Biasanya kalau dekat-dekat Raya Haji, lembu merupakan tumpuan utama masyarakat Muslim. Maklumlah, nak dibuat korban. Ada lembu yang dibela berbulan-bulan, malah bertahun-tahun, memang menunggu musim korban untuk dijual.
Tapi di Bengal Barat tahun ini, suasananya jadi pelik. Pelik sampai orang India sendiri panggil keadaan ini sebagai “UNO reverse”.
Sebab apa?
Sebab kali ini, sebahagian Muslim di Bengal Barat pula yang menyeru supaya orang Islam jangan beli lembu untuk korban. Mereka halang penjual lembu. Mereka nasihatkan orang supaya korban kambing atau kerbau sahaja. Ada yang lebih jauh lagi menyeru supaya orang Islam berhenti makan daging lembu terus.
Yang lebih ironik, ramai penjual lembu yang terkesan pula ialah orang Hindu sendiri.
Ya, kau tak salah baca.
Di negeri yang politik lembunya selalu dikaitkan dengan sentimen agama, tiba-tiba orang Islam pula jadi “pelindung lembu”, manakala sebahagian penjual lembu Hindu pula berharap lembu mereka dibeli untuk disembelih sempena Aiduladha.
Cerita ini bermula apabila kerajaan baharu Bengal Barat yang dipimpin BJP menguatkuasakan dengan lebih ketat West Bengal Animal Slaughter Control Act 1950. Undang-undang ini bukan undang-undang baru. Ia sudah wujud sejak tahun 1950, tetapi kini ia dikuatkuasakan semula dengan lebih keras menjelang Raya Haji. Di bawah arahan tersebut, haiwan seperti lembu dan kerbau hanya boleh disembelih jika ada sijil rasmi yang membuktikan haiwan itu sudah berusia lebih 14 tahun atau sudah tidak mampu bekerja dan membiak. Penyembelihan juga hanya boleh dibuat di pusat sembelihan yang diluluskan kerajaan, bukan di tempat terbuka atau sesuka hati.
Impak penguatkuasaan undang-undang ini memang dapat dilihat sangat ketara.
Sebab ekonomi lembu di Bengal Barat ini ada realiti yang pelik tetapi penting untuk difahami. Ramai pengguna daging lembu dan peniaga daging ialah Muslim. Tetapi ramai penternak, pembela dan penjual lembu pula ialah Hindu khususnya daripada komuniti Ghosh yang memang lama terlibat dalam sektor tenusu dan penternakan lembu.
Maksudnya, apabila musim Raya Haji tiba, ramai penternak Hindu akan menjual lembu yang sudah tidak produktif kepada pembeli Muslim. Lembu yang sudah tidak menghasilkan susu, sudah tua atau sudah tidak memberi pulangan ekonomi akan dijual. Dengan duit itu, penternak boleh bayar hutang, beli makanan ternakan, gaji pekerja atau beli lembu baru yang masih boleh menghasilkan susu.
Begitulah kitaran ekonomi kampung mereka selama ini.
Tapi apabila kerajaan mula mengetatkan peraturan sembelihan, keadaan berubah. Muslim yang biasanya membeli lembu mula takut. Mereka bimbang kalau beli lembu, mereka akan ditahan polis. Mereka takut dihalang kumpulan "vigilante" pelindung lembu. Mereka takut trak membawa lembu disekat di jalan dan akhirnya mereka yang masuk penjara, sedangkan penjual sudah dapat duit dan lepas tangan.
Maka muncul satu gerakan boikot yang sangat pelik daripada komuniti Muslim sendiri.
“Kalau lembu ini dianggap ibu kamu, kenapa kamu jual ibu kamu kepada kami?”
Itulah lebih kurang mesej yang tersebar dalam video-video viral di Bengal Barat. Ada pemuda Muslim dikatakan menghentikan penjual lembu Hindu dan menyuruh mereka bawa lembu pulang. Ada pula yang menegur lori membawa lembu kerana dianggap memperlakukan haiwan itu dengan kasar. Di media sosial, beberapa influencer Muslim dari sana menyeru orang ramai supaya tidak membeli lembu untuk korban tahun ini.
Pada masa sama, pasar lembu yang biasanya penuh menjelang Aidiladha mula kosong. Ada tempat yang biasanya menjual ratusan ekor lembu, tetapi kali ini hanya tinggal beberapa ekor sahaja. Penjual berdiri dalam keadaan resah. Bukan kerana mereka terlalu sayangkan lembu, tetapi kerana lembu itu adalah modal hidup mereka.
Nampak tak ironinya?
Selama ini, politik lembu di India sering digunakan untuk menekan Muslim. Isu daging lembu dijadikan bahan kempen, bahan provokasi, bahkan dalam beberapa kes di India, orang Islam pernah diserang hanya kerana disyaki membawa atau menyimpan daging lembu. Tetapi apabila Muslim di Bengal Barat memilih untuk tidak beli lembu, yang paling sakit ialah komuniti penternak Hindu sendiri.
Bagi penternak, walaupun lembu itu haiwan suci mereka, tetapi lembu juga aset ekonomi. Kalau lembu masih menghasilkan susu, ia berguna. Tapi apabila lembu berhenti menghasilkan susu selepas beberapa tahun, kos menjaganya tetap berjalan. Makanan perlu dibeli. Ubat perlu dibayar. Pekerja perlu digaji. Tempat jagaan perlu diurus.
Menurut laporan The Quint, ada penternak mendakwa kos menjaga seekor lembu boleh mencecah kira-kira ₹300 hingga ₹500 sehari (lebih kurang RM12.60 hingga RM21). Nampak kecil kalau dengar sehari, tapi kalau sebulan sudah jadi sekitar RM378 hingga RM630. Itu baru seekor lembu. Kalau penternak ada 10 atau 20 ekor lembu yang sudah tidak menghasilkan susu, memang boleh terduduk.
Kalau lembu itu sudah tidak menghasilkan susu tetapi perlu terus dijaga sehingga umur 14 tahun, bebannya boleh jadi sangat besar. Sebab itu ramai penternak melihat syarat umur 14 tahun sebagai peraturan yang hampir mustahil untuk mereka tanggung.
Masalahnya, lembu berusia 14 tahun biasanya sudah terlalu tua dan kurang bernilai di pasaran. Siapa mahu beli dengan harga tinggi? Kalau daging pun sudah tidak bernilai seperti lembu muda, penjual tetap rugi. Kalau tidak dijual, kos makan pula berjalan setiap hari.
West Bengal Animal Slaughter Control Act 1950 dibuat pada zaman India baru merdeka, ketika lembu dan kerbau masih sangat penting untuk pertanian, pengangkutan dan bekalan susu. Ketika itu, tujuan undang-undang tersebut adalah untuk melindungi haiwan kerja dan memastikan bekalan susu tidak merosot. Tetapi Bengal hari ini bukan Bengal tahun 1950. Pertanian sudah berubah. Mesin sudah menggantikan banyak kerja haiwan. Industri tenusu dan daging pula sudah menjadi sebahagian daripada ekonomi desa.
Sebab itu apabila undang-undang lama ini dikuatkuasakan secara ketat tanpa mekanisme yang jelas, ramai petani dan penternak jadi terperangkap.
Mahkamah Tinggi Calcutta pada 22 Mei 2026 pula menolak permohonan untuk menggantung arahan kerajaan tersebut. Mahkamah menyatakan bahawa korban lembu bukan sebahagian penting atau keperluan agama dalam sambutan Aidiladha sambil meminta kerajaan mempertimbangkan sama ada pengecualian boleh diberikan di bawah peruntukan undang-undang sama.
Keputusan mahkamah ini menambah lagi tekanan kepada pembeli Muslim. Dari sudut agama, korban tetap boleh dilakukan dengan haiwan lain seperti kambing, biri-biri atau kerbau, bergantung kepada syarat dan amalan setempat. Jadi ramai Muslim memilih jalan paling selamat iaitu jangan beli lembu.
Bagi mereka, ini bukan semata-mata isu agama. Ini juga isu keselamatan.
Kalau beli lembu, mereka berdepan risiko dituduh melanggar undang-undang. Kalau bawa lembu atas lori, mereka boleh disekat. Kalau sembelih, mereka boleh disiasat. Kalau viral, mereka boleh jadi sasaran politik dan kebencian. Jadi jalan paling mudah ialah jangan main permainan yang sudah disusun untuk memerangkap mereka.
Masalahnya, apabila Muslim tidak beli, seluruh rantaian ekonomi desa mula terganggu.
Sebab itu ada penternak dalam laporan media mengadu mereka sudah berhutang besar. Ada yang mengambil pinjaman bank, pinjaman ahlong, gadai tanah dan barang kemas. Mereka membeli dan membela lembu dengan harapan dapat menjualnya menjelang musim korban. Tapi apabila pembeli Muslim tidak datang, semua kira-kira mereka rosak.
Dalam politik India, ini situasi yang sangat pahit.
BJP selama ini sering membawa imej sebagai parti yang kuat mempertahankan sentimen Hindu termasuk isu perlindungan lembu. Tetapi di Bengal Barat, penguatkuasaan dasar itu tiba-tiba menekan sebahagian komuniti Hindu yang selama ini bergantung kepada jualan lembu. Ada pemimpin BJP mempertahankan tindakan kerajaan dengan alasan mereka hanya menguatkuasakan undang-undang lama. Namun tekanan ekonomi di bawah semakin sukar dinafikan.
Lebih menarik, beberapa tokoh Muslim pula menyokong supaya korban lembu dikurangkan atau dihentikan. Imam Masjid Nakhoda di Kolkata, Maulana Shafique Qasmi menyeru umat Islam supaya tidak melakukan korban lembu, malah menyebut bahawa umat Islam boleh memilih kambing atau biri-biri bagi menjaga keharmonian. Laporan lain turut menyebut seruan sebegini mula dibincangkan di luar Bengal Barat termasuk oleh tokoh agama Muslim di Hyderabad yang mahu meneliti “formula Bengal Barat” untuk tahun seterusnya.
Di sinilah kita nampak satu strategi sosial yang sangat halus.
Muslim Bengal Barat tidak melawan dengan rusuhan. Mereka tidak turun membakar jalan atau mencabar kerajaan dengan cara yang mudah dijadikan bahan propaganda. Sebaliknya, mereka ikut logik yang digunakan terhadap mereka.
Kalau lembu suci, baik. Kami tidak beli.
Kalau lembu tidak patut disembelih, baik. Kami pilih haiwan lain.
Sekarang kerajaan dan penyokong polisi itu perlu fikir siapa yang akan menanggung kos menjaga lembu tua, lembu tidak produktif dan lembu yang tidak lagi memberi hasil kepada petani.
Apabila orang politik bercakap tentang lembu, mereka sering bercakap di pentas ceramah. Tetapi yang menjual lembu, bagi makan lembu setiap hari, yang tanggung hutang, yang menyapu najis lembu di kandang, mereka inilah yang akhirnya menanggung akibat dasar.
Dan apabila Muslim menarik diri, barulah semua orang nampak siapa sebenarnya bergantung kepada siapa.




No comments yet