Penafian
1) Hampir semua gambar yang disiarkan di artikel ini dimiliki oleh warga internet sejagat.
Pendahuluan
Kita secara umum tahu apa itu Meme. Ia sebuah ikut-ikutan yang telah lama wujud di dunia internet sejak sekian lama.
Disebut sebagai ‘Meem’, senada dengan ‘seem’ dan ‘team’, ia merupakan singkatan kepada perkataan Yunani atau Greek, ‘mimeme’, yang bermaksud ‘perkara yang ditiru’.
Terdapat ramai golongan yang menggemari meme tak mengira jantina, bangsa, atau usia, tak kurang juga yang tidak minat, benci, malah tidak tahu. Kebiasaannya meme kurang diminati atau diketahui oleh sebahagian kalangan senior dalam kehidupan iaitu warga emas, atau golongan yang terhad pendedahannya terhadap dunia internet atas sebab-sebab tertentu yang agak rawak dan pelbagai.
Sejarah Meme
Penggunaan meme mungkin telah bermula lebih awal dari rekod. Apapun, meme pertama yang diketahui ialah pada sekitar tahun 1870an, yang mana ia dikenali sebagai ‘LOLcats’. Harry Whittier, seorang jurugambar Brighton telah mengambil gambar kucing peliharaannya dan gambar tersebut dijadikan sebagai kad ucapan yang yang disertakan teks atau kapsyen ‘WHAT’S DELAYING MY DINNER?’
Menurut Richard Dawkins melalui buku yang ditulis beliau pada tahun 1976 iaitu ‘The Selfish Gene’ , beliau mentakrifkan meme sebagai ‘sesebuah medium yang digunakan bagi menerangkan maklumat sesebuah kebudayaan tersebut yang disebar ke serata tempat’.
Antara meme yang terkenal pada pertengahan dan lewat tahun 90an ialah ‘Dancing Baby’ dan ‘Dancing Hamster’ disebarkan melalui medium e-mel dan laman blog.
Fenomena penyebaran meme ke serata dunia internet meletus seawal tahun 2001. Antara laman sesawang terawal yang mencipta kebanyakan meme yang kita kenal hingga sekarang ialah 4chan. Ia diasaskan oleh Christopher Poole, seorang usahawan Amerika pada 1 Oktober 2003.
Laman sesawang tersebut menempatkan beribu jutaan meme, menepati fungsinya sebagai sebuah laman ‘image board’.
Format Meme
Terdapat 6 jenis format yang digunakan sebagai medium penghasilan sesebuah meme, iaitu:-
1) Komik Rage
Strip komik yang kebiasaanya menggunakan format 4 panel, dimana ia menggunakan set tersedia ‘rage face’, atau lukisan kartun muka yang menggambarkan pelbagai jenis perasaan.
2) Makro Imej
Gambar yang menggunakan barisan teks di bahagian atas gambar dan ‘punchline’ di bahagian bawah gambar.
3) Video
Meme yang menggunakan video sebagai medium. Contohnya video yang menggunakan tema ‘Annoyed Bird’ ini.
4) Gambar
Tiada kapsyen, tiada teks, hanya gambar semata-mata. Ia akan jadi kapsyen imej jika dimasukkan teks.
5) GIFs
Meme yang menggunakan format ‘Graphic Interchange Format’.
6) Komersial
Iklan yang dicipta oleh jenama-jenama terkenal yang menggunakan meme sebagai teknik persembahan iklan mereka.
Nilai Sesebuah Meme
Semestinya apa yang kita lakukan pasti mempunyai nilai yang tersendiri, sama ada dari segi moral, peluang, malah wang sekalipun. Berikut dua contoh meme yang mampu menjana pendapatan dari segi wang.
1) I Can Has Cheezburger?
Dengan menggunakan kapsyen yang mencampak tatabahasa ke luar tingkap, ia direka oleh seorang blogger Hawaii, Eric Nakagawa bersama teman wanitanya, Kari Unebasami pada tahun 2007. Ia bernilai US $2 Juta!
Dalam jangka masa setahun, laman blog beliau telah menerima lebih setengah bilion lawatan oleh pengguna internet, menjadikan ia setaraf lawatan yang diterima laman sesawang berita seperti The New York Times dan Huffington.
2) Friday oleh Rebecca Black
Rebecca Black ialah lambang agung bagi kenyataan ‘Publisiti buruk lebih baik dari tiada langsung publisiti’. Lagu single yang dibikin dan dimuatnaik di laman YouTube pada tahun 2011 ini dibenci oleh orang awam, dimana ia mengumpulkan 3.1 Juta dislike, namun ia merupakan sebuah kejayaan dari segi komersial. Ia bernilai US $1.4 Juta!
Lagu tersebut telah mencapai 167 juta penonton dan mempunyai ratusan parodi. Lagu ini juga telah dimuat turun sebanyak 2 juta kali di dalam laman iTunes, dimana bayaran setiap satu muat turun adalah US $0.70.
Antara Meme yang Dikenali Ramai
Populariti sesebuah meme bergantung kepada ‘target audience’, budaya sesebuah masyarakat, dan kesesuaian dalam mengaitkan meme yang berkenaan terhadap kehidupan seharian. Setiap benda yang dimuatnaik di internet mempunyai potensi untuk menjadi meme.
Terdapat juga meme yang diolah dari bentuk asal ke bentuk lukisan yang memaparkan watak dari siri tertentu bagi memperkayakan lagi kebolehgunaan sesebuah meme.
Sekiranya saya menyenaraikan semua meme yang terkenal, maka artikel ini akan menjadi terlalu panjang. Oleh itu, saya dengan berat hati membuat sebuah senarai pendek berkenaan 5 meme yang terkenal sejak kewujudan laman 4chan.
1) Chuck Norris Facts
Berikutan penulis artikel ini gagal memaparkan penulisan berkenaan saya secara baik, saya, Chuck Norris akan ambil alih penulisan ini.
Saya mula memunculkan diri di dunia internet pada awal tahun 2005. Berikut merupakan apa yang saya mampu buat, selain menggodam artikel ini.
– Saya mampu cekik sesiapa sahaja menggunakan telefon tanpa wayar.
– Saya pernah mengira hingga infiniti, sebanyak dua kali.
– Saya boleh guna mentega bagi memotong pisau.
– Saya pernah terpijak lego. Lego tersebut menangis kesakitan.
– Pernah dengan ‘Happy Meal’? Saya pernah buat ia menangis kesedihan.
Oleh kerana penulis asal artikel ini tidak mengolah tulisan saya, maka saya dengan senang hati meluluskan artikel ini.
2) Be Like Bill
Meme ini mula terkenal sejak tahun 2015 lagi. Dengan menggunakan gambaran orang lidi bernama ‘Bill’ berlatarbelakangkan warna putih beserta 5 baris teks berkenaan ‘Bill’ dan tindakannya berkaitan isu semasa. Meme ini memakai kapsyen ‘pasif-agresif’ bagi membuat pertimbangan awam tentang pilihan hidup seseorang.
Si Rashid merupakan variasi versi Melayu bagi meme ini.
3) Nyan Cat
Memaparkan video gabungan GIF kucing yang merentas angkasa lepas dengan pelangi sebagai bekas jejak dan lagu ‘ear worm’ yang agak sukar untuk disingkirkan dari minda.
GIF kucing tersebut dihasilkan oleh Christopher Torres warga Dalla, Texas pada 2 April 2011. Manakala lagu tersebut dimuatnaik di laman video Niconico pada 25 Julai 2010 yang memaparkan MMD Vocaloid Hatsune Miku.
4) Keep Calm and Carry On
Meme ini telah wujud sejak zaman Perang Dunia Kedua oleh pihak British, dimana ia mula terkenal lewat tahun 2009 atas sebab krisis ekonomi global yang dihadapi di England.
Ia memaparkan latar belakang berwarna yang disukai, teks ‘Keep Calm and X’, dimana ‘X’ boleh digunakan sebagai apa-apa kenyataan seperti ‘Carry on’, dan ‘Stay Strong’.
5) Expanding Brain
Juga dikenali sebagai Galaxy Brain, ia merupakan kumpulan gambar saiz otak yang boleh digunakan sebagai perbandingan sesebuah pembolehubah. Kebiasaannya digunakan untuk mempamerkan keunggulan intelektual ke atas pelbagai benda, ia lebih banyak digunakan bagi tujuan sindiran sesuatu perkara bagi tujuan komedi.
Templat boleh jadi 3 jenis otak, atau lebih, bergantung terhadap pereka yang mahukan kesan mendalam dalam meme-nya
Meme Rekaan Warga Malaysia
Tulisan saya seolah-olah tidak lengkap jika saya mengabaikan meme yang direka oleh orang kita. Berikut merupakan antara beberapa meme yang dicipta warga Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, saya sendiri baru tahu tentang isu semasa berkenaan ‘Wanita Baling Selipar’ dan ‘Gadis Air Mineral’.
1) Raja Bomoh dan Kelapa
Kejadian pembunuhan Kim Jong-nam pada Februari 2017 tahun lepas menarik perhatian ramai rakyat Malaysia, dimana sebahagian dari mereka meluahkan kerisauan berkenaan kemungkinan serangan bom nuklear oleh Korea Utara. Ibrahim Mat Zin, atau ‘Raja Bomoh Sedunia’ bertindak pergi ke tepi laut bagi melaksanakan upacara bagi ‘melindungi negara Malaysia’ dari ancaman Korea Utara.
Ia menjadi sensasi internet kerana betapa lucu dan mengarutnya tindakan Raja Bomoh’ ini. Beliau kemudiannya membuat permohonan maaf diatas upacara pelik tersebut dan mengaku ia sememangnya dilakukan bagi tujuan publisiti.
2) Wanita Biadab Baling Selipar
Pada 1 Jun 2017, video viral seorang wanita yang menunjukkan jari hantu dan membaling selipar keatas seorang pemandu berbangsa Cina. Kejadian ini bermula apabila warga Cina tersebut membantah tindakan keluarga wanita tersebut merampas tempat parking yang sudah ditunggu pemandu Cina tersebut.
Video dan gambar wanita tersebut kemudiannya diolah oleh rakyat Malaysia yang kreatif dan inovatif menjadi beberapa gambar yang menampilkan poster filem ‘Fast and Furious’. Wanita tersebut juga digelar ‘Unhappy Polla’ baru.
3) Gadis Air Mineral
Poster tersebut menampilkan Nor Shafila Khairusalleh menawarkan sebotol air mineral kepada pelanggan. Pada asalnya, poster tersebut hanyalah untuk tujuan pengiklanan semata-mata. Sebahagian netizen menganggap poster ini sedikit menyeramkan pada waktu lewat malam.
Ia menjadi sensasi internet rakyat Malaysia serta dikaitkan juga dengan ‘Wanita Baling Selipar’ yang dipetik sebelum ini. Namun, poster tersebut ditarik balik oleh pihak Shell selepas segelintir pihak dikesan melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap poster tersebut.
Meme Berkaitan Anime
1) People Die If They Are Killed
Petikan tersebut berasal dari salah sebuah episode siri anime Fate/Stay Night, dimana Shirou Emiya berbincang dengan Servant beliau, Saber, berkenaan kemampuan beliau untuk mampu bertahan dan pulih dari kecederaan yang biasanya membawa maut.
Penterjemahan dialog tersebut yang disifatkan seperti ‘melepaskan batok di tangga’ telah menjadi bahan ketawa setiap pengguna internet yang mengenali siri anime ini.
2) It’s Over 9000!
Vegeta, salah seorang watak utama siri ‘Dragon Ball’ meluahkan perasaan terkejut dan amarahnya dengan berkata “It’s Over 9000” dalam terjemahan suara bahasa Inggeris. Episod terjemahan suara ke bahasa Inggeris ini disiarkan pada 19 April 1997.
Ia menjadi ‘catchprase’ terkenal yang boleh dikaitkan berkenaan sesuatu yang tidak terkira seperti kuasa dan bilangan.
3) I Hope Senpai Will Notice Me
‘Senpai’ bermaksud senior, kebiasaannya digunakan di sekolah-sekolah, kolej, dan university Jepun. Kebanyakan siri manga dan anime Jepun yang menggunakan sekolah sebagai tema akan menggunakan terma ini, dimana ia boleh dihuraikan sebagai sebuah pencarian seorang junior bagi mendapat pengiktirafan yang dikehendaki dari ‘senpai’ tersebut.
Ia mula digunakan secara meluas dalam bentuk komedi pada lewat tahun 2012.
Garis Panduan Dalam Membikin Meme
Sememangnya sebuah kebiasaan bagi segelintir pihak yang menggunakan meme secara salah sama ada sengaja atau tidak sengaja. Untuk mengelakkan dari melakukan kesilapan dari segi konteks meme, di sini saya akan menyediakan sedikit panduan bagi beberapa meme yang biasa digunakan di alam maya.
1) Sumber Rujukan
Laman sesawang knowyourmeme merupakan laman terbaik sebagai sumber utama sesebuah meme. Rujukan perlu dibuat bagi memastikan meme anda segar dan baik. Rujukan yang dibuat adalah dari segi penggunaan dan juga meme lain yang menggunakan templat meme yang anda ingin pakai.
2) Konteks Kapsyen
Pastikan teks yang digunakan sejajar dengan meme yang digunakan, dan mempunyai kaitan yang kuat berkenaan apa yang cuba disampaikan berkenaan kehidupan seharian atau peristiwa yang berlaku.
3) Ringkas dan Padat
Ayat kapsyen yang direka perlu pendek namun jelas maksudnya. Jangan lupa masukka unsur komedi supaya disukai ramai.
Teknik Membikin Meme Pasti Viral
Anda berminat untuk mereka meme? Tiada masalah, anda boleh membuat meme dan kongsikan ia di mana-mana tempat yang anda suka. Perkara dibawah ini hanyalah garis panduan semata-mata. Cuma elakkan dari tersalah gunakan meme dengan kapsyen yang diluar konteks meme tersebut.
Mestilah diingatkan bahawa bagi pereka meme, mereka tidak boleh memaksa meme mereka menjadi terkenal. Serahkan saja pada masa dan nasib, suatu hari nanti, ia pasti popular.
1) Untuk Tontonan Ramai
Pastikan imej yang digunakan mempunyai daya tarikan terhadap ramai golongan termasuk ‘target audience’ supaya ia dikongsi secara meluas oleh orang ramai.
2) Masukkan Unsur Humor
Gunakan komedi yang dapat dikaitkan dengan mudah berkenaan sesuatu perkara. Ramai orang akan kongsi meme tersebut jika ia amat lucu.
3) Tempat Perkongsian
Hantar meme yang direka ke laman-laman terkenal seperti Facebook, Twitter, Reddit, Instagram, dan sebagainya.
Nota: Naikkan meme tersebut di waktu puncak orang melayari internet pada hari tersebut.
Tema Sesebuah Meme
Seperti yang dinyatakan sebelumnya, setiap meme mempunyai maksudnya yang tersendiri. Berikut merupakan penerangan ringkas berkenaan tema meme yang biasa dilihat di internet.
1) ‘Bad Luck Brian’.
Permulaan sesuatu kenyataan yang baik, namun diakhiri dengan buruk sekali secara mendadak.
2) Unpopular Opinion Puffin
Pernyataan pandangan yang kurang popular di kalangan sekumpulan orang.
3) Confession Kid
Menyatakan sesuatu yang anda lakukan di zaman kanak-kanak adalah amat memalukan apabila umur anda sudah cukup matang untuk menyedarinya.
4) Sudden Clarity Clarence
Menyatakan sebuah kesedaran secara tiba-tiba yang anda tidak pernah terfikir sebelum ini.
5) Minor mistake Marvin
Menerangkan sesuatu situasi yang berlaku akibat kesilapan yang anda lakukan.
6) Joker Mind Loss
Perbandingan antara sebuah situasi yang kebanyakan orang terima dan situasi lain yang mereka tidak terima tanpa tahu apa sebabnya.
7) Am I The Only One Around Here!
Bermula dengan ayat ‘Am I the only one around here’ diikuti dengan perbuatan/fikiran yang anda rasa anda sahaja yang buat/fikir.
8) Advice Mallard – 2 Variasi
• Actual Advice Mallard
Nasihat baik yang orang ramai boleh gunapakai.
• Malicious Advice Mallard
Nasihat buruk bertujuan untuk humor atau memang sengaja beri nasihat buruk.
9) College Guy – 2 Variasi
• College Freshmen
Sesuatu perkara klise yang biasa dilakukan oleh segelintir pelajar kolej semester awal.
• Lazy College Senior
Sesuatu perkara bersempadan dengan perbuatan buruk yang boleh dilakukan oleh segelintir pelajar kolej senior.
10) Social Penguin – 4 Variasi
• Socially Awkward Penguin
Suatu kejanggalan yang anda buat pada peringkat sosial.
• Socially Awesome Penguin
Suatu kehebatan yang anda buat pada peringkat sosial.
• Socially Awkward Awesome Penguin
Mula dengan situasi janggal, diakhiri dengan situasi hebat.
• Socially Awesome Awkward Penguin
Mula dengan situasi hebat, diakhiri dengan situasi janggal.
Antara Meme dan EU
Perkara 13 adalah berkenaan dengan Hak Milik harta intelektual. Kebetulan Meme juga berupa harta intelektual, maka ia termasuk dalam Perkara 13. Dalam hal ini, EU mahu menguatkuasakan undang-undang berkaitan Perkara 13.
Namun ia tidak bermaksud meme akan diharamkan kerana setakat ini, EU masih lagi belum melaksanakan pengharaman perkongsian meme di internet. Mereka cuma mahu menguatkuasakan Perkara 13.
Penutup
Meme, atau ‘meem’ ialah sebuah budaya internet yang bermula sekitar tahun 2000, dimana ia digunapakai untuk perkaitan sesuatu perbuatan harian atau peristiwa, sebagai sebuah usaha bagi meringankan tekanan hidup dan menghilangkan perasaan bosan.
Terdapat pelbagai jenis medium yang mempersembahkan ratusan, malah ribuan variasi meme yang terdiri dari pelbagai tema.
Apakah meme yang anda suka? Sila kongsikan meme kegemaran anda di ruangan komen.
Sebagai penutup, saya tinggalkan sebuah petikan yang agung untuk anda semua:-
“Born too late to explore the Earth. Born too soon to explore the galaxy. Born just in time to post dank memes.”
Rujukan
1) Coffey, S. (2012, February 16). A Brief History of Memes and LOLcats. Diambil dari http://drakejournalism.com
2) Cruz, N. (2013, March 1). History of Memes. Diambil dari https://thehorizonsun.com
3) Carrasco, Ed. (2014). All Your Meme Are Belong To Us. Diambil dari http://newmediarockstars.com
4) Anonymous. (2015, August 25). The Power of Internet Memes And A Lot Of Fun Along The Way. Diambil dari https://1stwebdesigner.com
5) Jordan, M.A. (2014, February 4). What’s in a Meme?. Diambil dari https://www.richarddawkins.net
6) Pelbagai sumber seperti gambar yang diambil dari https://knowyourmeme.com dan https://imgflip.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih