Islam memandang tinggi nilai persaudaraan sesama Islam. Persaudaraan ini ibarat sebuah bangunan yang saling menguatkan antara satu sama lain. Bak kata peribahasa melayu, “cubit paha kanan, paha kiri terasa juga”. Kerana itu Allah Subhanahu wa Taala berfirman di dalam al-Quran:

Dan Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. (Surah Al-Anfal ayat 63)

Ibnu Kathir menyatakan, sebenarnya, di kalangan kaum Anshar terdapat berbagai macam peperangan pada masa Jahiliyah antara suku Aus dan suku Khazraj, serta berbagai hal yang mengharuskan mereka berbuat kejahatan yang berkesinambungan. Kemudian, Allah memutuskan hal itu dengan cahaya keimanan. (Kathir, 1999)

Dalam ash-Shahihain disebutkan sebuah hadith yang menceritakan tentang Rasulullah ketika berbicara dengan kaum Anshar mengenai permasalahan ghanimah dalam perang Hunain, beliau mengatakan kepada mereka:

“Hai kaum Anshar sekalian, bukankah aku dahulu mendapati kalian dalam keadaan sesat, lalu Allah memberikan petunjuk kepada kalian melalui diriku. Aku menjumpai kalian dalam keadaan miskin, lalu Allah memberimu kekayaan melalui diriku. Dan kalian dahulu ada dalam keadaan bercerai-berai, lalu Allah menyatukan kalian melalui diriku.

” Setiap kali beliau mengatakan sesuatu, mereka berkata: “Allah dan Rasul-Nya paling banyak memberikan nikmat.” (HR. Al-Bukhari dan Muslim) (al-Bukhari, 2002) (al-Hajjaj, 2006)

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan contoh terbaik dalam persaudaraan Islam. Baginda sentiasa mengambil berat akan hal ehwal saudara-saudara muslim yang lain.Sepertimana hadith Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Seorang Muslim adalah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, maka Allah SWT akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, maka Allah SWT akan menutup aibnya pada hari kiamat.”

(Hadith riwayat al-Bukhari, No.2442, 6901, Muslim, No.2580) (al-Bukhari, 2002) (al-Hajjaj, 2006)

Baginda Sallallahu Alaihi wasallam melayan semua jenis golongan tanpa mengira umur, bangsa dan warna kulit. Antara manusia yang mendapat nikmat persaudaraan Islam ini ialah seorang hamba berkulit hitam bernama Bilal Radhiyallahu Anhu. Dengan keberkahan Islam, Sayyidina Bilal dibebaskan dari menjadi hamba dan menjadi seorang yang merdeka. Hal ini kerana, Islam hanya menuntut perhambaan kepada Tuhan yang Esa. Bilal diangkat menjadi muazzin pertama yang mengumandangkan azan dalam syariat Islam.

Baginda amat menghormati saudara Islam yang lain dan menunjukkan contoh tauladan yang baik untuk dijadikan panduan buat umat Islam. Sekiranya ada manusia jahil yang berkelakuan bodoh dan melanggar adab, maka baginda akan memberi tarbiyah atau pendidikan secara praktikal supaya mereka faham dan belajar dari kesilapan. Baginda tidak memarahi seseorang kerana sesuatu kesilapan disebabkan kebodohan orang itu. Salah satu hadis yang dapat kita ambil sebagai contoh adalah hadis daripada Anas B. Malik radhiyallahu ‘anhu. Beliau berkata:

“Ketika kami berada di masjid bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu berdiri untuk kencing di masjid. Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menggertaknya, tetapi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Janganlah kamu memutuskannya, biarkan dia selesai kencing terlebih dahulu.” Maka mereka (para sahabat) membiarkan orang tersebut sehingga dia selesai kencing. Setelah itu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun menasihatinya, “Sesungguhnya masjid ini tidak boleh digunakan untuk kencing dan kekotoran, masjid adalah tempat untuk zikir, solat, dan membaca al-Qur’an.” Atau sebagaimana sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam yang sesuai. Setelah itu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil satu baldi air dan menyiramnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 2/133, no. 429) (al-Hajjaj, 2006)

Hadis ini menunjukkan akhlak dan kebijaksanaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dalam menangani orang yang jahil. Iaitu dengan cara lemah-lembut dan tidak berlaku kasar. Walaupun kencing di masjid adalah suatu kesalahan dan termasuk perbuatan membuat kekotoran di masjid, tetapi Rasulullah tidak segera memarahi pelakunya atas beberapa kemaslahatan dan sebab-sebab tertentu. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam menasihati dan menunjukkan contoh yang tepat kepada para sahabatnya dalam menghadapi karenah orang-orang jahil.

Selain itu baginda menolak kemudharatan yang lebih besar dengan memilih yang lebih ringan di antara keduanya. Jika orang yang sedang kencing tersebut ditegah dengan tiba-tiba, mungkin ia akan mengakibatkan mudharat serta membahayakannya. Kerana kencing yang dihentikan dengan tiba-tiba boleh mengundang risiko dan sakit.

Atau mungkin ia akan terkejut lalu berpindah atau lari ke tempat yang lain dalam keadaan kencingnya bersepah-sepah. Akhirnya najis tersebut akan tersebar ke serata masjid, mengenai pakaiannya, serta terpalit ke tubuh-badannya pula. Tetapi dengan sebab contoh kebijaksanaan Rasulullah, maka najis tersebut hanya terkena pada satu tempat sahaja. Orang Badwi tersebut pula berjaya dinasihati dengan lemah-lembut dan penuh hikmah serta tidak diperlakukan dengan kasar yang mungkin hanya akan menjadikannya malu atau marah. Dan najis tersebut dapat dibasuh dengan sempurna hanya dengan sebaldi atau sebekas air.

Rasulullah juga sering membantu sahabatnya yang berada dalam kesusahan.Dalam sebuah hadith daripada Abu Said al-Khudri RA katanya, pada suatu masa kami di dalam perjalanan, tiba-tiba datanglah seorang lelaki yang menunggang binatang, lalu dia memandang ke kanan dan ke kiri. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang mempunyai kenderaan lebih hendaklah diberikan kepada orang yang tidak ada kenderaan dan sesiapa yang mempunyai bekalan lebih diberikan kepada orang yang tidak ada mempunyai bekalan.”

Seterusnya Baginda menyebut berbagai-bagai lagi harta yang patut dibelanjakan, sehinggalah kami semua faham dan sedar bahawa sesiapa pun di antara kami mempunyai harta yang banyak dan berlebihan daripada keperluan sendiri. Maka mereka tidak lagi berhak ke atas harta-harta tersebut. (Riwayat Muslim) (al-Hajjaj, 2006)

Kesimpulannya, baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam telah menunjukkan contoh yang baik dalam persaudaraan Islam. Umat Islam seharusnya menahan diri dari menyakiti saudara muslim mereka yang lain apatah lagi mengancam keselamatan mereka. Saya akhiri dengan sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi wasallam:

Ibn ‘Abbas r.a menceritakan, Rasulullah S.A.W pernah melihat ke arah Kaabah, lalu Baginda bersabda:

“Lailahaillallah ( tiada tuhan selain Allah ). Alangkah eloknya kamu, alangkah eloknya harumanmu, alangkah agungnya kehormatanmu ! Dan(sesungguhnya ) kehormatan seorang Mukmin itu lebih agung daripadamu. Sesungguhnya, Allah Taala telah menjadikan engkau ‘haram’ ( yakini suci lagi terhormat ), (maka) Dialah juga yang ‘mengharamkan’ seorang Mukmin itu daripada hartanya, darahnya dan maruahnya, dan Dia juga ‘mengharamkan’ kami ( walau hanya ) untuk bersangka terhadapnya ( iaitu seseorang Mukmin itu ) dengan sangkaan yang buruk.”

(Riwayat at-Tabarani dalam Majma’uz Zawaid) (al-Haythami, 2001)

RUJUKAN:

al-Bukhari, M. b. (2002). Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ibn Kathir.

al-Hajjaj, M. b. (2006). Sahih Muslim. Riyadh: Dar Tayyibah.

al-Haythami, A. b. (2001). Majma’ az-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid. Lubnan : Dar Kutub al-Ilmiyyah.

Kathir, A. i. (1999). Tafsir Ibn Kathir. Riyadh: Dar Tayyibah.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadith) dari Universiti Sultan Azlan Shah. Sangat berminat dalam penulisan isu-isu semasa.

Comments are closed.