Program vaksinasi sedang menunjukkan keberkesanannya seperti yang dijangka selama ini. Malaysia sudah mengagihkan 48.67 juta dos, yang berjaya menurunkan kadar kebolehjangkitan secara berkala. Rentasan negeri sudah dibuka sejak 10 Oktober 2021.
Hampir dua minggu sudah berlalu. Dan angka harian COVID-19 tidak melambung seperti dulu. Namun sekarang bukan masa yang sesuai untuk berasa selesa.
Pencapaian ini tidak membawa sebarang makna, kalau ada gelombang baru pula. Ramadan sudah dekat. Dalam lima bulan sahaja, disusuli Aidilfitri yang mesti disambut gilang gemilang dengan kunjungan sanak saudara.
Itulah sebab semua perlu ambil cakna tentang dos penggalak vaksin COVID-19. Pertama sekali, saintis bukan Tuhan. Ramai dalam kalangan saintis sedang curah keringat cuba faham SARS-CoV-2 (virus yang menyebabkan COVID-19).
Satu demi satu ujian perlu dilaksanakan.
Setiap hari, dunia belajar benda baru pasal SARS-CoV-2 dalam usaha untuk menewaskan COVID-19. Kebetulan pula penyelidikan vaksin selesai lebih awal untuk dibandingkan dengan ubat COVID-19.
Berbeza dengan tanggapan umum pula, vaksin bukan kebal setiap masa. Ambil contoh vaksin Influenza. Setiap tahun kena tukar baru sebab kadar mutasi virus Influenza sangat cepat (Adamson, 2021). Ramai dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat mendapatkan vaksin Influenza setiap tahun. Jadi definisi “dos penggalak” mungkin sekadar untuk memudahkan pemahaman orang ramai. Di sana setiap tahun terima “dos penggalak”. Sangat biasa. Sangat normal.
Joe Biden mendapat dos penggalak.
Takdir menentukan yang Malaysia akan berkongsi nasib sama seperti Amerika Syarikat. COVID-19 walaupun semakin tewas belum hilang lagi. Seorang pakar biologi bernama Jesse Bloom meluangkan masa beberapa tahun untuk faham tentang mutasi sesuatu virus.
Beliau mendapati, “sesuatu virus boleh berevolusi dalam skala masa dan persekitaran berbeza walaupun sama spesis” (Haseltine, 2021). Jadi saintis khuatir jika SARS-CoV-2 boleh tewaskan vaksin sedia ada. Virus sentiasa bermutasi. Faham situ dulu.
Teknik “Campur dan Padan” Yang Selamat
Terdahulu ramai berasa bimbang tentang keselamatan vaksin COVID-19. Kata mereka, vaksin dibuat begitu cepat. Padahal lambat sebenarnya sebab ilmu pasal koronavirus sudah ditimba sejak 50 tahun lalu (siap kaji penularan SARS 2003 dan MERS 2012 lagi).
Pejam celik terbukti program vaksin sebenarnya sangat selamat siap berkesan lagi. Tetapi sekarang, ada kerisauan baru pula. Dulu Comirnaty, CoronaVac dan Vaxzevria dipadankan dengan jenama sama. Sekarang penerima CoronaVac akan terima satu dos Comirnaty pula. Teknik ini dipanggil “campur dan padan”, atau dalam bahasa saintifik “heterologous vaccination”.
Sebenarnya teknik “campur dan padan” sudah dimulakan sejak Jun 2021 lagi, yang mana Comirnaty dipadankan dengan Vaxzevria untuk lebih cepat mencapai imuniti kelompok (Shaw, et al., 2021). Lebih cepat memang satu hal.
Rakyat boleh pilih ikut stok yang ada, tanpa perlu menunggu berbulan-bulan. Tidak cukup cepat, teknik “campur dan padan” meningkatkan kadar antibodi begitu tinggi dan menghasilkan tindak balas imuniti sangat kuat (Callaway, 2021).
Gandingan tiga vaksin ibaratkan tali pinggang keledar ini.
Bermakna Malaysia tidak memandai bab ini. Amerika Syarikat sudah membenarkan campuran Moderna dan Johnson & Johnson (Stieg, 2021). Malaysia pula menggunakan CoronaVac daripada Sinovac. Jadi Malaysia hanya perlu padankan CoronaVac dengan Comirnaty.
Penerima CoronaVac boleh mempertimbang peluang emas ini terutamanya golongan yang sentiasa berada di luar, seperti penghantar makanan dan barangan.
Kalau boleh, Malaysia perlu mengurangkan kadar harian COVID-19 sampai sifar terus. Senang untuk bekerja. Selamat untuk semua. Ekonomi pun boleh bangun semula memberikan potensi perkembangan untuk dimanfaatkan semua.
RUJUKAN:
Adamson, C. (2021). Antiviral Agents. MDPI. Halaman 152.
Callaway, E. (2021, Oktober 21). Mix-and-match COVID vaccines ace the effectiveness test. Nature.
Haseltine, W. (2021, Februari 11). Covid-19 Could End Up Like The Flu – Or Worse. Forbes.
Shaw, R., et al. (2021, Mei 29). Heterologous prime-boost COVID-19 vaccination: initial reactogenicity data. 397 (10289): 2043-2046.
Stieg, C. (2021, Oktober 22). Mix-and-match boosters are here – here’s how to choose the best one for you. CNBC.




No comments yet