Kira-kira 250 tahun yang lepas, sekitar abad ke-18, ada sebuah kisah legenda (sejarah+mitos) yang sehingga hari ini masih meniti di bibir kita yang melawat Pulau Langkawi. Mungkin bagi orang, yang mengamalkan sekularisasi ilmu, perkara-perkara mistik di dalam kisah Mahsuri ditolak sebagai fakta, namun bagi saya, dengan kuasa ALLAH Azza Wajjala, apa-apa pun boleh berlaku. Dengan lafaz kun fayakun sahaja, maka apa yang disangka fantasi akan menjadi realiti. Begitu juga kisah Mahsuri, tiada apa yang mustahil.
Berbalik pada kisah Mahsuri, sukanya saya maklumkan kononnya kisah orang tua-tua, sebelum kelahiran Mahsuri, berlakunya banyak kisah pelik pada ibu bapa kepada Mahsuri iaitu Pandak Mayah dan juga Mak Andak. Antaranya ialah tersempak dengan Ular Itik (menurut kepercayaan ketika itu, ular itik membawa tuah) dan menjumpai sekeping kerak nasi yang memancarkan bunyi tangisan bayi dan banyak lagi.
Dan semenjak menjumpai Ular Itik itu, maka dengan izin ALLAH, Mak Andak pun disahkan mengandungkan Mahsuri dan sepanjang mengandungkan anak gadis dalamn kandungannya, betapa murahnya rezeki mereka pasangan suami isteri. Tanamannya subur manakala Pandak Mayah pula menjumpai sarang burung layang-layang di dalam sebuah gua dan menjualkannya.
Tidak cukup dengan itu, selepas lahirnya Mahsuri ke alam dunia dari rahim ibunya, banyak pula kejadian-kejadiana neh yang berlaku, seiring dengan lahirnya beliau. Antaranya ialah air perigi di kawasan rumah mereka menjadi beku dan Pandak Mayah pulak menjumpai batu-batu kemeyan. Rezeki kedua-dua pasangan suami isteri itu menjadi mewah, seiring dengan kelahiran Mahsuri.
Walaupun tiada kesahihan dari cerita-cerita legenda ini, tetapi ianya memberi pengajaran kepada kita betapa nabi menjanjikan kita bahawa perkahwinan itu sebenarnya menggalakkan rezeki para suami dan isteri, bukan sebaliknya.
Maka dipendekkan cerita, Mahsuri pun membesar menjadi anak gadis yang sangat jelita, bahkan kejelitaannya diasuh pula dengan syariat-syariat Islam dan adat Melayu yang tinggi menjadikan disebalik wajah itu, terkandung permata yang diidamkan oleh para jejaka Melayu yang lain. Ayat yang paling senang, sesungguhnya Mahsuri boleh diibaratkan seperti “GADIS MELAYU TERAKHIR.” Kejelitaan Gadis Melayu Terakhir ini juga mendatangkan cemburu pada gadis-gadis lain.
Lalu kejeitaan Mahsuri dan baiknya peribadi beliau telah sampai sehingga ke telinga Dato Pekerma Jaya yang merupakan Penghulu Pulau Langkawi. Dan Penghulu ini mempunyai seorang isteri yang bernama Wan Mahura. Wan Mahura memasang angan untuk melihat kejelitaan yang diperkatakan oleh orang ramai ini.
Maka ditakdirkan suatu hari di mana Dato’ Pekerma Jaya telah diundang untuk menghadiri sebuah temasya rakyat di Kampung Mawat. Temasya itu sudah menjadi tradisi rakyat Langkawi di mana selepas musim menuai dan penduduk di kampong lain di Pulau Langkawi turut menghadirinya, dan antaranya ialah Pandak Mayah, Mak Andak dan Mahsuri sendiri. Oleh kerana kejelitannya yang memukau mata itu, sudah tentu Mahsuri menjadi perhatian orang ramai. Dan antaranya ialah Dato’ Pekerma Jaya sendiri yang tidak berkelip memandang kejelitaan Mahsuri.
Sudah adat seorang wanita, sentiasa cemburu buta, maka Wan Mahura terus memasang dendam sejak hari itu. Cemburunya makin meluap kerana Wan Mahura menyangka bahawa suaminya sudah jatuh hati dengan Mahsuri. Maka bermulalah rancangan jahat si Wan Mahura, si wanita yang berhati dengki itu.
Beberapa hari selepas temasya, dicadangkan kepada suaminya supaya mengahwinkan adik iparnya iaitu Wan Darus dengan Mahsuri. Wan Darus untuk pengetahuan semua adalah seorang pendekar Melayu yang sangat disegani di Langkawi. Lagipun dia juga sudah lama mengidamkan Mahsuri untuk dijadikan. Pucuk dicita, ulam mendatang, bagaikan orang mengantuk disorong bantal, maka Wan Darus terus bersetuju. Terus Wan Darus menghantarkan rombongan meminang ke atas Mahsuri.
Lalu ditakdirkan pula Wan Darus dan Mahsuri ini berjodoh. Peminangannya diterima oleh Pandak Mayah. Maka berlangsunglah upacara perkahwinan antara Wan Darus dan juga Mahsuri gilang gemilang sesuai dengan adat Melayu. Dan dari perkahwinan ini, mereka berdua hidup bahagia sehinggalah Mahsuri disahkan mengandung anak Wan Darus. Namun, ketika Mahsuri sedang sarat, panggilan Jihad mempertahankan Kedah berkumandang dari baginda sultan. Kedah sedang menerima ancaman musuh.
Dato’ Pekerma Jaya diarahkan oleh baginda sultan Kedah untuk menghantarkan pendekar-pendekar hebat untuk melindungi Kedah di medan perang. Maka dengan besar hatinya, Wan Mahura mencadangkan nama Wan Darus kepada suaminya.
Dengan berat hati, Wan Darus terpaksa meninggalkan Mahsuri yang sedang sarat itu, demi mempertahankan negara. Siapa yang tidak berat hati meninggalkan isteri yang tercinta seorang diri di rumah, sementara dia pula turun ke medan tempur, dan bila-bila masa akan mati di hujung pedang. Pastinya pemergian Wan Darus menerbitkan air mata di layar mata Mahsuri. Tidak lama kemudian, Mahsuri pun selamatkan melahirkan anak lelaki. Diberi namanya sebagai Wan Mat Arus.
Maka masa pun bergulir, ketika banyak anak lelaki Langkawi sedang berjuang mempertahankan negara daripada musuh, maka datanglah seorang perantau dari Pulau Suamtera yang bernama Deramang. Deramang mahu mencari rezeki di bumi Langkawi. Maka perantau ini mencari rezeki dengan menyanyi lagu, sayir, berhikayat dan berpantun di seluruh Langkawi dengan harapan mendapat sedikit upah menghiburkan orang kampong.
Dan sepanjang Deramang mengembara ke seluruh Pulau, akhirnya ditakdirkan dia sampai di perkarangan rumah Mahsuri. Ketika itu, dirayunya pada Mahsuri agar diberi sedikit makanan dan air untuk dialas perut. Oleh kerana Mahsuri adalah seorang didik dengan budi pekerti yang tinggi, maka diberinya pada Deramang.
Maka bermula dari hari itu, Deramang kerap datang ke perkarangan rumah Mahsuri dan bersyair serta menyanyikan lagu demi menghiburkan Mahsuri. Lagipun Mahsuri tidak lokek memberi upah pada Deramang. Dan kesunyian yang melanda hidup Mahsuri pun terisi dengan kehadiran Deramang. Namun mereka berdua tetap menjaga batas antara satu sama lain. Deramang akan bersyair dan bernyanyi di bawah rumah, manakala Mahsuri sekadar berada di atas rumah.
Namun, sehinggalah suatu hari ini, Mahsuri mahu berterima kasih kepada Deramang atas jasa baiknya, lalu Mahsuri pun menyerahkan sebentuk cincin pada Deramang. Kebetulan pula apa yang berlaku itu disaksikan pula beberapa orang gadis kampong yang memang dengki akan kebahagian yang dimiliki oleh Mahsuri lalu dilaporkan pada Wan Mahura.
Apa yang dinanti oleh Man Mahura selama ini terjadi juga. Lalu berita yang disampaikan itu diubah versi oleh Wan Mahura, dengan tokok tambah yang diada-adakan. Dituduhnya bahawa Mahsuri berzina dengan Deramang sepanjang Wan Darus pergi berjuang mempertahankan negara. Apa lagi, Dato’ Pekerma Jaya pun naik beranglah dengan khabar itu.
Lalu, diarahkannya akan pegawal-pegawalnya menangkap Mahsuri untuk dihukum sula dihadapan Padang Mat Sirat, kampong tempat tinggal Mahsuri dan suaminya.
Ketika serbuan ke atas rumah Mahsuri dilakukan, wanita itu sedang menjahit sambil anak lelakinya sedang tidur di pangkuannya. Pegawal-pegawal Dato’ Pekerma Jaya mengatakan bahawa Mahsuri dan Deramang akan dihukum mati kerana berzina. Maka dunia ketika itu buat Mahsuri seperti berhenti berputar sejenak, air mukaya terus jatuh. Fitnah apakah yang melandanya ketika itu? Lalu berjujuran air mata Mahsuri, merayu agar tidak diapa-apakannya. Berkali-kali Mahsuri mengatakan bahawa dirinya tidak bersalah. Namun tidak diendahkan. Mahsuri pun diheret ke Padang Mat Sirat, meninggalkan Wan Mat Arus kepada jirannya yang sempat menyelamatkan anak kecil itu yang ditinggalkan keseorangan. Lalu Wan Mat Arus diserahkan pada Pandak Mayah dan Mak Andak.
Pandak Mayah dan Mak Andak pun mengumpulkan harta kekayaan mereka, dengan harapan nanti akan di bawa ke Dato’ Pekerma Jaya, maka dapatlah ditebus Mahsuri. Dalam masa yang sama juga, khabar angin tentang Mahsuri dan Deramang dihukum mati kerana zina pun tersebar ke seluruh Langkawi. Deramang yang mendapat tahu hukum mati yang dilaksanakan ke atasnya terus lari meninggalkan Langkawi dan meninggalkan Mahsuri seorang diri yang diikat pada sebuah pohon.
Orang ramai pun ramai-ramai ke sebuah lapangan yang menjadi tempat hukuman mati dilaksanakan ke atas Mahsuri. Seluruh penduduk Langkawi percaya bahawa tidak mungkin Mahsuri membuat onar sedemikian kerana mereka kenal bahawa Mahsuri adalah seorang wanita yang didik dengan ilmu agama yang tinggi dan juga adat Melayu yang kuat. Diceritakan bahawa kedua-dua orang tua Mahsuri merayu pada Dato’ Pekerma Jaya agar melepaskan Mahsuri dan mereka sudi menebus nyawa Mahsuri dengan harta yang dikumpul oleh mereka.
Namun, Dato’ Pekerma Jaya berkeras bahawa nyawa Mahsuri harus dimatikan di situ. Maka diarahkan pegawal-pegawalnya menikam batang tubuh Mahsuri berkali-kali. Aneh, dengan izin ALLAH, keris yang diarahkan terbenam di batang tubuh Mahsuri langsung tidak lut. Masing-masing takjub dengan keajaiban yang terpamer depan mata. Maka yakinlah mereka bahawa Mahsuri tidak bersalah.
Tapi tanda-tanda yang diberikan ALLAH itu langsung tidak diendahkan oleh jiwa yang dirasuk amarah dan ego. Maka kerana letih diperlakukan sedemikian oleh konco-konco Dato’ Pekerma Jaya yang mencari pelbagai jalan untuk membenamkan kerisnya ditubuh Mahsuri. Lalu bersuaralah Mahsuri:
“Kalaulah benar kalian cuba mahu membunuh aku begitu bersungguh-sungguh. Pergilah kalian ke dalam rumah aku dan carilah sebuah tombak. Dengan izin ALLAH, tombak itu mampu membunuhku!”
Mendengarkannya, maka Dato’ Pekerma Jaya pun mengarahkan dicarinya tombak itu. Lalu digeledahnya seluruh rumah Mahsuri sehingga dijumpa tombak yang diperkatakan. Tombak itu dibawa ke tempat penghukuman lalu dilemparkan tombak itu menembusi bahunya lalu mengenai jantung Mahsuri. Diceritakan darah putih memancut keluar dari luka tikaman lalu memancut diudara laksana sebuah payung. Menggunakan sisa tenaga terakhirnya, Mahsuri memanjatkan doa pada yang maha penguasa.
Katanya:
“Pulau Langkawi aku sumpah tidak makmur dan aman sehinggalah genapnya 7 keturunanku!”
Apa yang diperkatakan oleh Mahsuri kemudian menjadi kenyataan. Direkodkan dalam sejarah tentera Siam pun melanggar Langkawi lalu Dato’ Pekerma Jaya gagal untuk mempertahankan Langkawi. Habis ladang dan sawah dibakar oleh bala Siam. Dato’ Pekerma Jaya ditangkap oleh askar Siam lalu dibunuh dan diseksa dengan kejam. Nasib yang paling tragis pulak menimpa Wan Mahura. Kononnya Wan Mahura dirogol beramai-ramai oleh tentera Siam sebelum dibunuh dan diseksa dengan kejam.
Kalau legenda Mahsuri ini benar, ini adalah tanda kebesaran ALLAH kepada hambanya yang dianayai. Dan ini juga tanda kebesaran tuhan menurunkan balasan kepada hambanya yang berlaku zalim pada orang lain. Semoga kita semua dijauhi daripada tergolong daripada kalangan orang seperti Dato’ Pekerma Jaya dan juga Wan Mahura. Dosa fitnah itu sudahpun terlalu besar, apatah lagi dosa memfitnah seorang wanita yang alim dan baik serta suci dengan perbuatan zina. Nauzubillahminzalik! Tidak tertanggung kita akan azabnya!
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
2 Comments
Cerita yg lengkap. Tahniah
Apa ang terjadi kepada Wan Mahura?