Semua sedia maklum kekayaan Kesultanan Melayu Melaka (KMM) pada abad ke-15 yang menjadikannya sebagai antara kerajaan yang paling kaya dan paling berkuasa di Nusantara ketika itu. Kesibukan Melaka sebagai pelabuhan entrepot ketika itu menjadikannya sebagai Venice versi Timur.
Tetapi semua itu berakhir menerusi serangan Portugal yang diketuai Alfonso de Alburquerque ke atas Melaka pada tahun 1511. Serangan tersebut menyaksikan banyak khazanah berharga Melaka cuba dibawa pulang ke Portugal menerusi kapal Flor de la Mar tetapi hasrat Alburquerque tidak kesampaian apabila kapal tersebut karam pada tahun sama.
Berdasarkan rekod sejarah, kapal ini dibina di Lisbon pada tahun 1502. Semasa ia siap dibina, ia merupakan kapal terbesar dan tercantik yang pernah dihasilkan Portugal. Pada tahun sama, ia memulakan pelayaran sulungnya ke India di bawah kendalian Estevao de Gama, sepupu kepada pelayar Eropah pertama tiba di India, Vasco de Gama.
Walaupun berjaya pulang dengan selamat pada tahun 1503, perjalanan pulang ke Portugal dianggap mencabar kerana saiz kargo rempah-ratus yang dibawa menyukarkan anak kapal mengendalikan Flor de la Mar terutama bila melalui Selat Mozambique. Akibatnya, mereka terpaksa berhenti seketika di Mozambique selama dua bulan akibat untuk membaiki kebocoran kapal.
Selain bertanggungjawab membawa muatan dagangan, Flor de la Mar juga turut digunakan di medan pertempuran laut sebagai sebahagian daripada agenda imperialisme Portugal. Pada tahun 1507, kapal ini menjadi sebahagian daripada armada laut Alburquerque yang bertanggungjawab menawan beberapa pelabuhan di barat Laut Arab seperti Muscat, Khor Fakkan, Sohar dan Ormuz.
Pada tahun 1509, ia menjadi kapal utama yang membawa wizurai Portugal pertama di India, Dom Francisco de Almeida yang mengetuai angkatan perang Portugal dalam Pertempuran Diu dengan Kesultanan Gujerat dan menjadi sebahagian daripada ekspedisi sama yang menawan Goa pada tahun 1510.
Setahun sebelum operasi penawanan Melaka, kapal ini sudah dirancang untuk dihantar pulang ke Portugal untuk proses pembaikan khas oleh Almeida. Tetapi pengganti Almeida, Alburquerque langsung tidak berminat dengan rancangannya kerana memikirkan sasaran lebih besar: Melaka. Mengikut logik akalnya, lebih baik ia digunakan untuk membawa harta dan khazanah berharga Melaka sebagai persembahan kepada raja mereka, Manuel I di sebalik bantahan ianya tidak selamat.
Dan itulah juga yang direalisasikan oleh Alburquerque pada tahun 1511. Selepas Melaka menjadi sebahagian daripada Empayar Portugal, emas dan barang berharga dari perbendaharaan Melaka dan sekitarnya dimuatkan ke dalam kapal.
Tetapi wizurai kedua India itu sudah lupa apabila Flor de la Mar mencapai muatan maksimumnya, ia agak sukar dikendalikan terutama di kawasan perairan yang deras arusnya.
Rekod hari ini meramalkan bahawa jumlah harta yang tenggelam bersama Flor De La Mar yang dirampas daripada Melaka berjumlah sekitar 2.6 Billion dan dianggap harta karun paling mahal dalam kategori harta karun yang hilang? Jumlah tersebut merangkumi:
1. Perempuan perempuan penenun kain
2. Anak-anak perempuan bangsawan Melaka
3. Tiang tiang Istana Melayu Melaka yang dihias dan dilepa dengan emas dan perak
4. Tanduk gajah Sultan Melaka yang disepuh emas
5. 600 Tan Emas barang kemas
6. Meja berkaki emas 7. 7.Gelang Sakti Nakhoda Beego
8. 6 bijik Singa tembaga besar hadiah Maharaja Cina
9. Baju perisai perang berkain baldu, senjata, dan topi besi berhias indah
10. Baju-naju berkain baldu dan sutera
11. Mangkuk mangkuk perak
12. 2 pasu besar
13. Perabot-perabot indah
14. 200 kotak berlian, rubi, permata-permata mahal.
Dan kapal tersebut sudah beberapa kali mengalami proses pembaikan menjadikan sebarang usaha membawanya kembali ke Portugal berisiko. Selain membawa pulang khazanah KMM, Flor de la Mar juga turut membawa hadiah dari pesaing KMM, kerajaan Siam dan harta peribadi Alburquerque sendiri.
Justeru tidak hairanlah semasa ia berlayar keluar dari Melaka pada November 1511, ia mengangkut harta paling banyak dalam sejarah tentera laut Portugal. Tetapi sebulan selepas itu, Alburquerque patah hati apabila mendengar berita ia karam di pesisir perairan Sumatera selepas terperangkap dalam cuaca ribut.
Di sebalik cubaan anak kapal cuba membawanya ke tempat perlindungan, ia patah kepada dua bahagian dan terperangkap di beting pasir, sekaligus membolehkan ombak memusnahkan saki-baki kapal. Kehilangan kapal Flor de la Mar ini berkemungkinan menjadi permulaan hubungan renggang Manuel I dengan lelaki yang digelar Julian Caesar dari Timur itu.
Wujud laporan kebanyakan harta tersebut hilang dalam lautan tetapi ada juga menyatakan mana-mana harta yang dapat diselamatkan dibawa pulang ke Portugal atau dikutip oleh penduduk tempatan. Jika benar laporan ini, tidak mustahil sesetengah harta KMM ini menjadi asas kekayaan kerajaan-kerajaan Melayu selepasnya seperti Kesultanan Johor dan Kesultanan Acheh.
Bukan sekali penemuan lokasi sebenar kapal didakwa di media massa seperti imej dron lokasi kapal dikatakan berada di Laut Jawa berhampiran Semarang, Indonesia pada tahun 2014. Bagaimanapun, menurut Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Idris Haron, ia harus disahkan 100% sebagai benar sebelum sebarang tuntutan royalti boleh dibuat dengan Jakarta.
SUMBER
1. DHWTY. (2016). The Lost Treasure of Flor de la Mar, Flower of the Sea. Ancient-Origins. https://www.ancient-origins.net/history/lost-treasure-flor-de-la-mar-flower-sea-006236
2. The Star. (2014). Sunken Portuguese galleon sighted in Java Sea. https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/04/07/drones-may-have-found-treasure-ship-sunken-portuguese-galleon-sighted-in-java-sea
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih