Menulis bukan perkara yang mudah. Seperti komando menyelinap musuh dari belakang memegang pisau Fairbairn-Sykes, perkara yang aku takutkan datang menghampiri aku. Ketakutan dan kegelapan seakan-akan melemaskan aku. Masa dan manusia di sekeliling aku ‘terhenti’ tidak ubah seperti melihat filem perlahan.
Kemurungan.
Aku sedar. Namun, kaki dan tangan seolah-olah dikunci. Dalam keadaan ‘terhenti’ dan hanya melihat manusia bergerak ke depan, air mataku bertakung. Perasaan hampa, marah, kecewa dan banyak lagi bercampur. Aku seperti hanyut dalam kegelapan malam. Hari yang cerah di mataku hanyalah gambar kelabu.
‘Rock bottom’ tidak mungkin dapat menggambarkan perkara yang sebenar. Aku umpama berada dalam telaga yang gelap. Kering dan tiada orang. Aku terduduk sambil melihat ke atas. Cahaya yang aku lihat hanyalah jalan keluar.
1. Bercakap dengan manusia.
Mungkin agak pelik, namun kebanyakan orang terutamanya pelajar tidak mahu berkongsi masalah mereka dengan kawan-kawan atau orang yang terdekat. Aku cuba untuk bercakap. Melihat muka-muka mereka, mulutku hanya melakar senyuman yang aku fikir tidak ikhlas dan dibuat. Mataku mencari perhatian mereka tetapi hatiku masih tertutup. Introvert. Mungkin.
Mengangkat tangan dan berdiri, aku mula memegang dinding-dinding telaga.
2. Buku, terapi bagi seorang Introvert.
Siapa sangka buku dapat memberi seribu satu jawapan dan memberi beribu soalan. Bagiku, buku adalah jalan ke dunia fantasi. Sebagai pengkaji Perang Dunia Pertama, sajak dan peperangan adalah perkara yang dihiasi dengan bunga dan duri. Penyajak seperti Wilfred Owen dan Siegfried Sassoon menggambarkan situasi peperangan dan perasaan setiap askar. Ironi bukan. Seseorang yang mendalami peperangan, kerap menghadapi dilema dan kemurungan.
Kaki diangkat dan nafas dihembus, penuh keperitan. Satu demi satu.
3. Keluar dan lihat dunia.
Berjalan dan mendengar muzik ‘instrumental’ merupakan aktiviti kegemaranku. Setiap langkah kakiku dipenuhi dengan fikiran tentang perihal manusia. Topik-topik seperti mengapa Perang Dunia Pertama berlaku dan siapa yang akan menggalas tanggungjawab aku bermain bagai tiada tanda untuk berhenti. Menghirup udara musim sejuk, aku mula berfikir masa depan dan bebanan yang aku bawa. Langkah demi langkah. Aku mencari sisa-sisa diri ini untuk dicantum semula. Kepala mendongak, mata memandang ke arah matahari terbenam.
Genggaman tanganku tidak kemas dan aku jatuh semula.
- Berseorangan
Masalah akan timbul. Kerap. Simulasi yang tidak menjadi dan kekecewaan tidak memahami apa yang dikaji adalah makanan ruji bagi aku. Aktiviti seperti duduk berseorangan, membaca buku sambil menghirup kopi menenangkan aku. Tingkat 9, perpustaakan universiti, aku telah jadikan tempat bagi aku untuk berfikir. Mataku akan memandang ke arah lapangan terbang yang sibuk. Ya, universiti aku terletak berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa. Nikmat untuk duduk berseorangan dan berfikir bagaimana untuk menyelesaikan masalah sendiri hanya dapat dirasai apabila kita putuskan diri dari gajet-gajet.
Bertekad. Aku mencuba semula.
5. Tahajjud, tempat aku mengadu.
Akhirnya, tiada tempat lain untuk aku mengadu selain Allah. Bangun diawal pagi, mendirikan solat sunat. Dengan rendah diri, aku akan memilih sudut yang gelap untuk mengadu. Aku sedar bagaimana susahnya untuk menitiskan air mata apabila dihadapanNya. Aku mengadu dan terus mengadu.
Keluar.
Masa kembali bergerak seperti biasa. Aku menoleh, melihat suasana bilik computer yang kembali menyinar. Tapi aku masih belum bergerak dari tempat aku berdiri. Membawa bebanan dan tanggungjawab, aku menyahut cabaran untuk ‘bergerak’. Mara kehadapan dengan penuh keazaman.
Hatiku menjerit.
‘Resilience’ atau ketahanan.
Langkah demi langkah, mulutku berkata,
“Resolute” atau tidak gentar.
Melihat kerja-kerja yang bertimbun dihadapan mejaku, aku lakarkan senyuman dan berkata,
“Faith” atau Allah, bagiku.
Aku masih mencari jawapan. Berjalan. Optimis akan persimpangan yang aku akan ambil.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih