Khamis, 15 Oktober 202615 Okt 2026
Alam Melayu

Mistik Ulek Mayang

Umbok mayang ku umbokUmbok dengan jala jemalaPulih mayang ku pulihPulih balik sedia kala

Pada zaman dahulu, tujuh puteri tinggal di Kayangan. Yang paling bungsu di
antara mereka adalah Mayang Sari, yang paling bersopan santun dan paling cantik
di kalangan kesemua puteri. Setiap
bulan purnama, ketujuh puteri akan turun ke bumi untuk meninjau keindahan dan
kehijauan di bumi, menari dan bermandi-mandian di tasik berdekatan dengan rumah
Nek Kebayan yang mengenali mereka sejak dari kecil lagi.

Tasik itu berhampiran sebuah perkampungan nelayan kecil di mana seorang
pemuda bernama Awang, tinggal bersama ibunya yang dikenali orang kampung Mek
Awang. Tidak ada anak muda yang
lebih penyayang daripada Awang di kampung itu. Lautan biru adalah kegemaran Awang. Segala rezeki dan kesenangan yang
dinikmati datang dari laut. Awang akan meninggalkan rumah awal pagi dan pulang
dengan hasil tangkapan yang memadai, selebihnya akan dibuat keropok atau ikan
masin oleh Mek Awang. 

Apabila musim tengkujuh tiba, Awang akan membaiki perahu yang diwarisi dari
ayahnya yang telah tiada. Dia akan membaiki lunas dan linggi perahu, menampal papan
pembalut perahu dengan gegala dari getah pokok damar supaya lebih bertahan dan menganyam
layar baru. Awang juga akan membetulkan serampang ikan, jaring dan jala,
membuat cangkuk baru buat persediaan untuk musim seterusnya. 

Begitu aman damai kehidupan Awang sehingga pada satu musim tengkujuh yang
amat dasyat, Mek Awang jatuh sakit dan demamnya tidak reda. Puas Awang mengubat
dengan pelbagai daun dan bunga diajar ibunya tetapi tidak sembuh. Hari demi
hari, Mek Awang semakin lemah. 

Jadi Awang memanggil Tok Bomoh, yang cuba memulihkan  Mek Awang, yang akhirnya kelihatan lega
sedikit, demamnya kebah dan nafasnya lebih tenang.

Tok Bomoh mengajak Awang ke serambi rumah. Mereka duduk seketika, dan
kemudian Tok Bomoh berkata, “Awang, Mek Awang dah kurang sedikit demamnya.
Tetapi ini hanya sementara. Awang mesti mencari ubat yang dapat memulihkan Mek
sehingga baik pulih sediakala. Jika tidak, selepas dua minggu, akan melarat kembali
penyakitnya.”

“Bagaimana caranya, Tok?” tanya Awang.

“Satu-satunya harapan untuknya adalah berubat dengan bunga Bakawali dari
taman Kayangan. Hanya Puteri Tujuh, dapat membantu Awang. Mereka selalu turun
ke rumah Nek Kebayan. Selama tujuh hari, Awang mesti menunggu di tepi tasik
dihujung kampung kita. Tunggulah Puteri Tujuh.”

Awang pun menunggu, bersembunyi di celah pokok-pokok dan melihat bayangan
dalam tasik.  Satu hari terlihat
awan berbentuk pokok. Hari esoknya, layang-layang dari jauh. Kemudian, pada satu hari, Awang
terlihat bayangan seperti burung helang terbang rendah.

Akhirnya Awang dapat melihat bahawa mereka itulah Puteri Tujuh! 

***

Ibu Awang adalah segala-galanya di hati Awang. Walaupun Awang tidak yakin dengan
kehadiran Puteri Tujuh, tetapi dia akan melakukan apa sahaja untuk memastikan
ibunya kembali sihat. Akhirnya, Awang
berjaya mengesan ketujuh puteri. Tetapi, bagaimanakah ia ingin memujuk salah
seorang membawanya ke Kayangan untuk mendapatkan bunga Bakawali?

Awang melihat Puteri Tujuh semua memakai baju layang dan menyidai baju
layang di dahan pokok berhampiran dengan tasik itu. Awang pun turun dari pokok
apabila puteri sedang bermain-main di tasik dan menyambil baju layang hijau
yang digantung jauh sedikit dari pandangan puteri.

Pada waktu senja, puteri-puteri pun mengambil baju layang mereka untuk
pulang ke Kayangan. Namun, Mayang Sari tidak dapat mencari baju layangnya.
Kakak-kakaknya puas membantu mencari tetapi tidak berjumpa.

“Dinda, dinda mestilah ke rumah Nek Kebayan. Nanti hari esok, kakanda akan
kembali membawa baju layang untuk Dinda,” kata Puteri Sulung.

“Benar, dinda,” kata Puteri Tengah. “Kakanda semua kena pulang, nanti
dimarahi Ayanhanda.”

“Baiklah kekanda. Dinda akan ke rumah Nek Kebayan.”

Keenam Puteri pun terbang meninggalkan Mayang Sari kerana matahari hampir
terbenam di kaki langit.

Ketika itu, barulah Awang menunjukkan dirinya kepada tuan puteri. Mayang
Sari pada mulanya terkejut, tetapi Awang berkata-kata dengan amat lemah lembut
dan penuh tertib. Tuan Puteri menjadi tenang. “Saudara ada melihat baju layang berwarna
hijau di dahan ini?” tanya Tuan Puteri.

“Tuan Puteri, maafkan hamba. Benar,
hamba yang mengambil baju layang tuan puteri.”

“Hamba amat memerlukan pertolongan tuan puteri. Ibu hamba begitu tenat
sakit dan memerlukan bunga Bakawali dari taman Kayangan untuk menyelamatkannya.”

Mayang Sari, yang tidak pernah bertemu dengan seorang manusia sebelum ini, kagum
melihat Awang begitu sayangkan ibunya dan begitu jujur, sanggup berbuat apa saja
untuk menyelamatkan ibunya. Tiada manusia yang pernah sampai ke Kayangan
setahunya. Sanggup manusia ini ke Kayangan?

“Apa nama Tuan Hamba?”

“Orang kampung memanggil saya, Awang.”

“Baiklah, Awang. Untuk kali ini, saya akan menolong tuan hamba. Saya akan
menukar Awang menjadi kumbang kecil. Awang mestilah duduk diam-diam di dalam
baju layang ini.”

Dalam sekelip mana, Awang pun hilang dari pandangan dan tuan puteri
meletakkan kumbang ke dalam simpul pengikat baju layangnya. Awang dapat
mendengar angin menderu dan sedarlah ia, Tuan Puteri telahpun terbang ke
langit. Apabila mereka tiba di
istana, Tuan Puteri pun terus membawanya ke kamar peraduannya dan menunggu
sehingga dini hari apabila bunga Bakawali akan kembang sepenuhnya. 

Di saat itu, Mayang Sari menukar kumbang menjadi Awang semula untuk
menyimpan bunga. Walau bagaimanapun, Raja Kayangan sedar serta-merta bahawa manusia telah
menceroboh ke dalam taman larangan. 

Amarahnya bukan kepalang. Raja Kayangan melaungkan sumpahan dan Awang serta
Mayang Sari muncul di depan Raja Kayangan. “Ampunkan anakanda, Ayahanda.
Anakanda menolong manusia ini, namanya Awang kerana bondanya sakit tenat dan
perlukan penawar bunga Bakawali, Ayahanda.”

“Bukankah kau tahu, umat manusia dan kaum Kayangan tidak boleh bergaul,
Mayang Sari?

“Maafkan Anakanda. Bukankah ayahanda mengajar anakanda kita mesti saling
membantu mereka yang memerlukan pertolongan?”

Raja Kayangan merenung wajah Mayang Sari. Keikhlasan bercahaya di raut
mukanya. Awang pula kelihatan tenang.

“Ampunkan hamba. Keadaan ibu hamba yang sakit tenat di bumi menyebabkan
saya bertindak meminta Tuan Puteri membantu hamba. Hukumlah hamba tapi hamba
memohon, berilah bunga bakawali ini kepada ibu.”

Terdiam Raja Kayangan sebentar.

“Baiklah. Beta mengkagumi kesetiaan dan keberanian anda, wahai manusia,”
kata raja, “Anak yang mementingkan ibunya adalah anak yang baik budi
pekertinya. Buat kali ini, kamu boleh membawa pergi bunga Bakawali ini. Akan
tetapi inilah kali terakhir dapat bertemu Mayang Sari!”

Seraya berkata demikian, tiba-tiba angin kuat menderu. Awang diselubungi
awan sejuk. Akhirnya, dia mendapati dirinya kembali di pondoknya. Bunga
Bakawali di tangannya. Dengan serta-merta, Awang membawa bunga supaya ibunya
dapat menghidu bauan Bakawali. Mek Awang terus kelihatan segar. Kemudiannya
Awang meletakkan debunga Bakawali dalam bubur dan menyuapkan ibunya dengan
penuh kasih sayang.

Pada hari-hari berikutnya, Mek Awang pulih sepenuhnya. 

Malangnya, Awang tidak dapat melupakan Mayang Sari. Dia tidak sanggup melihat fajar atau
matahari terbenam. Tentu teringat Mayang Sari yang membantunya, begitu cantik
dan jelita, pandangan matanya menikam kalbu. Awang menyepi menyendiri dan bila
musin tengkujuh berakhir, dia tidak ke laut.

Akhirnya, Awang pun jatuh sakit. Semakin hari semakin kurus Awang yang
tidak lalu makan. Tidak lena tidur.

Awang asyik menunggu di tasik larangan. Menyanyikan lagu,

Umbok mayang ku umbok
Umbok dengan jala jemala
Pulih mayang ku pulih
Pulih balik sedia kala

Satu malam, Awang ternampak-nampak bayangan berkilauan di kaki langit. Puteri Tujuh telah datang untuk
menyelamatkan Awang. Mayang Sari tidak tahan melihat Awang menderita kesakitan
dan telah memohon kepada Raja Kayangan untuk turun ke bumi. Puteri Tujuh pun
berikhtiar menyembuhkan Awang.  

Mayang Sari bernekad untuk tinggal di bumi dan berkahwin dengan Awang.

Dan mereka hidup bahagia selama-lamanya.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet