Sabtu, 17 Oktober 202617 Okt 2026
Mengapa Kita Kena Belajar Berenang?
Umum

Mengapa Kita Kena Belajar Berenang?

Ditekankan
disini bahawa kedua duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan mampu
menyihatkan tubuh individu yang melakukan aktiviti tersebut. Tiada yang lebih
baik kecuali melakukan setiap aktiviti itu dengan istiqamah dan konsisten. Mari kita lihat dahulu fakta
nombor.

Rekod larian 100m dunia yang dipegang oleh Usian Bolt merekodkan 9.58s manakala bagi 100m acara gaya bebas yang direkodkan untuk sukan renang hanya 44.94s. Ia mempunyai jarak yang sama tetapi mempunyai jurang tempoh masa yang agak besar.

Dari sini kita dapat lihat, betapa banyak tenaga yang perlu digunakan untuk menghabiskan jarak yang hanya 100mbagi sukan renang. Jika anda pernah berenang, jarak 100m itu dilihat sangat lah jauh dan memenatkan berbanding dengan berlari yang kelihatan seperti ¼ daripada trek.

Jadi
disini penulis ingin menekankan mengapa kita perlu mempelajari ilmu renang ini
kerana ia dapat memberikan pelbagai manfaat kepada kita semua.

Sukan
yang menyihatkan

Bermula dari saat seseorang perenang itu terjun ke dalam air, menghabiskan beberapa pusingan sehinggalah terapung, semuanya menggunakan otot untuk melakukan aktiviti tersebut. Setiap perenang akan menggunakan keseluruhan kumpulan otot major ketika melakukan aktiviti ini supaya mereka dapat bergerak.

Berenang
merupakan salah satu aktiviti yang dapat membakar kalori dalam badan dengan
kadar yang sangat cepat. Kalori ialah salah satu unit tenaga atau haba yang
diperlukan untuk meningkatkan suhu satu gram air sebanyak satu darjah
celcius(C). Lebihan kalori dalam badan akan menjadi liabiliti kepada seseorang
individu kerana ia akan bertukar menjadi lemak. Lemak bakal menjadi penyebab
kepada banyak penyakit seperti obesiti dan darah tiggi.

Apabila
seseorang itu berenang dengan tempo yang sederhana, ia sudah cukup untuk
membakar lemak dan kalori berlebihan di dalam badan. Apabila perenang itu
melakukan gaya dada, sebanyak 371 kcal/jam kalori akan dibakar manakala apabila
melakukan gaya yang paling memenatkan iaitu kuak kupu-kupu, sebanyak 966
kcal/jam.

Melakukan
pembakaran lemak dan kalori melalui aktiviti berenang mungkin dilihat tidak
begitu memenatkan kerana pengeluaran peluh tidak dapat dirasai disebabkan
berada di dalam air. Kita juga kurang berasa penat kerana jumlah graviti di
dalam air adalah lebih rendah berbanding di darat. Tetapi percayalah, sukan
mana yang tidak memenatkan. Bersakit ketika sihat adalah lebih baik berbanding
bersakit ketika sakit.

Selain
itu, berenang juga dapat mengurang rasa panik dan tekanan. Menurut kajian yang
dibuat oleh  Persatuan Renang United
Kingdom, berenang mampu meningkatkan aliran darah dan memberikan kebaikan
kepada kecerdasan otak. Maka darah akan mengalir secara normal dan akan
mengurangkan rasa tekanan terhadap individu berkaitan. Berenang adalah unik
kerana air memberikan ketenangan pada mental, selain seluruh tubuh berfungsi
melakukan pelbagai pergerakan

Berguna
ketika kecemasan

Ilmu berkaitan berenang amat penting dan sangat disarankan untuk dipelajari. Perkara ini kerana, ia boleh menjadi berguna bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada orang yang berada di sekeliling. Jika berlaku apa apa kecemasan ketika berada di kawasan yang berkaitan, kita boleh menggunakan ilmu yang sedia ada untuk membantu mangsa sebelum pihak keselamatan tiba.

Kecemasan yang boleh dikaitkan adalah seperti kes lemas. Jika seseorang yang tidak mempunyai ilmu yang berkaitan, mereka mungkin tidak dapat membantu menyelamatkan individu yang menghadapi kesukaran. Malah, jika mereka cuba untuk melakukan sedemikian mungkin beliau juga bakal menghadapi kesukaran yang sama dan akan dihanyutkan oleh arus yang deras.

Penulis menegaskan disini, jika kita tidak mempunyai ilmu dan kekuatan yang cukup untuk membantu mangsa, lebih baik kita memcari alternatif lain seperti meminta bantuan daripada anggota keselamatan dan jangan cuba cuba untuk terjun menjadi hero.

Seseorang yang tidak pandai berenang hanya disarankan untuk mencampak objek yang boleh terapung jika terdapat disekeliling mereka ataupun meminta bantuan orang lain. Perkara ini kerana, terdapat banyak kes kematian yang direkodkan apabila seseorang itu cuba untuk menyelamatkan orang lain. Bukan untuk menyemarakkan sikap enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, tetapi ingat, hilang satu lebih baik daripada dua.

Situasi yang dinyatakan dapat diubah 180° jika seseorang itu mempunyai asas yang kukuh dalam ilmu berenang. Ditambah lagi jika mereka merupakan seseorang yang memegang lesen International Lifesaver (ILS). Pemegang lesen ini mempunyai asas yang kukuh untuk menghadapi seberang masalah yang timbul ketika melakukan aktiviti yang berkaitan dengan air.

Mereka telah mempelajari dan diuji untuk menghadapi situasi sebegini. Sesiapa sahaja yang boleh berenang disarankan untuk mengambil lesen ini yang merangkumi dua kategori iaitu Bronze Medal dan juga Lifetime. Jadi kita perlu mengorak langkah dengan mula mempelajari ilmu berenang supaya dapat digunakan ketika kecemasan kelak.

 Saranan Nabi Muhammad

Daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

عَلِّمُوْا أَوْلَادَكُم الرِّمَايَةَ وَرَكُوْبَ الخَيْلِ وَالسِّبَاحَةَ

Maksudnya: “Ajarlah anak-anak kamu memanah,
menunggang kuda dan juga berenang”.

Hadis yang dinyatakan agak popular di dalam masyarakat kita apabila membicarakan tentang sukan renang. Tetapi melalui dapatan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hadith ini merupakan sebuah hadith yang dhaif. Namun, status hadith dhaif masih boleh diamalkan cuma tidak boleh dijadikan hujah. Walaupun hadith ini dhaif, tetapi masih terdapat isyarat daripada hadith lain yang menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan kita agar mempelajari perkara-perkara ini.

Daripada Jabir bin Umair berkata, aku mendengar Rasulullah SAW
bersabda:

كُلُّ شَيْءٍ لَيْسَ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ فَهُوَ لَهْوٌ وَسَهْوٌ، إِلَّا أَرْبَعَ خِصَالٍ: مَشْيُ الرَّجُلِ بَيْنَ
الْغَرَضَيْنِ، وَتَأْدِيبُهُ فَرَسَهُ، وَمُلَاعَبَتُهُ أَهْلَهُ، وَتَعَلُّمُ
السِّبَاحَةِ

Maksudnya: “Setiap perkara yang tidak
disebut nama Allah SWT adalah sia-sia dan lalai melainkan empat benda:
Perjalanan seorang lelaki di antara dua matlamat, seorang yang mengajar
kudanya, bermesra dengan isteri dan juga belajar berenang”.

Hadith
di atas menunjukkan bahawa belajar menunggang kuda dan belajar berenang tidak
termasuk di dalam perkara yang sia-sia dan juga melalaikan. Apabila sesuatu
perkara disarankan oleh rasul Allah maka perkara itu mempunyai kelebihannya
yang tersendiri. Manfaat-manfaatnya telah dinyatakan di dalam artikel ini.

Kesimpulan

Kesimpulannya,
rakyat Malaysia perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang berguna
kepada diri sendiri dan masyarakat. Bagi umat Islam pula, kita dianjurkan untuk
mempelajari pelbagai ilmu dunia selagi mana ia tidak bercanggah dengan syarak
tanpa meninggalkan ilmu akhirat. Penulis menyokong seratus peratus hasrat
kerajaan jika meletakkan sukan ini di dalam kokurikulum yang wajib di ambil. Ia
bakal menguntungkan banyak pihak baik kepada rakyat mahupun negara.

RUJUKAN:

Life Saving Society Malaysia. http://www.lifesavingmalaysia.org.my/index.htm

Irsyad
Al- Hadith Siri Ke-150: Memanah, Berenang, Berkuda. https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/1042-irsyad-al-hadith-siri-ke-150-memanah-berenang-dan-berkuda

Does Swimming Works Every Muscle. https://livehealthy.chron.com/swimming-work-muscle-3713.html

5 Gaya Berenang Ini Akan Membakar Kalori Anda Secara Maksima. http://sini.com.my/business/relax/lgmrelaxpostdetail/4000004727

Berenang kurangkan kesan panik, stabilkan emosi. https://www.bharian.com.my/wanita/sihat/2018/10/490963/berenang-kurangkan-kesan-panik-stabilkan-emosi

Minda Pengarang: Kemahiran berenang elak tragedi. https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/10/488891/minda-pengarang-kemahiran-berenang-elak-tragedi

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet