Pada
16 November 2018 merupakan hari yang bersejarah dalam komuniti saintifik.
Definisi Kilogram (kg) telah bertukar daripada menggunakan artifak fizikal
kepada pemalar alam (natural constant)
yang lebih jitu dan tepat. Dalam 26th
General Conference of Weight and Measures yang berlangsung selama 3 hari di
Versailles, Perancis, sebanyak 55 buah negara daripada 60 yang bersetuju untuk
mendefinisikan semula unit kilogram.
Rancangan untuk mendefinisikan semula kilogram telah bermula sejak tahun 2011 lagi dan pada hari ini mereka bersetuju untuk menukar definisi tersebut dan dikhabarkan akan mula diaplikasikan pada Mei 2019. Adakah anda tahu bagaimana beratnya 1kg? Tahukah anda bagaimana 1 saat disukat selama mana? Tahukah anda bagaiman 1 meter disukat sepanjang mana?
Sebelum
Revolusi Perancis, setiap negara mempunyai definisi panjang dan berat yang
berbeza. Dunia tidak mempunyai piawaian sistem antarabangsa. 1 meter bagi
negara India dan I meter negara China tidak sama. 1 kilogram bagi negara Itali
dan 1 kilogram bagi negara England tidak sama. Setiap negara dan wilayah
mempunyai piawaian yang tersendiri untuk menentukan dan menyukat. Malah, sistem
nombor pun tiada piawaian di peringkat antarabangsa. Sistem nombor India,
China, Eropah dan Arab semuanya tidak sama. Cuma sewaktu Zaman Pertengahan,
sistem nombor Eropah iaitu nombor Roman telah digantikan dengan sistem
Arab-Hindu.
Justeru,
pada masa itu hampir separuh dunia menggunakan sistem Arab-Hindu. Sistem nombor
telah mula ada piawaian antarabangsa. Cuma sistem ukuran sahaja masih belum
tetap. Ramai sarjana pada waktu itu seperti John Wilkins cuba untuk menetapkan
piawaian bagi ukuran berat, panjang, kelajuan, masa dan lain-lain untuk
memudahkan urusan manusia.
Tetapi
usaha-usaha mereka gagal. Malah, di Perancis saja sudah mempunyai pelbagai
piawaian unit ukuran berbeza-beza. Pada tahun 1789, malapetaka berlaku akibat
daripada tiada piawaian ukuran unit ini. Ketika berlakunya Revolusi Perancis,
para revolusioner bukan sahaja mempunyai aspirasi untuk menumbangkan monarki
tetapi mahu mengubah masyarakat secara keseluruhan. Sistem kalendar, sistem
ekonomi, sistem sosial semuanya mahu ditukar. Maka, sistem unit pun mahu
ditentukan kerana terlalu banyak piawaian telah menyerabutkan urusan ekonomi
dan kewangan negara.
Akademi
Sains mengadakan mesyuarat untuk reformasi sistem unit ini. Piawaian lama
merujuk pihak autoriti atau tradisi tertentu untuk menentukan unit ukuran
seperti sedepa, sekaki, sebatu dsb. Akademi Sains mahu menggunakan matematik
dan alam sebagai piawaian unit – dipanggil sebagai sistem metrik.
Mereka
mengambil ukuran 1 meter bersamaan dengan jarak cahaya bergerak dalam vakum
untuk tempoh 1/299792458 saat. 1 saat pula bersamaan dengan tempoh caesium-133
atom bergerak dari satu tingkat tenaga hingga ke tingkat dasar sebanyak
9192631770 kali.
Ketika Revolusi Perancis, perkara ini turut memainkan peranan dari sudut politik. Dengan adanya piawaian unit, ahli politik tidak dapat memanipulasi sukatan sesuka hati mereka untuk mendapatkan keuntungan dan menindas rakyat. Ketika proses untuk mengadaptasi unit baru, tidak mudah bagi rakyat. Apabila mereka mahu menggunakan piawaian unit yang dibawa oleh Akademi Sains, mereka juga terguna piawaian unit yang lama.
Pada ketika ini, cuma Perancis saja tetapkan piawaian unit supaya memudahkan urusan mereka. Sewaktu pemerintahan Napoleon, unit berasaskan sistem metrik merebak ke seluruh Eropah. Akhirnya, manusia mula sedar bertapa pentingnya menetapkan piawaian unit apabila era perdagangan antarabangsa mula berkembang.
Sewaktu
zaman penjajahan, sistem metrik berkembang ke seluruh dunia. United Kingdom
masih belum adaptasi lagi. Kelambatan U.K adalah kerana Amerika Syarikat yang
dahulunya koloni Britain, masih mengamalkan sistem imperial (sistem piawaian
unit lama U.K) bagi unit mereka sehingga kini. Kini, cuma tiga buah negara
sahaja yang tidak mengamalkan sistem metrik iaitu Amerika Syarikat, Liberia dan
Myanmar.
Dahulunya,
1 kilogram didefinisikan sebagai berat aloi platinum-iridium berbentuk silinder
yang disimpan oleh International Bureau
of Weights and Measures di Saint-Cloud, Paris. Pada hari ini, 1 kilogram
telah bertukar definisi dengan menggunakan pemalar Planck dan berat arus
elektrik yang disukar menggunakan penimbang Kibble yang disimpan di National Institute of Standards and
Technology (NIST). Seruan pendefinisian semula adalah untuk mendapatkan
definisi yang lebih tepat untuk unit-unit ukuran. Saintis berpendapat,
penggunaan artifak fizikal tidak dapat memberikan nilai tepat kerana artifak
mudah rapuh dan terdedah dengan gangguan luar.




No comments yet