“Kalau Tak Ada Tabung Haji, Mungkin Sampai Sekarang Orang Melayu Simpan Duit Dalam Tabung Buluh.”
“Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi.”
— Prof Diraja Ungku Aziz
Kita biasa dengar Tabung Haji hari ini sebagai institusi Islam yang kuku. Ada dana berbilion, boleh pergi kursus haji percuma, subsidi tambang, siap boleh buat simpanan dan pelaburan syariah.
Tapi tak ramai tahu, idea besar ini bermula dari seorang tokoh Melayu genius yang nampak satu benda paling asas iaitu orang Melayu susah nak pergi haji, sebab tak ada sistem simpanan yang selamat dan terurus.
Zaman dulu, nak pergi haji bukan senang. Duit tak banyak, gaji kecil, tiada sistem bank Islam. Orang Melayu takut nak simpan dalam bank konvensional sebab ada unsur riba. Takkan duit riba nak bawa pergi haji?
Jadi orang Melayu buat cara paling logik pada masa tu iaitu simpan duit dalam tabung buluh. Ada yang simpan bawah tilam, dalam bantal atau tanam duit bawah tanah. Bila dah cukup (atau rasa dah hampir cukup), barulah pergi cari ejen haji.
Ada juga yang beli emas, bela kambing, simpan kerbau. Bila tiba masa, jual semua tu untuk kumpul duit ke Mekah. Masalahnya, bila balik haji, hidup jadi kosong.
Tanah habis jual, kambing dah tiada, anak-anak pun terpaksa mula dari bawah semula. Niat baik nak cari akhirat, tapi balik-balik, ekonomi keluarga merosot.
Tahun 1959, Prof Diraja Ungku Abdul Aziz, seorang cendekiawan ekonomi yang waktu itu bertugas di Universiti Malaya, tak sanggup lagi tengok keadaan orang Melayu macam ni.
Beliau tulis satu kertas kerja bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji.” Ini merupakan satu pelan strategik untuk wujudkan institusi yang boleh simpan duit orang Islam dengan cara patuh syariah, tanpa riba dan boleh bantu mereka ke Mekah dengan lebih sistematik.
Kertas tu dibawa ke kerajaan. Lepas dibahas di Parlimen, akhirnya pada 30 September 1963, tertubuhlah Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji yang kemudiannya dikenali sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). Inilah detik perubahan besar untuk umat Islam Malaysia.
Masa mula-mula ditubuhkan, Tabung Haji ni kecil je. Beroperasi dari satu pejabat kecil kat Jalan Ipoh, ada 13 staf, dan cuma 1,281 orang penyimpan dengan simpanan terkumpul RM46,600.
Tapi yang kecil itu ada semangat besar. Dalam masa 6 tahun, ia bergabung pula dengan Pejabat Kawalan Haji di Pulau Pinang, lalu lahirlah nama rasmi Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada tahun 1969.
Sekarang, bukan setakat simpan duit, malah Tabung Haji juga urus haji, sediakan kursus, tempat tinggal, penerbangan, makanan, semua sekali.
Dan pada tahun 1995, satu akta baru iaitu Akta 535, Lembaga Tabung Haji 1995 digubal untuk perkemaskan lagi fungsinya. Nama pun tukar jadi Lembaga Tabung Haji.
Sebelum Tabung Haji ambil alih urusan jemaah, orang Melayu pergi haji naik kapal laut. Perjalanan makan masa sebulan lebih dari Pelabuhan Klang atau Singapura ke Jeddah, singgah banyak pelabuhan dengan risiko tinggi dari penyakit sampai ribut laut.
Bila Tabung Haji ambil alih, semua tu berubah. Bermula era kapal terbang sebagai pengangkutan utama. Lebih cepat, lebih selamat. Jemaah tak lagi kena bermalam di pelabuhan, tak perlu tunggu kapal berhari-hari. Pengurusan jadi lebih teratur dan terhormat.
Hari ini, Tabung Haji dah jadi pengurus dana Islam terbesar Malaysia dengan aset melebihi RM55 bilion dan lebih 8.3 juta pendeposit.
Subsidi haji tahunan mencecah RM130 juta dan kursus haji percuma pula dibiayai hampir RM40 juta setahun.
Tak cukup dengan itu, Tabung Haji juga pernah menerima pengiktirafan antarabangsa. Kerajaan Arab Saudi sendiri anggap pengurusan jemaah haji Malaysia sebagai paling cekap di dunia Islam.
Bahkan pada tahun 2000, Kuala Lumpur jadi tuan rumah Persidangan Bimbingan Haji Antarabangsa pertama, dengan 120 delegasi dari 40 negara Islam.
Ramai yang tak sedar, Malaysia sebenarnya pioneer. Model ini bukan je bantu rakyat kita, tapi jadi rujukan dunia Islam.
Indonesia contohnya, walaupun ada umat Islam paling ramai dalam dunia tapi mereka baru tubuhkan Badan Pengelola Keuangan Haji (BPKH) pada 2017.
Tapi tak sama sepenuhnya macam Tabung Haji.
BPKH cuma urus duit dan pelaburan. Logistik, kursus, bimbingan semua masih di bawah kementerian.
Malaysia pula dari A sampai Z semua Tabung Haji uruskan.
Negara lain pun ikut jejak. Brunei tubuhkan Amanah Perjalanan Haji Brunei (APHB), sistem lebih kecil tapi banyak adaptasi daripada model kita.
Turki pula masih urus jemaah ikut jabatan agama (Diyanet) tapi tak ada lagi institusi macam Tabung Haji yang satukan simpanan dan ibadah. Para sarjana Islam antarabangsa pun mengangkat Tabung Haji sebagai “hybrid socio-financial institution” yang menggabungkan antara kewangan etika dan tanggungjawab sosial Islam.
Dalam laporan Islamic Development Bank tahun 2014, mereka sebut jelas model Tabung Haji Malaysia bukti nilai-nilai Islam boleh diserap ke dalam sistem kewangan moden tanpa korbankan prestasi dan integriti.
Kalau kita lihat ke belakang, semua kejayaan Tabung Haji ni bermula dari Prof Diraja Ungku Aziz.
Anak Melayu pertama belajar di Universiti Waseda, Jepun. Pencetus Dasar Ekonomi Baru. Pengasas Pusat Asasi Sains UM. Naib Canselor UM paling lama. Dan yang paling penting, pencipta solusi sebenar untuk orang Melayu tunaikan rukun Islam kelima.
Beliau bina sistem, ubah struktur dan tak tunggu orang lain buat dulu. Beliau lihat masalah rakyat dan tawarkan jalan keluar.




No comments yet