Kita dikejutkan dengan berita pemergian seorang negarawan ulung, Allahyarham Tun Abdul Hamid yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Hakim Negara daripada tahun 2007 sehingga 2008.
Allahyarham adalah seorang pengamal undang dan hakim yang amatlah disegani umum kerana kewibaannya dan kearifan yang tinggi dan tiada tolok bandingnya dalam membuat sebarang penghakiman.
Secara ringkasnya mengenai Tun Abdul Hamid, Allahyarham adalah seorang anak jati Pulau Pinang yang telah mendapatkan ijazah undang-undangnya dari Universiti Kebangsaan Singapura pada tahun 1969.
Beliau kemudiannya telah berkhidmat di pelbagai jabatan dalam sektor perundangan dan kehakiman awam negara. Pertama-tamanya sebagai seorang majistret, sebelum mengamalkan undang-undang sebagai seorang pegawai di Biro Bantuan Guaman.
Permulaan perjalanan kehakiman tingginya pula adalah pada tahun 1990 apabila beliau telah dilantik sebagai seorang Pesuruhjaya Kehakiman. Perlahan-lahan daripada situ, beliau telah menaiki anak tangga hierarki kehakiman negara sehingga pada akhirnya dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 2007 di usianya yang menginjak 65 tahun.
Sayangnya menurut perlembagaan, seseorang individu itu hanya boleh menyandang jawatan itu sehingga berusia 66 tahun. Maka, Tun Abdul Hamid tidak memegang tampuk kehakiman negara itu untuk satu tempoh yang lama.
Meskipun begitu, sewajarnya kita akui peranan, tanggungjawab dan sumbangan yang telah beliau lakukan sepanjang tempoh singkatnya menunjang system kehakiman negara ini.
Antara hal yang seharusnya diberikan perhatian adalah berkenaan pengharmonian sistem di antara sistem perundangan Sivil dan juga Syariah. Sebelum penglibatannya, sistem kehakiman negara mengalami kesukaran dan percanggahan dalam menafsirkan peruntukan kontrak syariah dalam sebarang kes melibatkan hal itu.
Jadi, hadirnya Tun Abdul Hamid adalah persis pemikir ulung yang berjaya mengharmonikan situasi sekaligus mengukuhkan kedudukan perundangan syariah tanpa perlu menidakkan kewujudan dan keabsahan perundangan sivil.
Peranannya itu dikukuhkan lagi dengan pelantikannya ke dalam Majlis Penasihat Syariah sebagai seorang ahli.
Pelantikannya itu adalah satu sejarah kerana majlis itu tidak pernah dianggotai oleh mana-mana hakim daripada mahkamah sivil.
Antara hal yang ditekankannya adalah bagaimana peruntukan perundangan sivil di Malaysia ini sebahagian besarnya adalah tidak bertentangan dengan peruntukan perundangan syariah. Oleh itu, beliau telah mengharmonikan kedua-duanya dengan menjadikan kedua-dua peruntukan itu sebagai pelengkap kepada satu sama lain.
Selepas persaraannya, Tun Abdul Hamid tidak berhenti perjuangkan hal ini dan terus bergiat aktif melalui aktiviti penulisan, menunjukkan semangat juangnya yang jitu dalam memperkasakan sistem kehakiman dan perundangan negara.
Makanya tidak salahlah untuk menggelarkan dirinya sebagai satu permata dalam sejarah kehakiman negara.
Pemergiannya ini, sudah tentu adalah satu kehilangan besar dan suara serta pandangannya pasti dirindui.
Al-Fatihah buat Tun Abdul Hamid, mantan Ketua Hakim Negara.




No comments yet