Seksaan bukan sesuatu yang baru dalam sejarah. Ini kerana ini antara cara mendapatkan maklumat daripada pesalah atau sebagai bentuk hukuman yang menakutkan. Siapa sangka, hukuman yang paling menakutkan ialah lidah kambing!
Lidah kambing mungkin tidak sengeri alat seksaan yang wujud pada Zaman Pertengahan seperti rak dan skru ibu jari. Malah, mangsa yang mengalaminya pada peringkat awal menyangka ia sekadar jenaka basi.
Cara mangsa diseksa menggunakan kaedah jilatan kambing juga mudah. Kaki mangsa diikat dengan tapak kakinya dilumur dengan garam. Selepas semua itu selesai, si penyeksa akan membawa seekor kambing untuk menjilat bahagian tapak kaki yang dilumur dengan garam.
Pada awalnya, jilatan kambing akan buat si mangsa merasa geli dan tidak boleh menahan ketawa. Lama-kelamaan, bunyi ketawa diganti dengan rintihan dan jeritan meminta tolong. Ini kerana jilatan kambing menyebabkan kulit pada tapak kaki mula terhakis.
Kena ingat, lidah kambing ini sebenarnya macam kertas pasir. Bila kulit mula terkopek, ia mendedahkan bahagian tisu kaki yang lembut dan sensitif. Bila terdedah, ia bukan saja menyakitkan tetapi menyebabkan luka tersebut terdedah kepada jangkitan kuman. Kalau dibiarkan, ia boleh membawa maut kepada mana-mana individu yang diseksa dengan kaedah ini.
Seksaan bersifat pelik bin ajaib ini dikatakan bermula sejak era Rom lagi. Tidak seperti sesetengah seksaan yang memerlukan peralatan khas, penyeksa hanya perlu bersabar dan menggunakan kambing biasa bila menyeksa pesalah. Kaedah ini antara cara digunakan orang Rom dengan tujuan memaksa pesalah mengakui kesalahan mereka.
Orang Rom anggap lidah kambing ini sebagai menakutkan. Ia bukannya bertujuan sebagai hukuman pantas tetapi penyeksaan yang boleh berlarutan selama berjam-jam atau hari. Bukan itu saja, seksaan dari segi psikologi iaitu kesakitan si mangsa sendiri juga merupakan satu hukuman sama seperti seksaan fizikal.
Lidah kambing mula disebut dalam memoir seorang rahib Benedictine abad ke-12 Masihi bernama Guibert de Nogent. Lebih 400 tahun kemudian, seksaan ini turut disebut peguam dan rahib Itali bernama Franciscus Brunus de San Severino dalam bukunya, Tractatus de indiciis et tortura. Peguam Itali, Ippolito De’Marsili turut menyatakan perkara sama dalam bukunya pada 1537.
Jadi, kenapa lidah kambing? Jawapannya mungkin berkisar kepada kecenderungan manusia bereksperimen dengan kuasa, ketakutan dan kawalan. Seksaan ini bukan saja menyakitkan tetapi juga memalukan. Pendek kata, siapa saja yang melihat si pesalah diseksa dengan cara sebegitu takkan berani melakukan jenayah.
Selain itu, penggunaan kambing secara tidak langsung menukar haiwan tersebut daripada ternakan kepada seksaan kepada si pesalah. Kambing bagi orang kampung, itulah haiwan yang menjadi simbol kehidupan di situ.
Bila jadi simbol kesakitan, segala imej yang ada pasal kambing dan jinak terus hilang di mata pesalah!




No comments yet