Rabu, 21 Oktober 202621 Okt 2026
Falsafah Alamiah

Macam Mana dan Kenapa Michael Jackson Jadi Putih?

Filem biopik Michael dah keluar! Dan Jaafar Jackson, anak saudara MJ sendiri pula jadi orang yang dipilih untuk membawa watak Michael Jackson ke layar perak.

Tapi bila sebut pasal Michael Jackson ni mesti ramai tertanya-tanya, kenapa dia boleh jadi putih sedangkan dia orang berkulit hitam?

Sebenarnya inilah antara topik paling besar yang menghantui hidup Michael Jackson selama berpuluh tahun. Sampai hari ini pun masih ada orang cakap dia sengaja “nak jadi orang putih”, dia bleach kulit sebab malu jadi orang kulit hitam atau dia cuba lari daripada identitinya sendiri. Masalahnya, ramai orang bercakap tanpa faham apa yang sebenarnya berlaku pada tubuh Michael Jackson.

Michael Jackson lahir pada tahun 1958 di Gary, Indiana. Dari kecil lagi dia memang dikenali sebagai budak kulit hitam dari keluarga Jackson yang penuh bakat. Masa era Jackson 5, ramai yang tahu imej dia memang rambut afro, masih kanak-kanak, kulit gelap, suara besar dan aura yang memang susah nak lawan. Itu Michael Jackson yang orang kenal pada awalnya. Seorang budak kulit hitam Amerika yang membesar jadi bintang dunia.

Tapi masuk pertengahan 1980-an, orang mula nampak perubahan pada wajah dan kulit dia. Lama-lama warna kulit dia makin cerah. Masuk pula era 1990-an, perubahan itu jadi semakin ketara sampai ramai orang tak boleh terima apa yang mereka nampak. Dari situlah media mula menggila. Macam-macam cerita keluar. Ada yang kata dia sengaja bleach kulit. Ada yang kata dia benci diri sendiri. Ada yang kata dia malu jadi orang hitam. Ada juga yang cuba kaitkan semua itu dengan isu identiti dan psikologi seolah-olah mereka lebih kenal Michael Jackson daripada Michael Jackson sendiri.

Hakikatnya, penjelasan sebenar di sebalik perubahan kulit Michael Jackson bukanlah teori konspirasi, tetapi masalah kesihatan yang memang wujud. Michael Jackson sendiri pernah menjelaskan dalam wawancara terkenalnya bersama Oprah Winfrey pada tahun 1993 bahawa dia menghidap vitiligo. Vitiligo ialah keadaan kulit yang menyebabkan pigmen hilang pada bahagian tertentu badan. Maksudnya, warna kulit tak jadi sekata. Akan muncul tompok-tompok putih yang boleh merebak dari masa ke masa. Keadaan yang buat tona kulit jadi bercapuk, tak rata dan makin sukar disembunyikan bila penyakit itu bertambah teruk.

Senang cerita, orang Melayu kita panggil penyakit ni sebagai sopak. Tapi sopak ni tak sama dengan panau sebab panau ni disebabkan oleh jangkitan kulat.

Kalau nak bayangkan, vitiligo ini bukan macam kita pilih nak jadi cerah atau gelap. Ia lebih kepada tubuh sendiri yang perlahan-lahan kehilangan pigmen asal pada sesetengah kawasan. Sebab itu kulit Michael nampak berubah sedikit demi sedikit, bukannya terus bertukar dalam satu malam. Pada awalnya mungkin ada tompok kecil. Lepas itu makin banyak. Lepas itu makin susah nak diratakan. Bila penyakit ini merebak, seseorang akan berdepan satu dilema yang sangat berat, lebih-lebih lagi kalau dia hidup di bawah lampu pentas, kamera dan perhatian satu dunia.

Michael Jackson juga dikatakan menghidap lupus, satu lagi masalah kesihatan yang menjadikan kulit lebih sensitif termasuk terhadap cahaya matahari. Inilah sebab kenapa dia selalu pakai topi, payung, cermin mata gelap, baju lengan panjang dan pakaian yang lebih tertutup. Ramai orang masa itu nampak gaya dia pelik, tetapi mereka tak nampak bahawa banyak benda yang dibuat itu sebenarnya mungkin sebahagian daripada usaha untuk melindungi diri.

Bila vitiligo jadi semakin teruk, Michael ada dua pilihan yang sama-sama menyakitkan. Pertama, cuba tutup kawasan putih dengan mekap mengikut warna kulit asal. Kedua, seragamkan warna kulit dengan rawatan depigmentasi dan produk tertentu supaya keseluruhan tona kulit nampak lebih sekata. Michael dipercayai memilih jalan kedua iaitu cuba menyamakan keseluruhan warna kulitnya dengan bahagian yang telah hilang pigmen. Itu pun bukan sebab dia “nak jadi putih”, tetapi sebab penyakit itu menjadikan kulitnya semakin tidak sekata dan makin sukar dikawal.

Cuba bayangkan kau seorang artis paling terkenal atas muka bumi. Setiap gambar kau dianalisis. Setiap perubahan kecil pada muka kau jadi tajuk utama akhbar. Setiap tompok pada kulit kau akan dibesarkan. Kalau dia tak cuba ratakan warna kulit, orang akan kutuk rupa dia pelik. Kalau dia cuba ratakan pun, orang tetap kutuk kata dia nak jadi putih. Pendek kata, apa pun yang dia buat, dia tetap akan dihukum.

Michael Jackson malu jadi orang hitam? Tak. Michael Jackson sendiri berkali-kali cakap dia bangga dengan identitinya. Dia juga pernah bercakap tentang betapa sakitnya bila orang menuduh dia cuba menjadi sesuatu yang bukan dirinya. Kalau kita tengok karya-karya dia, itu pun dah cukup untuk faham. Lagu seperti Black or White dan They Don’t Care About Us jelas menunjukkan bahawa isu kaum, prejudis, identiti dan kesaksamaan memang dekat dengan jiwa dia.

Selain isu kulit, wajah Michael Jackson juga banyak berubah. Ini pula jadi satu lagi bahan fitnah dan spekulasi tanpa henti. Memang tak boleh dinafikan bahawa dia menjalani beberapa prosedur kosmetik terutama pada hidung. Michael sendiri dalam tempoh berbeza pernah menafikan atau memperkecilkan jumlah pembedahan yang dilakukannya. Tetapi pada masa sama, laporan perubatan dan orang sekelilingnya menunjukkan bahawa dia memang menjalani beberapa prosedur pada wajah.

Namun sebenarnya pada tahun 1984, Michael terlibat dalam insiden penggambaran iklan Pepsi yang menyebabkan rambutnya terbakar. Kecederaan itu meninggalkan kesan melecur serius pada kulit kepala dan membawa kepada rawatan lanjutan selama bertahun-tahun. Dari situ juga timbul isu kesakitan kronik, pembedahan pembaikan dan akhirnya pergantungan pada ubat tahan sakit.

Selepas Michael Jackson meninggal dunia pada tahun 2009, autopsi yang dijalankan mengesahkan bahawa dia memang mempunyai vitiligo. Autopsi itu juga merekodkan depigmentasi pada kulitnya.

Jadi tidak, Michael Jackson bukan “jadi putih” sebab dia nak jadi orang lain. Cerita sebenar jauh lebih rumit daripada itu. Dan mungkin itulah perkara paling menyedihkan tentang hidup dia. Seorang lelaki yang selama ini cuba mengawal apa yang dia masih mampu kawal, tetapi dunia tetap memilih untuk percaya pada fitnah yang lebih mudah dijual.

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet