Jumaat, 30 Oktober 202630 Okt 2026
Teknologi & Kejuruteraan

Michael Schumacher Pernah Sesah Proton Wira Sampai 236km/j?

Michael Schumacher, siapa je yang tak kenal.

Tapi ramai tak tahu, dekat Malaysia ni ada satu kisah seorang legenda F1 yang pernah pandu sebuah Proton Wira sampai kelajuan yang buat orang biasa terus keras tengkuk.

Ya, bukan kereta Ferrari. Bukan Mercedes. Bukan juga jentera eksotik Eropah.

Tapi Proton Wira.

Schumacher didakwa pernah lenjan Proton Wira 1.8 EXi itu sampai sekitar 236 km/j!

Kisah ini datang daripada pemilik kereta itu sendiri, Suriya Sankaran, individu yang memang ada latar belakang kuat dalam dunia permotoran tempatan.

Suriya pernah bekerja dengan Shell, pernah terlibat menguruskan kru Formula 1 Scuderia Ferrari Marlboro semasa Grand Prix Malaysia dan pada masa sama dia juga seorang privateer rally driver yang berlumba dengan Proton Wira miliknya.

Kereta yang dipandu Schumacher itu pula ialah Proton Wira 1.8 DOHC EXi, model yang memang ada nama dalam kalangan peminat performance Proton.

Lagi menarik, kereta itu sebenarnya bekas jentera rali yang pernah digunakan dalam Rally of Perlis pada tahun 1999. Maknanya, ini memang Wira yang dah kena kerjakan betul-betul untuk tujuan perlumbaan, walaupun kemudiannya disesuaikan semula untuk kegunaan jalan raya.

Pada tahun 2003, ketika minggu Grand Prix F1 Malaysia di Sepang, Suriya ditugaskan untuk menguruskan pergerakan beberapa kru Ferrari dan pihak Shell.

Selepas satu sidang media di Hotel Pan Pacific, Schumacher sepatutnya dibawa menaiki MPV yang telah disediakan ke Cyberjaya Lodge untuk acara seterusnya.

Semua dah tersusun elok. MPV dah ada. Pemandu pun ada. Tinggal Schumacher masuk je.

Tapi benda jadi lain.

Menurut cerita Suriya, sebaik saja Schumacher keluar dari hotel dan nampak Proton Wira miliknya, dia terus tunjuk minat. Bila Suriya cuba arahkan dia ke MPV yang disediakan, Schumacher sebaliknya pergi ke pintu pemandu Wira itu.

Masa tu memang Suriya pun tergamam. Bayangkan, juara dunia Formula 1 nak pandu kereta kau. Nak pegang steering terus.

Lebih kurang itulah yang jadi.

Suriya pada mulanya cuba juga ingatkan demi faktor keselamatan, eloklah Schumacher naik MPV saja. Tapi keadaan ketika itu tak bagi banyak ruang untuk berdebat.

Jean Todt, bos pasukan Ferrari ketika itu dikatakan terus menyuruh Suriya ajar saja Schumacher macam mana nak guna kereta itu.

Dan dari situlah bermula satu perjalanan yang sampai hari ini masih jadi cerita lagenda dalam dunia permotoran Malaysia.

Schumacher masuk ke tempat pemandu, Suriya duduk di bahagian penumpang depan, manakala Juan Carlos Perez dari Shell duduk belakang.

Masalahnya, kereta itu masih ada karakter jentera rali. Ada roll-cage, ada setup yang bukan macam kereta keluarga biasa dan suasana dalam kabin memang lebih kepada kereta yang dibina untuk kerja keras, bukan untuk keselesaan.

Antara benda pertama yang Schumacher tanya ialah pasal gear. Dia tengok tombol gear tak ada petunjuk corak gear bernombor macam kereta biasa. Jadi dia tanya, kereta ni ada berapa gear sebenarnya?

Suriya jawab, lima gear.

Dari situ, Schumacher mula biasakan diri dengan kereta itu. Ini bahagian yang menarik. Pemandu profesional macam dia tak terus pijak habis. Dia tak terus tunjuk lagak. Dia mula dengan rasa brek dulu.

Lepas tu dia uji keseimbangan kereta. Dia tengok macam mana suspensi bertindak. Dia cuba faham karakter kereta itu dulu sebelum mula pergi lebih laju.

Itu beza pemandu biasa dengan pemandu tahap legenda.

Menurut Suriya, dia dapat nampak Schumacher sedang “membaca” kereta itu. Macam dia nak tahu had sebenar Wira itu sebelum dia tolak lebih jauh. Bila dah masuk lebuh raya, barulah rentak berubah. Kereta mula dipandu semakin laju. Dan semakin lama, semakin gila.

Suriya menceritakan bahawa Schumacher berjaya bawa kereta itu ke tahap kelajuan yang dia sendiri susah nak percaya.

Gear ketiga mencecah sekitar 170 km/j. Gear keempat pula cecah sekitar 210 km/j. Pada satu tahap, Schumacher siap tanya sekali lagi, betul ke kereta ini ada lima gear?

Maksudnya masa tu dia dah betul-betul guna apa yang kereta itu mampu bagi.

Bagi Suriya, pada masa itu, dia dah tak fikir sangat dah pasal benda lain. Yang dia fikir cuma satu, keselamatan Schumacher dan Juan Carlos Perez yang duduk di belakang.

Sebab bila sebuah Proton Wira lama dipandu melebihi 200 km/j di lebuh raya, itu bukan lagi situasi yang orang anggap normal.

Tapi itulah yang berlaku.

Schumacher dikatakan terus memandu dengan yakin, tenang dan cukup halus. Antara detik yang paling mengagumkan ialah apabila mereka menghampiri susur keluar lebuh raya menuju Cyberjaya.

Pada pandangan orang biasa, mungkin nampak macam dah terlepas simpang. Tapi rupa-rupanya Schumacher sedang ambil racing line, macam atas litar. Dari luar, masuk ke apex, kemudian keluar semula dengan kemas.

Semua itu dibuat pada kelajuan yang bagi orang biasa memang boleh buat lutut lembik.

Suriya sendiri mengaku dia takkan mampu buat benda macam itu pada kelajuan sebegitu.

Dalam perjalanan itu juga, mereka sempat berbual macam-macam. Bukan sembang teknikal kereta saja. Schumacher dikatakan santai berbual pasal cuaca, pasal perlumbaan, malah pasal nak beli handbag untuk isterinya, Corinna.

Kat situ kita nampak satu sisi lain Schumacher yang orang luar jarang dengar. Di luar kereta, dia superstar dunia. Tapi dalam kereta itu, dia berbual macam manusia biasa.

Ada satu part kelakar bila Schumacher dikatakan berminat nak cari beg Louis Vuitton, tapi bukan yang original pun sebab dia dah ada banyak yang original di rumah. Yang fake dia tak pernah jumpa di negaranya. Dia nak cari yang macam orang biasa beli dekat tempat macam Petaling Street.

Dan ya, dalam pemanduan itulah Proton Wira itu dikatakan mencapai kelajuan maksimum sekitar 236 km/j.

Apa yang buat cerita ini lagi menarik ialah kereta itu masih wujud dan masih dijaga sehingga hari ini. Malah tandatangan Schumacher yang asalnya ditulis pada pelapik bumbung kereta itu kemudiannya dijadikan semula pada bonet hadapan menggunakan teknik airbrush. Wira ni dah jadi artifak hidup dalam sejarah automotif Malaysia.

Bagi peminat Proton, cerita ini macam cop pengesahan tidak rasmi bahawa Wira 1.8 EXi memang bukan calang-calang kereta.

Model ini sememangnya ada reputasi tersendiri. Enjin 1.8 liter 4G93P, badan C99, karakter casis yang sedap dikendalikan dan status sebagai model homologation special menjadikan ia antara model Proton yang paling dihormati oleh kaki kereta lama tempatan.

Bila Schumacher sendiri rasa kereta itu dan push sampai hadnya, mestilah kisah itu terus jadi lagenda yang orang ulang bertahun-tahun.

Di mata sesetengah orang, Proton Wira mungkin cuma kereta lama. Kereta biasa. Kereta yang orang buat pergi kebun, hantar cucu sekolah atau modify sikit-sikit. Tapi di tangan orang yang betul, kereta itu ada jiwa. Ada karakter. Ada cerita.

Dan Schumacher nampak semua itu.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet