Tahukah anda, monarki Jepun telah berjaya bertahan selama 2500 tahun? Oleh itu, pasti ada yang tertanya bagaimana monarki ini mampu bertahan sebegitu lama. Sedangkan kita telah dapati banyak monarki di Asia telah diruntuhkan, antaranya dinasti-dinasti Cina, monarki Korea (Silla, Koguryo, Paekche), Ryukyu dan Dai Viet.
Simbol diraja monarki Jepun yang berasal daripada Era Yamato
Sebelum saya menghuraikan faktor-faktor kelangsungan monarki
Jepun, mari kita selami sejarahnya terlebih dahulu. Menurut mitologi Jepun,
monarki Jepun bermula dengan pemerintahan Maharaja Jimmu pada sekitar tahun 660
SM. Maharaja Jimmu dikatakan berasal daripada Dewi Amaterasu sendiri, iaitu
dewi matahari Jepun. Dewi Amaterasu merupakan entiti yang paling tinggi dalam
kepercayaan Shinto sebagaimana Dewa Zeus dalam kepercayaan Pagan Yunani.
Namun begitu, sehingga ke hari ini para sejarawan masih
tidak dapat mengesahkan kewujudan Maharaja Jimmu. Setakat ini, mereka hanya
mampu mengesahkan Maharaja Kinmei (539 M) sebagai maharaja Jepun yang pertama
sekali dalam sejarah. Maka, kita boleh mengandaikan kewujudan tokoh ini sebagai
fasa permulaan monarki Jepun.
Berikut merupakan faktor-faktor kelangsungan monarki Jepun:
1. Maharaja hanya berperanan sebagai simbol kekuasaan
Walaupun kerabat diraja Jepun dianggap suci lagi sangat
dihormati, namun kebanyakan fasa pemerintahan mereka sebenarnya didominasi oleh
puak-puak aristokrat tertentu atau ketua tentera. Semasa era Asuka, kerabat
diraja Yamato telah dikawal dan dipegang oleh puak Soga yang banyak memainkan
peranan dalam menyebarkan ajaran Buddha ke seluruh Jepun.
Seterusnya, puak Fujiwara telah berjaya melancarkan kudeta terhadap puak Soga dan terus berkuasa untuk dua abad selepas itu. Pada zaman Edo pula, puak Tokugawa telah berjaya menegakkan sistem pemerintahan Shogun yang mana Shogun selaku ketua tentera mempunyai kuasa pentadbiran yang tertinggi. Monarki Jepun kembali berkuasa penuh semula selepas Maharaja Meiji berjaya menjatuhkan sistem pemerintahan Shogun sehinggalah tamatnya Perang Dunia Kedua.
Sejurus tamatnya perang tersebut, kuasa maharaja telah
dihadkan semula dan sistem demokrasi berparlimen telah ditegakkan dengan
sokongan Amerika Syarikat. Namun begitu, faktor ini bukanlah penyebab utama
kelangsungan monarki Jepun.
2. Peranan agama Shinto
Gambaran Dewi Amaterasu, dewi matahari Jepun
Kalau diperhatikan semula sejarah keruntuhan monarki-monarki
lain, kita juga dapati banyak kudeta telah berjaya dilancarkan oleh tokoh-tokoh
tertentu yang memperoleh sokongan besar daripada lapisan masyarakat. Contohnya,
Dinasti Qing telah diruntuhkan oleh Parti Kuomintang pimpinan Dr Sun Yat Sen.
Akan tetapi, perkara sebegini tidak pernah terjadi dalam sejarah Jepun.
Puak-puak aristokrat yang berkuasa besar seperti Soga dan
Fujiwara hanya bertindak menabalkan kerabat-kerabat diraja yang cenderung untuk
menyokong mereka, bukannya terus mengambil alih sistem monarki Jepun. Mengapa?
Hal ini kerana terdapat kepercayaan yang kuat dalam kalangan masyarakat Jepun
bahawa monarki Yamato merupakan jurai keturunan Dewi Amaterasu.
Justeru, hanya tokoh-tokoh yang berketurunan Dewi Amaterasu
sahaja yang layak untuk menjadi maharaja Jepun.
Kini, kita bakal menyaksikan peralihan daripada era Heisei
(Maharaja Akihito) kepada era Reiwa (Maharaja Naruhito). Walaupun kuasa
maharaja telah dihadkan, namun Maharaja Akihito telah banyak menaburkan jasa
dalam memulihkan imej Jepun pasca-WWII di mata dunia. Akhir sekali, apakah
kejutan yang bakal menanti untuk Jepun pada era Reiwa?
RUJUKAN:
i. How Did Japan’s Imperial Family Last So Long?, oleh
Linfamy
https://www.youtube.com/watch?v=GE66hsPw3bo
ii. Japan’s Emperor Akihito: Ten things you may not know
https://www.bbc.com/news/world-asia-36983409




No comments yet