Bersempena
sambutan hari raya Aidiladha yang bakal diraikan oleh umat Islam di seluruh
dunia tidak lama lagi, sesuai kiranya kami dari The Patriots berkongsikan
sebuah berita arkeologi yang pastinya sangat dekat dengan hati kita sebagai
umat Islam.
Penemuan kali ini melibatkan sebuah masjid yang diperkirakan berusia hampir 1400 tahun (sekitar abad ke-7 atau ke-8M), hanya beberapa tahun selepas kewafatan baginda Nabi Muhammad s.a.w. (632M).
Masjid ini ditemui semasa ahli-ahli arkeologi dari Jabatan Barangan Antik Israel (IAA) menjalankan kerja pemantauan di tapak pembinaan sebuah petempatan yang akan didirikan tidak lama lagi.
Sebagai sebuah negara yang kaya dengan sejarah dan turut maklum sebagai tanah para anbiya, kejadian sebegini merupakan suatu kebiasaan di negara haram Israel – iaitu penemuan arkeologi dijumpai semasa sesebuah pembinaan baru hendak dijalankan.
Sejumlah pemuda
dan masyarakat badwi tempatan turut diberikan upah untuk mengambil bahagian
dalam kerja-kerja ekskavasi melibatkan masjid ini yang ditemukan di gurun
Negev, negara haram Israel pada hari Khamis, tanggal 19 Julai 2019. Lokasi
tepat penemuan tersebut adalah di bandar Rahat.
Pengarah bagi
kerja-kerja ekskavasi ini yang bernama Jon Seligman dan Shahar Zur
masing-masing memaklumkan bahawa masjid ini merupakan satu penemuan yang jarang
(rare) berlaku di mana-mana ceruk dunia sekalipun, terutama di wilayah
utara Be’er Sheva. “Tiada bangunan sebegini pernah ditemui sebelum ini”, ujar
mereka.
Kenyataan yang
dibuat ini sememangnya tidak berlebih-lebihan, kerana sebagaimana yang boleh
dilihat di dalam gambar yang disertakan, masjid ini sama sekali berbeza dengan
masjid-masjid tertua yang pernah ditemui sebelum ini seperti Masjid Besar atau
Masjid Umayyah di Damsyik, Syria (abad ke-8) yang memiliki seni bina yang
megah. Masjid ini sebaliknya hanyalah sebuah binaan berbentuk segi empat tepat
bersaiz kecil tanpa kubah mahupun bumbung – terdedah tidak bertutup. Kalau
bukan kerana mihrabnya yang menghadap ke arah kiblat (Mekah) di selatan, sudah
tentu identiti binaan ini sebagai sebuah masjid tidak dapat dikesan.
Masjid yang
diperkirakan dibina pada zaman para sahabat menyebarkan Islam ke Levant (Zaman
Pembukaan Syam, sekitar 636M) ini turut ditemui bersama sebuah petempatan
petani yang dipercayai telah pun beroperasi dan dihuni sejak bumi itu masih
lagi merupakan sebahagian daripada jajahan Empayar Byzantine (kurun ke-5 atau
ke-6 Masihi). Antara yang ditemukan adalah ruang-ruang kamar, ruang penyimpanan
awam, dan perkarangan awam yang dilengkapi ketuhar tidak-bertutup.
“Penemuan kampung
dan masjid di kawasan ini merupakan satu sumbangan yang signifikan kepada
sejarah berkenaan zaman peperangan bagi negara ini,” ujar Gideon Avni yang
merupakan ketua jabatan arkeologi di IAA merangkap pensyarah di Universiti
Hebrew di Jerusalem.
Masjid Umayyah di Damsyik, Syria yang dibina pada masa yang lebih kurang sama seperti masjid yang ditemui di Israel ini (malangnya Masjid Umayyah telah musnah akibat serangan militan ISIS)
Dengan sejumlah
signifikasi yang dipikul oleh masjid ini – antara masjid tertua di dunia,
masjid yang dibangunkan di zaman sahabat dan tabi’in, rumah ibadah yang sangat
unik, dan bermacam-macam lagi signifikasi lain – sudah tentu masjid dan petempatan
ini berupaya menambat perhatian dan minat yang bukan kecil dari masyarakat Islam
sedunia khususnya.
Berdirinya masjid
kecil ini menjadi saksi hidup kepada semangat juang, ketaatan dan kesediaan
untuk berkorban yang dipamerkan oleh para sahabat dan tabi’in semasa
menyebarkan Islam ke Levant, menghadapi empayar gergasi Byzantine – suatu semangat
yang lama masa dahulu dipersembahkan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang
mana episod tersebut diabadikan pada tarikh perayaan yang bakal kita raikan
ini.
Kini, pihak
arkeologis masih cuba mengenal pasti cara yang sesuai untuk menyepadukan tapak
arkeologi berharga ini ke dalam projek pembinaan kawasan kejiranan yang hendak
dibina itu. Ini merupakan suatu sikap yang perlu dipuji dan diteladani di mana
dalam mengejar kemajuan dan pembangunan, nilai sejarah yang tersimpan di tapak
yang dihajatkan untuk dibangunkan itu tidak dikesampingkan sebaliknya dipelihara
dan ditonjolkan seupaya mungkin bersama pemajuan yang mahu dilakukan.
RUJUKAN
Ashley Cowie. (24
Julai 2019). One of the Oldest Islamic Holy Sites in the World Discovered in
Israel. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mosque-israel-0012343
Rami Amichay. (18 Julai 2019). Archaeologist find mosque frome when Islam arrived in holy land. Reuters. https://www.reuters.com/article/us-archaeology-israel-mosque/archaeologists-find-mosque-from-when-islam-arrived-in-holy-land-idUSKCN1UD21Z
Reuters. (19 Julai 2019). Mosque Dating from Islam’s arrival in Holy Land found. Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2019/07/19/world/science-health-world/mosque-dating-islams-arrival-holy-land-found
Stephanie Pappas.
(21 Julai 2019). This Ancient Mosque in Israel May Have Been Built Just A Few
Years After Muhammed’s Death. Live Science.
https://www.livescience.com/65993-rural-mosque-just-before-muhammed-death.html




No comments yet