Setiap kali ada isu global, mesti orang sebut pasal “kuasa besar dunia”. Tapi persoalannya: siapa sebenarnya kuasa besar ni? Dan apa syarat untuk sesebuah negara digelar kuasa besar?
Dalam hubungan antarabangsa, istilah kuasa besar merujuk kepada negara yang ada pengaruh besar dalam sistem global. Mereka mampu bentuk keputusan dunia, dan biasanya ada kekuatan ekonomi serta ketenteraan yang luar biasa.
Tapi gelaran ini bukan rasmi. Ia lahir dari realiti kuasa yang terbukti berfungsi dalam dunia anarki tanpa ‘kerajaan dunia’.
Tak semua negara maju boleh dianggap kuasa besar. Contohnya, Norway dan Singapura walaupun kaya, bukan kuasa besar. Sebab kuasa besar bukan sekadar soal ekonomi. Tapi tentang kuasa paksaan dan pengaruh.
Negara yang mampu buat negara lain tunduk atau ikut kehendaknya: itulah kuasa sebenar.
Jadi, apa syarat nak jadi kuasa besar?
Pertama, negara itu perlu ada kekuatan ketenteraan bertaraf global, bukan setakat jaga sempadan sendiri, tapi boleh campur tangan di luar negara.
Kedua, ekonominya perlu berskala global, mampu pengaruhi pasaran dunia. Ketiga, ada pengaruh diplomatik dan boleh bentuk peraturan antarabangsa.
Amerika Syarikat, China, Rusia, Kesatuan Eropah, India dan Jepun antara yang sering disebut sebagai kuasa besar hari ini. Mereka bukan sahaja berpengaruh, malah kebal secara de facto.
Amerika boleh serang Iraq, China boleh bina pulau buatan, Rusia boleh ceroboh Ukraine dan tetap duduk dalam Majlis Keselamatan PBB.
Kenapa penting kita faham siapa kuasa besar?
Sebab merekalah yang bentuk arah dunia; dari perjanjian iklim, perdagangan hingga keselamatan global. Negara kecil macam Malaysia perlu bijak dalam diplomasi, supaya boleh manfaatkan peluang dan elak jadi mangsa percaturan kuasa.
Tapi kuasa besar tak kekal. Empayar British dan Perancis pernah mendominasi dunia, kemudian tumbang. Soviet pernah gah, akhirnya runtuh. Dunia kini semakin multipolar, dengan kuasa-kuasa baru mula naik.
Akhirnya, ingat satu perkara: dalam dunia anarki, kuasa menentukan moral. Kalau kita tak kuat, kita tak tulis undang-undang; kita hanya patuh.




No comments yet