Kalau sebut nama Lembah Beringin, takkan ada orang fikir pasal masa depan industri automotif negara disini. Paling-paling pun, Rawang sebab Perodua atau Tanjung Malim sebab Proton.
Yang terbayang biasanya rumah terbiar, lot kedai tak siap, jalan sunyi, semak-samun naik tinggi, bangunan macam tinggal rangka dan satu kawasan yang pernah orang panggil sebagai “bandar hantu” di Hulu Selangor.
Ironinya, tempat yang dulu pernah dikaitkan dengan kegagalan perancangan pembangunan, hari ini tiba-tiba muncul semula dalam peta ekonomi Malaysia sebagai tapak baharu untuk industri automotif masa depan.
Dan nama besar yang masuk kali ini bukan calang-calang.
Chery.
Ya, Chery dari China itu.
Chery Holding Group melalui Chery Malaysia sedang membangunkan Chery Smart Auto Industrial Park di Beringin High-Tech Auto Valley, Hulu Selangor dengan pelaburan bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh 5 tahun. Projek ini diumumkan melalui kerjasama antara Chery Corporate Malaysia dan Legenda Beringin Holding dengan kawasan Beringin High-Tech Auto Valley dirancang sebagai pembangunan seluas kira-kira 800 ekar. Fasa pertama taman industri Chery pula melibatkan kawasan sekitar 200 ekar.
Mengikut perancangan yang diumumkan, kilang ini disasarkan siap pada tahun ini dengan kapasiti awal sekitar 100,000 unit kenderaan setahun dan boleh dikembangkan sehingga 300,000 unit setahun. Lebih menarik, selain daripada kereta elektrik sepenuhnya, Chery juga akan keluarkan pelbagai jenis kenderaan di sini termasuk enjin pembakaran dalaman biasa, plug-in hybrid, battery electric vehicle dan energy-efficient vehicle.
Di sinilah cerita Lembah Beringin jadi menarik.
Sebab kawasan ini pernah hidup dengan satu impian besar pada awal 1990-an. Ketika ekonomi Malaysia sedang rancak, banyak kawasan di utara Selangor seperti Bukit Beruntung, Sungai Buaya dan Lembah Beringin tiba-tiba menjadi tumpuan pemaju. Orang beli rumah, pemaju buka tanah, projek perumahan naik satu demi satu. Masa itu, ada keyakinan bahawa kawasan ini bakal menjadi kawasan penting kerana wujud khabar bahawa lapangan terbang antarabangsa baharu atau pusat pentadbiran baharu negara mungkin dibangunkan di sekitar utara Selangor.
Tetapi seperti biasa, pembangunan yang dibina atas jangkaan boleh jadi bahaya kalau jangkaan itu tidak menjadi kenyataan.
Akhirnya, KLIA dibina di Sepang. Putrajaya pula dibangunkan di kawasan Prang Besar, jauh ke selatan Kuala Lumpur. Lembah Beringin yang awalnya dilihat bakal menjadi kawasan masa depan, tiba-tiba hilang momentum. Kemudian datang pula Krisis Kewangan Asia 1997. Harga hartanah jatuh, syarikat pemaju tertekan, pembeli tersepit dan banyak rumah yang sepatutnya siap sekitar hujung 1990-an mula terbengkalai. Pada tahun 2001, projek Bandar Baru Lembah Beringin diklasifikasikan sebagai projek terbengkalai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, manakala syarikat Lembah Beringin Sdn. Bhd. kemudian dilaporkan mengalami masalah kewangan dan dilikuidasi pada tahun 2006.
Namun kali ini, cerita Lembah Beringin mungkin berbeza sebab pelaburan Chery ini datang dalam keadaan industri automotif dunia sedang berubah besar-besaran.
Di sinilah Malaysia sebenarnya ada peluang. Kita mungkin tidak sebesar China. Kita mungkin tidak mempunyai pasaran domestik sebesar Indonesia. Kita juga belum tentu boleh lawan Thailand dari segi jumlah pengeluaran kenderaan kerana Thailand sudah lama dikenali sebagai “Detroit of Asia”. Tetapi Malaysia ada satu kelebihan lama yang sering orang lupa iaitu ekosistem elektrik dan elektronik. Industri E&E Malaysia sudah lama menjadi tulang belakang eksport negara. Bila automotif moden makin bergantung kepada cip, sensor, sistem elektronik dan perisian, kelebihan ini boleh menjadi senjata besar.
Jadi apabila Lembah Beringin mahu dibangunkan sebagai Beringin High-Tech Auto Valley, ia tidak boleh dilihat sebagai projek kilang semata-mata. Ia perlu dilihat sebagai cubaan untuk menyambungkan beberapa titik penting dalam peta automotif Malaysia.
Di selatan sedikit, ada Perodua di Rawang dan Serendah. Di utara pula ada Proton dan Geely di Tanjung Malim melalui Automotive High-Tech Valley. Di tengah-tengahnya, sekarang muncul Chery di Lembah Beringin. Bila ketiga-tiga kawasan ini dilihat sebagai satu garisan, kita boleh nampak satu koridor automotif baharu sedang terbentuk di utara Selangor dan selatan Perak.
Ini yang menjadikan lokasi Lembah Beringin menarik. Kalau dahulu orang kata kawasan ini jauh dan mati, hari ini jaraknya pula menjadi kelebihan. Ia berada antara Rawang-Serendah dan Tanjung Malim. Untuk industri automotif, jarak antara kilang utama dengan pembekal komponen sangat penting. Lagi dekat pembekal dengan pengeluar, lagi mudah kawal kos, masa penghantaran dan rantaian bekalan.
Senang cerita, kalau vendor kena hantar komponen dari tempat yang jauh-jauh, kos logistik naik. Bila kos naik, harga komponen naik. Bila harga komponen naik, harga kereta pun boleh terkesan. Sebab itu negara yang serius mahu membina industri automotif biasanya akan cuba mewujudkan kluster. Thailand buat di Rayong. China ada kawasan seperti Chongqing yang menjadi pusat automotif besar. Malaysia pula selama ini agak berpecah-pecah dengan Shah Alam, Rawang, Gurun, Pekan, Kulim, Tanjung Malim dan sebagainya.
Tetapi kini, dengan Rawang-Serendah, Lembah Beringin dan Tanjung Malim, kita mula nampak satu paksi yang lebih tersusun.
Tambahan pula, projek ECRL juga memberi gambaran baharu dari sudut logistik. Laluan Serendah ke Pelabuhan Klang dirancang untuk meningkatkan kecekapan pergerakan kargo dan mengurangkan kebergantungan kepada laluan yang perlu melalui kawasan sesak Kuala Lumpur. Kerajaan juga pernah meluluskan naik taraf sistem landasan berkembar bagi seksyen ke Pelabuhan Klang termasuk landasan standard-gauge untuk ECRL dan landasan metre-gauge untuk KTMB bagi meningkatkan kapasiti kargo ke Northport dan Westports.
Kalau semua ini berjalan seperti dirancang, barulah kita nampak kenapa kawasan utara Selangor ini boleh menjadi lebih strategik daripada yang pernah dibayangkan dahulu. Kilang boleh keluarkan kereta. Vendor boleh bekal komponen. Rel boleh bawa kargo ke pelabuhan. Pelabuhan pula boleh hantar kereta ke pasaran luar.
Inilah beza antara cuma buka kilang dengan membina ekosistem.
Chery sendiri bukan baru semalam masuk Malaysia. Sebelum projek Lembah Beringin ini, Chery sudah menggunakan fasiliti pemasangan di Malaysia untuk model seperti Omoda dan Tiggo. Jenama premium bawah kumpulan Chery seperti Jaecoo juga sudah mula dipasang di Shah Alam. Maksudnya, pelaburan di Lembah Beringin ini bukan langkah pertama Chery di Malaysia, tetapi langkah yang jauh lebih besar untuk menjadikan Malaysia sebagai tapak pengeluaran dan kemungkinan juga hub eksport serantau.
Kalau sebelum ini orang nampak kereta China sebagai kereta import yang datang siap dari luar, sekarang ni syarikat China semakin berminat untuk pasang, bina rantaian bekalan dan gunakan Malaysia sebagai tapak strategik untuk pasaran ASEAN serta pasaran pemanduan sebelah kanan. Ini termasuk negara seperti Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Australia, Afrika Selatan dan mungkin juga pasaran lain yang sesuai.
Namun kita kena berhati-hati juga. Jangan terlalu cepat mabuk dengan istilah “Detroit baru ASEAN” atau “Chongqing of ASEAN”. Gelaran itu sedap dibaca, tetapi untuk benar-benar menjadi pusat automotif besar, Malaysia perlu buktikan banyak perkara.
Kita perlu buktikan bahawa pelaburan ini benar-benar menghasilkan pemindahan teknologi, pastikan vendor tempatan mendapat manfaat, perlu lahirkan tenaga mahir yang cukup dan perlu pastikan pusat latihan TVET, kolej kemahiran, politeknik serta universiti teknikal benar-benar disambungkan dengan keperluan industri.
Sebenarnya, inilah masa untuk Malaysia berhenti memandang rendah kepada pendidikan teknikal. Kalau kita mahu jadi negara industri, kita tidak boleh hanya bangga ada ramai graduan pejabat. Kita perlukan orang yang boleh bina, pasang, uji, baiki, reka, kalibrasi dan memahami teknologi sebenar.
Dulu Lembah Beringin pernah gagal kerana terlalu awal dijual sebagai masa depan. Sekarang, masa depan itu datang sekali lagi dan mungkin menjadi salah satu nadi baharu industri kereta Malaysia.




No comments yet