Sebuah gambaran ngeri letupan Nuklear di tengah bandaraya Los Angeles di Amerika Syarikat yang padat penduduk di dalam filem “Terminator 2 : Judgement Day”, memberi imej ngeri apabila sebuah peledak Nuklear zaman moden berkekuatan 1 Megatan dijatuhkan di sebuah bandaraya (1,000 kali ganda kekuatan Bom Atom Hiroshima)

Pada tahun 6 dan 9 Ogos 1945, bandar Hiroshima dan Nagasaki dikejutkan dengan jatuhnya bom atom yang dinamakan “Fat Man” (21 Kilo-tan, Nagasaki), dan “Little Boy” (15 Kilo-tan, Hiroshima). Pada zaman itu, ia merupakan senjata pemusnah jenis baru dan mengejutkan Tentera dan maharaja Jepun dengan skala kemusnahannya yang teramat dahsyat dan sangat mengerikan.

Lebih 100,000 orang awam mati mengejut dalam beberapa saat tatkala suhu ekstrim dari bebola api hasil ledakan bom nuklear tersebut membunuh kesemua orang yang berada di luar bangunan, dan gelombang kejutannya yang meranapkan bangunan. Lebihan yang terselamat juga meninggal akibat keracunan radiasi.

Hanya 44 saat diperlukan untuk bom tersebut meletup di udara sebelum gelombang kejutannya merebak ke seluruh kota Hiroshima. Dengan keadaan ekonomi dan tentera Jepun yang telah pun lumpuh akibat Perang Soviet-Jepun, letupan atomik kali pertama dan kedua di bandar-bandar di Jepun itu menyebabkan Jepun terpaksa menyerah kalah.

Senjata jenis baru ini mengubah cara manusia berperang sejak ia dicipta. J. Robert Oppenheimer, iaitu ahli fizik yang bertanggungjawab mencipta senjata ini menyatakan kekesalan beliau dengan ciptaannya dengan mengatakan “Now I am become death, the destroyer of worlds.” Ciptaannya telahpun menghasilkan sebuah bom yang mampu membunuh jutaan ke puluhan juta umat manusia dalam sekelip mata sahaja.

Bandaraya Hiroshima, sebelum letupan di gambar bahagian kiri dan selepas letupan dibahagian kanan. Kemusnahan dasyhat ini berlaku selepas bom atom diletupkan diatas bandar berkenaan

Kini, di era moden. Terdapat lebih 7,000 nuklear di dalam simpanan terutamanya di Amerika dan Russia. 2,000 bersedia untuk dilancarkan pada bila-bila masa. Dengan setiap 1 bom nuklear tersebut 1,000 kali lebih kuat dari yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki, ia menjadikan bom nuklear senjata pemusnah manusia yang mengerikan dan kotor sekali.

Meski senjata ini sangat kotor dan begitu memusnahkan, namun negara-negara kuasa besar dunia tetap menyimpannya. Sudah pastinya, jika perperangan dunia berlaku melibatkan negara kuasa besar dunia berperang antara satu sama lain menggunakan bom nuklear, kesudahannya pasti amat dahsyat dan membawa kepada kehancuran tamadun umat manusia jika ia betul-betul berlaku.

Jadi apakah kesan jika sebuah bom nuklear dengan kepala peledak sebanyak 800 Kilo-tan ini jatuh ke bandaraya besar penuh dan padat dengan jutaan penduduk manusia?

Kepala peledak Nuklear yang dimiliki Tentera Amerika Syarikat, iaitu M83 dengan kemampuan kekuatan letupan sebanyak 1.2 Mega-tan (bersamaan kekuatan letupan 1,200 Kilo-Tan TNT, iaitu 1.2 Juta tan TNT) yang masih di dalam perkhidmatan.
Skala kekuatan kemusnahan ledakan bom nuklear boleh dilihat pada betapa besar dan tingginya “awan cendawan” ini. Dimana peledak atomik Hiroshima iaitu “Little Boy” paling kecil sekali (kekuatan letupan 15 Kilo-Tan TNT)
Situasi cemas penduduk kota dan saat-saat ledakan pertama

30 Minit sahaja diambil untuk ICBM dengan peledak nuklear 800 Kilo-tan (intercontinental ballistic missile) berkelajuan 7 Kilometer sesaat ini merentas benua menuju ke negara sasaran yang jaraknya 10,000 kilometer dari silo pelancaran ICBM, 30 Minit ini merupakan masa kritikal yang amat singkat untuk penduduk bandar sasaran menyelamatkan diri.

Sebaik sahaja ICBM dikesan di dalam perjalanan menuju ke negara sasaran, siren kecemasan mengenai ancaman misil nuklear dibunyikan di seluruh pelusuk ibu kota utama, penduduk bandaraya dengan populasi jutaan orang sudah pasti panik mencari jalan menyelamatkan diri, mencari perlindungan di bawah tanah.

Berlaku kucar-kacir di atas jalanraya apabila penduduk menerima amaran kecemasan ini mula memasuki setiap telefon bimbit mereka. Tidak mengambil masa beberapa lama sebelum bom nuklear tiba diruang udara sasaran selepas 30 minit terbang dari tempat pelepasan asalnya. Diberi situasi di dalam artikel ini, peluru berpandu ICBM ini gagal dipintas oleh sistem pertahanan udara bandar sasaran .

Peledak ini diletupkan di tengah udara. Ia diledakkan di atas tengah udara untuk memaksimumkan kuasa pemusnahan melalui gelombang kejutan agar gelombang kejutan dari ledakan ini meliputi keseluruhan radius bandar sasaran.

Apabila bebola api pertama terhasil, suhu kepala peledak ini mampu mencapai suhu purata 100 juta Celsius. Ya, jutaan Celsius! Namun, ia berlangsung dalam masa beberapa milisaat sahaja. Radiasi terma memainkan peranan penting di dalam letupan nuklear. Tenaga tersebut berakhir membakar udara sekeliling dan bahan api nuklear tersebut.

Bebola api ini amatlah panas dan terang yang mengandungi jirim udara dan gas terbentuk dari sisa peledak nuklear itu. Walaupun ia berlaku dalam 1 persejuta dari 1 saat masa letusan, suhu bebola api makin menurun seiring dengan pembesaran jisim bebola api setelah bebola api makin membesar.

Setelah kilauan cahaya teramat terang berlaku, ia disusuli dengan bebola api dari udara yang sangat panas terbentuk. Bebola ini mula membesar dengan kadar yang amat pantas pada kelajuan beberapa juta batu sejam. Dengan tekanan udara tinggi, ia merebak pantas pada udara sekeliling, menghasilkan gelombang kejutan.

Ketika itu, tiada apa teknologi anti-misil mampu menangkis letupan ini sebaik sahaja tindakbalas nuklear berlaku. Letupan disusuli dengan gelombang Elektromagnetik (Electro Magnetic Pulse, EMP) yang mampu menghancurkan segala rangkaian telekomunikasi awam/pertahanan, grid elektrik, gajet elektronik secara menyeluruh.

Kerosakan telekomunikasi sudah pastinya melumpuhkan negara apabila panggilan kecemasan tidak dapat dilakukan, peranti perubatan di dewan bedah hospital secara tiba-tibanya terpadam apabila litar elektroniknya hangus akibat gelombang EMP, dan mesin sokongan hayat di Unit Rawatan Rapi turut rosak, kenderaan di lebuhraya secara tiba-tibanya mati, lalu menyebabkan kemalangan jalanraya skala besar-besaran. Disaat itulah, kecemasan peringkat negara benar-benar berlaku di dalam sekelip mata sahaja.

Selepas beberapa saat, bebola api secara kasarnya mempunyai diameter sebanyak 1 batu mengembang di atas bandaraya sasaran. Bebola api itu telah disejukkan melalui udara sekeliling dari suhu permulaannya sebanyak beberapa juta darjah kepada 16,000 darjah fahrenheit, secara kasarnya 4,000 darjah lebih panas dari permukaan matahari.

Sesiapa yang berada jauh 8 batu dari titik impak, walaupun menutup mata dengan jari-jemari serta memandang ke arah lain sesekalipun, cahaya ledakan nuklear ini akan menembusi apa sahaja di dalam masa beberapa saat. Sinar X-Ray, Gamma dan Inframerah yang menembusi tubuh ini sudah pastinya menyebabkan mereka dapat melihat setiap sendi-sendi tulang mereka sendiri, tulang rangka, organ-organ orang bersebelahan mereka atau mereka sendiri.

Keadaan ini pernah terjadi kepada askar-askar British yang menyertai eksperimen dan memantau “Grapple 2” di Christmas Island diatas kapal perang .Ia merupakan bom nuklear kedua untuk tujuan ujian senjata. Bom nuklear ini diledakkan di tengah udara oleh pihak tentera British pada Mei 3, 1957, yang kebanyakkan veteran yang terlibat melihat eksperimen itu kini meninggal dunia bukannya  akibat sakit tua, tetapi kanser akibat pendedahan dari sinar radiasi, walaupun berada diatas kapal jauh dari sumber ledakan. Video wawancara para veteran yang menyertai dan mengalami pengalaman tersebut itu boleh dilihat di sini: https://www.youtube.com/watch?time_continue=1&v=Y__dxTaGEp0

Kesan terhadap struktur bangunan tinggi (Dibawah titik impak)

Jika peledak nuklear 800 Kilo-tan ini diledakkan pada hari siang yang cerah, di mana penduduk tidak menyedari letupan sehingga berlaku kilauan cahaya yang panas, kehangatan dari letupan peledak nuklear pasti membakar apa sahaja kawasan pada 100 batu persegi melalui kesan “thermal pulse.

Sesiapa sahaja yang berada di bawah titik impak, bebola api dengan suhu belasan ribu celsius itu mencairkan segala struktur di bawahnya dan terus mengewapkan apa sahaja objek dengan serta merta (Vaporize).

Anda boleh bayangkan struktur konkrit dan bangunan ini musnah seperti debu berterbangan di udara dan manusia pula akan terus lesap (anda boleh bayangkan  titisan air yang jatuh dalam kuali panas, yang menyebabkan air terus lenyap) itulah yang berlaku kepada konkrit dan manusia pada suhu berkenaan.

Melalui bebola api itu, ia menghasilkan gelombang kejutan yang sangat kuat dan angin berkelajuan tinggi, menghancurkan struktur konkrit yang paling kuat dan diperteguhkan secara kejuruteraan sekalipun dibina dalam beberapa batu dari titik impak (Ground Zero)

Sebuah botol kaca dan mangkuk yang cair akibat ledakan bom atom di Hiroshima, botol ini berada jauh dari titik impak sewaktu ledakan berlaku. Kredit imej-Hiroshima Peace Park Museum
Permukaan bebola api yang bersuhu belasan ribu darjah Celsius ini membesar sekelip mata sahaja, namun cahaya berkeamatan ekstrim akibat dari tindakbalas pembelahan nuklear ini akan menghancurkan segala struktur konkrit dan manusia yang berada dibawahnya.
Kesan terhadap struktur bangunan tinggi (Jarak separuh batu dari titik impak)

Jika seseorang itu berada di dalam pejabat atau di kediaman bangunan tinggi sewaktu letusan berlaku, gelombang kejutan letupan (shockwave) itu pasti meranapkan bangunan-bangunan serta pencakar langit yang tinggi dan mendedahkan isi kandungannya pada suhu yang amat ekstrim, kekuatan gelombang kejutan ini sudah tentunya mampu untuk menumbangkan bangunan yang paling kuat dibina dan diperteguhkan.

Letusan ini menyebarkan api dengan mendedahkan permukaan mudah terbakar lalu mencetuskan api secara serta merta. Serpihan kaca-kaca berterbangan pada berkelajuan tinggi ini menembusi setiap inci tubuh badan manusia dan konkrit bangunan, membunuh sesiapa yang berada di laluannya di dalam sekelip mata.

Sesiapa yang berlindung di bahagian perlindungan bawah tanah berdekatan dengan titik impak (Ground Zero), memang tidak akan terselamat. Udara panas yang terhasil dari ledakan bom nuklear 800 Kilo-tan ini akan memenuhi ruang melalui ruang salur pengudaraan dan memanaskan struktur konkrit di mana suhunya menyamai suhu di dalam sebuah ketuhar yang panas (250 ke 260 celsius).

Paru-paru dan organ para pelarian atomik ini akan dimasak dari dalam dan sesiapa yang berselindung di bunker bawah tanah akan meninggal dengan cara yang amat terseksa.

Gambar rajah pada era 1950an ini menunjukkan jarak  apabila bangunan berada terlampau dekat dengan titik impak menyebabkan struktur terus hancur akibat suhu ekstrim.
Kesan terhadap struktur bangunan tinggi (Jarak tiga batu dari titik impak)

Bangunan yang terletak setengah hingga tiga suku batu dari titik impak tersebut, cahaya dari bebola api akan mencairkan tar jalan, membakar cat pada dinding dalam sekelip mata, mencairkan permukaan besi dalam sesetengah saat selepas ledakan.

Binaan besi seperti tugu peringatan yang diperbuat dari gangsa sudah pastinya cair menjadi cairan besi lebur dan terus mengewap dan lesap serta-merta. Setelah satu saat kemudian, gelombang kejutan dan angin berkelajuan tinggi sebanyak 750 batu sejam akan tiba, meratakan bangunan dan mencampakkan kereta yang terbakar ke atas udara seakan-akan daun di dalam ribut angin.

