Setiap bangsa memiliki identiti yang membentuk jatidiri tersendiri. Ini merangkumi banyak perkara, termasuk makanan tradisi. Makanan pula boleh dibahagi mengikut kategori. Ada makanan harian. Ada makanan musim perayaan. Ada juga makanan sebagai bekal perjalanan. Misalnya, Melayu dengan lemang. Jepun pula dengan onigiri.
Dua negara ini masing-masing beriklim khatulistiwa dan subartik (di utara, subtropik di selatan). Ia lembab, sejuk, dan mesra musafir. Justeru perjalanan sesukar mana pun, kemudahan ‘rehat dan rawatnya’ lebih tersedia berbanding di negara beriklim gurun seperti Afrika dan Timur Tengah.
Bayangkan, Gurun Sahara yang luasnya hampir menyamai saiz USA sekadar memiliki 90 buah oasis utama – tidak termasuk oasis-oasis kecil. Curahan hujannya pula usah kata. Cuma 35-100 mm sahaja setahun. Di Gurun Arab pula paling tinggi dalam 500 mm. Jauh berbeza dengan Malaysia yang dicurahi 2,500-3,000 mm setahun. Sampai terpaksa guna penyodok buat tolak air hujan yang bertakung.
Ini justeru mengundang persoalan, “Bagaimana orang zaman dahulu menggagahi padang pasir?” Mereka bukannya boleh bawa banyak bekal. Air takat beberapa kendi. Stok makanan pun tidak sampai membebani. Jadi, takkan mereka makan dhab (biawak padang pasir) saja? Mesti ada sandaran lain, lebih-lebih dengan jarak destinasi yang terkadang buat kita lebih berteka-teki, “Kenapa mereka gemar memilih unta berbanding kuda? Bukan kuda lebih laju ke?”
Betul, kalau soal laju memang kuda lah yang menang. Itu pun tidak terlalu ketara. Antara 65 km/j dan 88 km/j sahaja (kelajuan maksimum). Namun bila namanya bermusafir, apa yang menjadi keutamaan bukannya kepantasan. Tetapi keselesaan, ketahanan, dan kadar muatan.
Berat beban yang mampu kuda pikul hanya 20% sahaja dari berat badannya. Sementara unta dengan berat purata 400-600 kg pula mampu mengangkut beban sehingga 272 kg. Yakni, lebih separuh dari berat badan sendiri.
Ditambah pula dengan cirinya yang berdaya tahan dan mampu beradaptasi dengan ribut pasir, unta sememangnya sesuai digelar ‘king of desert’. Setanding Myvi di highway. Mana tidak, ia mampu bertahan dalam suhu sepanas 34°C hingga 49°C. Andai berlaku ribut pasir pula, unta memiliki bulu mata tebal dan kelopak mata ketiga sebagai mekanisme perlindungan diri.
Dan paling penting, ia mampu mengharungi 100 batu tanpa makan dan minum. Semua berkat bonggol di belakang badannya yang secara purata menyimpan sehingga 36 kg lemak – di mana lemak ini boleh ditukar menjadi air dan sumber tenaga. Makna kata, unta boleh selamba meredah perjalanan dari Johor Bahru ke Melaka (lebih kurang) tanpa perlu isi minyak.
Kalau perlu sekali pun, si musafir tidak perlu bimbang berebut oasis dengan unta. Sebab macam yang dikata tadi, unta boleh jana tenaga dari lemak badan sendiri. Dan kalau dibedalnya air oasis pun, si musafir memadai dengan bekalan beberapa kendi air bersih sahaja.
Selebihnya, boleh diambil dari perahan susu unta. Memang ikutkan, jumlah susu yang dihasilkan oleh unta ini lebih rendah berbanding kuda dan lembu – iaitu 6 liter sehari berbanding 11-22 liter dan 24-28 liter sehari. Tetapi jika dilihat pada nutrisi, susu unta sebenarnya lebih bergizi. Sampai ia dilabel sebagai salah satu superfood hingga ke hari ini. Ini kerana khasiat susu unta sangat pelbagai.
Bermula dari rendah kolestrol dan gula serta kaya dengan protein, zat besi, vitamin B3 dan mineral (sodium, potassium, dan zinc)… hinggalah kepada pelabelan betapa susu unta adalah susu paling hampir dengan khasiat susu ibu. Kira orang dewasa yang mahu dapatkan khasiat persis susu ibu, boleh cuba ambil susu unta – namun tanpa menyikapinya sebagai bersifat ‘one-size-fits-all’. Masih perlu berkadar dan mengikuti saranan pakar.
Apapun bila berbicara tentang nutrisi susu unta, sebetulnya hal yang paling utama adalah ia tidak mengandungi protein β-lactoglobulin. Protein ini mudah kata, adalah punca seseorang mengalami intoleransi laktosa – yakni ketidakupayaan mencerna laktosa (sejenis gula dalam susu) yang lantas mengakibatkan rasa loya atau bahkan cirit-birit selepas meminum susu.
Justeru boleh kata, susu unta amat meraikan semua. Baik kalangan nomad ribuan tahun lampau mahupun kita pada hari ini. Sampaikan, ia bukan sekadar hadir dalam bentuk susu cecair. Tetapi juga susu tepung dan pelbagai produk tenusu lain – seperti tauhu dan coklat.
Nilai pasaran industri susu unta di peringkat global juga boleh tahan hebat, iaitu berjumlah $10.81 billion pada 2017 dan dijangka meroket sehingga $15.05 billion dalam dekad ini. Ini sekali gus menjadi petanda betapa industri susu unta sebenarnya amat lumayan.
Lebih-lebih lagi permintaannya sentiasa melebihi bekalan… walaupun harganya juga boleh tahan kayangan. Bayangkan di Amerika Syarikat, harga satu pint (473 ml) susu unta boleh cecah $12-16 (RM53-70). Yakni lebih mahal dari harga 1 karton susu Farm Fresh bersaiz 200ml x 24 kotak. Itu baru satu pint. Kalau satu tan metrik?
Sebab itu selain dilihat sebagai superfood yang kaya dengan khasiat, susu unta juga dianggap ‘emas putih’ bagi negara-negara pengeluar utama seperti Kenya, Somalia, dan Mali. Manalah tahu, ekonomi mereka bakal bangkit semula dalam sedekad dua ini – selepas lama tersungkur akibat ‘emas tulen dan emas hitam (hamba)’ dilarikan dari bumi sana?
RUJUKAN
Bisram, Ryan. (nd). Is Camel Milk the Next Superfood? Naturally Savvy.
Cowie, Ashley. (2022, 29 May). Camel Milk, The Ancient Liquid Gold Superfood, is Rising in Demand. Ancient Origins.
Dahir, Abdi Latif. (2019, 6 June). Camel milk could be the next superfood – thanks to East Africa. Quartz Africa.
Nature Noon. (nd). Horses vs Camels: What are the Differences and Their Uses?
Pant, Pushpesh. (2022, 16 March). Camel Milk: The exotic superfood to prepare delicious delicacies. The Print.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih