Allahu. Kenapa bangang sangat menteri diorang ni.
Itulah yang sedang berlaku di Indonesia selepas nahas kereta api di Bekasi Timur pada malam Isnin, 27 April 2026. Sebuah KRL Commuter Line yang sedang berhenti di kawasan Stesen Bekasi Timur dirempuh dari belakang oleh Kereta Api Argo Bromo Anggrek, tren jarak jauh yang membawa penumpang dari Gambir ke Surabaya Pasar Turi. Rempuhan itu berlaku pada bahagian belakang rangkaian KRL iaitu tempat gerabak khas wanita berada. Akibatnya, gerabak itu menjadi bahagian paling teruk menerima impak. Menurut laporan agensi berita antarabangsa, jumlah korban meningkat kepada 15 orang maut dan puluhan lagi cedera dengan semua mangsa korban dilaporkan wanita kerana mereka berada di gerabak khusus wanita yang dirempuh dari belakang.
Daripada sinilah satu lagi kontroversi muncul. Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak Indonesia, Arifah Fauzi kemudian mencadangkan supaya gerabak khas wanita KRL tidak lagi diletakkan di bahagian depan atau belakang rangkaian. Sebaliknya, beliau mencadangkan supaya gerabak wanita dipindahkan ke bahagian tengah. Katanya, kalau boleh, penumpang perempuan jangan berada di depan atau belakang kerana posisi itu lebih berisiko jika berlaku kemalangan. Dalam erti kata lain, gerabak wanita perlu diletakkan di tengah supaya lebih selamat.
Tetapi masalahnya bermula apabila cadangan itu disambung dengan logik bahawa gerabak hujung depan dan belakang boleh diisi oleh lelaki. Maksudnya, wanita dipindahkan ke bahagian yang dianggap lebih selamat, manakala lelaki diletakkan di bahagian yang dianggap lebih berisiko.
Tragedi kereta api bukan isu siapa patut duduk di tempat yang lebih selamat dan siapa patut duduk di tempat yang lebih bahaya. Tragedi kereta api ialah isu keselamatan sistem. Kalau sebuah tren jarak jauh boleh merempuh KRL yang sedang berhenti, persoalan utama bukan “patutkah wanita duduk tengah?” Persoalan utama ialah macam mana satu rangkaian tren boleh berada dalam keadaan begitu berisiko sampai berlaku rempuhan maut? Apa yang berlaku pada sistem isyarat? Apa yang berlaku pada kawalan operasi? Bagaimana prosedur keselamatan selepas insiden awal dilaksanakan? Kenapa rangkaian KRL itu berada dalam kedudukan yang boleh dirempuh? Dan bagaimana pula faktor teksi rosak yang dirempuh keretapi di hadapan yang dikatakan terlibat dalam rentetan awal kejadian ini boleh menyebabkan situasi menjadi begitu buruk?
Laporan Reuters menyebut tragedi ini berlaku selepas sebuah teksi tersangkut atau berhenti di lintasan rel berhampiran Bekasi Timur. Kejadian itu menyebabkan KRL berhenti, sebelum kemudian dirempuh oleh KA Argo Bromo Anggrek. Laporan itu juga menyatakan pihak berkuasa Indonesia termasuk Jawatankuasa Nasional Keselamatan Transportasi atau KNKT sedang menjalankan siasatan terhadap punca kejadian. Presiden Prabowo Subianto pula dilaporkan berjanji untuk membina jejambat dan memperbaiki penyelenggaraan sistem rel selepas tragedi ini.
Jadi bila Menteri PPPA terus masuk dengan cadangan susun semula kedudukan gerabak wanita, reaksi orang ramai memang boleh dijangka. Sebab bagi sesetengah orang, cadangan itu nampak seperti cuba menyelesaikan masalah di permukaan sahaja. Gerabak wanita dipindahkan ke tengah, lelaki duduk di depan dan belakang, habis cerita? Sedangkan kalau sistem keselamatan rel masih gagal, kalau lintasan masih bermasalah, kalau isyarat masih dipersoalkan, kalau operasi kecemasan masih longgar, tragedi yang sama masih boleh berlaku. Cuma mungkin lain kali mangsa bukan gerabak wanita, tetapi gerabak lelaki, gerabak umum,atau mana-mana gerabak yang kebetulan berada di titik impak.
Di sini kita kena faham sejarah kenapa gerabak khas wanita wujud di Indonesia. Ia diperkenalkan sebagai respons kepada isu gangguan seksual dan rasa tidak selamat yang dialami wanita dalam pengangkutan awam yang sesak. Pada tahun 2010, Kementerian Perhubungan Indonesia pernah menyatakan bahawa gerabak khas wanita ialah satu bentuk langkah perlindungan terhadap wanita daripada kekerasan dan gangguan seksual dalam kereta api. Reuters juga pernah melaporkan pada tahun yang sama bahawa Jakarta memperkenalkan gerabak wanita di bahagian depan dan belakang tren sebagai sebahagian daripada usaha menangani gangguan seksual dalam komuter yang padat.
Gerabak wanita asalnya ialah dasar keselamatan sosial. Ia diwujudkan supaya wanita tidak mudah diganggu, diraba, dihimpit atau dilecehkan dalam tren yang sesak. Dalam konteks Jakarta dan kawasan sekitarnya, KRL ialah nadi kehidupan kelas pekerja ibarat KTM Komuter di Malaysia. Setiap hari orang keluar masuk, bersesak, mengejar masa, berdiri rapat-rapat dalam gerabak. Dalam suasana begitu, gerabak wanita dianggap penting oleh ramai penumpang perempuan.
Tetapi tragedi Bekasi membuka satu masalah lain yang lebih besar. Gerabak yang diwujudkan untuk melindungi wanita daripada gangguan seksual akhirnya berada di lokasi paling teruk menerima impak dalam kemalangan maut. Ini bukan bermaksud gerabak wanita itu salah. Tetapi ia menunjukkan bahawa keselamatan pengangkutan awam tidak boleh dilihat dari satu sudut sahaja. Selamat daripada gangguan seksual tidak bermakna selamat daripada kegagalan sistem operasi. Selamat daripada lelaki miang dalam tren tidak bermakna selamat daripada tren lain yang merempuh dari belakang.
Sebab itu cadangan memindahkan gerabak wanita ke tengah memang boleh dibincangkan, tetapi ia tidak patut dijadikan jawapan utama kepada tragedi ini. Kalau benar bahagian tengah lebih selamat, maka kajian keselamatan perlu dibuat secara menyeluruh. Bukan setakat cakap “wanita letak tengah, lelaki letak hujung.” Kena ada data. Dalam jenis kemalangan apa bahagian tengah lebih selamat? Dalam rempuhan belakang, ya mungkin bahagian belakang paling teruk. Tetapi dalam rempuhan depan, bahagian depan pula paling teruk. Dalam tergelincir, kesan kerosakan boleh jadi berbeza. Dalam kebakaran, isu pintu keluar, laluan kecemasan dan kepadatan penumpang pula lebih penting. Jadi dasar keselamatan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan satu tragedi, satu sudut impak.
Lebih sensitif lagi, apabila disebut lelaki patut berada di hujung depan dan belakang, ia memang tidak sedap didengar. Seolah-olah lelaki lebih sesuai menjadi “penyerap hentakan” kalau berlaku kemalangan. Seolah-olah nyawa lelaki lebih boleh dikorbankan demi mengurangkan risiko kepada wanita. Inilah yang ramai kritik. Dalam kecemasan, kita semua mahu wanita, kanak-kanak, warga emas dan golongan rentan dilindungi. Itu normal dalam masyarakat. Tetapi melindungi satu kumpulan tidak sepatutnya bermaksud meletakkan kumpulan lain di tempat yang lebih bahaya secara sengaja.
Nyawa lelaki bukan lebih murah. Nyawa wanita bukan lebih mahal. Nyawa kanak-kanak lagilah. Dalam kemalangan kereta api, semua penumpang patut dianggap manusia yang perlu dilindungi oleh sistem keselamatan yang terbaik. Kalau kerajaan mahu bercakap tentang perlindungan wanita, bagus. Tetapi jangan sampai cara bercakap itu membuatkan orang rasa lelaki pula dijadikan korban gantian.
Apa yang lebih patut keluar daripada mulut seorang menteri selepas tragedi sebegini ialah desakan kepada siasatan menyeluruh. Bukan tentang kedudukan gerabak, tetapi tentang keseluruhan rantaian kegagalan. Kenapa KRL itu berhenti di situ? Bagaimana komunikasi antara pusat kawalan dan petugas lapangan?
Ini kerana sejarah nahas kereta api di Indonesia bukan baru bermula semalam. Perlanggaran dua tren pernah berlaku di Jawa Barat pada Januari 2024, kemalangan tren dengan bas mini di lintasan tidak berpagar pada 2013 yang mengorbankan 13 orang dan tragedi pada 2010 apabila sebuah tren dari Jakarta merempuh tren lain yang sedang berhenti di stesen di Jawa Tengah sehingga 36 orang maut.
Bila sejarah kemalangan seperti ini sudah berulang, maka masalahnya bukan kedudukan gerabak. Masalahnya ialah sistem. Sistem rel, sistem lintasan, sistem komunikasi, sistem isyarat, sistem kecemasan dan sistem penyelenggaraan. Kalau semua ini tidak dibedah satu per satu, memindahkan gerabak wanita ke tengah takkan menyelesaikan apa-apa. Nampak macam kerajaan buat sesuatu, tetapi akar masalah belum tentu disentuh.
Kalau jadi lagi sekali, akan ada juga orang yang akan mati. Entah-entah lagi ramai jadi korban.




No comments yet