Jika ditanya orang kita tentang lokasi-lokasi yang ada sejarah Perαng Dunia Kedua (WWII) yang menyeramkan, banyak lokasi akan disebut. Antara nama tempat yang meniti di bibir ialah Victoria Institution, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan sepanjang Jalan Bukit Bintang. Tetapi ia tidak dapat menyaingi lokasi tempat paling menyeramkan di Asia: Muzium Perαng Pulau Pinang di Batu Maung.

Menurut pengasas muzium ini, Johari Shafie, Muzium Perαng Pulau Pinang pada asalnya merupakan kubu pertahanan lama yang dibina British pada tahun 1930 dengan kos £40 juta. Bagi memastikan pembinaan kubu ini tidak diketahui sesiapa, tenaga buruhnya terdiri daripada banduan hukuman mati yang dibawa dari seluruh tanah jajahan mereka. Walaupun ia siap sembilan tahun kemudian, ia dianggap berbaloi kerana menawarkan pemandangan laut sekitar 320 darjah.

Rajah 1: Pengarah Muzium Perαng Pulau Pinang, Johari Shafie. Sumber: Zulaikha Zainuzman/Berita Harian

British berharap dengan kubu pertahanan baru ini, ia dapat melindungi Pulau Pinang dari asakan tentera Jepun. Ini kerana kubu ini dilengkapi pelbagai kemudahan seperti terowong rahsia dan bilik bawah tanah. Ia turut dilengkapi persenjataan canggih termasuk dua laras meriam berdiameter 15 inci, panjang 40 kaki dan berupaya menembak sejauh 36 kilometer.

Tetapi apa yang diharapkan mereka tidak kesampaian. Jepun melancarkan Blitzkrieg versi mereka di Asia Tenggara pada Disember 1941 dan berjaya menakluk Pulau Pinang pada 16 Disember 1941. Berbeza dengan Blitzkrieg versi sekutu mereka, Jerman ketika itu, Blitzkrieg Jepun menyaksikan mereka memanfaatkan basikal sebagai pengangkutan pilihan mereka.

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, kubu ini berperanan sebagai tempat soal siasat, penyeksaan dan hukuman mati. Ia juga turut berperanan sebagai tempat transit bagi mengangkut buruh paksa ke Thailand untuk pembinaan Landasan Keretapi Maut. Pembinaan landasan dibuat bagi membuka jalan kepada matlamat Jepun seterusnya ketika itu: penaklukan Myanmar dan British Raj/India. Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian lantaran pengeboman bertubi-tubi pihak Bersekutu ke atas landasan berkenaan.

Rajah 2: Pengunjung melihat contoh mesingan anti-pesawat di atas sebuah bukit. Ia merupakan sebahagian daripada 20 unit mesingan yang dipamerkan dI Muzium Perαng Pulau Pinang. Sumber: Zulaikha Zainuzman/Berita Harian

Tambah Johari, kebanyakan tawanan perαng yang diproses di situ bukan saja dari Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Ada juga yang dibawa sejauh China dan Indo-China dengan kesemua tawanan dibawa secara berperingkat-peringkat. Mereka diproses mengikut ketinggian, jantina dan kepakaran. Jika tidak dihantar ke Thailand, ada juga dihantar ke jajahan takluk Jepun yang lain sebagai buruh paksa.

Bila ditanya lokasi paling menyeramkan sekitar muzium, beliau mengakui kebanyakan lokasi muzium sentiasa menawarkan cabaran menyeramkan kepada pelawat dan kakitangan muzium. Antara bangunan yang dikatakan membuatkan bulu roma meremang ialah bangunan penjana tenaga. Semasa pendudukan Jepun, ia ditukar peranan sebagai bilik penyeksaan tahanan. Justeru, jangan terkejut jika ada terhidu bau seakan minyak tanah bila berada di bangunan berkenaan.

Johari turut mendedahkan terowong bawah tanah kubu sedalam 100 kaki ini pada asalnya digunakan untuk menyimpan peluru dan senjata Jepun. Semasa era Jepun, banduan yang dihukum bunuh akan digantung sampai mati. Setelah tahanan disahkan mati, kepalanya akan dipenggal dengan badan mangsa jatuh ke dasar terowong. Kebiasaannya, kepala-kepala mayat tahanan yang tidak dituntut akan dibawa ke tempat tumpuan orang ramai sebagai amaran kepada sesiapa yang cuba mencabar hegemoni Jepun.

Penemuan jerangkap samar dan pengurusan sisa tulang tahanan dan tentera Jepun yang terbunuh di kubu berkenaan merupakan antara cabaran yang dihadapi Johari semasa menukarnya sebagai Muzium Perαng Pulau Pinang hari ini. Kerenah birokrasi juga turut menyukarkan usaha menukar kubu lama British itu sebagai muzium.

Tetapi pada 30 Jun 2002, Johari menghela nafas lega kerana diberi kebenaran membangun, membina dan mengurus sebuah muzium perαng di Pulau Pinang. Beliau menganggarkan kos keseluruhan pembangunan muzium berjumlah RM22 juta yang dibiayai syarikat miliknya dan keluarga.

Semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan, Johari menemui lebih 5,000 laras senapang milik tentera Jepun, senjata tajam dan kelongsong peluru. Ia turut membawa penemuan infrastruktur kubu seperti penjara, berek dan terowong bawah tanah. Bagi sisa tulang dipercayai milik tahanan dan askar Jepun yang dijumpai, ia ditanam di satu lokasi rahsia sebelum Muzium Perαng Pulau Pinang dibuka kepada orang ramai.

Rajah 3: Antara artifak yang dijumpai sekitar kawasan muzium sebelum dipamerkan kepada orang ramai. Sumber: Zulaikha Zainuzman/Berita Harian

Bohonglah tiada siapa ‘diganggu’ semasa melawat atau bekerja di muzium berkenaan. Cakaplah apa saja gangguan, kakitangan muzium dan Johari sudah rasa seperti siulan tanpa kelibat, ternampak imej lembaga bergambar dan terdengar suara-suara halus. Malah, beliau juga pernah melihat kelibat kelawar setinggi 10 meter semasa bermain paintball pada waktu malam. Tetapi semua itu tidak mematahkan keazamannya untuk terus menambahbaik dan memelihara muzium untuk tatapan generasi mendatang.

Disebabkan pengalaman menyeramkan ini, tidak hairanlah mengapa National Geographic menggelar muzium ini sebagai antara lokasi paling menyeramkan di Asia pada 2013. Malah, ia turut menjadi subjek satu episod dokumentari I Wouldn’t Go In There berkenaan kisah keperitan penduduk tempatan semasa pendudukan Jepun.

Bagi pelawat yang berminat mengunjungi Muzium Perαng Pulau Pinang, tiket berharga RM22 untuk orang dewasa dan RM12 untuk kanak-kanak berstatus warganegara Malaysia. Bagi pelancong asing, mereka dikenakan tiket berharga RM38 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak). Manakala bagi pelajar sekolah rendah, menengah dan universiti, masing-masing dikenakan bayaran RM10, RM15 dan RM20 dengan kumpulan tidak melebihi 40 orang. Sementara bayaran RM5 pula dikenakan kepada golongan yang tidak berkemampuan yang mahu mengunjungi muzium itu.

Bagi pelawat yang berhati kering dan berkeinginan melawat muzium pada waktu malam, mereka boleh menyertai pakej lawatan malam muzium. Tetapi mereka perlu membuat tempahan dengan menghubungi talian 016-421 3606 dengan penyertaan lawatan malam sekurang-kurangnya 40 orang.

Kalau anda berminat dengan artikel seperti ini, kami nak cadangkan novel seram terbaru kami berkisarkan seorang penulis novel yang berusaha mencari tempat seram atau berjumpa dengan orang yang ada pengalaman berkaitan hantu. Boleh beli di: http://bit.ly/dimanaadahantu

RUJUKAN

Bernama. (2020, 27 September). Dilabel antara lokasi seram di Asia… Muzium Perαng Pulau Pinang janjikan pengalaman berbeza, jangan lepas peluang rasai pahit getir era dijajah!. MStar.

Amran, E. (2015, 13 September). Misteri Muzium Perαng Pulau Pinang. Berita Harian.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply