Tadi saya baru balik dari Mydin dan saya perasan satu tagline ni.
“Mengapa Bayar Lebih?”
Rupanya di sebalik tagline ini, ada cerita menarik tentang pengasasnya, Allahyarham Mydin Mohamed.
Macam mana gaya hidup berjimat-cermat beliau menjadi tunjang perniagaan Mydin hingga hari ini?
Allahyarham Mydin Mohamed merupakan seorang ahli perniagaan yang amat menghargai nilai wang.
Sikap berjimat-cermat beliau terpancar dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk satu kisah lucu tapi bermakna yang sering diceritakan oleh anaknya, Datuk Wira Dr. Ameer Ali Mydin.
Menurut Datuk Ameer, ayahnya pernah membawa beliau makan di sebuah restoran di Bangsar. Ketika itu, Mydin hanya memesan mi goreng dan air suam.
Apa yang membuatkan Datuk Ameer terkejut, ayahnya meminta limau lebih untuk mi goreng, kemudian memerah limau itu ke dalam air suam.
Sebabnya? Untuk menjimatkan RM1.50 daripada membeli air limau suam!
Ayahnya berkata, “Mengapa perlu bayar lebih sedangkan kita boleh dapat benda yang sama secara percuma?”
Kisah berjimat ini sebenarnya melambangkan falsafah hidup Mydin Mohamed yang telah diasah sejak kecil.
Perniagaan Mydin bermula pada tahun 1918 apabila datuk beliau, Gulam Husen Jamal membuka sebuah kedai kecil di Pulau Pinang.
Malangnya, kedai itu musnah akibat Perang Dunia Kedua. Namun, semangat tidak pernah pudar.
Pada tahun 1957, Mydin Mohamed memulakan semula perniagaan keluarganya dengan membuka sebuah kedai kecil di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu, Kelantan.
Bermula dengan menjual mainan kanak-kanak, perniagaan itu berkembang secara perlahan tetapi konsisten.
Prinsipnya, jual murah, tetapi tetap untung.
Tagline “Mengapa Bayar Lebih?” ni jadi cerminan falsafah hidup dan prinsip perniagaan keluarga Mydin.
Allahyarham Mydin percaya bahawa barang berkualiti tidak semestinya mahal dan keuntungan kecil tetapi konsisten adalah kunci kejayaan.
Kisah-kisah berjimat yang diamalkan oleh Mydin Mohamed turut diwarisi anak-anaknya. Misalnya, membeli lauk berkuah secara berasingan untuk mendapatkan lebih banyak kuah dengan harga yang sama.
Lagi satu, menggunakan bas untuk perjalanan jauh kerana lebih menjimatkan daripada kapal terbang, walaupun beliau mampu.
Walaupun prinsip berjimat-cermat ini menjadi teras kejayaan Mydin, perjalanan membina empayar peruncitan ini tidak mudah.
Pada tahun 1989, anaknya, Datuk Ameer membuka cawangan Mydin pertama di Lembah Klang di Jalan Masjid India.
Ketika itu, perniagaan Mydin menghadapi cabaran besar kerana tidak ada bank yang mahu memberi pinjaman untuk mengembangkan pasaraya besar pertama mereka di Subang Jaya.
Namun, berkat keyakinan dan kecekalan, mereka akhirnya mendapat pinjaman dari Bank Arab-Malaysian.
Keputusan itu terbukti tepat apabila pasaraya di Subang Jaya menjadi titik tolak kejayaan besar Mydin.
Kini, Mydin jadi sebuah pasaraya borong yang juga simbol kepada gaya hidup berjimat.
Dengan lebih daripada 270 cawangan di seluruh Malaysia, Mydin terus menawarkan harga mampu milik kepada rakyat, seiring tagline “Mengapa Bayar Lebih?”.
Tagline ini mengingatkan kita bahawa berjimat bukan bermakna kedekut, tetapi satu cara bijak untuk menguruskan kewangan.




No comments yet