Saat hari ini disambut dengan luahan kasih sayang antara teruna dara, ia juga merupakan tarikh keramat anak bangsa menyatakan cinta lebih mendalam kepada agama, bangsa dan negaranya. Meski ada yang memanggil mereka dengan pelbagai gelaran terhina – antaranya sebagai anjing penjajah, hakikatnya mereka memilih untuk terus berjuang sehingga ke titisan darah terakhir demi mempertahankan tanahair daripada kemaraan musuh.

Bukit Chandu yang terletak di atas sebuah permatang sepanjang lebih kurang 5 km menjadi saksi medan pertempuran antara Rejimen Askar Melayu dan Tentera Jepun satu ketika dulu. Di sinilah semangat keperwiraan anak-anak Melayu dibuktikan dengan perjuangan sehingga ke titisan darah terakhir oleh Allahrayrham Lt. Datuk Adnan Saidi dan 42 anggotanya daripada Platun7, Kompeni C, Batalion 1 RAMD.

Menurut catatan, pertempuran di antara RAMD dan tentera Jepun bermula sebaik Jepun mendarat di Tanjung Penjuru, Jurong, pada 08/02/1942. Batalion 1 dan 2 telah diarahkan mengekang kemaraan mereka pada ketika itu. Walaubagaimanapun tentangan hebat Jepun menyebabkan mereka terpaksa berundur ke Pasir Laba dan akhirnya ke Pasir Panjang. Pertempuran memuncak pada 13/02/1942 apabila pasukan RAMD mengukuhkan pertahanan di benteng terakhir itu.

Untuk menawan kawasan tersebut, Jepun telah memulakan serangan dengan tembakan artileri diikuti penggempuran oleh unit infantrinya, Divisyen Mutagichi ke-18 dengan bantuan kereta kebal dan serangan udara. Asakan yang teruk, ditambah dengan kebakaran depot minyak di Kem Normanton tidak jauh dari situ menyebabkan pasukan RAMD terpaksa mencari kedudukan lain yang lebih selamat. Pada tengah malam itu, Kompeni C diarah berundur ke pertahanan sebelah timur Pasir Panjang, dikenali sebagai Bukit Chandu di mana di situ, Kapten Rix yang mengetuai kompeni tersebut telah mengarahkan Lt. Adnan dan platunnya yang dipercayai berkekuatan 42x anggota untuk mengawal bahagian utara.

Keesokannya – Sabtu,14/02/1942, Jepun telah memulakan serangan tepat jam 1400 ke Kampung Buona Vista dengan menyasarkan kedudukan Kompeni B Batalion 1. Asakan dengan kereta kebal itu memaksa pasukan RAMD untuk berundur, namun belum sempat mereka berbuat begitu, serbuan Jepun menyebabkan berlaku pertempuran pada jarak dekat. Pasukan RAMD yang telah kehabisan peluru dengan beraninya terus berjuang walaupun dengan hanya berbekalan benet di hujung senjata. Setelah kedudukan itu berjaya ditawan, Jepun yang berang dengan keengganan anggota RAMD menyerah, mengarahkan pula serangan ke Bukit Chandu.

Ketika itu, Kompeni C yang diketuai Lt. Adnan telah terpisah daripada Kompeni D di sebelahnya disebabkan oleh minyak yang terbakar daripada Kem Normanton. Itu menjadi penghalang utama untuk mereka berundur ke selatan. Petikan berikut adalah daripada buku ” The Malay Regiment” . Semoga ia menjadi peringatan kepada kita semua tentang semangat juang mereka yang tidak pernah luntur satu ketika dulu, demi kita pada hari ini.

Kedudukan Rejimen Melayu pada bulan Februari adalah di sepanjang Pantai Barat pulau tersebut, bertumpu secara khusus terhadap pertahanan pantai. Batalion Pertama menguasai kedudukan pantai dan batalion Kedua pula ditempatkan di kawasan darat bersama-sama satu Kompeni (B) di Pasir Laba. Kompeni ini sedang berada dalam kedudukan ketika pihak Jepun melakukan pendaratan pertama di Pulau tersebut dan meski dibom teruk, mereka tidak hilang moral. Mereka kemudian diundurkan bersama-sama terup-terup lain daripada kedudukan mereka yang terdedah pada 8 Februari.

Selepas Jepun mendarat di Utara Pasir Laba, objektif pertama mereka adalah Aerodrome Tengah dan satu serangan menyusul ke Jalan Chua Chu Kang diikuti oleh Jalan Jurong. Satu pasukan Jepun dianggarkan berkekuatan 2 batalion , disokong oleh sejumlah kereta kebal dan artileri, telah bergerak ke Selatan ke arah Jalan Pembaharuan dan terus melakukan tembakan serangan ke arah kedudukan Rejimen Melayu yang mana pada 12 Februari, sedang berada dalam formasi “kotak” di mana Jalan Pembaharuan dilindungi oleh Kompeni A dan C dari Batalion Pertama sebagai pertahanan hadapan utama mereka. Markas Rejimen pula terletak di Gap, dalam parit yang telah digali pada tahun 1940 dan berkemungkinan telah diketahui secara terperinci oleh pihak Jepun.

Kompeni C dalam kedudukan mereka ke arah tenggara Jalan Pembaharuan pula yang seterusnya bertembung dengan musuh dan mereka terus menentang hebat tanpa mengalah sepanjang hari tersebut. Mereka turut mengalami kerosakan, termasuk salah seorang ketua platun mereka, Leftenan S.J. Law yang telah terbunuh oleh tembakan mortar, namun syukurlah akibat personaliti dan contoh yang ditunjukkan oleh ketua Kompeni mereka, Kapt. H. R. Rix, moral mereka kekal tinggi dan mereka terus bertahan tanpa soal.

Ketika serangan inilah, Prebet Yacob Bidin, seorang anggota Kompeni C daripada kumpulan Rifel Bren, memperolehi Pingat Military. Pihak Jepun, apabila mendapati mereka tidak mampu bergerak ke hadapan, telah mengubah strategi dengan membakar semak-samun yang ada. Api tersebut telah merebak dan di bawah lindungan asap tersebut, pihak Jepun telah menetapkan kedudukan mortar yang telah mengakibatkan banyak kerosakan.

Kpl. Yaacob Bidin. Sumber : Buku”Askar Melayu 50 Tahun”

Pbt. Yacob, bertemankan seorang lagi anggota Melayu, yang identitinya tidak diketahui, bergerak ke hadapan dengan senjata Brennya, menghendap kedudukan mortar itu dan membunuh atau melumpuhkan keseluruhan krunya seterusnya menghentikan terus tembakan mortar itu.

Batalion Pertama telah mengalami hari yang sukar; sekurangnya 4 orang pegawai terbunuh dan 8 lagi cedera, termasuk juga sejumlah anggota lain-lain pangkat. Kedudukan Kompeni pada pagi 14/01/42 itu adalah :

 Kompeni B – mengawal laluan masuk ke Kampung Buona Vista

 Kompeni C – mempertahankan rabung di atas Kilang Ganja dan

 Kompeni D – menguasai pantai sekitar Labrador

Tembakan oleh musuh bersambung sebaik sahaja fajar menyinsing. Longkang di belakang kedudukan kompeni C menjadi latarbelakang yang menggerunkan kerana ia dipenuhi minyak yang sedang terbakar yang mencurah dari Depot Minyak Normanton.

Satu lagi serangan oleh pihak Jepun telah menyusul pada tengahari itu, diarahkan kepada pasukan Loyal yang berada di sisi kanan Rejimen Melayu. Kompeni C telah berjaya menghujankan tembakan ke arah musuh dan membantu dalam mengekang serangan mereka. Rempuhan ke atas kedudukan Kompeni B ditambah longkang yang dipenuhi minyak terbakar telah menyebabkan Kompeni C terperangkap dalam posisi yang terasing sendirian.

Satu serangan berat oleh pihak Jepun telah menyusul pada lewat tengahari 14 Februari dan majoriti kekuatan Kompeni itu telah mempertahankan Bukit Candu sehingga mereka terbunuh dalam pertarungan secara berhadapan. Antara yang terkorban adalah Ketua Kompeni, Kapten H. R. Rix, yang sebelumnya berasal dari Batalion Perak pasukan Sukarela FMS, dan 2 orang ketua platun, Lt. Stephen dan Lt. Adnan.

Percubaan pertama Jepun untuk mendekati Bukit Candu dilaksanakan oleh anggota yang menyamar dengan berpakaian sebagai anggota dari Terup India namun Lt. Adnan dan Lt. Abbas b Abdul Manan telah menunggu sehingga mereka sampai ke jarak dekat dan kemudian telah melancarkan serangan mengejut. Ini menyebabkan ramai anggota musuh yang tumbang dan yang terselamat bertempiaran melarikan diri.

Hampir 2 jam kemudian, serangan tersebut diperbaharui dengan peningkatan kekuatan yang sangat ketara dan walaupun Kompeni C giat menyerangbalas dengan grenad dan tembakan automatik, mereka tidak mampu mempertahankan bukit tersebut. Kehilangan nyawa 3 pegawai tersebut menjadi berita yang menggusarkan. Kapten Rix kekal berhubungan rapat dengan unit-unit di bawah arahannya dan menunjukkan sikap tidak peduli terhadap bahaya ke atas dirinya sendiri, dan ia mengaspirasikan anak-anak buahnya untuk melakukan perkara yang sama. B

eliau memberikan arahan agar posisi tersebut dipertahankan sehingga ke nyawa dan peluru terakhir dan hampir keseluruhan Kompeni C menurut contoh yang ditunjukkan beliau dan akhirnya gugur ketika berjuang. Lt. Stephen turut menginspirasikan platunnya dengan keberanian yang tidak kurang hebatnya dan apabila ramai daripada anggotanya tercedera atau terbunuh, dan musuh berada dalam lingkungan jarak 50 ela daripada kedudukannya, beliau telah mengetuai serangan menggunakan benet namun telah ditembak jatuh sebelum sempat sampai kepada musuh.

Batmannya, L.Kpl. Wan Ngah dari Terengganu, yang berada dekat dengannya semasa beliau jatuh, berjaya melepaskan diri dan telah menceritakan keadaan pertembungan terakhir itu serta pembunuhan hampir semua mereka yang terselamat sejurus sebaik sahaja bukit itu ditawan. Seorang lagi saksi, Kpl. Din, telah ditikam dengan benet sebanyak 4 kali namun berjaya melarikan diri di dalam kegelapan malam, dibantu L.Kpl. Wan Ngah.

Lt. Adnan ketika itu mengetuai Platun No. 7 yang berada di sebelah kiri Markas Kompeni C, dan ketika serangan terakhir itu berlangsung, beliau sendiri sedang mengendalikan selaras senapang Lewis dan kerapkali menonjolkan dirinya sendiri di hadapan anggotanya bagi membakar semangat mereka.

Semasa serangan tersebut, walaupun beliau sendiri cedera parah, beliau telah mengarahkan platunnya untuk terus bertahan sehingga ke titisan darah terakhir. Ketika posisi itu dikuasai Jepun, mereka telah menggantungnya secara terbalik di sebatang pokok getah berhampiran dan menikamnya berkali-kali dengan benet, dipercayai ketika beliau masih bernyawa.

Satu-satunya pegawai dari Kompeni C yang terselamat adalah Lt. Abbas. Platunnya juga menerima hukuman yang berat dan selepas saki-baki Kompeni tersebut dikuasai, beliau mendapati dirinya telah terputus perhubungan dengan satu-satunya jalan berundur yang tinggal adalah dengan merempuh ke arah musuh dan melintas longkang yang dipenuhi minyak terbakar dari Depot Minyak Normanton itu.

Selepas mengumpul saki-baki platunnya, beliau berjuang untuk mencari jalan keluar, di mana sepanjang ketika itu beliau kehilangan beberapa anggota akibat terbunuh atau tercedera dan akhirnya sampai ke tempat minyak sedang terbakar itu di mana anggotanya yang sudah keletihan itu terpaksa melompat pula sejauh 20 kaki.

Namun, diketuai Lt. Abbas, beberapa orang daripada mereka berjaya melepasinya, walaupun sekurangnya 2 anggota terjatuh ke dalam minyak yang sedang marak itu. Lt. Abbas bersama-sama 3 orang yang terselamat terus bergerak ke Markas Batalion dan melaporkan diri untuk tugas-tugas seterusnya lewat petang itu..”.

Disebabkan melihat keadaan yang tidak memihak kepada mereka, Lt Adnan mengingatkan anak-anak buahnya agar terus mempertahankan kedudukan selagi bernyawa. Ketika itu mereka bertahan di lereng sebuah bukit dengan hanya dilindungi kubu yang diperbuat menggunakan guni pasir. Lt Adnan sendiri berkubu dekat dengan sebatang pokok ceri.

Selepas tembakan artileri, anggota RAMD terlihat sekumpulan tentera Punjab menghampiri kedudukan mereka. Bagaimanapun pergerakan 4 baris mereka menimbulkan syak kerana biasanya askar Punjab bergerak dalam 3 barisan. Lt Adnan yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, telah menunggu sehingga mereka telah benar-benar dekat sebelum melepaskan tembakan.

Serangan luar jangka itu menyebabkan askar Jepun yang menyamar itu berselerak. 22 anggota mereka mati dan ramai lagi yang cedera. Berang dengan kegagalan mereka, Kolonel Saburo yang bertanggungjawab dalam operasi tersebut telah mengarahkan Mejar Kimura menawan bukit itu dan membunuh semua anggota RAMD yang ditemui, terutamanya Adnan. Serangan kali itu tidak lagi menggunakan helah, sebaliknya adalah secara head-on atau berdepan.

Menggunakan senapang, pistol, mesingan dan bom tangan, Adnan terus melaungkan kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya walaupun sedar jumlah musuh terlalu ramai. Beliau sendiri mengalami kecederaan. Setelah berjaya mengepung pasukan RAMD, Jepun telah menyerbu kubu tersebut dengan benet menyebabkan berlakunya pertempuran pada jarak dekat. Adnan yang telah cedera tidak mampu melawan asakan Jepun yang bagaikan orang gila itu, akhirnya tewas.

Jepun menggunakan kesempatan itu untuk melepaskan geram mereka kepada pasukan RAMD yang dikatakan degil dan telah menjatuhkan airmuka mereka. Mana-mana anggota RAMD yang ditemui mereka telah ditikam dan dirodok tak kira samada masih bernyawa atau tidak. Malah, beberapa anggota yang telah gugur digantung di pokok berhampiran dengan kaki ke atas dan tangan terikat. Yang didapati masih bernyawa ditikam dengan benet bertubi-tubi.

Terdapat beberapa versi tentang kematian Lt. Adnan, selain daripada dikatakan lehernya telah dikelar. Kejadian ini dikatakan dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu. Namun, terdapat juga versi lain.

Hasil tinggalan kekejaman Jepun itu telah disaksikan beberapa penduduk kampong. Antaranya adalah En Borhan Muslim yang kini tinggal di Singapura. Waktu itu, setelah British menyerah kalah, beliau dan adiknya naik ke Bukit Chandu untuk mencari makanan akibat kelaparan. Setibanya di sebuah banglo di atas bukit itu, di Lorong Pepys, yang menjadi kubu British, mereka melihat 7 mayat bergelimpangan di tingkat bawah. Seorang pegawai tentera berpangkat pula kelihatan mati tersandar di katil tepi tangga. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat.

Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).Dari tingkat atas, melalui tingap pula, mereka terlihat ramai askar yang mati tergantung di pokok berhampiran. Terdapat kira-kira 10 pokok dengan mayat diikat padanya. Kira-kira 13 mayat kelihatan tergantung dengan pakaian masing-masing berlumuran darah dan badannya berlubang.

Sebenarnya dalam perjalanan naik ke banglo tersebut, Borhan telah menyelamatkan seorang anggota RAMD daripada Batalion 1 yang tercedera, bernama Kpl. Husin kira-kira 330 meter dari rumahnya. Hanya beliau yang disyaki selamat sementara semua anggota-anggota lain RAMD termasuk Adnan dikhuatiri telah terbunuh. Setelah 40 hari dirawat ibu Borhan, Kpl. Husin kembali sihat dan pulang ke kampungnya di Pahang.

Sumber : Berita Harian Online
Shuhaimi Shukor Bersama Prebet Ujang Mormin dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.Berumur 95 tahun.Beliau pernah bertempur dengan Tentera Imperial Jepun pada 13 dan 14 Feb, 1942 di Bukit Chandu Singapura sebelum berundur.Gambar diambil di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Sumber : Berita Tentera Darat

Shuhaimi Shukor Bersama Prebet Ujang Mormin dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.Berumur 95 tahun.Beliau pernah bertempur dengan Tentera Imperial Jepun pada 13 dan 14 Feb, 1942 di Bukit Chandu Singapura sebelum berundur.Gambar diambil di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Sumber : Berita Tentera Darat

Sehingga kini, rekod pertempuran tersebut, walau dicatat dalam sejarah, masih berada dalam keadaan sedikit culang-caling, kerana realitinya, rekod ini saya rasa masih berada dalam keadaan terfragmentasi. Beberapa catatan berada di dalam beberapa sumber berbeza, dan catatan yang sedikit lengkap dan menggabungkan kesemuanya juga berada jauh daripada pandangan kita.

Saya sendiri terpaksa mengorek arkib, dan agak bernasib baik kerana terjumpa sebuah buku “ Askar melayu 50 Tahun” yang ditulis oleh Tan Sri Datuk A. Samad Idris dan diterbitkan pada tahun 1983. Isinya terpaksa dibaca berkali-kali dan kemudian dirujuk silang dengan beberapa sumber lain bagi mendapatkan ketepatan garis masa dan rekod sejarah tersebut.

Sumber yang menjadi rujuk silang juga agak bermasalah kerana banyaknya adalah daripada keratan berita temuramah dengan beberapa orang yang telah terlibat dengan pertempuran tersebut, samada bersama Lt. Adnan ketika beliau terkorban, atau sebelum itu. Banyak di antara sumber tersebut telah meninggal dunia, dan penceritaan mereka sebelum itu juga sebenarnya agak kekurangan perincian.

Tidak boleh disalahkan mereka. Meski kisahnya masih lekat di ingatan mereka, keadaan umur yang agak lanjut membuatkan mereka mungkin terlupa sedikit tentang perincian-perincian tersebut. Maka, saya memilih untuk merekodkan penceritaan mereka yang dirakamkan ketika ingatan mereka masih segar, dan untuk itu, buku yang saya nyatakan itu serta beberapa rakaman daripada rekod British dan Kementerian Pertahanan sendiri menjadi rujukan saya

Ilustrasi menggambarkan keteguhan semangat Lt. Adnan. Saya sudah lupa siapa pelukisnya. Jaafar Taib kalau tak silap saya

Beberapa persoalan timbul bagi saya. Antaranya yang paling ketara adalah siapa yang terselamat daripada serangan tersebut, siapa Kpl. Husin, siapa yang membawa kisah lt. Adnan keluar daripada medan tersebut? Ia tidak mungkin Lt. Abbas kerana beliau dan 3 orang lagi telah keluar daripada lokasi sebelum pertarungan terakhir itu dan menyertai pasukan lain. Di mana pula kubur Lt. Adnan?

Saya tidak mungkin dapat merungkaikan kesemuanya, dan perjalanan mencari dan mengumpul kembali kisah ini selengkapnya masih panjang. Dalam bahagian seterusnya, saya akan menulis tentang beberapa lagi karekter yang menjadi perakam kisah ini semasa mereka berada bersama Lt. Adnan. Kesemuanya boleh ditambah kepada koleksi pengetahuan kita tentang situasi ketika itu, dan diturunkan kepada anak cucu kita sebagai warisan sejarah bangsa.

Ada yang mempertikaikan, kenapa Lt. Adnan diangkat sebagai wira, sedangkan beliau ketika itu dikataka sebagai “ budak suruhan British”, melebihi wira-wira lain seperti Dato’ Bahaman, Rosli Dhoby dan Tok Janggut yang dikatakan sebagai penderhaka. Saya tidak pasti mereka yang mengeluarkan kenyataan ini sebenarnya berpijak di bumi nyata atau sebaliknya, meski ada di antara mereka yang dikatakan sebagai “ Pakar Sejarah”. Merekod dan memahami sejarah sebuah peperangan, sebuah pasukan atau satu unit tentera, bagi saya, memerlukan pemahaman dan penguasaan daripada sudut yang saya kira agak berbeza berbanding sejarah lain.

Saya tidak layak berbicara tentang sejarah tamadun Melayu misalnya, meski saya mempunyai sedikit pengetahuan tentangnya, kerana saya tidak arif dengan kalusa dan nuansanya. Tapi, saya rasa saya mampu berbicara bab sejarah pertahaan kerana saya mempunyai sedikit pengetahuan yang agak lebih daripada sudut itu. Kepada mereka yang masih mempertikaikan kisah pengorbanan Lt. Adnan, saya kira mereka ini berada dalam dunia mereka sendiri di mana mereka mempunyai sifat “ syok sendiri”. Seingat saya, tidak pernah pula saya diajar untuk mengatakan tokoh-tokoh tersebut sebagai penderhaka. Celah mana datangnya tuduhan tersebut tak taulah.

Lupa agaknya situasi sebenar ketika itu. Lt. Adnan adalah pegawai daripada Rejimen Askar MELAYU Diraja. Untuk itu, pembaca harus menyusuri kembali bagaimana pasukan ini tertubuh dan sejarahnya. Jika selama ini dikatakan British sebagai kuasa kolonial telah menjarah dan menyedut keluar kekayaan tanah kita, kenapa tidak terfikir tentang dari mana gaji yang diberikan kepada anggota-anggota dan pegawai RAMD ini datang. Duit Britishkah, atau daripada kotak kekayaan kita ketika itukah? Mereka juga mungkin lupa bahawa ketika itu, Singapura masih berada di bawah Tanah Melayu, dan pertahanan di Bukit Chandu mewakili pertahanan terakhir Tanah Melayu daripada jatuh ke tangan penjajah seterusnya, iaitu Jepun.

Tetap penjajah, meski mereka melangkan slogan “ Asia Untuk Asia”. Realitinya, di Bukit Chandu, ada anak Melayu yang masih berpijak di bumi Melayu, mempertahankan Tanah Melayu buat kali terakhir dalam peperangan besar itu. Saya tegaskan sekali lagi, anak Melayu, yang mewakili segala yang ada di Tanah Melayu ketika itu – segala bangsa yang bernaung di sini termasuk Cina, India, dan peribumi lain, kekayaan kita serta nilai hidup kita.

Sedangkan General A.E Percival pun terpegun dengan keberanian Lt. Adnan Saidi dan 42 anggotanya yang masih bertahan ketika ramai pegawai dan anggota British bertempiaran lari bagai ajing dicawat ekor..sedangkan General Yamashita sendiri mengatakan Malaya mungkin tidak akan jatuh ke tangan Jepun jika ada 10 Lt. Adnan..diulang..10 LT.ADNAN, bukan Capt. Rix atau Major Hemsworth.

Kita hari ini pula, selamba pandai-pandai mempertikaikan pengorbanan beliau dan anggota-anggotanya. Kenapa tidak diangkat jasa mereka ini sebaris dengan tokoh-tokoh lain, dan kenapa pula harus ada perasaan tokoh ini harus dilebihkan berbading tokoh yang itu? Sedangkan mereka di Sana selayaknya sama saja menerima kiriman A-fatihah daipada kita pada hari ini, yang menumpang bahagia dan aman di atas jasa mereka?.

=WRA=


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Comments are closed.