Di tengah bandar pula, bahagian dalaman kenderaan dan bangunan akan dijilat api di dalam kebakaran. Jubin lantai dan objek dibuat dari batuan marmar pecah dan jatuh serta terus mengewap (Vaporize). Sesiapa sahaja yang sedang melarikan diri diatas jalanan di saat ini sudah tentunya maut serta merta akibat kepanasan terma  yang teramat panas dengan suhu belasan ribu darjah celsius.

Cahaya membunuh dan kesan kepada kulit manusia

Hasil dari keamatan cahaya tinggi dari letusan dan sinar gamma, Inframerah, Ultra-lembayung (UV) serta kebakaran berpunca dari letupan nuklear ini, ia sudah pasti memberi kesan buruk kepada kulit manusia dan membawa maut. Terdapat tiga kategori kecederaan akibat kebakaran. Tahap 1, Tahap 2 dan Tahap 3. Kecederaan kebakaran Tahap 2 tidak seteruk Tahap 3 namun mampu membunuh apabila kecederaan ini mula meliputi 30% permukaan badan mangsa, dan mangsa kebakaran maut akibat kejutan septik dari permukaan badan yang dijangkiti akibat terdedah dengan bakteria.

Namun, kecederaan kebakaran Tahap 3 merupakan kecederaan kebakaran paling berbahaya dan peratusan untuk hidup adalah sangat tipis. Jika letusan berlaku dan anda berada jarak 5 batu dari punca letusan, kebakaran berpunca dari letusan ini akan membakar tiga lapisan kulit anda, selain itu merosakkan sel otot dan juga tulang, selain itu sinar Gamma dari letupan merosakkan DNA yang mempunyai maklumat sel untuk membaik-pulih sel badan yang rosak dan meningkatkan risiko kanser pada jangka masa lama.

Memandangkan kulit anda adalah perlindungan untuk sel badan anda dari bakteria dan unsur bendasing yang kotor, kehilangan kesemua sel kulit ini membawa kepada jangkitan kuman, gangrene dan jika kecederaan dari kebakaran ini meliputi 24% permukaan badan anda, kecederaan ini sudah pastinya membawa maut.

Kesudahannya, letupan dari bom nuklear mampu menjadikan sebuah kotaraya yang pesat bertukar menjadi padang tandus yang dicemari sisa-sisa debu beradioaktif hasil dari letupan nuklear, ini dibawa pula oleh angin dan jatuh sebagai air hujan bertoksik, tanaman tidak dapat tumbuh kerana tanah beradiasi dan haiwan ternakan memakan rumput-rumput yang mengandungi sebatian bahan radioaktif.

Ibu-bapa yang terdedah kepada sisa-sisa bertoksik ini menwariskan bayi yang mempunyai kecacatan genetik untuk generasi yang mendatang. Sememangnya, bom nuklear merupakan senjata kotor dan amat membunuh kepada tamadun manusia.

RUJUKAN:

All The Things That Happen To Your Body During A Nuclear Explosion by Laura Allan. Retrieved from: https://www.ranker.com/list/nuclear-explosion-human-effects/laura-allan

What Does a Nuclear Bomb Explosion Feel Like? Motherboard Youtube Channel. Retrieved from: https://www.youtube.com/watch?v=Y__dxTaGEp0

What would happen if an 800-kiloton nuclear warhead detonated above midtown Manhattan? Retrieved from: https://thebulletin.org/2015/02/what-would-happen-if-an-800-kiloton-nuclear-warhead-detonated-above-midtown-manhattan/

What is EMP? Tales From the Nuclear Age. Retrieved from: https://talesfromthenuclearage.wordpress.com/category/uncategorized/

Operation Grapple. Retrieved from: https://en.wikipedia.org/wiki/Operation_Grapple

Calculating The Trajectory And Impact Time of An ICBM. Retrieved from: http://www2.mae.ufl.edu/~uhk/IC


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan lepasan Diploma didalam bidang Senibina (Architecture) dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA Pasir Mas, Kelantan dan bakal melanjutkan lagi pengajian senibina di Universiti Kebangsaan Malaysia (Insyallah). Bekerja disebuah syarikat melukis pelan buat masa ini. 5 Tahun pengalaman dengan Autocad dan 3D render, pernah menghasilkan karya model Titanic dari kotak yang telah menjadi perhatian pengunjung di Pertubuhan Akitek Malaysia pada 2017 (MAYAS Art Exhibition by Pertubuhan Akitek Malaysia). Hobi suka menulis mengenai teknologi kejuruteraan senibina, tenaga hijau dan sains , melukis dan membuat model pada masa lapang. Amat meminati sejarah peradaban Islam, ketamadunan Melayu dan Yunani

Comments are closed.