Alam angkasa terbentang begitu luas, lagi penuh dengan keindahan berwarna-warni. Banyak objek yang menarik terdapat di ruangan angkasa.
Tetapi hukum keindahan ini tetap sama: cahaya dan masa. Dalam pembelajaran angkasa, mesti pernah dengar pasal “tahun cahaya”.
Ukuran jarak ini mudah difahami jika tengok setiap objek dengan perspektif cahaya. Macam Bumi ini ada dalam Sistem Suria (Solar System) yang terletak dalam Galaksi Bima Sakti.
Galaksi ini ada banyak sistem berbintang yang lain. Salah satu sistem adalah Alpha Centauri, sistem paling berhampiran dengan Solar System.
Jaraknya adalah 4.367 tahun cahaya. Sesungguhnya 4.367 tahun ini adalah masa yang diperlukan untuk cahaya daripada Alpha Centauri sampai di Bumi (sekali gus membolehkan kita nampak sistem tersebut).
Boleh ambil contoh benda lain pun, seperti bintang Tau Ceti yang terletak 11.9 tahun cahaya dari Bumi. Bermakna cahaya bintang tersebut ambil masa 11.9 tahun untuk sampai di Bumi.
Inilah hukum cahaya. Lagi jauh sesuatu objek, lagi lama ia ambil untuk tiba di Bumi. Persoalan sekarang, macam mana saintis cerap lohong hitam (black hole)?
Ini yang betul-betul difikirkan, kerana fenomena lohong hitam adalah anti-cahaya. Gravitinya terlalu dahsyat hingga mampu menyedut segala cahaya.
Memahami Fenomena Lohong Hitam
Lohong hitam bukan sama sekali suatu fenomena yang bersifat malu-malu kucing (jarang berlaku).
Ia kerap berlaku. Malah ketika pembaca menelusuri artikel ini, ada lohong hitam yang sedang membuat onar di luar sana.
Saintis membuat anggaran kasar tentang jumlah lohong hitam. Dan mereka ada numbers yang strong dan formidable, iaitu 100 juta. Bermakna dalam Galaksi Bima Sakti, terdapat 100 juta lohong hitam yang hampir semuanya berjisim setanding Matahari (Carpinetti, 2022).
Dengan menggunakan alat pencerap khas, saintis faham yang lohong hitam adalah suatu fenomena yang berinteraksi dengan bintang.
Maksudnya, sebutir bintang runtuh sampai menjadi lubang iaitu lohong hitam.
Begitu lama hukum ini dipegang sebagai fitrah alam. Walau bagaimanapun, seperti biasa, sains sentiasa membetulkan diri sendiri.
Baru-baru ini, saintis menemui sebuah lohong hitam yang kesunyian tanpa peneman macam segelintir dalam kalangan pembaca. Bermakna lohong hitam ini bersifat liar, bukan kerana keruntuhan bintang yang mati.
Liarnya Lubang Ini
Saintis tidak perlu membangunkan sebuah alat khas untuk tengok lohong hitam liar ini. Mereka bergantung pada Teleskop Angkasa Hubble (HST) yang sudah berzaman di ruangan angkasa.
Dan lohong hitam liar ini terletak 5,150 tahun cahaya dari Bumi, tidak jauh daripada Pusat Galaksi di tengah Bima Sakti (Choi, 2022).
Saintis ternampak secara tidak langsung sebenarnya. Seperti yang dijelaskan, lohong hitam menarik cahaya… sekali gus tidak boleh dilihat begitu saja.
Oleh yang demikian, ada satu faktor yang main peranan. Apabila lohong hitam menarik cahaya, akan berlaku fenomena unik. Cahaya yang menghala ke arah lohong hitam akan membengkok.
Dengan cara inilah saintis mengukur saiz sebuah lohong hitam. Teknologi digital membolehkan saintis kira lohong hitam halus (saiz gunung dianggap halus di angkasa).
Saintis berpendapat lohong hitam liar ini mempunyai jirim sebanyak 7.1 kali ganda lebih tinggi untuk dibandingkan dengan jirim Matahari.
Ia sedang bergerak selaju 162,000 kilometer sejam. Bermakna penyedut gila ini sedang bebas bergerak, bukannya terkunci di satu tempat bagaikan kapal disauh.
RUJUKAN:
Carpinetti, A. (2022, Februari 4). First Truly Isolated Black Hole Discovered in the Milky Way. IFL Science.
Choi, C. (2022, Februari 7). Rogue black hole spotted on its own for the first time. Space.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih