemberontak, dan sesetengah kawasan bandar masih menghadapi tahap ketidakstabilan tinggi.
Akibatnya, majoriti penduduk tidak akan melihat proses pilihanraya di tempat tinggal mereka, ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana hasil pilihanraya ini benar-benar mewakili suara rakyat Myanmar secara keseluruhan.
Walaupun junta mendakwa bahawa pilihanraya tersebut merupakan jalan untuk “mengembalikan demokrasi”, ia telah menerima kecaman hebat daripada masyarakat antarabangsa serta kumpulan hak asasi manusia termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) dan banyak yang menyifatkan pilihanraya ini sebagai tidak bebas, tidak adil, dan direka untuk mengekalkan kuasa tentera, kerana pihak yang kritikal seperti parti NLD telah dibubarkan, dan pemimpin utamanya masih dipenjarakan.
Pihak tentera juga menggunakan undang-undang keras untuk mengekang pembangkang dan aktiviti kritikal terhadap pilihanraya.
Menjelang tarikh pengundian, ratusan individu, termasuk aktivis pro-demokrasi dan anggota separa tentera telah didakwa di bawah undang-undang pilihanraya yang baru, dengan hukuman berat.
Pilihanraya ini berlaku selepas lebih lima tahun pergolakan politik, konflik bersenjata, serta keruntuhan institusi demokratik di Myanmar.
Bagi pemerhati luar, pilihanraya 2025 ini bukan sekadar proses pengundian biasa, ia dilihat sebagai usaha junta unt uk meluluskan pemerintahan mereka secara rasmi dan memberi wajah baharu kepada rejim yang sering dikritik kerana kekerasan terhadap rakyat.
Bagi rakyat biasa, proses ini menimbulkan persoalan besar sebenarnya. Adakah suara mereka benar-benar terwakili? Atau adakah pilihanraya sekadar satu alat politik junta untuk mengukuhkan kuasa mereka? Masa akan menentukan sama ada pilihanraya ini benar-benar mengubah arah Myanmar atau hanya memperkukuh status quo pemerintahan tentera.
Myanmar ni kalau tengok demografinya, mereka ni asyik bertelagah antara satu sama lain sebab kaum-kaum mereka merasa mereka ditindas kaum Burma. Antara punca juga perang saudara selain politik mereka yang goyah. Jadi apa-apa kita doakan je mereka supaya mereka jadi lebih stabil.




No comments yet