Beberapa tahun lepas, kalau orang sebut ayam gepuk, mungkin ramai yang akan garu kepala. Kita lebih biasa dengar ayam penyet. Ayam goreng, nasi putih, sambal, tauhu, tempe, timun. Itu memang menu yang cukup dekat dengan tekak orang Malaysia.
Tapi hari ini, cuba tengok sekeliling.
Pergi Shah Alam ada ayam gepuk. Seksyen 7 tu kau pusing depan UiTM bersepah ayam gepuk. Pergi Puchong ada ayam gepuk. Pergi Gombak ada ayam gepuk. Buka Grab, Foodpanda pun berlambak ayam gepuk. Masuk TikTok, lagi tak payah cerita. Ada yang viral sebab sambal dia pedas sampai berpeluh dahi, viral sebab orang beratur panjang. Tak kira lagi pasal yang viral sebab isu halal, kebersihan dan status pemilik kedai.
Persoalannya, mana datangnya ayam gepuk ini sebenarnya? Siapa yang mula bawa masuk ke Malaysia? Dan kenapa tiba-tiba ia tumbuh merata-rata macam cendawan lepas hujan?
Asasnya, perkataan “gepuk” ini kuat dikaitkan dengan masakan Sunda dari Jawa Barat terutama hidangan empal gepuk iaitu daging yang direbus lalu dipukul supaya lebih lembut. Dalam ayam gepuk, konsep itu digunakan pada ayam goreng yang diketuk sedikit. Tapi jangan salah faham, ayam gepuk yang orang kenal hari ini bukan kuat pada ayam yang diketuk semata-mata. Identiti sebenar dia ada pada sambal gesek.
Sambal ayam gepuk biasanya dibuat daripada cili, bawang putih, garam, kacang gajus dan minyak panas yang digesek sampai jadi pekat, pedas, lemak dan wangi. Sebab itu bila orang makan ayam gepuk, yang mereka cari bukan setakat rasa ayam goreng. Mereka cari sambal gajus yang melekat pada ayam, pedasnya menyengat, tapi lemaknya buat tangan tetap nak menyuap.
Ramai orang selalu keliru antara ayam penyet, ayam gepuk dan ayam geprek. Nampak macam sama sebab semuanya datang dengan ayam, nasi, sambal, tauhu dan tempe. Tapi bezanya tetap ada. Ayam penyet lebih sinonim dengan ayam goreng yang dipenyet bersama sambal, biasanya sambalnya lebih berasaskan cili dan tomato dengan rasa pedas masam. Ayam geprek pula biasanya guna ayam goreng tepung yang rangup, kemudian dihancurkan bersama sambal cili yang lebih mentah dan pedas terus. Ayam gepuk pula lebih dikenali dengan ayam goreng biasa atau berempah, digepuk sedikit, kemudian dimakan dengan sambal gesek gajus yang pekat, berminyak dan berlemak.
Sebab itu ayam gepuk yang sedap bukan pasal ayam besar atau sambal pedas gila. Ayam dia kena rangup di luar tapi isi masih juicy. Sambal gajus kena pekat, bukan hanya minyak bercampur kacang. Tempe dan tauhu kena cukup gorengnya. Kobis goreng pula jadi pelengkap yang buat satu pinggan itu rasa cukup. Di situlah beza ayam gepuk biasa-biasa dengan ayam gepuk yang orang sanggup beratur.
Antara jenama paling besar yang mempopularkan ayam gepuk ialah Ayam Gepuk Pak Gembus. Jenama ini berasal dari Yogyakarta, Indonesia dan diasaskan oleh Rido Nurul Adityawan. Menariknya, nama beliau bukan pun Gembus. “Gembus” itu hanyalah nama panggilan beliau sejak kecil. Tapi daripada nama panggilan itu, lahirlah satu jenama makanan yang hari ini dikenali sampai ke Malaysia dan Singapura.
Kisah Pak Gembus ini bermula sekitar tahun 2013. Waktu itu, Rido bekerja sebagai pekerja pejabat. Beliau bukan bermula sebagai tauke besar yang terus ada restoran besar, dapur lengkap dan modal berjuta-juta. Modal awalnya sekitar 19 juta rupiah sahaja (lebih kurang RM5,700) hasil simpanan selepas bekerja beberapa tahun. Sebelum itu, hidupnya pun bukan terus senang. Beliau pernah gagal dalam perniagaan ternakan ikan keli, pernah menanggung hutang dan pernah bekerja di ladang kelapa sawit sebelum akhirnya cuba bangkit semula.
Dari situlah ayam gepuk menjadi jalan baharu untuk beliau.
Pada awalnya, Ayam Gepuk Pak Gembus bukanlah restoran besar. Ia bermula dari gerai kecil di kawasan Jakarta Barat. Konsepnya sederhana. Bukan tempat makan mewah dan bukan restoran berhawa dingin dengan dekorasi mahal. Tapi kekuatan utamanya ialah pada ayam goreng dan sambal pedas yang lain daripada yang lain.
Rido memang suka makanan pedas. Daripada minat itulah beliau mula mencuba pelbagai resipi sambal. Lama-kelamaan, beliau menemui ramuan yang menjadi identiti Ayam Gepuk Pak Gembus. Sambal itu pedas, berminyak, wangi dan ada rasa lemak yang membuatkan orang teringat-ingat. Inilah yang membezakan ayam gepuk dengan ayam goreng sambal biasa.
Pada awalnya, perniagaan itu tidak terus meletup. Ada masa jualan hanya sedikit sahaja. Tapi dalam dunia makanan, kalau rasa sudah melekat di lidah pelanggan, ia akan bergerak sendiri. Orang makan, orang cerita. Orang cerita, orang lain datang cuba. Dari situ nama Ayam Gepuk Pak Gembus mula naik sedikit demi sedikit.
Kemudian, sistem francais mula memainkan peranan. Apabila ada pelanggan yang berminat mahu membuka cawangan, Rido mula belajar tentang francais. Dari satu gerai kecil, Ayam Gepuk Pak Gembus berkembang ke beberapa kawasan lain. Cawangan berhampiran kawasan pelajar dan anak muda pula menjadi antara sebab nama jenama ini semakin meletup. Sebab anak muda memang mudah jatuh cinta dengan makanan yang murah, kenyang, pedas dan boleh dijadikan bahan cerita.
Tapi kalau kita bercakap tentang ayam gepuk di Malaysia, ada satu nama yang wajib disebut.
Mohd Firdaus Abd Wahid.
Beliaulah antara individu penting yang membawa Ayam Gepuk Pak Gembus masuk ke Malaysia secara serius. Ketika laporan Harian Metro pada tahun 2018 diterbitkan, Mohd Firdaus baru berusia 27 tahun. Idea itu tercetus ketika beliau bercuti bersama beberapa rakannya di Jogjakarta, Indonesia. Di sana, beliau mencuba sendiri ayam gepuk yang ketika itu sudah agak terkenal di negara seberang.
Sekali makan, terus terpikat.
Bukan setakat terpikat sebagai pelanggan, tetapi beliau nampak satu peluang besar. Pada waktu itu, makanan Indonesia seperti ayam penyet memang sudah lama popular di Malaysia. Tapi ayam gepuk belum benar-benar diperkenalkan secara meluas. Bagi Mohd Firdaus, inilah ruang kosong dalam pasaran makanan Malaysia.
Beliau melihat ayam gepuk ada potensi besar kerana konsepnya sangat dekat dengan selera orang Malaysia. Nasi, ayam goreng, sambal, tauhu dan tempe bukan benda asing untuk kita. Cuma ayam gepuk datang dengan karakter yang lebih kuat. Sambalnya lebih pedas. Ayamnya diperap dengan rempah. Pelanggan pula boleh pilih sendiri tahap kepedasan.
Mohd Firdaus sendiri bukan datang daripada latar belakang dunia makanan. Sebelum terjun dalam perniagaan ini, beliau bekerja dalam bidang pengurusan di pusat kecergasan dan juga menjadi jurulatih kecergasan peribadi. Beliau juga bekas atlet lumba basikal mountain bike. Jadi apabila beliau mengambil keputusan membuka kedai makan, semuanya bermula dari kosong.
Tiada pengalaman besar dalam industri restoran. Tiada jaminan bisnes itu akan menjadi. Yang ada cuma keberanian, keyakinan terhadap rasa ayam gepuk dan keinginan untuk membawa sesuatu yang baharu ke Malaysia.
Cawangan awalnya bermula secara kecil-kecilan di Jalan Gombak. Dari situ, Mohd Firdaus buat banyak perkara sendiri. Beli barang mentah sendiri, urus kedai sendiri, angkut stok guna kereta sendiri dan pada sebelah malam masih bekerja sampingan untuk tambah pendapatan. Tahun pertama pun bukannya terus hidup senang. Keuntungan yang ada digunakan semula untuk mengembangkan kedai.
Tapi sambutan pelanggan sangat memberangsangkan. Dari gerai kecil, nama Ayam Gepuk Pak Gembus mula merebak di sekitar Lembah Klang. Dalam tempoh setahun sahaja, Mohd Firdaus berjaya membuka cawangan keenam Ayam Gepuk Pak Gembus miliknya di sekitar Lembah Klang. Itu kejayaan yang agak besar apatah lagi untuk seseorang yang baru masuk ke dunia makanan tanpa pengalaman.
Salah satu kekuatan Ayam Gepuk Pak Gembus pada waktu itu ialah konsep “tentukan sendiri kepedasanmu”. Pelanggan boleh pilih tahap pedas yang mereka mahu antara 5, 10 atau 15. Kalau baru pertama kali mencuba, biasanya pelanggan disarankan mula dengan tahap 5 dulu. Kalau rasa tak cukup pedas, baru tambah lagi.
Konsep ini sebenarnya sangat bijak. Ia bukan sahaja menjual makanan, tetapi menjual pengalaman. Orang bukan datang hanya untuk makan ayam. Mereka datang untuk menguji diri. Berani makan pedas tahap berapa? Tahan atau tidak? Inilah yang kemudian sangat sesuai dengan budaya media sosial. Bila orang makan pedas, reaksi mereka jadi hiburan.
Sebab itu ayam gepuk sangat mudah viral.
Di Malaysia, ayam gepuk cepat diterima kerana ia tidak terasa terlalu asing. Kita memang bangsa yang biasa makan nasi dengan ayam goreng dan sambal. Orang Malaysia tidak perlu diajar untuk suka pedas. Dari sambal belacan, sambal tumis, cili padi, budu, tempoyak, air asam, semuanya sudah lama menjadi sebahagian daripada budaya makan kita. Jadi apabila ayam gepuk datang dengan sambal yang lebih garang, ia cuma mencabar kita.
Lama-kelamaan, ayam gepuk mula berubah mengikut selera tempatan. Ada yang gabungkan dengan nasi lemak. Ada yang buat versi ayam crispy. Ada yang tambah sambal pelbagai rasa. Ada yang jadikan premis mereka seperti restoran moden. Dari satu jenama besar, lahir pula pelbagai jenama ayam gepuk tempatan seperti Ayam Gepuk Top Global, Ayam Gepuk Artisan, Sambal Berapi Ayam Gepuk dan pelbagai lagi nama yang muncul mengikut kawasan.
Inilah sebabnya ayam gepuk tumbuh merata-rata.
Di Malaysia, Ayam Gepuk Pak Gembus sendiri terus berkembang. Pada tahun 2025, jenama ini sudah mempunyai 77 cawangan di seluruh negara dan menyasarkan 250 cawangan menjelang 2027. Untuk membuka satu cawangan pula, pelaburan boleh mencecah sehingga RM1 juta. Angka ini menunjukkan ayam gepuk sudah menjadi model perniagaan makanan yang serius.
Bila satu makanan mula membawa angka sebesar itu, kita kena faham bahawa ia sudah masuk fasa industri.
Namun apabila sesuatu makanan menjadi terlalu popular, masalah pun mula datang bersama.
Pertama, isu persaingan. Bila terlalu banyak kedai ayam gepuk muncul, pelanggan mula membandingkan semuanya. Sambal siapa paling sedap? Ayam siapa paling besar? Harga siapa paling berbaloi? Kedai siapa paling bersih? Siapa ada sijil halal? Siapa yang tunggang nama ayam gepuk tetapi rasa biasa-biasa sahaja?
Dalam dunia makanan viral, pelanggan cepat datang, tapi pelanggan juga cepat pergi. Kalau rasa tidak konsisten, orang lari. Kalau harga naik tapi hidangan mengecil, orang mula bising. Kalau servis lambat, orang tulis ulasan buruk. Kalau sambal tak cukup “kick”, pelanggan cari kedai lain.
Kedua, isu kebersihan. Baru-baru ini, ada premis ayam gepuk yang tular selepas dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan kerana masalah lesen, kebersihan dan operasi premis. Isu seperti ini memberi kesan besar kepada keyakinan pelanggan. Orang mungkin boleh maafkan makanan lambat sampai, tetapi orang susah nak maafkan premis makanan yang dilihat kotor.
Sebab itu jenama makanan tidak boleh hanya bergantung pada viral. Viral boleh bawa pelanggan masuk. Tapi kebersihan, latihan pekerja, kawalan mutu dan SOP dapur yang membuatkan pelanggan kekal percaya.
Ketiga, isu halal.
Ini isu paling sensitif di Malaysia. Ada beberapa hantaran media sosial yang mempersoalkan status halal premis ayam gepuk tertentu kerana pemilik atau rakan kongsi dikatakan bukan Muslim. Ada pula yang menyebarkan nama pemilik, status syarikat dan dakwaan bahawa premis itu tiada rekod sijil halal.
Di sinilah perbincangan perlu dibuat dengan lebih matang.
Pemilik bukan Muslim tidak bermaksud makanan itu automatik haram. Dalam Islam, status halal makanan bergantung kepada bahan mentah, sumber bekalan, penyembelihan, cara penyediaan, kebersihan, penyimpanan, pengasingan peralatan dan pematuhan syarat halal. Banyak premis atau syarikat dimiliki oleh bukan Muslim tetapi boleh mendapat pensijilan halal jika memenuhi semua syarat yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama, pengguna Muslim juga berhak berhati-hati. Kalau sesuatu premis belum ada sijil halal, pelanggan berhak memilih untuk tidak makan di situ. Itu hak pengguna. Tetapi kita juga perlu berhati-hati sebelum membuat tuduhan berat. “Tiada rekod sijil halal” tidak semestinya bermaksud makanan itu haram. Ia mungkin bermaksud premis belum memohon, masih dalam proses, belum disenaraikan atau memang belum mendapat pengiktirafan rasmi.
Jadi jalan paling selamat ialah semak melalui saluran rasmi, tanya pihak premis dan buat keputusan sendiri dengan tenang.
Pada pendapat korang, adakah ayam gepuk ni akan terus hidup atau akan mati seperti makanan-makanan viral macam aiskrim pasu sebelum ni?




No comments yet