Nama Marie Curie tidak asing lagi dalam penyelidikan Sains. Jasa beliau dalam bidang Kimia dan Fizik membawa kepada penggunaan sinar-x memberi banyak manfaat bagi tujuan perubatan terutamanya pencegahan kanser. Beliau juga disanjungi kerana menjadi wanita pertama yang berjaya meraih Anugerah Nobel dan satu-satunya tokoh yang berjaya mendapat dua Anugerah Nobel sepanjang hayat.

Antara pencapaiannya ialah penemuan elemen baru iaitu radium dan ponium dan memperkenalkan teori radioaktif. Kejayaannya dalam mendapat tempat dalam bidang sains bukanlah perkara yang mudah. Semuanya dilalui dengan kesukaran dan diskriminasi masyarakat terhadap wanita dalam pendidikan peringkat tinggi.  Marie Curie sehingga kini menjadi inspirasi buat semua wanita untuk tetap teguh mencapai cita-cita dan mengubah persepsi orang ramai tentang kebolehan wanita dalam ilmu sains.

Marie Curie atau nama sebenarnya Maria Salomea Sklodowska dilahirkan di Warsaw, Poland pada 7 November 1867. Beliau tinggal bersama ibu bapanya yang bekerja sebagai guru dan adik beradik yang lain. Sejak awal kehidupannya, beliau terpaksa berhadapan dengan peritnya kehilangan orang tersayang iaitu kakaknya ketika beliau berusia 8 tahun dan disusuli oleh ibunya ketika beliau berumur 11 tahun. Namun, kesedihan tersebut tidak menjadi penghalang semangat Marie untuk meneruskan minatnya dalam pelajaran.

Setelah Marie tamat persekolahan ketika berumur 15 tahun, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran di universiti tempatan. Namun, permohonannya ditolak hanya kerana beliau seorang perempuan. Beliau mula mencari ikhtiar lain demi menyambung pelajaran dan berjaya masuk ke Universiti Sorbonne, Paris pada 1891. Beliau kemudian menyambung masters di bidang Fizik dan Matematik.

Kehidupan di Kota Paris menemukan Marie dengan suaminya, Pierre Curie yang berkongsi minat  terhadap bidang yang sama. Pierre yang memiliki makmal peribadi di Fakulti Kimia dan Fizik di Paris memberi peluang buat Marie untuk menumpukan minatnya dalam bidang kajian.

Walaupun makmal tersebut serba kekurangan, kerja keras mereka berdua akhirnya membuahkan hasil apabila penyelidikan mereka yang terperinci dalam fenomena radioaktif yang ditemukan oleh Henri Becquerel berjaya dan melayakkan mereka bertiga sebagai penerima Anugerah Nobel dalam bidang Fizik pada 1903. Marie juga berjaya lulus pengajian dalam peringkat falsafah kedoktoran dalam bidang Fizik pada tahun yang sama.

Marie dan suaminya Pierre Curie di makmal Universiti Sorbonne, Paris.

Marie diuji lagi dengan kematian suaminya pada 1906. Namun, beliau tidak goyah dan tabah membawa semangat suaminya lalu menggantikan tempatnya sebagai pensyarah di Universiti Sorbonne. Beliau merupakan wanita terawal yang memegang kedudukan penting dalam institusi pendidikan tinggi. Minatnya yang tidak pernah pudar dalam bidang penyelidikan mendorongnya sehingga berjaya mendapat Anugerah Nobel kedua pada tahun 1911 kali ini dalam bidang Kimia. Anugerah ini diberikan kerana jasa beliau dalam menemukan dua elemen radioaktif iaitu radium dan polonium.

Henri Becquerel dan pasangan Curie berjaya membuktikan teori radioaktif dan memenangi Anugerah Nobel pada 1903 dalam bidang Fizik. (Foto Kredit : serious-science.org)

Ketika perang dunia pertama, Marie Curie berjaya mencipta mesin x-ray pertama yang dinamakan “Petite Curies”. Mesin ini merupakan bantuan besar bagi mendiagnos askar perang yang tercedera. Teknologi yang dicipta Marie ini sama dengan mesin x-ray fluoroskopi di Marie Curie Hospice yang terletak di Hampstead yang masih digunakan sehingga kini. Mesin ini mampu menjejak pergerakan dalam badan manusia seperti degupan jantung dan pergerakan otot leher semasa menelan.

Selepas peperangan berakhir, Marie masih aktif melakukan kajian dan berjaya memenangi beberapa anugerah sekitar 1921 hingga 1931. Selain Hospis, Hospital Marie Curie juga dibuka di Utara London dan didominasi sepenuhnya oleh pegawai dan staff perubatan wanita bagi memperingati sumbangan Marie dalam bidang sains.

Marie merupakan satu-satunya wanita yang menghadiri persidangan Solvay yang pertama di Brussels. Persidangan ini turut dihadiri oleh saintis terkemuka, Albert Einstein (Foto Kredit : en.wikipedia.org)

Beliau meninggal dunia pada 4 Julai 1934 di Perancis kerana anaemia yang disebabkan oleh tubuhnya yang sering terdedah kepada sinaran radioaktif berbahaya ketika menjalankan eksperimen. Teori yang diperkenalkan oleh Marie Curie diguna pakai untuk pembuatan mesin x-ray yang kita gunakan sehingga ke hari ini dan merupakan antara salah satu penemuan terhebat dalam teknologi sains.

Marie Curie merupakan bukti bahawa wanita juga boleh berjaya dalam bidang yang didominasi oleh lelaki. Sehingga sekarang pun, kita dapat lihat yang bidang ini lebih banyak diceburi oleh kaum lelaki. Pandangan orang lain terhadap kita tidak akan sekali-kali menurunkan nilai yang ada pada diri.

Oleh itu, berusahalah bersungguh-sungguh untuk membuktikan yang tanggapan mereka salah dan kita juga boleh meraih kejayaan seperti orang lain. Seperti kata Marie Curie “Hidup ini tidak mudah buat sesiapa pun. Tetapi apa yang kita boleh buat? Kita perlu tetap teguh dengan pendirian dan yakin pada diri bahawa kita berbakat untuk sesuatu dan perkara ini mesti dicapai.”

Sumber:

Ruschkowski, Brittany (2016). Pearson. Inspirational Women: Marie Curie. https://www.pearsoned.com/inspirational-women-marie-curie/

Marie Curie. Marie Curie the scientist. https://www.mariecurie.org.uk/who/our-history/marie-curie-the-scientist


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang pencinta sastera dan perfileman tempatan dan antarabangsa. Mempunyai minat yang mendalam pada kesenian, sejarah dan tradisi lokal. Tak akan berhenti menulis selagi masih ada budaya dan seni nusantara yang belum dibicarakan.

Comments are closed.