Tahun 1988 adalah detik paling gelap dalam sejarah UMNO, satu sejarah yang sampai hari ini masih jadi bahan debat hangat.
Siapa sangka, parti Melayu terbesar yang ditubuhkan sejak 1946 akhirnya diisytiharkan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Semuanya bukan kerana skandal kewangan atau pengkhianatan, tapi kerana… perwakilan cawangan yang tak berdaftar!
Semua bermula setahun sebelum itu pada 1987 apabila berlaku krisis dalaman UMNO yang cukup panas.
Buat pertama kali, jawatan Presiden UMNO dicabar. Lawannya bukan calang-calang iaitu Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li.
Pertembungan ini pecahkan UMNO kepada dua kem, Team A dan Team B. Team A di belakang Dr Mahathir, Team B pula menyokong Ku Li. Di sinilah bermulanya perang dingin dalam parti yang selama ini nampak solid dari luar.
Dalam pemilihan parti yang berlangsung 24 April 1987, Mahathir berjaya kekalkan jawatan Presiden, tapi dengan kelebihan hanya 43 undi.
Tipis sangat. Ramai penyokong Ku Li rasa tak puas hati. Mereka dakwa pemilihan tu tak sah sebab ada perwakilan dari cawangan-cawangan yang belum sah pendaftarannya turut mengundi.
Maka bermulalah episod mahkamah, bila sekumpulan 11 ahli UMNO dikenali sebagai “Kumpulan 11” bawa kes ini ke Mahkamah Tinggi.
Yang tak disangka, keputusan mahkamah bukan saja isytihar pemilihan tak sah, tapi terus ‘potong leher’ UMNO secara keseluruhannya menyebabkan parti itu diharamkan kerana tak ikut peraturan ROS.
Pada 4 Februari 1988, UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan sejak merdeka secara rasmi tidak lagi wujud dari sudut perundangan.
Reaksi Mahathir? Dua minggu lepas pengharaman, beliau lancarkan parti baru bernama UMNO Baru.
Tapi jangan keliru, ini bukan UMNO asal. UMNO Baru ini ditubuhkan dengan penyokong Team A, manakala penyokong Team B macam Ku Li dan Rais Yatim ditinggalkan di luar pagar.
Mereka akhirnya tubuh Parti Melayu Semangat 46, kononnya untuk hidupkan semangat asal UMNO tahun 1946. Tapi usaha tu tak berjaya. UMNO Baru terus kukuh, manakala Semangat 46 berkubur pada 1996.
Persoalannya, betul ke Mahathir memang nak UMNO diharamkan? Ramai tokoh politik, termasuk Ku Li mendakwa Mahathir tak buat apa-apa untuk halang pengharaman tu walaupun dia Menteri Dalam Negeri ketika itu.
Kalau betul dia ikhlas nak pertahan UMNO, dia boleh gunakan kuasanya untuk selesaikan masalah ni sebelum melarat ke mahkamah. Tapi sebaliknya, Mahathir terus buka UMNO Baru dengan cepat dan semua bekas ahli UMNO asal kena mohon semula kalau nak sertai.
Tan Sri Zainuddin Maidin dalam bukunya menulis, Mahathir nampak peluang besar bila UMNO diharamkan.
Dengan wujudnya UMNO Baru, beliau dapat singkirkan terus musuh politiknya iaitu Ku Li dan penyokong-penyokongnya.
Dari segi kuasa dan jentera kerajaan, Mahathir masih pegang semua. Ku Li cuma ada pengaruh, tapi Mahathir ada pengaruh dan kuasa.
Sejak itu, Mahathir dilihat lebih Machiavellian dengan guna apa cara pun asalkan matlamat politik tercapai.
Namun selepas lebih 30 tahun, Ku Li buka semula cerita. Dalam satu sidang media pada 2021, beliau dakwa pengharaman UMNO pada 1988 itu tak sah bukan saja dari segi moral, tapi juga dari aspek perundangan.
Katanya, mahkamah tak patut buat keputusan sedemikian dan Pendaftar Pertubuhan tak sepatutnya batalkan pendaftaran UMNO.
Lebih menyedihkan, menurut beliau, peguam yang sepatutnya bela UMNO masa tu pun tak lawan habis-habisan.
Dalam masa sama, Ku Li juga persoalkan kesahihan UMNO Baru. Adakah ia benar-benar menyambung perjuangan asal UMNO atau sekadar wadah baru untuk teruskan legasi politik Mahathir?
Apa yang pasti, pengharaman UMNO pada 1988 adalah turning point dalam sejarah politik negara yang menjadi bukti bagaimana krisis dalaman, perebutan kuasa dan strategi politik boleh meruntuhkan satu institusi yang begitu berakar dalam sejarah tanah air.
Dan ya, UMNO akhirnya bangkit semula selepas itu, tapi roh UMNO 1946 yang lahir atas semangat menentang Malayan Union dan menyatukan Melayu sudah tak sama macam dulu.
Mungkin korang boleh nampak skrip yang sama bila tertubuhnya parti BERSATU dan PEJUANG, tapi impaknya tak sama seperti UMNO Baru.
UMNO sekarang? Simpan cerita untuk nanti pulak kot.




No comments yet