Jumaat, 30 Oktober 202630 Okt 2026
Eksplorasi Karya

Macam Mana Mockumentary Sitcoms Buat Kita Nampak Rumah Kita Sendiri?

Kalau kita jujur sikit, kebanyakan sitkom sebenarnya taklah lawak sampai nak tergolek. Banyak punchline boleh jangka. Salah faham, ego, menipu, hujung-hujung semua berbaik. Tapi peliknya, kita tetap tengok. Ulang tayang pun sanggup.

Dan bila masuk bab sitkom mockumentary, rasa tu jadi lebih dekat, realistik dan relateable dengan kehidupan seharian kita.

Watak bercakap dengan kamera. Mengaku benda yang dia takkan mengaku depan orang lain. Dalam detik tu, kita jadi saksi atau tempat luah.

Orang suka Keluarga Iskandar bukan sebab plot dia genius. Cerita dia sangat relate. Kadang-kadang sengal. Tapi watak dia terasa hidup. Terasa macam manusia sebenar, bukan karakter TV.

Mak Jah tu bukan watak rekaan. Itu mak Melayu tulen.

Mulut pedas. Suka control. Suka membebel. Tapi dalam masa sama, dialah paksi rumah. Kalau Mak Jah senyap, rumah rasa pelik. Kalau Mak Jah marah, semua orang automatik diam. Mak yang kejut Subuh setiap seminit. Kita semua pernah ada Mak Jah versi masing-masing.

Azlan pula jenis anak lelaki yang rasa dia paling bertanggungjawab tapi ego dia besar. Nak jadi ketua keluarga, tapi susah nak dengar orang lain. Jenis “aku buat demi keluarga”, tapi tak sedar dia tengah tekan orang sekeliling.

Kamal lagi pedih. Lelaki yang kena buang kerja tapi sanggup menipu berbulan-bulan sebab malu, sebab ego, sebab tak nak nampak gagal depan isteri dan ipar-duai. Ini bukan drama. Ini realiti yang ramai lelaki Malaysia simpan senyap-senyap.

Azura pula isteri yang pendam. Bila kantoi, dia tak jerit, tak maki. Dia senyap. Silent treatment sebab terlalu kecewa.

Isu Abang Ngah, Kak Ngah, Om dan Salahuddin pula benda yang ramai ibu bapa buat tanpa sedar iaitu banding anak, banding darah, banding pencapaian. Sakit sikit, tapi sebab tu orang boleh relate.

Dan dalam semua kekecohan ni, Acu jadi penyeimbang. Dia boleh sindir Azlan tanpa buat orang menyampah. Dia boleh jawab Mak Jah tanpa nampak kurang ajar. Dialah reality check bila semua orang dah hanyut dengan emosi sendiri.

Sebab tu bila season 3 keluar tanpa Acu, orang terus rasa lain. Bukan sebab peminat manja. Tapi sebab satu fungsi penting hilang. Rumah Iskandar masih ada. Lawak masih ada. Tapi rasa dia tak sama. Macam rumah yang sama, tapi satu suara dah tak ada.

Mockumentary hidup atas chemistry watak, bukan skrip.

Kalau kita tengok Modern Family, formula dia sama. Watak bercakap dengan kamera bukan untuk kelakar semata-mata, tapi untuk mengaku. Jay dengan ego dia. Phil dengan insekuriti dia. Gloria dengan budaya dan bahasa dia. Kita gelak sebab kita nampak kelemahan manusia, bukan sebab punchline semata-mata.

The Office pula lebih kejam. Kamera jadi saksi orang buat benda bodoh di tempat kerja, sedar dia bodoh tapi tetap buat. Michael Scott kelakar sebab dia terlalu desperate nak disayangi.

Bezanya, sitkom luar ni bagi kita hiburan. Kita enjoy. Kita gelak. Tapi jarang rasa relateable.

Sitkom Malaysia lama macam Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Spanar Jaya dan Senario tetap penting. Itu DNA kita. Kehidupan flat, bengkel kereta, geng lepak semua tu dunia rakyat.

Kenapa kita suka sitkom? Sebab sitkom benarkan kita ketawa pada masalah sendiri tanpa rasa bersalah. Masalah duit, kerja, keluarga semua tu berat dalam dunia sebenar. Tapi bila sitkom olah, kita boleh gelak sambil sedar, “oh… orang lain pun lalui benda ni.”

Dan yang paling penting, sitkom tak menghakimi. Watak boleh bodoh, boleh ego, boleh salah tapi penonton masih sayang dia. Itu buat kita rasa lega, sebab kita pun tak sempurna.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet