Wujud sekitar 4000 tahun yang lalu, Zoroastrianisme atau agama Majusi menjadi agama anutan bagi masyarakat Parsi Purba. Ada kemungkinan bahawa agama ini merupakan kepercayaan monoteisme pertama di dunia. Tambahan, antara agama tertua yang masih diamalkan hingga ke hari ini.
Pegangan ini sedikit sebanyak telah membentuk pemerintahan bagi tiga dinasti Empayar Parsi. Pertama, Dinasti Achaemenid. Cyrus Agung merupakan penganut Zoroastrianisme yang warak. Banyak yang berpendapat bahawa Cyrus merupakan pemerintah yang sangat bertoleransi.
Beliau telah memberi keizinan kepada masyarakat bukan berbangsa Iran untuk mengamalkan segala bentuk kefahaman dan pegangan mereka secara bebas. Dari sudut undang-undang, Cyrus telah mengguna pakai undang-undang Zoroastrian, iaitu Undang-undang Asha. Namun begitu, dari sudut penguatkuasaan pula, penekanan tidak diberikan kepada masyarakat di tanah jajahan Parsi.
Ajaran Zoroastrianisme tersebar ke Asia melalui Laluan Sutera. Antara konsep kefahaman Zoroastrianisme adalah beribadat kepada satu Tuhan, kewujudan Syurga dan Neraka dan hari pembalasan. Satu millenium kemudiannya, Zoroastrianisme mendominasi dua dinasti Parsi-empayar Parthia dan Sasanid sehinggalah penaklukan oleh orang Islam berlaku pada abad ke-7 Masihi.
Penaklukan Islam terhadap empayar Sasanid berlaku sekitar 633-651M. Penaklukan ini sekaligus menyebabkan penurunan kegiatan Zoroastrianisme. Perundangan Islam telah dikuatkuasakan dan saban tahun, semakin ramai penganut agama Majusi telah memeluk Islam. Pada masa yang sama, pakar berspekulasi bahawa terdapat sebahagian orang-orang Parsi telah berhijrah merentasi Laut Arab.
Mereka yang menganut agama Majusi ini telah mendarat di Gujarat, India Barat. Peristiwa ini berlaku sekitar 785-936M. Parsis, gelaran yang telah diberikan kepada kelompok tersebut. Kini, Zoroastrianisme sudah memiliki hampir 100 000 hingga 200 000 penganut di seluruh dunia dan masih lagi diamalkan hingga hari ini sebagai agama minoriti di sebahagian kecil kawasan Iran dan India.
Dewa Kebijaksanaan
Ahura mazda, dewa yang utama dari senarai dewa-dewa Zoroastrianisme yang lain. Kewujudannya tercatat dalam teks tertua yang pernah wujud di Iran, iaitu Gathas. Penghasilan Gathas didekasikan sepenuhnya kepada Ahura Mazda, sebagai suatu bentuk pemujaan dan pujian kepadanya.
Menurut ajaran ini, pada awalnya, hanya wujud dua bentuk roh atau semangat, satunya Ahura Mazda dan satu lagi, Angra Mainyu. Kedua-dua mereka memiliki perwatakan yang saling bertentangan. Ahura penuh dengan segala kebaikan, manakala Angra lengkap dengan pelbagai kejahatan. Namun, hanya dua ciri ini sahaja yang ada persamaan-mereka abadi dan tidak diciptakan. Dari sudut kekuatan, mereka sama-sama kuat . Sama gagah perkasa. Cumanya, Ahura mempunyai satu kelebihan, iaitu kebijaksanaan.
Sebuah perjanjian dua hala telah terbentuk antara Ahura Mazda dan Angra Mainyu. Menurut perjanjian tersebut, perang hanya boleh berlaku dalam tempoh dan ruang masa yang terhad. Oleh sebab itu, dunia telah dicipta untuk dijadikan sebagai umpan atau perangkap bagi semangat atau roh-roh yang jahat. Walaupun Ahura yang menciptakan dunia, tetapi Angra telah membawa segala kekurangannya ke dunia ini. Segala kejahatan akan terhapus, setelah Angra Mainyu ditewaskan kelak, suatu masa di penghujung dunia.
Pada prasasti Parsi Purba, Ahura Mazda dikenali sebagai pencipta Bumi dan Syurga, pemelihara kebenaran dan pelindung para raja Achaemenid. Ahura Mazda memiliki 7 aspek keabadian, Amesha Spentas. Setiap aspek ini mengetuai alam masing-masing:
- Vohu Mano (pemikiran yang baik, alam haiwan)
- Asha Vahishta (kejujuran, alam api)
- Spenta Armaiti (kasih sayang, alam Bumi)
- Khshathra Vairya (kekuasaan, alam matahari dan syurga)
- Haurvatat (kesempurnaan, alam air)
- Ameretat (keabadian, alam tumbuhan)
- Spenta Mainyu (alam manusia).
Terdapat juga tujuh semangat pelindung, Yazatas iaitu;
Anahita (air, kesuburan), Atar (api), Homa (tumbuhan penyembuh), Sraosha (ketaatan), Radhnu (penghakiman), Mithra (kebenaran) dan Tishtrya (Bintang Sirius, sumber hujan).
Menurut kepercayaan ajaran ini, Angra Mainyu dan para pembantunya, Ahriman menjadi penyebab kepada kemarau, cuaca yang buruk, kesakitan, penyakit, kemiskinan dan segala bentuk kesengsaraan. Selain itu, nama Ahura Mazda sering disebut pada awal mula segala ibadat mereka. Walaupun tiada sebarang tinggalan catatan sejarah mengenai kehidupan Ahura Mazda, setidak-tidaknya menurut naratif tersebut, beliau akan kembali untuk menghapuskan kejahatan. Di sebabkan inilah, sukar untuk kita jumpa sebarang kesenian mengenai beliau.
Zarathustra
Menurut ajaran ini, manusia diberi pilihan untuk berbuat kebaikan mahupun kejahatan. Kelak, mereka akan tanggung dan terima pembalasan atas apa yang mereka lakukan. Dalam membantu umat manusia untuk membuat pilihan, Ahura Mazda telah menghantar seorang utusannya, bernama Zarathustra atau Zoroaster, menurut panggilan Yunani.
Ianya masih tidak jelas, bilakah tempoh kehidupan Zarathustra. Para sarjana percaya bahawa Zoroaster pernah hidup sezaman dengan Cyrus Agung pada abad ke-6 SM. Namun begitu, kebanyakan bukti arkeologi dan linguistik membuktikan bahawa beliau telah pun hidup lebih awal dari itu, iaitu sekitar 1500-1200 SM.
Avesta
Avesta merupakan kitab suci Zoroastrianisme. Menurut para sarjana, Avesta merupakan kumpulan teks suci, seperti Gathas, lagu-lagu dan gita puja (hymn) Zoroaster dan Yashts, puisi liturgi purba dan gita puja yang wujud sebelum kelahiran Zoroaster. Dikatakan bahawa Avesta yang ada hingga kini, hanyalah kurang dari suku jumlah ketebalan Avesta pada abad ke-9 Masihi.
Bahasa yang diguna pakai dalam Avesta terbahagi kepada dua lapisan kronologi. Tatabahasa yang digunapakai pada Avesta Lama sangat hampir persamaannya dengan bahasa yang diguna pakai dalam kitab Rig Veda, manakala Avesta Baharu lebih kepada bahasa Parsi Purba. Memandangkan Avesta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan peristiwa sejarah, perbezaan linguistik ini sangat penting dalam menganggar awal mula agama Majusi ini.
Avesta Lama mempunyai 5 buah puisi pujaan yang berirama, 4 doa-doa suci dan sebuah puisi yang tidak berirama, dikenali sebagai Yasna Haptanghaiti (Tujuh Bahagian Pengorbanan). Avesta Baharu pula mempunyai Yasna (Pengorbanan), teks liturgi yang masih diamalkan sehari-hari oleh para paderi Majusi. Di samping menceritakan mitos Zarathustra-memburu syaitan dan roh-roh jahat agar kembali ke neraka, bahagian terakhir Avesta turut menceritakan bagaimana Ahura Mazda dan para utusannya, memulihkan kembali dunia yang tenat ini.
Di Pusara Langit
Faravahar merupakan simbol purba bagi agama Majusi. Ia menggambarkan seorang lelaki berjambang, berdiri di antara satu bulatan yang memiliki dua buah sayap besar. Gambaran ini membawa mesej kehidupan abadi. Mengenai api pula, api dianggap sebagai cahaya, kehangatan dan mempunyai kuasa penyucian. Selain itu juga, pokok Sipres merupakan simbolik kepada hidup abadi.
Api dan air dilihat sebagai simbol penyucian dalam agama Majusi. Tempat ibadat mereka pula dikenali sebagai kuil api. Setiap kuil api mempunyai sebuah altar dengan api yang berterusan menyala maraknya dan tidak pernah terpadam.
Menurut lagenda, terdapat 3 kuil api purba yang apinya dinyalakan sendiri oleh Ahura Mazda sejak di awal pembinaannya. Api-api tersebut digelar sebagai Api Agung. Ahli arkeologi telah pun mencari kawasan-kawasan yang berkemungkinan dimaksudkan dengannya. Namun begitu, ia masih lagi tidak jelas samada api tersebut wujud atau lagenda tersebut hanya mitos semata.
Para penganut yang telah ditimpa ajal akan ‘dikebumikan di langit.’ Dakhma atau Menara Kesepian telah dibina untuk tujuan tersebut. Mayat-mayat ini terdedah kepada burung-burung hering sehinggalah hanya tinggal tulang-belulang sahaja. Kemudian, tulang-tulang tersebut diambil, dibasuh dan ditempatkan di dalam sebuah lombong (batu) kapur, dinamakan sebagai osuari.
Walau bagaimanapun, Dakhma telah diharamkan di Iran, sejak 1970-an. Kebanyakan penganut agama Majusi masa kini, telah membakar mayat-mayat di bawah papak konkrit. Namun begitu, sebahagian orang Parsi di India masih lagi mengekalkan tradisi pengebumian langit terutamanya di kawasan berdekatan dengan Mumbai, India.
RUJUKAN:
- Nabarz, P., & Matthews, C. (2005). The Mysteries of Mithras: The Pagan Belief That Shaped the Christian World (Illustrated ed.). Inner Traditions.
- De Jong, A. (2012). Ahura Mazda. The Encyclopedia of Ancient History, 1.
- Dinshaw-Vevaina, Y. S. (2012). Avesta. The Encyclopedia of Ancient History, 1–2.
- History.com Editors. (2019, October 8). Zoroastrianism. HISTORY.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih