Teknologi terkini banyak membantu mengembangkan sesebuah bidang ilmu seperti ilmu kaji Mesir Purba. Teknologi imbasan misalnya mendedahkan pelbagai rahsia tersembunyi mumia baik Firaun dan bangsawan hinggalah rakyat biasa. Baru-baru ini, imbasan pada mumia seorang kanak-kanak berusia 2,000 tahun mendapati ia dibalut bersama luka dan nanah pada bahagian kaki.
Imbasan ini sekaligus mendedahkan contoh balutan luka pertama untuk mumia tamadun Mesir Purba. Semasa kanak-kanak itu dimumiakan, usianya dianggarkan antara 2.5 tahun hingga 4 tahun.
Mumia ini pada asalnya ditemui dalam Makam Aline, Hawara oleh pakar arkeologi Richard van Kaufmann pada 1892. Makam tersebut dikatakan dibina seawal 24 Masihi dan dianggap unik kerana tiga daripada lapan mumia yang ditemui dihias dengan sebuah potret. Semasa ditemui, mumia ini memakai barang kemas ringkas dan mempunyai rambut bergelung.
Pengkaji Mesir Purba percaya mumia kanak-kanak ini merupakan anak kedua kepada mumia wanita muda berusia 35 tahun bernama Aline. Aline ialah wanita berstatus kelas pertengahan atau atasan yang dikenalpasti menerusi inskripsi pada makam. Anak perempuannya bersama 20 mumia lain diimbas melalui sinar-X oleh pakar-pakar di Berufsgenossenschaftliche Unfallklinik Murnau, Jerman diketuai Stephanie Panzer bagi mencari contoh jangkitan pada era Mesir Purba.
21 mumia yang diimbas daripada koleksi muzium sekitar Itali, Jerman dan Switzerland. 11 daripadanya merupakan mumia kanak-kanak lelaki dengan lapan lagi merupakan kanak-kanak perempuan. Sementara dua lagi mumia tidak dapat ditentukan jantina mereka. Yang pasti, imbasan ini mendedahkan perihal jangkitan dalam kehidupan harian warga Mesir Purba.
Imbasan mendedahkan luka nanah yang dibalut pada kaki mumia anak perempuan Aline sama ada bengkak bernanah atau jangkitan pada lapisan dalaman kulit. Tidak diketahui mengapa ia dibiarkan semasa proses pemumiaan dijalankan. Pakar paleopatologi dan penulis kajian Albert Zink percaya ia dibuat sebagai cara meneruskan rawatan pada lukanya walaupun selepas mati.
Nanah turut dijumpai pada imbasan mumia anak perempuan bongsu Aline yang berusia dua atau tiga tahun semasa ia mati. Ia berkemungkinan terjadi akibat luka artritis septik pada bahagian kanan pinggang. Sementara satu lagi mumia yang berasal dari era Ptolemy-Rom (305 SM – 641 Masihi) dilaporkan mengalami sinus bernanah termasuk bengkak bernanah pada bahagian atas tekak atau belakang mulut.
Tiga kes ini dilihat penting kerana boleh dijadikan sebagai model siasatan paleopatologi seterusnya. Imbasan sama turut mendedahkan balutan asli yang digunakan oleh tukang-tukang awet Mesir Purba untuk proses pemumiaan. Ini secara tidak langsung menambah aspek perubatan Mesir Purba. Kesemua kajian ini diterbitkan dalam International Journal of Paleopathology.
RUJUKAN
Randall, I. (2022, 1 Februari). Meet the child mummy with a dressed WOUND: Scientists uncover the remains of a four-year-old girl buried in Egypt 2,000 years ago with a bandage covering a pus-filled cut on her leg. Daily Mail.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih