Pengkhianatan adalah asas pada segala kejatuhan. Sistem kefiraunan pun sama. Nectanebo II berjaya memelihara kedaulatan Mesir Purba daripada tangan Empayar Archaemenid… sampailah baginda dibelot orang sendiri pada tahun 343.
Ranap terus kerajaan baginda, dimamah gandingan Parsi dan Yunani. Sejak hari itu, sistem kefiraunan sudah tidak relevan kerana dipegang bangsa asing… bukan lagi golongan Qibti. Jadi saban tahun, ciri-ciri budayanya lesap ditelan zaman. Mana yang tidak dicatat memang tenggelam habis.
Hasil penyelidikan para sarjana moden membolehkan kita belajar balik pasal budaya tinggalan Mesir Purba terdahulu. Banyak benda sudah diketahui – bagaimana agama menjadi sandaran utama rakyat Mesir Purba dulu.
Dan Firaun adalah figura cerminan dewa Osiris, yang mewajib mengekalkan hukum Maat. Penemuan mumia pula bercerita tentang kepercayaan Mesir Purba pada alam barzakh. Alat kebesaran mereka bercerita tentang darjat penghormatan.
Semakin lama, semua tahu dengan yakin bahawa mereka tidak begitu berbeza dengan kita. Mereka mandi. Mereka makan. Mereka juga mengenakan minyak wangi. Setiap persamaan ini diselit persoalan.
Jadi persoalannya, firaun mandi dengan apa? Dengan airlah. Takkan nanah pula. Mereka makan apa? Macam-macam, seperti bijirin, buah dan sayur. Mereka mengenakan minyak wangi apa?
Ini yang menjadi persoalan besar. Cuaca panas dengan bulu ketiak berpintal semestinya bau badan serupa babi kadangkala. Mandilah berkali-kali sekalipun. Memang busuk bangkai punya.
Itulah masalah dihadapi Firaun Hatshepsut setiap hari. Baginda mula berkuasa dengan darjat pemangku bagi pihak anak tirinya, Thutmose III yang baru tiga tahun. Apabila Thutmose III mencapai usia matang, Hatshepsut patut berundur dan memberi laluan.
Tetapi baginda pulun kuasa seorang diri selama 20 tahun (Martin, 2012). Thutmose III terpinggir habis, sampailah Hatshepsut mangkat pada tahun 1458 S.M. Boleh tahan 20 tahun jugalah Hatshepsut “memangku jawatan firaun” (Kara, 2015).
Tentang Keperibadian Hatshepsut
Tidak mungkin Hatshepsut boleh menumpang kuasa begitu lama, jika baginda tiada karisma tersendiri. Kalau tengok dari segi keperibadian, semua mesti faham kenapa baginda terlalu berkuasa dulu.
Baginda mengenakan sejenis minyak wangi, yang secara tidak langsung melambangkan kuasa. Tidak pastilah jika ada elemen sihir macam minyak pengasih. Macam bangang pula kalau firaun perlu mandrem orang guna minyak pengasih.
Jadi ketepikan sebentar pasal sihir. Fokus pada sains. Sementara wanita-wanita sekarang mengenakan minyak wangi berbau bunga atau buah… Hatshepsut berfikiran jauh. Baginda menyapu minyak wangi berbau kemenyan.
Kalau sekarang orang calit kemenyan, lain jadinya. Asal lalu saja orang ingat mayat. Tetapi semasa zaman purbakala, Hatshepsut lalu saja memang bau dewi. Kerana menurut kepercayaan Mesir Purba, bau kemenyan adalah bau dewa dewi (University of Bonn, 2009).
Hatshepsut mengarah hambanya tanam pokok kemenyan begitu banyak di halaman kuilnya. Daripada pokok ini, ada hamba lain akan buat minyak wangi yang disimpan dalam botol.
Mungkin baginda akan mengenakan bau kemenyan pada setiap masa. Kerana saintis terjumpa sisa-sisa organik pada jasad mumianya. Bayangkan selepas 3,500 tahun, sisa ini masih banyak.
Walau bagaimanapun, minyak wangi ini sekadar wayang saja. Hatshepsut didapati berbadan gemuk ketika di penghujung hayat.
Setiap hari baginda menanggung derita akibat kencing manis, tulang rapuh dan kerosakan sendi. Jadi boleh kata bangang jugalah akhirnya – letak minyak wangi dewa dewi bagai nak rak. Akhirnya, mati macam orang tua jua.
RUJUKAN:
Kara, C. (2015). Woman Who Would Be King. Oneworld Publications.
Martin, G. (2012, Disember 23). African Political Thought. Springer.
University of Bonn. (2009, Mac 18). What Perfumes did Ancient Egyptians Use? Science Daily.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih