Grigori Rasputin, satu tokoh kontroversi pada awal abad ke-20 di Rusia. Sehingga sekarang, ramai memberi pandangan bercampur-campur berkenaan beliau. Ada masih mengangkatnya sebagai wali dan orang suci. Sementara bagi penentang beliau termasuk Perdana Menteri Rusia ketika itu, Pyotr Stolypin menganggapnya buaya yang memanipulasi keluarga diraja untuk kepentingan dirinya sendiri. Walau apapun persepsi orang ramai terhadap Rasputin, namanya tidak dapat lari dengan skandal.
Siapa sebenarnya Rasputin ini? Dilahirkan di satu perkampungan kecil di Siberia pada tahun 1869, beliau tidak pernah mendapat sebarang pendidikan formal dan tidak tahu membaca dan menulis. Pada tahun-tahun awalnya, sesetengah penduduk kampungnya menganggap beliau ada keupayaan luar biasa sementara sebahagian lagi menyifatkan beliau seorang yang kejam. Ingin menjadi seorang rahib, Rasputin menyertai Biara Venokhoture tetapi meninggalkannya tidak lama selepas itu kerana mahu berkahwin. Pada usia 19 tahun, beliau berkahwin dengan Proskovia Fyodorina dan dikurniakan tiga cahaya mata (dua mati tidak lama selepas dilahirkan). Bagaimanapun, pada usia awal 20-an, beliau meninggalkan keluarganya dan mula mengembara ke Greece dan Timur Tengah serta pernah melakukan beberapa perjalanan ke Baitulmaqdis.
Rasputin mula mendapat tumpuan golongan bangsawan dan kerabat diraja Rusia semasa tiba di St. Petersburg pada 1903. Di sinilah, beliau menggelar dirinya wali yang mempunyai kuasa luar biasa untuk menyembuhkan penyakit dan meramal masa depan seseorang. Dan semuanya berubah pada 1906 apabila Tsar Nicholas II dan isterinya, Alexandra Feodorovna meminta pertolongan beliau untuk merawat putera baginda, Alexis. Dan bila Alexis sembuh daripada penyakit hemofilia hasil ‘rawatan’ Rasputin, Alexandra menjadi penyokong kuat beliau. Walaupun mendakwa dirinya sebagai wali, beliau juga sebenarnya kaki botol dan pantang nampak dahi licin.
Antara 1906-1916, Rasputin mencetuskan skandal dengan meniduri ramai isteri bangsawan atas alasan beliau sebenarnya menyucikan mereka daripada dosa. Beliau mendakwa dengan meniduri mereka, beliau menghapuskan semua dosa mereka dan sekaligus, mendekatkan mereka kepada ‘rahmat Tuhan’ seperti yang didakwanya. Namun, sejarawan dan penulis yang membongkar mitos beliau menganggap Rasputin sebenarnya kaki perempuan yang mempergunakan agama untuk kepentingan dirinya sendiri. Dan kerana hubungan rapatnya dengan pihak istana termasuk dengan Tsarina Alexandra, maka kelompok bangsawan yang mahukan kepentingan mereka terus terpelihara terpaksa mengorbankan isteri atau ahli keluarga mereka kepada beliau.
Dan tingkah laku menjelikkan Rasputin ini mencetuskan kemarahan ramai orang termasuk golongan gereja. Di salah satu biara, seorang biarawati menceritakan tindakan beliau mengadakan pesta seks dan mandi bersama kumpulan biarawati baru di situ. Atas sebab itu, seorang rahib yang kurang waras bernama Iliodor amat berang dengan beliau sehinggakan pada satu ketika mengumpul 120 bom untuk membunuhnya. Iliodor tidak menggunakan bom tersebut, sebaliknya memegang sebilah kapak dan mengancam memotong kemaluan Rasputin. Dalam satu lagi insiden, seorang wali kerdil bernama Mitya Yang Dirahmati (Blessed Mitya) menumbuk dan cuba menarik kemaluan beliau.
Pada tahun-tahun terakhir kehidupannya, ancaman-ancaman ini semakin banyak terutama dari golongan bangsawan. Pada tahun 1915, tatkala Rusia masih berperang dalam Perang Dunia Pertama (WWI), Tsar Nicholas II menggugurkan bapa saudaranya, Grand Duke Nicholas sebagai tindak balas kepada ancaman Nicholas kepada Rasputin untuk menggantung beliau. Dan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bila mana Tsarina Alexandra memihak kepadanya, Rasputin boleh saja memujuk Alexandra untuk melakukan apa yang dimahukannya termasuk mempengaruhi Tsar sendiri. Dikatakan untuk mengelak askar Rusia dari bertempur di barisan hadapan, beliau mengenakan 2000 rouble pada satu-satu masa. Dan beliau juga tidak segan-silu menyatakan pernah meniduri Alexandra walaupun dakwaan tersebut sukar dipercayai dan tiada bukti pada ketika itu. Namun, perkara terakhir yang meningkatkan kemarahan rakyat Rusia pada ketika itu ialah tindakan Rasputin berterusan memujuk Tsar untuk mengundurkan tentera Rusia dari barisan hadapan WWI dan membuat perjanjian damai berasingan dengan pihak musuh. Bagi salah seorang anggota konspirasi pembunuhan beliau, Putera Felix Yusupov II, motifnya bersifat peribadi iaitu membalas dendam tindakan Tsar memecat bapanya yang juga Gabenor Moscow, Putera Felix Yusupov pada tahun 1915 yang dipengaruhi Rasputin. Justeru, satu konspirasi untuk membunuh Rasputin wujud diketuai Putera Felix Yusupov, Leftenan Sergei Sukhotin, Grand Duke Dmitri Pavlovich dan Dr Stanislaus de Lazovert.
Pada 30 Disember 1916, Rasputin dijemput oleh Yusupov ke istananya di St. Petersburg atas alasan meminta bantuan beliau menghapuskan keinginan baginda dengan kaum sejenis demi menjaga kebahagiaan dengan isterinya, Puteri Irina yang dikahwini pada 1914. Bila beliau tiba di istana, baginda membawa beliau ke bilik bawah tanah untuk mengelakkan saksi pada pembunuhan yang bakal berlaku ini. Masih dalam keadaan mabuk kerana minum beberapa jam sebelumnya, beliau diberitahu Puteri Irina berada di atas dan Rasputin boleh bertemu dengan baginda sejurus Yusupov dan tiga rakannya keluar dari istana. Fakta sebenar, Puteri Irina langsung tiada di St. Petersburg kerana berada di sebuah lagi istana Yusupov di Crimea.
Mengikut versi Yusupov, mereka memberi makan manisan dan wain yang dicampur dengan sianida kepada Rasputin. Walau sebanyak mana racun yang diberi, Rasputin dilihat tidak terkesan malah terus bertanya bila beliau boleh bertemu dengan Puteri Irina. Lalu, baginda mengambil sepucuk revolver dan menembak satu das peluru tepat di dada beliau. Menyangka Rasputin sudah mati, Yusupov mengarahkan rakan-rakan konspirasinya mewujudkan jejak bahawa beliau sudah kembali ke apartmen. Ini dilakukan dengan meminta Leftenan Sergei Sukhotin memakai topi dan kot bagi menampakkan beliau masih hidup. Bila mereka kembali ke istana, Yusupov memeriksa mayat untuk mengesahkan kematian Rasputin. Tanpa disangka-sangka, beliau dilihat hidup semula dengan menyerang baginda tetapi Yusupov berjaya melepaskan diri dan segera berlari ke atas. Rasputin segera mengejarnya tetapi bila berada di halaman istana, beliau sekali lagi ditembak beberapa das oleh Vladimir Purishkevich. Setelah memastikan beliau benar-benar mati, mayatnya dibungkus dengan kain dan ahli-ahli konspirasi mencampakkan mayatnya dari Jambatan Petrovsky ke dalam Sungai Malaya Nevka.
Selepas mayatnya berjaya dijumpai, Tsarina Alexandra memerintahkan mayat Rasputin ditanam di kawasan Tsarskoye Selo. Selepas Revolusi Februari tercetus, sekumpulan pekerja menemui mayat beliau lalu membawanya ke dalam hutan berdekatan dan membakarnya di situ. Namun semasa proses pembakaran berlaku, Rasputin dilihat duduk dalam unggun api dan cuba untuk bangun. Pekerja yang melihat insiden tersebut segera melarikan diri. Penjelasan sebenar bagi insiden ini ialah mereka yang menguruskan proses pembakaran tidak berpengalaman dan proses pembakaran itu sendiri dilihat tidak sempurna. Walau apapun penjelasan yang diberi, Edvard Radzinksy dalam bukunya, The Rasputin File menyifatkan kejadian tersebut menambah lagi elemen mistik yang menyelubungi Rasputin untuk tahun-tahun mendatang selepas kematiannya.
Beberapa cerita menyatakan anggota konspirasi turut memotong bahagian kemaluannya. Ini membawa kepada dakwaan kemaluannya dimiliki pihak ketiga termasuk sebuah muzium di St. Petersburg yang mendakwa menyimpan bahagian tersebut. Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan Douglas Smith, penulis buku Rasputin: Faith, Power and The Twilight of The Romanovs di mana alat kelamin beliau masih ada pada mayatnya dan cerita kemaluan tersebut adalah palsu.
Versi Felix Yusupov II ialah versi peristiwa pembunuhan Rasputin yang diterima ramai walaupun ramai penulis dan sejarawan meragui kesahihannya. Berkenaan kisah beliau diracun sianida kerana memakan manisan dan wain, ini dipertikaikan ramai kerana beliau enggan mengambil makanan manis seperti kek atas alasan ia boleh menjejaskan kuasa luar biasanya. Dan ini disokong dengan tiga laporan bedah siasat oleh Profesor Kossorotov pada tahun 1916, semakan semula oleh Vladimir Zharov pada tahun 1993 dan Profesor Derrick Pounder pada tahun 2004/2005 yang tidak menjumpai sebarang kesan racun dalam mayatnya. Laporan forensik tidak dapat menentukan sama ada Rasputin mati lemas atau tidak atau jenis kaliber peluru dan pistol digunakan untuk membunuhnya. Namun laporan forensik mengesahkan bahawa beliau dipukul secara sistematik dan diserang dengan senjata tajam.
Satu lagi kisah timbul daripada peristiwa pembunuhan ini ialah khabar angin pembabitan ejen-ejen Perkhidmatan Perisikan Rahsia (SIS/MI-6). Menurut teori ini, kerajaan Britain khuatir tindakan Rasputin berterusan memujuk Tsar mengundurkan semua tenteranya dari Barisan Timur dan berdamai dengan Jerman, sekaligus membantu Jerman memindahkan lebih ramai askar ke Barisan Barat untuk menghadapi ancaman Britain dan Perancis. Dengan pembunuhan Rasputin, Rusia akan terus berperang dan Jerman terpaksa meneruskan perang di Barisan Timur. Ahli-ahli teori ini turut menyatakan Oswald Rayner dan Sir Samuel Hoare sebagai antara ahli konspirasi bersama Yusupov membunuh beliau. Antara bukti kukuh yang digunakan ahli-ahli untuk menyokong teori ini ialah surat-surat beberapa pegawai perisikan Britain seperti Stephen Alley dan Rayner kepada keluarga mereka tentang pembabitan kerajaan British dalam pembunuhan Rasputin. Mereka turut berhujah pistol revolver yang digunakan untuk menembak Rasputin ialah pistol buatan Britain.
Namun teori ini ditolak sekeras-kerasnya oleh ramai penulis dan sejarawan. Douglas Smith menyatakan surat-surat yang dijadikan bukti pembabitan Britain dalam pembunuhan Rasputin boleh saja jadi bukti terbaik pembabitan kuasa besar tersebut tetapi ia tidak pula mengesahkan apa jenis bantuan dan berapa jauh penglibatan mereka. Smith turut menyatakan surat-surat tersebut gagal mengesahkan pihak Britain terlibat merancang plot pembunuhan atau ada di istana Yusupov semasa beliau mati dibunuh. Smith turut menempelak bukti pistol revolver Britain yang digunakan kerana pada ketika itu, pihak berkuasa pada ketika itu dan pakar-pakar forensik pada hari ini sukar menentukan jenis kaliber peluru digunakan atau jenis pistol yang digunakan semasa pembunuhan. Bukti gambar Rasputin yang digunakan untuk menyokong bukti pistol revolver buatan Britain turut ditempelak kerana ia tidak tepat dan tidak menyakinkan langsung. Satu lagi pukulan maut kepada teori ini ialah berdasarkan semakan arkib MI-6, tidak ada satu fail sekalipun yang menyebut pembunuhan Rasputin. Jika benar perkara tersebut wujud, pastinya ia akan disebut dalam mana-mana laporan perisikan tetapi ia tidak wujud langsung.
Sumber:
1. Simkin, John. (1997). Spartacus Education. Sergei Mikhailov Sukhotin. http://spartacus-educational.com/RUSsukhotinM.htm
2. History.com. (2009). Rasputin is murdered. http://www.history.com/this-day-in-history/rasputin-is-murdered
3. Harris, Carolyn. (2016). Smithsonian.com. The Murder of Rasputin. http://www.smithsonianmag.com/history/murder-rasputin-100-years-later-180961572/
4. Bloomfield, Adrian. (2007). The Telegraph. Britain killed Rasputin, claims Russia film. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/1555030/Britain-killed-Rasputin-claims-Russian-film.html
5. Osborn, Andrew. (2011). The Telegraph. Grigory Rasputin: the ‘Mad Monk’ who was hard to kill. http://www.telegraph.co.uk/news/worldnews/europe/russia/8433003/Grigory-Rasputin-the-Mad-Monk-who-was-hard-to-kill.html
6. BBC News. (2016). How was Russian mystic Rasputin murdered. http://www.bbc.co.uk/news/world-europe-38469903
7. Welch, Frances. (2014). Daily Mail. The sexual obsession that drove Rasputin to his death: Countless myths have been woven about him. But a dazzling book, using private diaries, reveals new details of the self-styled ‘Christ in miniature’. http://www.dailymail.co.uk/news/article-2553577/The-sexual-obsession-drove-Rasputin-death-Countless-myths-woven-But-dazzling-book-using-private-diaries-reveals-new-details-self-styled-Christ-miniature.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih