Ganja dan jenayah adalah suatu hal yang sinonim dalam kebanyakan negara. Walaupun ganja secara bertahap mula mengalami penerimaan oleh undang-undang sejak kebelakangan ini, namun kesan buruk yang menimpa manusia yang menyelewengkan tumbuhan ini masih terus membuatkannya dipandang negatif. Walau bagaimanapun, pengsinoniman ganja dengan jenayah sendiri merupakan suatu yang agak baru.
Hal ini kerana pokok rami, iaitu panggilan lain bagi pokok ganja, telah lama menjadi sebahagian daripada amalan perubatan dan kerohanian dalam pelbagai budaya. Salah satu contoh kepercayaan yang sangat menghargai pokok rami adalah Taoism dalam Cina purba. Masyarakat Cina malah mempunyai dewi yang melindungi herba tersebut, iaitu Dewi Magu.
Dalam kalangan masyarakat purba di Asia Timur, pokok rami dianggap sama seperti bunga ambrosia yang suci dan memiliki perkaitan dengan dewi-dewi Greek. Pokok rami telah lama dikenali sebagai eliksir kehidupan ataupun herba mauhul hayat.
Perkaitan antara Dewi Magu dengan pokok rami secara utamanya terletak pada kegunaannya sebagai herba penawar – memandangkan kebanyakan kisah mitologi mengenai Dewi Magu banyak berkisar tentang situasi di mana beliau merawat orang-orang miskin dan sakit, baik sebagai seorang dewi mahupun sebagai seorang sami wanita yang berkhidmat untuk dewi penyembuh yang tidak dikenali namanya.
Dalam kesusasteraan Korea, Magu mengambil peranan yang lebih cenderung kepada kedewaan walaupun intisari ciri-ciri peribadinya masih relatif sama dengan Magu dari Cina.
KISAH BERKENAAN MAGU
Merentas negara Cina, Jepun dan Korea, Magu (atau Ma Gu, MaKu, Mako) digambarkan sebagai seorang gadis muda yang jelita, berusia tidak lebih daripada 18 atau 19 tahun. Usianya yang muda dan rupa parasnya yang jelita sememangnya sesuai sebagai simbol kesihatan dan tumbuh-tumbuhan penawar yang dilindungi olehnya (sebagai dewi pelindung).
Beliau dianggap sebagai dewi yang memelihara kesejahteraan di seluruh Asia Timur, tidak hanya dalam kehidupan manusia malah juga dalam kitaran alam. Dewi Magu sering dipercayai berperanan dalam menghentikan ribut salji demi kesejahteraan flora dan fauna.
Di Korea pula, Magu mengambil peranan yang lebih tinggi. Berbanding hanya sebagai seorang dewi pelindung, beliau dianggap oleh masyarakat Korea sebagai Dewi Pencipta seperti Dewi Amaterasu dalam kepercayaan Shinto di Jepun. Keupayaannya sudah tentu begitu meluas, sesuai dengan tugas penciptaan dunia dan manusia.
Walaupun Dewi Magu memiliki ramai pemuja dari pelbagai etnik, penulis-penulis Cina dilihat merupakan antara yang paling bersungguh-sungguh memelihara mitologinya. Magu lebih menonjol dalam kesenian Cina sekaligus membenarkan seseorang untuk mengenali dan memahami versi Cina Magu dan kemudian membandingkan dengan bentuk atau versinya yang lain.
Walaupun Korea menganggapnya sebagai dewi pencipta, Taoist Cina meyakini bahawa Magu mempunyai latar belakang sebagai seorang manusia. Versi yang paling kukuh bagi naratif ini mendakwa bahawa Magu merupakan seorang manusia yang menjalani hidup yang miskin pada abad ke-5 atau ke-6 Masihi – suatu zaman yang dilanda huru-hara peperangan. Beliau bekerja sebagai tukang tenun.
Tidak ada sebarang rekod perihal ibunya, namun bapa Magu dipercayai merupakan seorang penternak kuda. Anak-beranak itu saling bekerja keras untuk menampung kehidupan. Pada suatu hari, Magu diberikan sebiji buah pic oleh seorang pelanggannya. Rezeki tersebut tidak dikongsikan dengan bapanya, sebaliknya Magu menghadiahkannya kepada seorang wanita berusia yang ditemui di jalanan. Magu kemudian memasakkan bubur untuk wanita tua itu yang berada dalam keadaan yang jauh lebih susah berbandingnya.
Malangnya, bubur tersebut tidak sempat dihantar kepada wanita itu kerana bapanya pulang ke rumah dan mengurung Magu di dalam biliknya. Apabila beliau keluar daripada bilik itu untuk menemui wanita tersebut, ternyata wanita itu sudah tiada – yang dapat ditemui oleh Magu hanyalah sebiji buah pic. Magu kemudian menanam benih buah tersebut dan memeliharanya sehingga tumbuhan itu membesar menjadi sebatang pokok pic yang segar.
Pokok tersebut mengeluarkan buah yang lebat, bebas untuk dipetik dan dinikmati oleh orang-orang yang memerlukan. Tidak lama kemudian, buah-buah pic daripada pokok milik Magu itu diyakini mampu berfungsi sebagai penawar. Magu pula meraih kehidupan yang kekal abadi sebagai dewi yang memiliki dan melindungi tumbuhan mauhul hayat tersebut.
DEWI PENYEMBUH DAN DEWI POKOK GANJA
Walaupun kisah yang diceritakan di atas hanyalah salah satu daripada sekalian kisah berkenaan kewujudan Magu, namun ia mendedahkan fungsinya sebagai dewi – iaitu dewi yang menyembuhkan orang yang sakit serta memelihara nasib orang yang miskin serta menyuburkan alam semula jadi.
Daripada kisah-kisah tersebut, dapat dilihat bahawa penulis-penulis Cina menggambarkan bahawa mauhul hayat yang dimiliki oleh Magu ialah buah pic dan hal tersebut dapat dibuktikan dengan lebih lanjut menerusi simbol-simbol awal yang dikaitkan dengan Magu sebagaimana yang terkandung dalam karya-karya Cina purba.
Namun, pokok ganja juga boleh dikaitkan dengan keupayaan menyembuh Magu – walaupun penyembuhan tersebut lebih kepada perawatan secara spiritual berbanding fizikal. Catatan-catatan mengenai amalan penganut Taoist ada menyenaraikan penggunaan benih ganja atau rami sebagai pelindung dari rasukan syaitan dan mampu menambahkan deria ‘penglihatan kedua’.
Sementara itu, benih ganja yang dibakar pula merupakan barangan yang dikaitkan dengan ritual penyucian yang seringkali nama Dewi Magu diserukan di dalam upacara tersebut. Malah, beliau turut dikaitkan dengan sebuah rupa bumi yang dianggap suci oleh para penganut Taoist, iaitu Gunung Tai memandangkan tumbuh-tumbuhan bercambah dengan lebat sekali di gunung tersebut.
Pada pandangan orang barat, bukanlah suatu hal yang menghairankan jika Cina mempunyai seorang dewi yang memiliki keupayaan menyembuh dan dikaitkan secara khusus dengan ganja. Kecenderungan bahawa pokok ganja pertama sekali ditanam di Cina purba mempunyai bukti yang kuat, lebih-lebih lagi penemuan-penemuan sejarah menyokong hal tersebut. Hakikatnya, dalam dunia klasik Greek, Cina purba sering dipanggil sebagai ‘Tanah Mulberry dan Rami’.
Berkemungkinan hal ini juga mempengaruhi penamaan Dewi Magu atau mungkin penamaan tumbuhan tersebut (ganja atau rami), bergantung kepada jawapan terhadap persoalan, “manakah yang datang terlebih dahulu; dewi rami atau pokok rami?” Tambahan lagi, nama Dewi Magu seringkali diterjemahkan sebagai ‘Dewi Rami’. Nama Dewi Magu turut memikul konotasi yang lain, seperti ‘perawan’.
Namun, hal itu juga selari dengan simbol awet muda dan keupayaannya melindungi alam semula jadi. Malahan, keadaan pokok rami yang tumbuh dengan begitu lebat di Gunung Tai seakan-akan memperlihatkan bahawa para dewa mengurniakan tumbuhan tersebut secara langsung kepada para sami Taoist.
Bekas atau jejak penggunaan ganja dalam masyarakat Asia purba masih tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun, terdapat bukti bahawa tumbuhan tersebut memainkan peranan yang penting dalam sejarah Asia Timur. Bahkan, terdapat juga bukti bahawa rami ataupun ganja tampil sebagai corak perhiasan pada tembikar Taiwan di zaman purba dan tongkat-tongkat Shinto bagi sami-sami Jepun.
Kehadiran rami dalam hal-hal seperti itu seakan-akan mengisyaratkan nilainya yang tersendiri dalam budaya Asia sejak dahulu kala lagi. Hal ini sekaligus mencerahkan lagi hipotesis yang mengaitkan Dewi Magu dengan pokok ganja.
Pada zaman di mana kewujudan herba-herba yang memiliki kemampuan luar biasa merupakan satu kelaziman dan masyarakat-masyarakat pada waktu itu pula mempercayai kewujudan para dewa di celah-celah alam semula jadi, agak munasabah untuk mengaitkan ‘kuasa’ pokok ganja dengan dewi penyembuh. Tumbuhan yang sangat mujarab itu sudah tentu diamanahkan kepada dewi (atau sami) yang memiliki kedudukan atau nilai yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat – seperti Dewi Magu.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
- Riley Winters. (31 Ogos 2017). Magu – The Hemp Goddess Who Healed Ancient Asia. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/magu-hemp-goddess-who-healed-ancient-asia-008709
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih