Jumaat, 23 Oktober 202623 Okt 2026
Kronikel Dunia

Lebih 5000 Artifak Ditemui Semasa Proses Membaiki Paip Kumbahan

Setiap musibah terkandung di sebaliknya hikmah. Di sebalik kerosakan paip kumbahan yang dialami oleh sebuah trattoria, iaitu kedai makan santai di Leece Italy milik Luciano Faggiano ternyata membawa kepada penemuan khazanah yang tidak ternilai harganya. Iya; lubang najis yang mereka cari, ruangan artifak sejarah yang mereka jumpai.

Kejadian ini
berlaku pada sembilan belas tahun yang lalu, tahun 2000M. Semuanya bermula
apabila Luciano bersama dua orang anaknya memecahkan lantai kedainya dan
memulakan penggalian untuk mencari paip kumbahan yang rosak. Langsung tidak
pernah terlintas dalam fikiran mereka bahawa dunia bawah tanah itu menyimpan
lebih 5000 artifak bersejarah yang menjangkau usia sehingga 2000 tahun yang
lalu.

Bahagian luar Museo Faggiano, muzium yang pada asalnya trattoria milik Luciano

“Kami menemui beranda dan ruang-ruang kamar yang lain. Maka, kami pun terus menggali,” ujar Luciano kepada media New York Times. Pembaikian paip kumbahan yang dijangka dapat disiapkan dalam masa seminggu berubah menjadi sebuah projek arkeologi besar-besaran yang memakan masa hampir sedekad – 7 tahun lamanya. Projek tersebut berhasil menjejak pelbagai relik. Antaranya, makam kaum Messapian (puak Yunani purba yang hidup di kawasan tersebut sebelum kemunculan Kristian); jelapang Rom; biara Franciscan; dan bahkan kesan-kesan tinggalan Knights Templar.

Kerja-kerja penggalian yang dilakukan oleh Luciano sekeluarga ini pernah menimbulkan syak-wasangka dalam kalangan jiran-tetangganya. Mereka kemudian melaporkan hal tersebut kepada pihak penguasa. Mujur, Luciano dibenarkan untuk terus melanjutkan misi penggalian dan pembaikian paip kumbahannya asalkan proses tersebut dipantau oleh ahli-ahli arkeologi yang diiktiraf.

Maka, beberapa
orang pakar pun dipanggil bagi memantau tapak berkenaan. Ironinya, walaupun
segala bahan artifak yang ditemukan menjadi hak milik kerajaan, namun kesemua
pembiayaan kerja ekskavasi tersebut ditanggung sepenuhnya oleh Luciano sendiri.
Kerja-kerja berat yang tidak berkesudahan dan perbelanjaan wang yang
terus-menerus dikeluarkan – keadaan ini pernah membuatkan Luciano hampir
berputus-asa.

“Pada satu
tahap, saya tidak boleh bertahan lagi,” keluhnya kepada media New York Times.
“Saya pernah membeli batu-batu bara dan ingin menutup lubang tersebut lalu
berlagak seperti tiada apa yang pernah berlaku.”

Namun dengan
bantuan yang terus-menerus dihulurkan oleh anak-anaknya di samping bekalan wang
yang diraih dari sewaan asrama, Luciano tetap melanjutkan kerja-kerja
penggalian itu.

Luciano Faggiano dan anak-anaknya membuat penggalian untuk membaiki paip di Lecce, Italy. Namun menemukan pelbagai artifak yang berusia ratusan malah ribuan tahun

The
History Blog
menulis bahawa projek ekskavasi
tersebut melibatkan penemuan lebih 4000 buah artifak – walaupun angka berkenaan
disebutkan sebagai 5000 oleh sumber-sumber seperti Ancient Origins, New York
Times dan lain-lain.

Antara penemuan
tersebut adalah seperti berikut:

  • Sejumlah makam
    termasuklah makam seorang bayi warga Rom
  • Sebuah lubang yang
    sangat dalam, menempatkan jasad-jasad yang dibiarkan mereput sebelum
    tulang-belulang itu dikumpulkan dan dikebumikan.
  • Batu-batuan yang
    dipotong untuk menjadi tempat penghunian dan jalan.
  • Perigi sedalam 10 meter
    yang masih menyimpan air.
  • Terowong-terowong
    rahsia yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan keagamaan
  • Lukisan dinding
  • Tembikar dan tong-tong
    purba
  • Barang kemas dan ribuan
    lagi artifak lain.

Jika direnung,
Leece sendiri sememangnya merupakan sebuah bandar bersejarah. Lokasinya yang
strategik sememangnya membolehkannya menjadi tumpuan pada masa purba sebagai
sebuah bandar perdagangan. Seorang sejarahwan dan penulis tempatan yang bernama
Mario de Marco memaklumkan kepada New York Times, “Lapisan-lapisan terdalam di
bawah bandar Lecce menjangkau usia sezaman dengan Homer atau paling tidak,
sekitarnya.”

Relik-relik yang ditemui oleh Luciano Faggiano dan anak-anaknya

Malahan, bandar tersebut turut pernah menjadi rebutan pelbagai pihak termasuklah Yunani, Rom, Uthmaniyah dan Norman sekaligus masing-masing meninggalkan jejak kehadiran mereka di sana.

Ketinggian nilai
sejarah yang tersimpan di bumi Lecce tidak memustahilkan sebarang penemuan
artifak di tempat-tempat rawak – baik di bawah tanah sebidang kebun ataupun di
bawah lot parkir kereta. Jika dilihat dari suatu sudut, penemuan
artifak-artifak sebegini sememangnya banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu
sejarah di Itali. Namun, hal yang sama itu juga membuatkan perancangan
pembinaan atau pembangunan sesebuah bangunan di situ tertunda atau malah
dibatalkan.

Walau
bagaimanapun, bagi kes penemuan lebih 5000 artifak di bawah bangunan milik
Luciano ini mempunyai kisah yang tersendiri apabila tapak berkenaan dijadikan
sebagai muzium – Museo Archeologico Faggiano, satu-satunya muzium persendirian
di bandar Lecce. Ia dibuka kepada orang awam pada tahun 2008, lapan tahun sejak
kali pertama penggalian dilakukan; penggalian yang dimulakan dengan pencarian
paip kumbahan yang rosak, yang pada akhirnya berjaya ditemukan dan dibaiki.

Amphiteater Rom di Lecce, Italy – antara yang ditemukan oleh Luciano Faggiano

Lukisan dinding yang terdapat di muzium berkenaan

RUJUKAN:

Liz Leafloor.
(15 April 2015). Man Intent on Fixing Toilet Uncovers Centuries-Old Subterranean
World Beneath his Basement. Ancient Origins.

https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/man-intent-fixing-toilet-uncovers-centuries-old-subterranean-world-020299

Jim Yardley. (14
April 2015). Centuries of Italian History Are Unearthed in Quest to Fix Toilet.
The New York Times.

https://www.nytimes.com/2015/04/15/world/europe/centuries-of-italian-history-are-unearthed-in-quest-to-fix-toilet.html

Atlas Obscura.
(n.d.). Museo Faggiano.

https://www.atlasobscura.com/places/museo-faggiano

Perhatian sebentar.

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami. Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM5.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM5 / RM10 / RM50

Kongsi

No comments yet